Resmi manusia, sering merungut dan merungut. Lebih-lebih lagi apabila dalam keadaan lapar dan dahaga meluap-luap. Penat dan letih menambah rencah, pakej khas untuk fizikal , khas di dalam arena Ramadan.
Lelaki dan perempuan sama-sama berkejar, turun bersama, pulang berbarengan.
Suami dan isteri merengus penat dan lelah, usai tiba di muka pintu kediaman.
Si suami, dengan tangkas, melempar tas ke samping, dibuang tali leher, terus dihumban fizikal lesu di sofa empuk. Kaca televisyen ditonton, penghibur jiwa sebentar.Nikmatnya..
Namun, si isteri setia, terus menyingsing lengan, mengenakan pakaian sesuai, lantas terjun ke medan masak-memasak di pentas dapur. Keringat masih belum kering, terus keringat lain pula mahu dikerah..
" Suami aku tu sedap sahaja. Balik-balik, rehat. Aku ni.. Haisshh"
Membebel tidak berhenti. Mulut becok bak si murai, hati rimas meminta belas insani.
Kedengaran dari bahagian ruang tamu, guruh dengkur menari-nari di awangan dengan melodi tersendiri. Si suami tenggelam di alam mimpi.
Anak-anak hanya memerhati dari kejauhan, menyaksikan adegan Ramadan Abah dan Mama.
Senario Lumrah
Kisah suami dan isteri di atas adalah di antara suatu kepingan senario Ramadan orang-orang kita. Kisah benar dan nyata, di alam realiti hidup.
Sang suami santai lagi menyenangkan.
Sang isteri pula bersabung keringat dengan bawang, cili dan minyak masak di dapur.
Anak-anak pula melihat senario itu.
Implikasi kejadian ini bukan sedikit.
Bukan sekadar kepada hubungan suami isteri, malahan mungkin juga dalam proses pembentukan keperibadian anak-anak.
Suami Isteri
Kalau tidak sekepal, mungkin secubit, akan ada kesan negatif kepada hubungan suami isteri.
Dari mencebik bibir, masam mencuka, lama kelamaan cebikan itu semakin bertimbun, melahirkan perasaan tidak puas hati membuak-buak. Kesumat ketidakpuasan hati suatu hari mungkin bakal meletus, meledak.
Goncangan kepada sebuah masjid Allah, diisyaratkan bakal terjadi.
Ya sering kita lihat..
Gegaran dan letusan kecil, menjadi titik-titik yang bersambung kepada peristiwa besar, sebuah ledakan gunung berapi dan gegaran gempa bumi yang super hebat.
Jangan sesekali kita doakan, namun hakikatnya, perceraian seringkali menjadi solusi. Jangan didoakan.
Seharusnya..
Sang suami memerhati saksama. Penuh minat dan empati..
Sang isteri menyingsing baju ke lengan, tanpa merengus banyak, beransur-ansur ke dapur.
" Isteriku yang kusayangi, ku cintai. Dia yang kunikahi kerana cintaku kepada Allah.. Ibu mithali kepada anak-anakku.."
Monolog seorang suami, membelai-belai hati dan sanubarinya.
Sama-sama penat, sama-sama memerah keringat. Rehat yang diimpikan, biarlah bersama. Kalau keringat mahu dikerah, biarlah saling mengelap titisan lelah.
Si suami melangkah berjiwa perkasa ke medan tempur dapur. Ego seorang lelaki berjaya dikalahkan. Jiwa Sunnah Rasulullah berjaya memenangkan pertempuran melawan ego lelaki..
Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik terhadap isteri-isteri kalian.
[Diriwayatkan oleh Tirmidzi}
[Diriwayatkan oleh Tirmidzi}
Dan besar ganjarannya kepada pembuat juadah ifthar. Mungkin sekadar menyiang bawang merah dan putih, mengacau air teh pelepas dahaga. Tetap ianya dikira menyediakan juadah berbuka. Hanya Sang Ilahi yang memberi balasan pahala.
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa tidak dikurangkan walau sedikit.” (hadis riwayat al-Tirmizi)
Serampang dua mata layaknya. Ringankan beban isteri, bermesra ala Rasulullah, sambil menyediakan juadah berbuka puasa. Tinta-tinta Raqib kering menulis buah-buah pahala yang dibaja dan disemai subur di medan dapur. Semoga ada berkatnya.
Anak-Anak Pula..
Anak-anak memandang kejauhan.
Sama ada itu episod romantik atau satu adegan zalim, anak-anak kecil tidak mengerti.
Mereka hanya melihat dan menyaksi. Pasang-pasang mata itu menangkap isyarat. Dari mata, isyarat diproses dan disimpan di dalam memori fikir sang anak.
" Oh, begini rupanya kalau Mama memasak di dapur"
Anak-anak banyak belajar dari melihat, menggunakan deria mata. Tangkapan melalui pancaindera telinga jarang tertangkap ke akal fikir. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri gamaknya.
Inilah tarbiyah yang sering manusia terlepas pandang. Anak-anak melihat ibu dan bapa sebagai contoh.
Ibu bapa solat dan mengaji Al-Quran, anak-anak juga datang tertunggang-tonggek bersolat sama.
Ibu bapa berbahasa kesat dan negatif, tidak janggal alunan dialog 'salbiah' juga yang bakal kedengaran dari mulut si jantung hati.
Besarnya nanti bakal menjadi perawan solehah, sering di dapur. Beruntung suami beristerikan solehah yang pandai membawa diri, berbakti kepada suami dan keluarga.
Kalau anak itu lelaki, besarnya nanti, semoga metamorfosisnya seorang jejaka soleh. Sering bertandang meringankan beban seorang isteri di kala penat dan lelah. Seorang suami yang empati memahami, lagi mengasihani.
Inilah didikan tarbawi yang diwarisi.
Inilah produk Ramadan yang diimpi, betapa berkatnya usrah mithali..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan