Rabu, 4 Ogos 2010

IKHTILAT ; Sebuah Ceritera ROBOT dan MANUSIA


Adam dan Hawa itu hasil nukilan Tuhan.

Sang Penguasa Alam mengetahui akan perihal tingkah dan laku makhluk ciptaanNya. Adam dan Hawa punya cas yang saling menarik.

Fitrah dicampakkan kepada hati Adam untuk berkehendakkan Hawa. Begitu juga citarasa hati seorang Hawa, kepingin bertemankan seseorang di sisi.

Dan di sinilah Tuhan mengajarkan Adam untuk memperisterikan Hawa , melalui akad nikah untuk menghalalkan hubungan dua makhluk Tuhan ini.

Tuhan menjadikan Adam dan Hawa sebagai datuk nenek makhluk bernama manusia. Manusia insan yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian.

Malaikat hanya punya iman, haiwan pula hanya bersarangkan nafsu dan manusia dihiasi iman dan nafsu. bergabung kedua-duanya.


Ikhtilat..

Arab membahasakannya sebagai ikhtilat.

Melayu memanggilnya sebagai pergaulan.

Dan bila disebut pergaulan, istilah merujuk kepada pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Datangnya Islam bukan untuk melarang pergaulan, tetapi untuk mengawal pergaulan.

Larang itu maksudnya TIDAK BOLEH, dan kawal pula bererti ada yang BOLEH dan ada yang TIDAK.

Sesuatu yang berbeza fahamnya.

Petunjuk sudah diberikan olah Tuhan Yang Maha Esa, Sang Pencipta.

Apabila dikatakan sebagai Pencipta, Dia pasti mengetahui semua secara terperinci tentang ciptaanNya.

Pereka sebuah kereta lumba Ferrari mengetahui dengan jelas selok-belok jentera bikinannya, hatta untuk satu nat dan bol, sang pereka itu faham A, B dan C nya.

Begitu juga lampu isyarat. Ada ketika untuk merah, oren dan hijau. Manusia menciptanya. Tetapi cubalah mengendarai kenderaan sesuka hati anda.

Sama ada hijau, merah ataupun oren, aku punya kereta, suka hatilah aku nak berhenti atau bergerak bila.

Alamat Malakul Maut akan segera menjemput.

Apatah lagi Tuhan, sang Kholiq, sang pembikin manusia, lelaki dan perempuan.Ada peraturan dan undang-undang yang harus diikuti kita sang hamba.Dia lebih mengetahui kenapa dan mengapa..


Antara BOLEH dan TIDAK

Tidak perlu diungkap berpeluk tampar, bercuit cubit, dan bergesel mesra. Itu adalah wahana yang mengundang murka Tuhan, jelas dan tidak perlu dipertikaikan.

Bergesel-gesel di dalam gemerlapan disko.

Bercuit cubit dalam berprogram.

Semuanya membangkitkan resah dan gelisah kepada hati. Hati yang tenteram dengan cahaya iman, pasti sensitif dengan sentuhan dosa.

Bimbang lama kelamaan, kalau dibiasakan, takut dosa sudah tidak dianggap dosa.

Hati sudah kebal, dosa bermetamorfosis menjadi lumrah.

Senipis kulitbawang iman itu juga turut terhakis.



Antara MELAMPAU dan CUAI



" Kita tak boleh pergi program agama tu. Ada ikhtilat.. Laluan ikhwan dan akhwat tidak pula diasingkan. Tabir pula penganjur tak gunakan!"

Seorang pencinta Islam, mengeluarkan doktrinnya.


" Sami'na wa ato'na (kami dengar dan kami patuh), ya ukhti!"


Gerabak ukhuwwah di belakang menurut saksama.

Ketam berjalan senget, habis senget gerombolan anak ketam. Manakan berjaya lurus jalannya.


" Aduh.. sakit la cubit-cubit ni. Ke sini kau.. Biar aku balas balik!"

Seorang ukhi mengaduh sakit sambil mengejar ikhwan yang mencubitnya tadi. Dikejar bukan dengan parang, tetapi kejarannya ala-ala manja, seperti cerita-cerita Melayu dahulu.


" Gurau senda ini kan merapatkan ukhuwwah sesama. Bukan kita duduk berdua-duaan pun. Kita kan sedang mesyuarat. Sambil mesyuarat, gurau-gurau sikit la!"


Sang 'ikhwan soleh' berhujah mantap.

Gurau senda melahirkan ukhuwwah dan percaya.

Jamaah mesyuarat gamat. Anak-anak dara versi muslimat ketawa menyeringai. Jejaka muslimin, dalam menunduk malu, sempat mencuri pandang, menatap mana licin dahinya.


" Melihat untuk mencari calon isteri!"

Perangkap kerabat iblis menyelinap ke dalam sanubari jamaah mesyuarat.



Dan ada juga pernah saya saksikan dengan mata sendiri suatu peristiwa penghalal 'dating' aka mesyuarat.

Alkisahnya, dalam sebuah masjid, di penjuru, seorang ikhwan didindingi dengan sebuah tabir, sedang bermesyuarat dengan seorang ukhti.

Tertanya-tanya juga apakah agenda agama yang dibincangkan mereka. Bicara mereka disaksikan orang ketiga, syaitan namanya.

Saya terkedu, terkejut.



Sinergis MUSLIM dan TABIR

Ya antara MELAMPAU dan CUAI.

Betul ada ayat Quran mengatakan perihal hijab atau tabir dalam urusan lelaki dan perempuan.

Bahkan ada tetapinya.

Ulama berselisih pendapat tentang kewajipan bertabir. Boleh dibaca DI SINI.

Sesiapa yang mahu ada tabir dalam urusannya, anda Muslim dan saya Muslim, kita berlapang dada.

Sesiapa yang mahu sekadar berhijab di hati, menundukkan pandangan dan berbicara yang elok semata, anda Muslim dan saya Muslim, kita masih bersapa salam.

Jangan sesekali MELAMPAU dalam beragama.


" Saya mahu solat, tidak mahu tidur-tidur!"



"Saya mahu puasa tanpa berbuka!"



" Saya tidak mahu berkahwin!"


Merah padam muka junjungan Muhammad Rasulullah.

Dipandangnya para sahabat bertiga.Sorot matanya tajam menghiris raut wajah mereka.



" AKU adalah orang yang paling berTAQWA antara kamu semua!!"


Berpuasa tetapi tetap berbuka, bersolat tetapi masih ada ruang melelapkan mata, dan beribadah khusyuk dan masih juga beristeri.

Dan jangan juga CUAI dan ALPA..

Usah diremeh-remehkan hal beragama.


"Tidak mengapa. Tuhan tahu kita sibuk, tidak sempat nak solat"


" Asalkan solat, solat pakai niat cukup!"



" Cukuplah solat seminit je. Asal dirikan solat, lepas tanggungjawab!"


Kefahaman Robotik

Islam memanusiakan manusia, itu tujuannya.

Islam tidak mengembangbiakkan 'robot-robot' agama.

Ikhtilat manusiawi dipagar didikan agama, dan agama menjadi pegangan manusia dalam mematrol ikhtilat.

Pada era Rasullullah, Rasulullah melepaskan sepatu sewaktu sewaktu menziarahi tanah perkuburan dan tatkala di dalam masjid, sepatu dibawa masuk untuk bersolat juga.

Hadis itu betul dan sahih. Benar-benar perlakuan Rasulullah..

Dan manusia ' robot' ada yang percaya membuta tuli atas nama Sunnah dan mengikuti Nabi.

Kaki bertelanjang di kuburan, berkasut litup di karpet-karpet masjid. Manusia lain pelik memikirkan perihal ahli agama. Sunnah rasul kata mereka.

Padahal zaman Rasulullah, Baqi' dan perkuburan lain itulah tanah pasir. Padanlah sepatu Rasulullah dilepas.

Dan di beranda Nabawi, butiran batu bersimpang siur di jalanan. Patutlah bersepatu ketika solat.

Dan di zaman kita, di bumi kita Tanah Melayu, kuburan itulah lecak dan tanah merah berselut, dan masjid siap elok berpenghawa dingin, berkarpet litup.

Manusia-manusia robot salah memahami agama..

Wajah buruk terpampang dek contengan arang manusia robot.

Ikhtilat KITA..


Ikhtilat tetap ikhtilat..

Tabir sentiasa rupanya tabir..

Sama ada tabir itu fizikal pemisah ruang, ataupun bertabir litup menjaga niat dan pandang, tabir itu sentiasa relevan, ke akhir zaman.

Keadaan boleh berubah, dan hukum juga ada transformasinya.

Jangan menjadi robot dengan statiknya kefahaman.

Sila sesuaikan dengan keadaan dan tempat. Asalkan tabir itu sentiasa wujud.

Di pasar dan keramaian, bertabirlah.

Ketika mesyuarat dan program, juga jangan lupa bertabir.

Dan sematkan di kepala, ingatkan di hati,

Antara MELAMPAU dan CUAI, KITA adalah MANUSIA, BUKANNYA ROBOT!

Tiada ulasan: