Sabtu, 14 Ogos 2010

Ijazah TAQWA Universiti RAMADHAN

Perlahan-lahan Abu berjengket ke dapur rumah. Berhati-hati sebaik mungkin.

Abah di beranda, jangan digerakkan lena yang mendodoi.

Ibu di kamar, masih berselubungkan kain sembahyang, sedang asyik melayan tadabbur ayat-ayat Qurani.

Langkah diteruskan, menapak sehalus daya, ibarat sang pencuri mahu membobol rumah di gelap malam.

Jam 3 petang. Sisa 4 jam sungguh mengazabkan.

"Lambat betul nak berbuka"

Monolog sang hati mendayu-dayu. Keroncong sang perut terus membuat fikiran kacau, lagi caca merba.

Peluang sudah terhidang di depan mata. Sisa kuih dari sahur tadi menggamit-gamit rasa sukma jiwa.

Dicapai cepat, hampir dimamah lahap. Tiba-tiba...

" Abah dan Ibu tidak nampak. Tapi Tuhan nampak... Aku berpuasa untukNya"

Dengan kehendak Yang Maha Esa, puasa seorang Abu terselamat.




Namanya Taqwa

Istilahnya TAQWA..

Inilah matlamat akhir perintah puasa, agar manusia menjadi insan taqwa.

"Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah" [Surah al Baqarah:183]

Ya TAQWA..

Abu tidak sanggup mencicipi kuih di depan mata, kerna sebuah TAQWA.

Hadir perasaan hadirnya Tuhan di setiap tempat dan ketika. Kosong kebarangkalian untuk melarikan diri dari pengetahuan Tuhan. Usaha yang sia-sia pasti..

Tetapi..

Dalam rentak tari kehidupan seharian, kadang-kadang TAQWA itu tenggelam timbul.


Taqwa Sekular..


Abu dan Siti masih lagi berbonceng mesra ke medan berbuka..

Siti, Minah dan geng-geng mesyuarat tingkap masih lagi 'berdiskusi hal ehwal dunia' menjelang waktu berbuka..

Perlumbaan berbalas pesanan ringkas antara anak Adam dan Hawa, serta maraton gayut di dini hari.

Puasa Ramadan itu seakan-akan sudah hilang matlamatnya..

Seakan-akan hanya sebuah ritual tahunan, berkunjung ke laman peribadi.

Teringat ungkapan dialog di antara Ubay bin Ka’ab dengan Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhuma:

taqwa-hati-hati

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab radhiyallaahu ‘anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubay menjawab (dengan bertanya soalan):,”Pernahkah engkau lalu di jalan yang banyak duri?” Umar menjawab, “Sudah tentu!” Ubay bertanya, “Justeru apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab, “Aku akan mengangkat sedikit kainku dengan aku akan melangkah dengan berhati-hati.” Ubay berkata, “Itulah yang dimaksudkan dengan TAQWA”


Ya..

Taqwa sebagaimana Umar bertaqwa itu sudah pudar, sedikit demi sedikit..

Hidup ini sebuah penilaian ujian dari Ilahi. Hati-hati dalam melangkah..

Sama ada insan itu miskin atau kaya, cantik atau hodoh, pandai atau bodoh, itu bukanlah skema betul salah di sisiNya..

Kayu pengukur itu adalah TAQWA.


Taqwa Seorang Solo

Tidak mampu berkahwin, berpuasa itu terapinya. Ini pesanan insani dari Nabi junjungan dikasihi.

Bukan disebabkan puasa itu menggunakan tenaga dan sekadar mengekang bateri pemanjang hayat nafsu, tetapi kerana matlamatnya adalah sebuah TAQWA.

Takutkan Tuhan, manakan berani berdua-duaan m
esra di kebun bunga, memadu asmara.

Malukan Tuhan, apakah masih ada perkasa di mata untuk memandang berahi anak dara sunti.


Bimbangkan Tuhan, mahukah lagi bersimpuh santun dalam majlis mengumpat di beranda rumah.




Segankan Tuhan, adakah cantik berbarut sarung nangka, terjulur sana terhimpit sini, memakai baju adik sendiri..


Universiti Ramadhan

Resmi memasuki gerbang ilmu di universiti, segulung ijazah pasti menjadi impian hati.

Tiada guna jejak kaki di universiti tetapi keluarnya menggenggam kosong buku lima.

Ijazah itu sebagai bukti, tujuan akhir sudah didakap diri.

Dan begitu juga Universiti Ramadan ini..

Penuh pengharapan kita masuki,

Agar keluarnya kita nanti,

Menggenggam segulung ijazah TAQWA hakiki...





Tiada ulasan: