Isnin, 20 Disember 2010

Paediatrik ; Antara Dua Tangisan...

Sebuah Mukaddimah Hidup..

Si ibu meraung kesakitan. Si suami bersebelahan mengusap lembut, sedaya cuba meredakan gejolak sakit meneran yang bertambah.

Perut yang memboyot itu seakan-akan mahu meletup.

Saya hanya memerhati.

Datang ke ruang Obstetric and Gynaecology (Obgyn) hanyalah sebagai tetamu, pembantu kepada doktor-doktor senior di Paediatrics (bahagian Anak).Proses menyambut dan menguruskan bayi yang baru dilahirkan dipertanggungjawabkan kepada kami.

Detik demi detik, dari minit berganti jam, pembukaan lubang vagina terasa sangat lama. Raung sang ibu,sekali sekala menyentap perasaan. Hanya sejenak cuma sebelum lahir seorang makhluk Tuhan yang baru di atas muka bumi ini.

Doktor dan jururawat bersiap siaga. Tahap terakhir proses persalinan hampir tiba..

Si ibu meneran..

"Kuat lagi ibu, kuat !" kata-kata penguat dilontarkan doktor.

Aaarghh..Aaargh..

Suara ibu itu berjuang meneran bermaharaja di ruangan.Memang sebuah mujahadah besar untuk melahirkan seorang insan.

Pembukaan vagina terpaksa dipotong sedikit untuk memberi lebih ruang bagi kepala sang anak untuk keluar.Prosedur yang dikenali sebagai 'episiotomy'. Darah memercik..

Namun sakit meneran itu jauh lebih dirasai sang ibu. Luka 'episiotomy' tidak seberapa dibandingkan..

"Sedikit lagi..Kuat bu.." kata sang doktor.

Kepala mula muncul, perlahan-lahan.

Muncul terus ditarik oleh tangan sang doktor.Keluar sekujur tubuh berlumuran darah dan cairan ketuban. Tali pusat penghubung ibu dan anak di alam kandungan , dipotong.

Anak itu dibersihkan kami. Cairan darah,ketuban semua dilap bersih. Kehangatan diberikan..

Lantas, sang bayi diberikan kepada ibu yang masih kesakitan. Perih sakit itu hilang tiba-tiba..

Tawa dan suka ceria menggantikan pedih sakit.Si anak mula menyusu..

Dan datang sang ayah, mendekati isteri dan anak kurniaan Ilahi.Ke telinga kanan, dia mendekatkan diri.

Dialunkan perlahan-perlahan..

Allahuakbar..Allahuakbar..

Allahuakbar..Allahuakbar..

Sambil saya, memangku sang bayi, azan dan iqamah itu dikumandangkan.

Bacaan sang ayah tersekat-sekat.Bukan kerana lupa, akan tetapi dek kerana terharu sebak menahan gembira sukacita atas rezeki.


Perjuangan seorang ibu melahirkan seorang zuriat, memperjudikan nyawa sebagai barang taruhan.Sebuah perjuangan yang mulia..

Dan pada waktu itu, saya teringat mama.Oh betapa mulia dirinya..Sesakit ini,sesusah begini dia berjuang untuk kelahiranku..

Saya juga menumpang sekaki.Empati syukur mengundang tangis..Semoga menjadi manusia berjaya dunia akhirat wahai sang bayi..


Sebuah Pengakhiran..

Usianya baru 2 minggu.Namun bayi itu sudah mengungsi inkubator.Nafasnya turun naik kencang..Otot-otot pernafasan berusaha keras untuk menampung kemasukan oksigen ke dalam peparu sang bayi mungil..

Nafasnya nafas buatan, ditolong mesin sebagai penyambung talian hayat.

Sepanjang beberapa hari, keadaan sang mungil memang harus sentiasa waspada dek saya dan kawan.

Denyut nadi, tekanan darah, suhu, frekuensi nafas dijaga per detik demi detik. Sebarang kelainan abnormal memerlukan tindakan cepat dan tepat.

Dan pada pagi hari itu, saya menjengukkan kaki di wad Perinatalogy, wad khas untuk bayi-bayi yang baru dilahirkan..Yang normal, hanya seketika bertamu di laman. Namun, bagi yang beraral sakit,sesak dan sebagainya, pulang ke laman ayahbonda harus ditunggu..

Sang bayi tiada di ruang biasa buat dirinya.

Dari kejauhan, dua orang doktor sedang melakukan bantuan pernafasan. Otot-otot pernafasannya tidak lagi mampu untuk bernafas secara spontan..Oksigen dipam masuk dan dadanya diberi stimulasi dari bahagian luar.

"Doc, bagi saya bantu!" saya menghulurkan pertolongan kepada doktor berdua itu.Mereka kelelahan setelah sekian lama.

Detak jantung antara ada dan tidak.

"Doc., jantungnya berhenti!" kata saya.

Ubat epineprine, sejenis stimulasi pernafasan jantung diberikan kepada bayi.

Bunyi jantung kembali, dalam keadaan sangat lemah.

" Anak ini harus pulang paksa.Orang tuanya tiada wang untuk melanjutkan biaya ke tempat lain, dan mereka juga sudah bersetuju dengan segala kemungkinan.."

Saya hanya mendengar dan menggangguk.Hakikat itu dimengertikan, namun bukan saatnya sekarang.Bantuan masih diberikan, hati tidak merelakan.

Perlahan-lahan, segala peralatan dan bantuan pernafasan diberhentikan.Bayi itu diserahkan kepada orang tuanya.

"Ibu,bapa, kemungkinan itu semuanya sudah jelas. Hayatnya sebentar saja lagi!" kata jururawat bertugas kepada keluarga sang bayi.

Saya hanya mendengar. Sambil melihat, tangan mungil itu sudah terkulai. Jemari kaki dan tangan sudah mengdingin.

Bayi itu hanya mampu bernafas dengan bantuan nafas buatan. Jika dihentikan, akibatnya jelas.Dan saya sangat mafhum dengan keadaan bayi di pangkuaan ayah bondanya..Mata ini hanya mampu melirih sayu, hati hanya bertatap muram.

Selamat tinggal wahai sang bayi.Ternyata kamu pergi dengan tiada dosa secubitpun..Berbahagialah kamu di SyurgaNya sana. Insyaallah ku kan datang bertemu denganmu nanti...

Innalillahi wainna ilaihi rojiun...


Antara Dua Tangisan..

Ya..

Inilah lumrah hidup. Yang pergi takkan kembali, yang patah tiada galang ganti.

Hidupkan hati, berkongsi empati..

Janganlah hanya kerana sering melihat sebuah perjuangan menghidupkan seorang makhluk, hati sudah hilang perasaan ria.

Usahlah kerana dek terbiasa melihat nyawa dicabut Izrail, hati sudah berani melawan sebuah kematian.Bukan sekadar orang lain , kita juga akan mati...

Orang yang mengingat mati itu punya TIGA kriteria.

Satu, cepat bertaubat.Kedua, banyak ibadah.Ketiga, syukur dengan apa yang ada..

Dan ingatlah kata pujangga HAMKA..

" Sewaktu kita lahir, kita menangis meraung sendiri.Namun, ternyata semua manusia sekeliling bersujud syukur tanda gembira. Usahakan ketika kita mati nanti, semua manusia pula menangis duka kesedihan"



4 ulasan:

cik Nurul berkata...

nanges...sedey2..~
untung dpt pengalaman live mcm 2..menginsafkan...thanks for sharing this valuable lesson ^_^

Ahmad Zulfahmi berkata...

Cik Nurul~

Tidak ada yang istimewa sangat.Menulis untuk mengingatkan diri sebenarnya..

Kalau ada manfaat, Alhamdulillah :)

Bella Billa berkata...

thx for sharing abg fahmi..
bercampur baur perasaan ni nk menghadapi dunia co-as x lama lg...=)

any quick advice?

Ahmad Zulfahmi berkata...

Bella Billa ~

Sama-sama..

Quick sharing? Nanti bila datang, pergi jumpa kak Badihah.Kata kat dia nak pinjam buku abang yang DKM AsySyifa buat..

Ada pengenalan semua bagian yang bakal semua COAS lalui..

Dan kalau nak prepare awal, sila ke COPA Jl Sederhana, boleh fotocopy soalan-soalan spot untuk Final Exam :))