"Kurang elok tengok cerita-cerita macam ini, merosakkan pahala puasa!" perlahan-lahan usikan saya utarakan kepada adik bongsu.
Dalam bergelak, terselindung mesej nasihat di sebalik nada mesra itu.
"Ala, penat-penat, panas, letih balik sekolah, nak la rehat-rehatkan diri dulu!" kata si manja, sambil mencebik masam, mencuka seribu bahasa.
Usai persekolahan, tatkala kekanda-kekanda pulang ke laman bonda, perginya ke teratak ilmu, sering berhantar, pulangnya pula berjemput elok.Menumpang manja seketika..
Rutin kegemaran menonton sinetron-sinetron asli bumi Merah Putih, tempat madahan Wali Songo nan sembilan.
Dan salah satunya, Alisa, tayangan di TV3, bermula jam 2 petang.
"Seksi sangat kot, yang si Natasha tu buruk benar, tersingkap sana, terselak sini. Bukan sekadar tak tutup aurat biasa-biasa.."
" Sia-sia je pahala puasa. Kering kontang nantinya!" nasihat sang abang, berbuih mulut, dalam irama memujuk.
Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Sabda Rasul terngiang-ngiang di benak fikir.
"Bukan hak kita melihat aurat penuh seksa itu. Contoh penuh seksa lagi seksi , satu petaka contoh tauladan untuk adik-adik remaja!"
Mengeleng-ngeleng dek gelagat sang bongsu.
The Transporter Punya Pasal..
Penat-penat bertarawikh, punggung dilabuhkan di kaca Televisyen.
Terkesima bukan sebentar menonton filem The Transporter. Adegan-adegan aksi bernuansakan kereta, berjaya menggamit perhatian.
Namun dalam rancak melayan, si bongsu bersuara. Sungguh sakti, lagi 'mencederakan' hati..
"Tengok Long, tengok cerita tak berfaedah. Ada juga seksi-seksi tu!" Kerlingan tajam melampiaskan rasa ketidakpuasan sukma nubari.
Keras benar-benar keras si paku buah keras.
Seribu bahasa ritma sang diam.
Walk Your Talk, Bro!
Saya mengerti, saya memahami. Cuma kisah pembelajaran ini adalah episod sepanjang hayat. Kadang-kadang tanpa sedar, kaki tetap tersadung dalam melangkah.
Mulakan dengan diri sendiri..
Lebih-lebih lagi anak-anak yang mula menongkah samudera hidup bergelar remaja, pelajaran hidup bertandang datang dengan melihat dan mencontohi insan yang lebih dahulu menelan asam garam kehidupan, tidak ibubapa, abang dan kakak contoh turutan.
As-Saff telah mempertontonkan wahyu Ilahi.
Bercakap dan berbuat ibarat irama dan lagu, sebati dan sekata. Andai dipisah, lemah tiada berjiwa. Penuh hampa..
Jangan juga berkiblatkan sifat Yahudi. Al-Quran mengkisahkan.. Bak keldai memikul sebukit kitab dan naskhah, segudang ilmu dan sabda, tetapi hanya sekadar berat sebagai kostum pemikat mata memandang, hakikatnya jauh berbeza.
Pengajaran buatku, tundukkan liarnya kerlip dan kerdip sang mata, mulakan dengan diri nafsi, dan semoga mesej yang dipertonton, kan mengalir kepada insan-insan sekitar, terutama untuk sang bongsu.
Bukan sahaja Alisa Soebandono atau Nia Ramadani, Angelina Jolie, Paris Hilton mahupun adegan-adegan panas Melayu terlampau juga bermelodikan sama dan serupa.
Sama-sama menuai dosa seksa, mencari modal menempah petaka neraka..
Iyyaka na'budu, wa iyyaka nasta'inu..
1 ulasan:
betul2.
walk your talk perlu diingat setiap kali kita menyampaikan nasihat kepada orang lain.
thx
Catat Ulasan