Isnin, 26 Julai 2010

Spesial Syaaban : Kisah Antah dan Nasi


Hari ini 26 Julai 2010, bersamaan 14 Syaaban 1431H.

Dan syukur, puji kepadaNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk mencapai dan menghayati detik-detik Syaaban yang penuh barakah.

Bulan Syaaban, bulan yang paling banyak Rasulullah mengikat perutnya untuk berpuasa sunat, selain dari Ramadan Al Mubarak.


Nisfu Berdua

Melayu kita, rata-rata kenal dan sinonim dengan dua Nisfu.


Satunya aktor lawak legenda, Ahmad Nisfu yang sering muncul menggamatkan suasana dalam filem-filem hitam putih zaman Studio Jalan Ampas. Adegan melibatkannya sering mengundang senyum dan kekeh tawa.



Dan satu lagi Nisfu yang terkenal adalah malam Nisfu Syaaban, malam 15 Syaaban yang penuh berkah.

Seringnya orang kita melakukan ibadah-ibadah seperti bacaan Yasiin 3 kali selepas Maghrib, diselang selikan dengan doa-doa di antaranya.

Ritual yang dibudayakan bertujuan baik, tetapi mungkin sedikit tersasar orientasinya lama kelamaan.


Suatu Ketika Dulu

"Cepat..Cepat.. Dah hampir Maghrib ni!" laung bonda tercinta dari dapur.

Kami adik beradik, bergegas menimba air dari perigi di samping rumah. Dari sebaldi, menjadi dua sehinggalah semua bekas yang wujud di muka bumi rumah kami, dipenuhi dengan air-air perigi.

Mengikut kata bonda, patuh pada arahannya.

Air itu digunakan untuk dimasak dan diminum. Dan ada juga air itu disebarkan kepada kerabat handai.

Adegan itu berlarutan buat beberapa tahun, seingat saya.

Alkisahnya, detik Maghrib itulah bakal masuknya 15 Syaaban.

Rahmat dan berkah turun melimpah-limpah ke muka bumi, dan air itu menadah keberkahan rahmat dariNya. Dan air itu harus diambil dan dimanfaatkan sebaiknya.

"Ustazah kata macam tu!" jelas bonda, dan kami anak-anak melongo percaya.

Putih kata bonda, maka putihlah pada mata kami.

Tahun berselang tahun, hari berganti hari, Syaaban dan Syaaban terus berlalu.

" Kenapa ye dulu kita timba air banyak-banyak dekat nak masuk malam 15 Syaaban?" saya melontarkan pertanyaan kepada warga rumah.

Zaman jahiliah dahulu bertandang di arena fikir.

Kami hanya tertawa kecil, menertawakan kejahilan ilmu dan cara fikir sendiri.

"Kenapa tidak disedut sahaja air satu sungai dengan jetpump. Takpun pergi kaut pasir dan batu masa hujung-hujung nak Maghrib, mesti berkat kalau nak buat rumah.." saya bermonolog sendirian.


Bukan Debatan Dicari

Tiada niat mahu menghujah dalil ibadah pada malam Nisfu Syaaban. Itu urusan mereka yang lebih arif.Cuma cukuplah ulasan dari Al-Qaradawi, ulama terkemuka pada zaman ini.

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).


Yasin 3 kali itu dianggap 'ibadah', dan dibudayakan dengan cambahan benih yang cukup menjadi. Akar dan rantingnya subur mengadat di sanubari kita Melayu Muslim.

Apabila akar telah menghunjam kuat pasak bumi, bukanlah semudah itu untuk membuangnya tanpa merosakkan kehidupan sang pokok.

Haruslah perlahan-perlahan membuang sedikit sebanyak akar yang rosak, biarkan akar-akar yang baru dan bersih muncul, agar keharmonian hidup sang pokok tetap terpelihara.



Seorang Ali Di Kampung Melayu

Ali berhijrah ke Kampung Melayu, sebuah kampung di ceruk pedalaman sana.

Rukun masyarakatnya aman damai. Agama dijaga , adat bersendi tegap.Suatu suasana yang cukup permai dan damai.

Cuma apa yang pelik lagi aneh bagi Ali, orang kampung semuanya makan nasi yang tidak cukup sedap, pada pandagannya. Hidangan nasi dipenuhi antah..

Dicuba juga dimamah perlahan, dikunyah saksama, menelannya tetap juga terasa perit.

" Apalah pasal masyarakat kampung Melayu ni suka makan nasi berantah. Tak sedap langsung!" ngomel Ali mengenangkan nasibnya harus menelan antah, berjamaah dengan penduduk kampung.

Dikuatkan semangat, akibat penasaran, Ali bertanya kepada seorang pak cik.

" Pak cik,pak cik.. kenapa ye masyarakat sini makan nasi dengan antah? Kurang sedap rasanya.." sopan-santun Ali menyusun laras bahasa.

" Antah..Apa ke bendanya tu nak oi. Pakcik tak tahu!" jawab sang pak cik, sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Ali terkesima, diamnya seribu bahasa.

Rupa-rupanya, sejak turun-temurun, nasi di kampung Melayu memang khas berantah. Antah tidak dibuang terlebih dahulu. Mulut yang mengunyah dan tekak yang merasa, telah lali dan terbiasa.

Nasi berantah itu sedap dan enak bagi masyarakat Kampung Melayu. Cuma tidak bagi Ali.

" Antah ni tak sedap dan langsung tak berkhasiat. Aku kena menyedarkan mereka!" jiwa besar Ali menyemangatinya untuk memahamkan hakikat antah kepada warga kampung.

"Ini antah..Ini antah..tak elok.tak sedap.." Ali menjaja 'perang dinginnya' dengan antah ke serata ceruk Kampung Melayu.

Penduduk kampung gempar.

Dakyah Ali terasa cukup asing, luar dari kebiasaan mereka.

Penduduk kampung terbahagi kepada beberapa golongan.

Golongan A bangun membantah dengan keras akan usaha reformis yang diperjuangkan Ali.

" Selagi nyawa dikandung badan, darah masih mengalir di urat sendi ini, nasi inilah yang akan kami makan. Ini darah daging kami, warisan nenek moyang!"

Golongan B pula, selepas mendengar penjelasan berhemah Ali tentang keburukan antah. Mereka mula menukar paradigma berfikir.

" Betul juga ya. Nasi ni, kalau tanpa antah, memang terasa lebih sedap, lebih nikmat. Khasiatnya pun mungkin lebih banyak. Terima kasih nak!"

Golongan C pula menjadi mangsa. Pelanduk yang terperangkap di antara rempuhan gergasi gajah di sekeliling.

"Eh betul ke macam tu. Nasi yang selama ini kita makan tak berkhasiat, bahaya. Jadi, jangan kita makan nasi lagi. Kita tukar makan pucuk-pucuk kayu!"

Oh, pening kepala Ali memikirkan perihal Kampung Melayu.

" Niatku baik untuk menyelamatkan mereka. Ingatkan semua akan jadi macam golongan B, tetapi ada A dan C juga!"

Kampung Melayu, oh Kampung Melayu..


Pengajaran

Pendek cerita, pokok pangkalnya, antah adalah benda yang tidak layak dimakan. Tidak sedap, dan tidak juga berkhasiat.

Bagi yang sudah biasa memakan antah, alah biasa tegal biasa. Sudah jadi tabiat hidup, sukar mahu diubah lagi. Hanya Sang Maha Penguasa yang maha membolak-balikkan hati.

Bagi yang mencuba nasi tanpa antah, ternyata nasi lebih sedap dan nikmat. Pujian bagiNya kerana membukakan jalan perubahan.

Kepada yang celaru, antah disangka nasi, nasi disangka antah. Akhirnya, terus nasi terkeluar daripada menu harian, sama ada berantah atau tidak. Kekurangan zat makanan, sehingga boleh membawa maut.

Kepada manusia bernama Ali, dialah sosok pengubah dunia Kampung Melayu, seorang yang berjiwa daie, proaktif mahu merubah sesuatu kongkongan tradisi yang kurang bergizi.

Matlamatnya hanya satu.

Jom semua. Kita makan nasi tanpa antah

Dan satu sahaja yang harus diingat bersama, para pemakan antah itu ada bermacam jenis gayanya. Ada yang hardcore, ada yang jenis flesksibel , suka mencuba resipi dan masakan baru dan ada juga yang berbuat ikut-ikutan mendengar khabar angin.

Kepada pembawa angin reformasi berjiwa Ali, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam, dengar-dengar. Ingatlah para pemakan antah itu ada pelbagai lagaknya.

Juga ingatlah nasihat tetua Melayu..

Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak.


Antara Cerita dan Realiti, Ubahlah Mindset

A
pa kaitannya?

Pakat-pakat perdalamkan minda, kaitkan dengan amalan Nisfu Syaaban.

Apa yang penting, please readjust your mindset.


Mahu membaca Yasin. Bacalah kerana ianya adalah suatu ibadah, membaca ayat-ayat suci Allah, mukjizat kepada RasulNya.

Mahu membaca surah-surah lain, beristigfar, berpuasa bulan Syaaban pun silakan. Semuanya sunnah Rasulullah.

Cuma biarlah kita tidak mencampur adukkan antara 'antah' dan 'nasi'. Nasi sedap dimakan, berkhasiat untuk jasmani. Antah pula entahlah di mana pula enaknya, wajar untuk dibuang ke tepi.

Percayalah wahai pemakan antah, nasi putih bersih itu LEBIH SEDAP..

Tiada ulasan: