Rabu, 7 Julai 2010

Simfoni Cinta Hero Tidak Didendang




Berjalan-jalan ke penjuru dunia, meneroka alam terbentang, mencuba aksi dan aktiviti baru dan sebagainya, semuanya pencetus kepada pengalaman.

Pengalaman bakal mengajar seseorang individu selok-belok kehidupan mendatang. Sesuatu yang tidak dapat didapatkan dengan hanya bersilang kaki di rumah sambil menonton televisyen dan bermain permainan video.


" Demi pengalaman, terimalah pelawaan orang walaupun tidak pernah kita lakukan sebelum itu. Apabila bertemu dengan manusia, galilah corat-coret pengalamannya, kerana itu akan banyak mengajar kita. Maniskan wajah, sapalah salam, berkenal-kenalanlah dengannya!"


Terngiang-ngiang perbualan silam dengan seorang sahabat. Amin namanya, seorang yang peramah, petah bicaranya dan semestinya hebat dalam menangkas hujah. Seorang bakal peguam syarie gamaknya.

"Ana tidak pernah menjadi moderator dalam Bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi orang Melayu Kelantan macam kita. Tapi, ana terima juga. Dan tanpa segan silu, ana cakap awal-awal kepada para hadirin, ana akan berbahasa campur, Melayu tambah Inggeris tambah Kelate!"


Deraian ketawa memecah keheningan malam di sebuah marhalah di Taman Ilmu dan Budi, medan UIA Gombak. Hebat...

Terdetak rasa kagum di hati saya. Saya tiada pakej yang sang sahabat miliki. Tetapi saya mulai belajar mencuba. Kekuatan berkomunikasi dengan manusia, saya pelajari daripadanya. Mencari pengalaman dan mengutip ilmu-ilmu berharga dari sumur pengalaman insan-insan lain, waima sesiapapun individu itu.


Trip Pulau Jawa

Rencananya sudah lama pasang kaki ini mahu melangkah mencabar dunia luar.

Alhamdulillah, ketika ada luang waktu dan ketika, saya dan beberapa orang sahabat berkelana seantero Pulau Jawa.

Sumedang, Cirebon, Tegal, Lowongan, Semarang, Jepara, Pekalongan , Surabaya dan Malang sehinggalah kembara 6 jam feri merentas saujana Laut Jawa, menuju Pulau Karimun Jawa.

Berbagai aksi diterokai.

Memanjat gunung, melihat terbitnya matahari, bermain dengan ikan jerung, melihat lumba-lumba di lautan lepas secara langsung, aktiviti snorkelling dan sebagainya.

Semuanya menambah pengalaman di sanubari akal. Sujud syukur atas kesempatan yang dianugerahkan Ilahi.


Pasutri Penunggu Pulau

Pulau Karimun Jawa memang mengasyikkan. Boleh cuba dilihat komentar teman sekelana Amad di laman penulisannya di www.amadanaksoleh.blogspot.com.

Agak tertarik untuk berkongsi sesuatu.

Sewaktu merentas pulau-pulau sekeliling, hentian persinggahan makan tengahari kami adalah di sebuah pulau.Pulau Griyang namanya..

Subhanallah, antara pemandangan terbaik yang pernah terpandang dek sorotan mata.

Dalam bersukaria, terbersik dalam hati , kenapa banyak pula ayam-ayam kampung berkeliaran sesuka hati di pulau itu.

Siapa pemiliknya?

Takkan la ayam-ayam itu berenang dari tanah besar.Sesuatu yang tidak logik dek akal.

Tertanya-tanya..

Namun, persoalan itu terjawab tidak lama kemudian.

Rupa-rupanya, pulau kosong itu tetap berpenghuni.




Sepasang suami isteri menginap 24 jam , bekerja sebagai penunggu pulau, melayani para pelancong seperti kami, datang bersinggah tandang.Sang pemilik pulau menggaji mereka.

Sang suami Pak Dahlan namanya, orang Madura.

Sang pendamping setia ,Ibu Muhaya jolokannya kepada kami. Sang isteri berketurunan Jawa.

Beza kaum dan adat, tetapi di Pulau Griyang mereka bermuafakat.

Hanya sebuah pondok usang sebagai tempat perlindungan dari teriknya mentari dan basahnya hujan.Sebuah pondok usang, di sebuah pulau terpencil dari khalayak insan, di mana kegelapan malam sering menyelubungi. Masakan tidak, sumber tenaga elektrik tidak terduga dek fikiran. Hanya sumbu pelita ayam sebagai bekal, pemberi cahaya.


Peristiwa Solat

Melancong-melancong juga, tetapi solat tetap tidak melencong. Harus istiqamah..

Badan basah kuyup, berhempas di pantai.Ditambah lagi dengan pasir-pasir memutih yang melekat di badan.

Solat tetap mahu dikerjakan.

"Permisi bu..Kiblatnya arah mana?"

Saya bertanya kepada Ibu Muhaya.Dia menjawab sekilas sambil kami mengebas-ngebas diri, mencari tempat solat yang sesuai.

Melihat kami termundar-mandir mencari tempat bersujud, si ibu menawarkan pondoknya.

Menerima dengan tangan terbuka, kami mengikuti. Walaupun terselit segan dengan keadaan pakaian yang berserabut pasir lagi basah, terdetik kekhuatiran bahawa nanti kami akan memalitkan kotor kepada geroboknya.

Dua sejadah tersedia.

" Ini sarungnya(kain pelikat). Mahu juga kaos (baju) tidak? Pasirnya penuh, basah lagi!"


Sungguh peramah dan berbudi sang ibu.Terima kasih kami haturkan(berikan) kepada sang ibu.


" Seharusnya ibu yang berterima kasih. Datang kamu di sini, memberi kami rezeki dariNya!"


Mulus jawapannya.

Bergiliran solat kerana tempat yang terhad. Saya menyempatkan diri berkenalan dan bertanya susur galur kehidupan mereka berdua. Perkongsian yang menarik untuk diteliti dan diambil teladan.Suatu ibrah dalam kehidupan.

Bukanlah ilmu perubatan yang mereka ajarkan, tetapi ilmu buat diri dalam kelana hidup, memberi tafakur kepada diri yang terlena selesa.

Pak Dahlan, Ibu Muhaya, mereka bukan siapa-siapa. Wajah mereka tidak masyhur dikenali seantero dunia.

Mereka bukanlah pasangan penghias kaca televisyen seperti Bunga Cinta Lestari (BCL) dan suaminya Asyaf Sinclair.

Tetapi, pasangan ini sangat bererti lagi bermakna. Mungkin tidak kepada dunia, tetapi kepada Pemilik Dunia. Sesuatu yang jauh lebih bererti..


Julaibib Versi Pulau Griyang

Dia hidup di zaman Rasulullah.

Wajahnya hodoh, berkulit gelap, dipandang hina warga jelata.Insan yang tidak memiliki apa-apa.Sudahlah hodoh, papa kedana pula..

Sebuah pakej lengkap kenistaan di mata manusia.

Tetapi dia juga Muslim setia, tetap ke medan jihad, menyahut panji yang diperjuangkan Rasulullah.

Usai peperangan, Rasulullah bertanya..

" Siapa yang tiada di sini?"

Mata baginda melingas ke sana sini, seperti mencari seseorang.

Sahabat-sahabat menjawab satu persatu, nama para syuhada' yang telah mendahului.

"Siapa yang tiada di sini?"

Mati kutu para sahabat. Sudah semuanya mereka sebutkan.

" Tetapi aku tidak melihat Julaibib!"

Julaibib, suatu nama yang dipinggirkan kerana betapa tidak pentingnya dalam kehidupan menyebabkan manusia sekeliling tidak mengingatinya.

Rasulullah mencari-mencari gerangan lelaki.

Sekujur tubuh dengan penuh tusukan pedang dan goresan luka, dipeluk dan digapai sang Rasul. Tangisan syahdu junjungan mulia memecah suasana.

"Sesungguhnya saksikanlah bahawa aku redha kepadamu dan kamu redha kepadaku!!"

Nama Julaibib menyejarah usai kematiannya. Pekerjaan yang ikhlas, kerana Allah, ternyata lebih dilihat dan dihargai olehNya.

Penghuni langit menangisi kematiannya, menemani tangisan pilu kekasih Allah, Muhammad Al-Amin. Ternyata pandangan fizikal bukanlah apa-apa, taqwa hati itu mizan timbangan di sisi Ilahi.

Dan di Pulau Griyang, ku temui pasangan 'Julaibib'.

Sebuah simfoni cinta hero tidak didendang......


4 ulasan:

MawarMaSs berkata...

Subhanallah..Jayyid Jiddan..suatu catatan yang menarik dan bermanfaat..insyaAllah, moga2 kita akan menjd sepeertinya..

Teruskan menulis..

Ahmad Zulfahmi berkata...

MawarMaSs~

Alhamdulillah..

Insyaallah inspirasi kita bersama =)

afini rozana berkata...

Subhanallah =) penulisan yang rapi, kreatif,jelas dan padat.
saya menangis tatkala membaca bingkisan pengalaman fahmi. juga cemburu kerana tidak berpeluang mengembara sepertimu. nway,keep it up! Semoga sentiasa dalam lindunganNya =)

Ahmad Zulfahmi berkata...

Afini Rozana~

Salam ukhti.. Lama tak dengar khabar? last sekali jumpa pun sewaktu kongres PKPMI tahun lepas..

Terima kasih atas komentarnya..

Semoga berjaya COAS ye :-)