Jumaat, 9 Julai 2010

Sing Hade Hate (Berbaik Hatilah), versi Abah Iwan




Menjejak kaki pertama kali di bumi Merah Putih, perasaan saya berbaur.

Antara semangat mengejar cita-cita, rindu pada bonda ayahanda, dan juga sedih kerana hanya kelananya ke bumi seberang. Bukan di tanah Kinanah, bukan di bumi piramid, juga bukan di negeri empat musim dan sebagainya..

Tidak dapat dinafikan, pada awalnya saya memandang rendah kemampuan Indonesia, sama ada dari segi sistemnya dan juga perilaku tatacara kehidupan warganya.

Korupsi, tidak sistematik, menyusahkan hidup dan sebagainya. Itu titik kontra yang tidak dapat tidak, perlu dihadami realitinya.

Tetapi di sebalik semua kebobrokan manusiawi, terselit banyak agenda positif yang direncanakan Tuhan untuk hambaNya.


Sebuah Perkhemahan

Sewaktu memegang tampuk Yang Dipertua persatuan pelajar, saya dan teman seperjuangan, Hafiz aka Yoyo, kami diminta untuk menghadiri sebuah perkhemahan yang direncanakan khusus oleh fakulti, untuk semua peringkat sektor. Pensyarah, pemimpin pelajar dan juga karyawan (pekerja pejabat) fakulti, semuanya diundang khas.

"Alamak, kena ponteng kelas 2 hari lagi!Adoila...."

Saya mula melepaskan rungutan.

" Ni belum tambah lagi dengan seksa bekerja dengan orang Indonesia!"

Qalbu terus menelurkan rungutan, meluap-luap.

Tempat yang dituju adalah Situ, Lembang. Sudahla jauh dari bandar, perjalananan ditambah dengan meredah hutan bukit bukau selama hampir 2 jam. Hampir tercabut lutut dibuatnya.





Hawa dingin di siang hari sedikit membantu. Dilaporkan suhu pada waktu malam di tapak perkhemahan kami boleh mencecah serendah 14 darjah.Boleh hypothermia dibuatnya. Ada kes sebegitu dilaporkan sebelumnya, cukup mencuakkan kami.

Sesampainya di sana, sebentar melepas lelah dan lenguh, bifaq (khemah) berkumpulan terpaksa didirikan. Satu khemah empat orang.

Hanya tali, pisau dan beg tidur sahaja yang dibekalkan. Mulalah kelam kabut semua dibuatnya. Habis batang pokok dipatahkan, daun pisang diincar sebagai modal membuat atap dan bumbung. Lebih merunsingkan, dada langit dipenuhi awan berarak kelabu.

Sudah jatuh ditimpa tangga lagi.

"Habis basah kuyup aku."

"Khemah tak siap lagi. Atap pula tiris bocor."

Jam tangan pula rosak, air masuk!"

Baju hujan bagi, tapi serap air, apa kejadah!"

"Kaki tangan semua dah ketar-ketar, sejuk!"

Seranah hati sudah bermaharajalela.

Menyesal tidak sudah datang ke Situ.

Dengan hati yang kepanasan, fizikal yang menggigil , suatu laungan dari kejauhan kedengaran.

Komandan kem memberis isyarat darurat, semua harus kembali ke khemah utama, milik urusetia.

Dan di sinilah segalanya bermula.


Bertemu Abah Iwan




Orangnya kelihatan tegas, dengan berperawakan kepala yang botak.

Itu gambaran pertama saya kepadanya.

Iwan Abdul Rachman namanya, lebih mesra disapa dengan nama jolokan Abah Iwan.

Hati saya sudah terselimut benci tersesat ke dalam belantara sebegini. Pantas perasaan itu teralih kepada kem komandan. Siapa namanya tadi..

Abah Iwan katanya.

Nasib menyelamatkan kami.

Malam pertama syukur, khemah masih layak dipakai, walaupun ada sedikit bocor.

Malam kedua, hujan turun mencurah-curah, lebat menggila. Habis khemah kami rosak, malahan ada yang roboh.

Sepakat semuanya, jika kami dipaksa bermalam di dalam khemah itu, kami akan bangkit memprotes. Ini kerja gila namanya, mahu memperjudikan nyawa di dalam lebatnya hujan dan dinginnya sang malam di Situ.

Mujurlah penempatan malam itu dialihkan kepada khemah urusetia.

Sedikit demi sedikit, petualangan di sini mula merembeskan energi positif.

Abah Iwanlah puncanya.




Hormatlah Manusia

" Belajarlah dari alam"

Seringkali ayat ini diungkapkannya.

" Tutup mulutmu dan dengarlah suara alam. Nescaya anda akan belajar!"

"Ketika alam berbicara, diamlah kamu dan fokuskan dirimu padanya!"
"Rumput dan dedaunan sepanjang waktu memberi kita oksigen untuk bernafas, Hanya kita tidak melihatnya dan tidak menghargainya. "

" Kita tidak memberi hormat pada alam!"

Saya terkesan dengan pokok bicara Abah.

Kembali pada realiti, katanya..

" Berapa ramai antara kita sewaktu orang lain bicara, kita juga mahu bicara?"

Saya terkejut, terkena batang hidung sendiri.

"Juga boleh dilihat, para panelis forum umpamanya, sedang seorang bercakap, yang berdua lagi ngobrol(bercakap) berdua!"

"Mereka tidak menghormati si pembicara!"

Saya termenung panjang.

Benar sekali katanya.

Saya juga benci sewaktu saya sedang bercakap, ada yang bukan sekadar berbisik-bisik tetapi bercakap dengan suara yang kuat di hadapan.

Saya juga tidak suka orang yang bahasa badannnya endah tidak endah dengan percakapan saya.

Sibuk bermain telefon bimbit, diputar-putar, dibuka-buka dan apabila pesanan ringkas masuk ke kotak masuk, lantas ditekan-tekan skrin kekuncinya. Segera mahu membalas.

Apabila kita mendengarkan orang, nescaya kita akan belajar. Inilah POWER OF LISTENING.

Sebagai TANDA HORMAT, kita akan mendengarkan perkataan orang lain, waima siapapun dia, sama ada si tukang sapu jalan, ataupun pegawai-pegawai tinggi di Putrajaya. Semuanya manusia dan mereka layak untuk dihormati.

Si tukang sapu bukan berharap ditanya khabar setiap hari, dijamu makan sentiasa, cuma anggaplah dirinya seorang manusia, layak untuk ditegur dan didengari.

Si pegawai tinggi seringnya hanya suka mengomentari dan menjauhi mendengar omongan orang lain. Hormatilah manusia, kerna mereka punya hak untuk merasakan diri mereka manusia.


Antara Karya Abah Iwan

Bahasa Sunnah

Serius sewaktu mendengar butiran mutiara dari Abah Iwan, saya cukup-cukup terharu.

Tiada satupun hadis yang disenandungkan tetapi semua pokok isinya melambangkan peribadi Rasulullah.

Yang miskin, yang kaya semua tetamunya.

Cantik seperti Musaab sahabatnya, hitam legam seperti Bilal Bin Rabah juga sahabatnya. Kedua-dua sama dicintainya.

Anak-anak kecil turut dilayani dengan saksama. Hasan, Husain bermain-main di sekitar baginda sewaktu solat, malahan sujudpun terpaksa dilamakan.

Rasulullah menadah telinga mendengar masalah dan sungutan para sahabat. Wajahnya cerah, penuh senyuman keikhlasan.

"Wahai Rasululllah, aku punya masalah.Bolehkah.."

"Ya Nabi Allah, aku merasakan diriku munafiq. Saat bersamamu ku rasa imanku meningkat. Tetapi saat bersama keluarga, ku rasa diriku terumbang-ambing, imanku tercabar!"


Sahabat datang bergulat duka, pulang berkarung gembira.

Ummah merasakan mereka dilayani, mereka didengari dan mereka sebahagian antara satu sama lain.

Pokok bicara adalah KITA, bukannya AKU..

Rasulullah HEBAT MENDENGARKAN,dan HEBAT MENGHORMATI.

Dan di jalan ini, diri ini cuba mengikut jejakmu. Perlahan-perlahan walau ku tahu ku sering khilaf dan terlupa. Ciri diriku manusiawi.

Terima kasih Abah atas SUNNAH ini..

Hatur Nuhun..






“Beberapa orang hadir dalam kehidupan kita dan dengan cepat pergi.
Beberapa orang menggerakkan jiwa kita untuk menari.
Mereka menggugah kita pada sebuah pengertian baru dengan bisikan kebajikan.
Beberapa orang membuat langit menjadi begitu indah.
Mereka tinggal dalam kehidupan kita beberapa saat.
Meninggalkan jejak dan kesan dalam hati kita.
Dan kita, tidak pernah sama.”

~Abah Iwan, 12 May 2010

2 ulasan:

sengal ke aku? berkata...

Blog yang sarat dengan ilmu..

Ahmad Zulfahmi berkata...

sengal ke aku~

Takda la sarat sangat.Biasa2 je..

Harap2 ada manfaat yang boleh digali bersama :-)