Jumaat, 16 April 2010

Merintis Jalan ' Terkesima'...

mereka yang 'terseksa' :-)






Pengalaman berorganisasi bukanlah segudang.Hanya sekelumit, tetapi biarpun setitis, jika bermanfaat buat sesama, elok untuk dikongsikan.

Saya belajar sesuatu.

Saya seorang yang mengejar kesempurnaan dalam membuat program dan kerja. Apa yang saya fikirkan betul dan terbaik, saya akan cuba merealisasikan dalam dunia realiti.

Atas sebab itu, saya dahulu jenis yang suka buat kerja sendiri-sendiri. Spesifikasi kualiti hanya kan terpuas hanya dengan bikinan dan garapan air tangan sendiri. Dengan izin Tuhan, selalunya berjaya. Tetapi alhasilnya adalah kepenatan sendiri.Lelah..

Perlahan-lahan, saya belajar memberi tugas dan mempercayai orang. Peranan diberikan kepada rakan seperjuangan. Saya tidak akan memaksa dan menyuruh dengan tegas. Cara saya, mendokong dari belakang, menepuk bahu menanyakan beban, dan memberi empati dalam memecahkan pokok masalah..Spesifikasi kualiti yang saya mahukan akan selalu terpenuhi walaupun acapkali ada ketidakpuasan hati terdetik..

Saya tidak puas.Saya kurang gembira. Tetapi saya cukup sedar, dengan membahagikan tugas, dan berkongsi secebis pengalaman dan dorongan, insan-insan yang diberikan tanggungjawab tadi mula bergerak untuk belajar, menimba pengalaman..


Kenapa?

Mungkin sewaktu saya wujud, masih aktif, semua benda akan tertata kemas, elok, mengikut kualiti saya mahu.

Pandanglah sedikit jauh ke hadapan..

Andai hanya saya yang membuat dan melakar kinerja, hanya saya yang tahu dan ahli. Memberi ruang dan peluang kepada yang lain, pasti tidak sama gubahan sendiri.

Tetapi yang pasti, detik gubahan pertama itulah yang akan mencorakkan orang lain. Dari teruk, menjadi baik. Dari baik, menjadi lagi baik..Dan lagi baik, bahkan mungkin lebih berkualiti daripada buah tangan saya.

Semuanya saya rencanakan.Dan apa yang saya mahukan, saya akan pastikan menjadi realiti, bukan mimpi fantasi..


Terpukul..


" Tidak penat?" tanyaku kepada Ahmad.

Sambil tersenyum lirih, dia menjawab..

" Capek (penat) akh! Tetapi inilah hidup kita!!"

Ahmad adalah bekas Presiden Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) universiti tempat saya bernaung. Selaku ketua pelajar Malaysia pada waktu itu, saya bertemujanji dengannya, ada beberapa hal mahu dibicarakan bersama.

" Cape-capek sebegini, ibadahnya gimana(bagaimana)?" tanya saya,seakan-akan anak kecil.

" Harus istiqamah akh. Tilawah Al-Quran harus masih sekurang-kurang sejuzu' sehari. Kalau ga sempat di awal hari, sebelum tidur harus tuntas(selesai)!!" katanya tenang, senyuman tidak lekang dari belahan bibirnya.

Saya terkesima. Masakan benar.. Dalam keletihan baru selesai program di bandar Bandung, dia berkejar untuk bertemu saya di Jatinangor. Sejam perjalanan pada waktu petang hari, lebih-lebih lagi dalam kemacetan ( kesesakan lalu lintas).

Saya tersenyum. Hati tertunduk malu..

" Harus jaga hubungan denganNya.Kita kan mampu berusaha, tetapi DIA berkuasa menentukan!!"

Suatu kejadian berbeza..

Pernah suatu ketika, saya dan beberapa teman, merangka program untuk memanggil Kang Abik atau namanya Habibur Rahman As Syairazy untuk datang, memberikan input dan perkongsian dengan kami di Bandung.Novel fenomenanya pada waktu itu, AYAT-AYAT CINTA, ternyata meletup di pasaran.

Kerjasama dibuat dengan sahabat-sahabat dari Fakulti Psikologi.Cuma, nasib tidak menyebelahi, program tidak berjaya dilaksanakan kerana masalah teknikal yang tidak dapat diatasi.

Desta namanya.Seorang pemuda biasa, pada kacamata pertama saya. Namun setelah beberapa ketika, ternyata bukan sembarangan orang..

Pada waktu itu, saya sudah sangat tertekan. Program yang dirancang, menimbulkan pelbagai masalah.Bertimbun-timbun..

" Kamu ga (tidak) stress?" tanya saya dengan kepala penuh serabut.

Soalan saya hanya berbalas senyuman.

" Kita merancang, tetapi ALLAH sebaik-baik perancang. Jaga qiyamulail, tilawah Al-Quran dan sebagainya..."

" Jika kita dekat denganNya, ALLAH pun mudah untuk memberikan apa yang kita mahukan dan rencanakan!!"

Kata-katanya bersahaja tetapi cukup menusuk dalam, jauh ke lubuk hati.Saya merenung diri..


Tawakal...



Di sebalik kelabunya bumi Merah Putih dengan maksiat dan kejahilan peribuminya, rupa-rupanya ada 'bintang-bintang' yang mulai memancarkan cahaya, perlahan-perlahan.Bak bulan lolos dari lindungan gemerlapan awan gelap..

Saya belajar daripada mereka.

Usaha, rencana kena kuat, sedaya upaya.

Tetapi jangan sesekali lupa PENGHARAPAN kita padaNya.

Rapat seorang anak dengan sang bunda, lahirlah kasih sayang berhamburan.

Erat belaian seorang suami kepada isteri, nescaya rukun damailah hingga ke anak cucu.

Begitu juga, seandainya,dekat kita denganNya, maka lebih senanglah hajat kita mahu dimakbulkan.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang "Aku" maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran ( Al Baqarah: 186


Mari kita rintiskan denai itu, ayuh melangkah...









Tiada ulasan: