Khamis, 14 Januari 2010

Demi Sebuah Kebaikan,Ujian Kan Menimpa..




Islam mengajar penganutnya agar mencari yang terbaik dalam setiap perkara.Tidak kisahlah dalam bab duniawi ataupun mengejar mati demi akhirat..



Dalam mencari yang terbaik, ianya tidak sesenang makan kacang atau kuaci.





Yang pipih takkan datang melayang,

Yang bulat takkan datang bergolek.





Usaha Kuat,Azam Teguh



Untuk mencapai kejayaan,usaha yang kuat dan keazaman yang teguh diperlukan semestinya.



Mahu menjadi seorang doktor yang berjaya,5,6 tahun diperlukan tempohnya.Doktor yang bagus pula diandalkan usaha untuk belajar yang bersungguh-sungguh.Menelaah pelajaran,sering bertanya guru,dan sebagainya..



Banyak perkara perlu dikorbankan.Masa untuk berseronok,tenaga dan wang.Semuanya mengalir deras demi mencapai cita-cita..





Pasangan Hidup



Mahu mencari pasangan hidup yang terbaik?



Itu impian kasih semua orang.



Seorang perempuan pasti mendambakan seorang lelaki yang baik,soleh,mengambil berat kebajikannya,bertanggungjawab dan penuh kasih sayang lagi romantik.



Seorang lelaki pula semahunya mengimpikan seorang perempuan solehah,penyayang,hormat orang tua,pandai masak dan sebagainya.



Merpati sejoli itu yang dicari setiap insan fitrah.



Tiada yang mahu berteman mesra sehidup semati dengan pasangan yang jelek,memandang wajahnya sahaja sudah menimbulkan rona benci di hati.



Hidupnya persis neraka dunia.





Tidak Mudah



Semua boleh bermimpi indah,tetapi tidak semua sanggup berusaha mendapatkan mimpi tadi menjadi realiti.



Kerana apa?



Kerana ini bukanlah semudah fantasi bertukar realiti seperti tuntasnya menjadi seorang puteri raja seperti Amy Mastura di dalam filem Puteri Impian.Tidak semudah itu..



Usaha...



Untuk mendapatkan pasangan hidup yang terbaik,kita perlu berusaha sebaik mungkin.



Mulakan dengan diri kita terlebih dahulu.



Dambakan seorang isteri solehah,jadilah terlebih dahulu seorang lelaki yang soleh.Solat 5 waktunya adakah jamaah di masjid, akhlaknya adakah mencerminkan seorang muslim sejati dan seterusnya..



Dan proses menuju kebaikan tidak selalunya dibentangkan dengan jalan karpet merah.Boleh sahaja kita dibentangkan dengan hamparan mawar merah di sepanjang laluan itu..



Baunya cukup harum mewangi,warnanya membangkitkan aroma seri.Tetapi awas,duri tajamnya boleh melukakan tapak mulus sang kaki..





"Sesiapa yang Allah inginkannya kebaikan,nescaya dia akan diuji"





Pesan Rasulullah amat benar.



Seringkali manusia alpa dan tewas dalam perjuangan dalam menempuh badai ujian dariNya.Walhal boleh sahaja ujian itu akan menaikkan darjat sang hamba andai sang hamba berjaya melepasinya dengan saksama.



Penat lagi melelahkan.



Kecewa membawa putus asa.



Sedih berkembang duka lara.



Marah menguasai dada.



Insan yang tidak sabar cepat akan bersangka buruk dengan Tuhan,menyangkakan bahawa Tuhan itu zalim amat.



Masakan mungkin seorang yang taat beragama,soleh perwatakan,duji dengan ujian yang maha berat sedangkan manusia pelaku maksiat meminum arak,berpeleseran dengan bukan mahram,terus dibiarkan tenteram menikmati adegan mungkar lagi dilaknat.



Astagfirullah..



Astagfirullah..



Astagfirullah..



Kita ingat kembali kepada RasulNya,makhluk paling disayangi sepanjang jagat kemanusiaan.



Sanggup Tuhan membiarkan RasulNya patah gigi berdarah-darah di medan Uhud,tergamaknya Tuhan melihat rasulNya dilempar batu,dinista hina di kota Thaif..



Kenapa ini terjadi?



Berat mata memandang,berat lagi menggalas bebanan.



Ini ujian Tuhan kepada hambaNya yang tersayang.Naik darjat sang hamba ketika sabar dan percayanya kepada Tuhan di saat-saat sebegini.



Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..







Teladan Ketika Cinta Bertasbih



Bukan mahu membicarakan KCB di sini.Cuma apa yang patut dijadikan ibrah teladan di sini adalah perilaku watak protagonisnya Abdullah Khairul Azzam yang dilakonkan oleh Kholidil Asadil Alam..



Kekecewaan berulang-ulang.



Wanita idamannya telah dipetik sahabat sendiri.



Pinangannya pula ditolak dari satu menjadi dua,dua menjadi tiga.Dan tiga menjadi empat..



Kecelakaan motor menimpa,lantas si ibunda tercinta melambaikan salam pada dunia,pergi buat selamanya.



Hampir putus asa.



Rupanya ada sinar gemerlapan di hujung pencarian.



Perempuan idaman,dengan takdir Ilahi,selamat diijabkabulkan dengannya.



Ini cerita seorang manusia bernama Abdullah Khairul Azzam.



Sesiapa yang menonton pasti teruja mendapatkan pasangan hidup yang sesolehah Anna Althafunnisa,si bidadari dunia.



Tetapi inilah namanya proses.Proses tidak dapat diselesaikan dalam 2 jam sepertimana kita menonton wayang gambar kisah si penjual tempe dan bakso di Universiti Al-Azhar tadi..



Proses itu memakan masa.Ada yang lama dan mungkin juga ada yang lebih sebentar jangka penantiannya.



Dan insan yang mengikuti proses sedemikian harus sabar dalam menunggu detik untuk menuai hasilnya.Tidak dapat di fana dunia,kebaikan akhirat itu akan menjadi miliknya.



Kerana kebaikan yang dipinta,maka sabarlah.



"Memilih yang terbaik itu senang,tetapi proses untuk mendapatkannya tidak mudah,bakal banyak yang terpaksa dihadapi.Kerana kebaikan yang dipinta.." mutiara nasihat seorang sahabat seperjuangan.









Pesan Mama



"Kita boleh merancang tetapi perancangan yang terbaik adalah padaNya.Dia paling mengetahui apa yang terbaik untuk kita walaupun kita merasakan sebaliknya"suatu malam,mama berpesan pada saya.



Nasihat seorang bonda selalu menenangkan hati yang gundah gulana,mendamaikan perasaan.



Itulah intisari ayat Al-Baqarah : 216..



Dan di sini jugalah muncul istilah doa dan tawakal kepadaNya.



"Wahai Tuhan Yang Maha Hidup,Wahai Tuhan Yang Berdiri Sendiri ,dengan rahmatMu aku minta pertolongan ,perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekalipun sekejap mata"

HR Al-Hakim


Kejarlah sebuah kebaikan walaupun badai datang melanda,ingatlah kita masih punya Tuhan!!














1 ulasan:

Al-Tuah Al-Shahab berkata...

salam,
mcm ssh je nk dpt dream girl,
Tuah redha je sapa2 bakal Mrs.Tuah,
dah kawen nnti tau lah nk didik,
buat masa skrg didik diri dulu..

p/s: anda sprt dah ready, tgh cari calon ke? bleh je tolong..hehe