Jumaat, 3 Februari 2012

Kenapa Abah 'Kedekut'?



Belum.

Belum..

Ditoleh lagi.

Juga belum.

Toyota Corolla merah itu belum kelihatan.

Abah pemiliknya, abah juga pemandunya.

Saya masih ingat, dari darjah 2 hingga 4, yakni sehingga saya diizinkan berbasikal ke sekolah, Toyota Corolla merah itulah kenderaan rasmi saya dan adik-adik.

Menunggu kelibat Abah dan kuda merah itu muncul dari pelosok jalan.Abah dari sekolah tempatnya mengajar dengan sekolah saya dan adik-adik, berjarak sekitar 5,6 kilometer.

Kereta itu dibeli ketika Abah masih bujang, sewaktu menjadi cikgu di Jengka, pada awal 1980-an.Dengan hasil titik peluhnya sendiri.

Sudah usang.

Pendingin hawa tiada.Tingkap juga manual.

Lebih-lebih lagi sendat dengan kami 6 beradik.

Seringkali, saya selaku anak sulung protes dari belakang kepada mama.

Berdepan dengan abah, jangan sekali.

Watak garang abah, membuatkan saya lebih mudah mencurahkan isi hati lewat perantaraan mama.

" Ma,belilah yang baru!"

"Malula naik ramai-ramai.Kereta buruk lagi!"

Mama hanya tersenyum.

Faham benar dia dengan watak sang suami.

Bukan senang memujuk abah.Orangnya keras kepala.

"Duit ada, kerja cikgu lagi.Beli je yang baru!"

Tekanan demi tekanan dari keluarga, dekat dan jauh.

Bukan Abah tidak mengerti, bukan Abah tidak mendengar.

Cuma dia dan prinsipnya.Keras kepala itu menjadikannya tegar.


Faham

Saya sekarang sudah berusia 25 tahun lebih.

Jiwa seorang abah,membentuk fikiran jatidiri saya.

Anak berusia 9, 10 tahun tidak mengerti.

Remaja belasan tahun, belum ampuh pemahamannya.

Sekarang saya mafhum, tanpa abah memberitahu.

Gerak-geri, tindak tanduk abah, silat tarinya berpencak, saya faham.

Bukan kerana tidak mampu dahulu, bukan kerana tidak mahu.

Naluri seorang lelaki,seorang abah, pasti dia mahu memberikan yang terbaik buat isteri dan anak-anaknya.

Tiada lelaki yang tidak mahukan kereta yang memuatkan seluruh isi keluarganya.Bersantai.

Harrier, Alphard semuanya mengidam.

Saya percaya abah juga begitu.

Abah juga mengidam.


Fikiran Seorang Abah

Abah tidak suka berhutang.Malahan, seingat saya, abah tidak pernah berhutang.

Biar susah, biar sederhana makannya, asal hidup senang, tidak terbeban hutang yang sengaja.

" Andai aku beli kereta baru, aku ada hutang.Wang banyak yang habis.Sedangkan anak-anak sedang membesar pesat.Semuanya memerlukan wang!"

"Kelas tambahan, baju seluar, kasut, buku-buku, tuisyen harus, wajib. Kereta Toyota tu masih mulus.Masih sanggup mengisi anak-anak kecilku!"

"Kereta baru boleh ditangguhkan seketika!"

Monolog buatan saya.Saya percaya inilah monolog Abah, belasan tahun silam.

Saya anak kecil, tidak rasional.Pencak tarinya kaku, fikiran hanya mampu mengais sejengkal.

Sedangkan Abah, akal fikirnya ke hujung dunia.

Pabila anak-anaknya sudah masuk ke jenjang mahasiswa, mendapat bekalan biasiswa, kapasiti Toyota Corolla juga sudah tidak mampu memuatkan kami berenam, barulah kenderaan baru dibeli.

Secepat mungkin Abah cuba melunaskan hutang ansuran.

Kerna pada Abah, hutang itu beban.



Menghukum

Anak kecil itu terlalu cepat menghukum orang tuanya tidak menyayangi dirinya nan satu.

Padahal orang tuanya, siang malam memikirkan tentang diri si anak.

Mahu jadi apakah dia, kerja rumahnya bagaimana.Makan pakainya cukup atau tidak...

Hari ini, perasaan bersalah mencengkam diri.

Kasihan Abah digelar pelbagai.

Kedekut.Jimat tidak bertempat.

Kerna daku mulai berfikir bagaimana seorang Abah berfikir.

Allahu..

Maafkan anakmu Abah.

Semoga Tuhan meredhaimu dengan Syurga di akhirat kelak.

Tidak terbalas jasamu olehku...



2 ulasan:

madziani berkata...

Perlu jadi 'kedekut' untuk masa hadapan. Terima kasih. Saya buntu bagaimana untuk menasihati seorang sahabat, dan tulisan ini memberi saya idea.

jzkk

Unknown berkata...

madziani~

Semoga berjaya dengan usaha anda ya..

Moga-moga tulisan ini ada manfaatnya ^__^