" Jom memanah!"
Tiba-tiba, Dr Sullifan (bukan nama sebenar) mengajak.
Kami dalam rangka menjaga pos kesihatan, agar kesihatan para peserta perkhemahan tertata dengan elok.
Dan di sela-sela para peserta keluar bersenam menuruni denai, memanjat bukit, waktu yang luang, jangan dibuang sia-sia.
Memanah
Rupa-rupanya, tersedia untuk peserta peralatan memanah yang lengkap.
Peluang keemasan.
Bertahun sudah diri mengidam memperagakan aksi Robin Hood dan Legolas.Selama ini, hanya di kaca televisyen dan permainan imaginasi akal yang menyantuni diri.
" Ajarkan anakmu berenang,menunggang kuda dan memanah"
Kalam Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menceritakan.
Teknik mendidik anak dengan keterampilan di dalam bidang kecergasan fizikal.
Tidak hairan apabila kita melihat dalam sirah, para sahabat semuanya pakar dalam bidang pertempuran.Fizikal mereka telah dipersiapkan semenjak mereka masih hijau.
Konteks Kontemporari
Berenang sudah pernah walau hanya mampu bertatih berkuak dada.Berlumba seperti Phelps, Ian Thorpe atau menjadi jaguh negara seperti Lim Keng Liat, itu hanya gurauan di minda.
Setidaknya masih dalam proses, dan ia sudah bermula.
Menunggang kuda..
Pernah sekali dua, tidaklah seprofessional ekuin-ekuin negara seperti Qabil Ambak, mahupun Sultan Mizan, Sultan Negeri Terengganu Darul Iman.
Setidaknya pernah mencuba, dan teorinya sudah melekat.Cuma perlu diasah keberanian, dan teruskan berlatih.
Zaman berubah, teknologi meroket tinggi.
Pasti tidak terfikir di benak Rasulullah dan sahabat-sahabat, akan muncul senapang pelbagai jenis mengalahkan busur dan anak panah milik mereka.
Tunggangan mereka yang paling laju, kuda, boleh dikalahkan oleh pelbagai kenderaan.Motor, kereta, kereta perisai, kereta kebal, amfibia sehinggalah kepada pesawat-pesawat terbang.
Namun, intinya tetap sama.Rasulullah dan sahabat berpaksi menyiapkan diri dengan persiapan fizik yang terbaik.
Teknologi terbaik mengikut zaman, kata mudahnya.
Mengajar anak menunggang kuda masih lagi relevan, berenang juga sama, memanah juga tidak ketinggalan.Semua sukan ini masih dipertandingkan di Olimpik, dan yang pasti, sukan-sukan ini diakui di seluruh dunia ini.
Beraksi
Tali busur ditarik perlahan.
Anak panah ' meneropong' target 6 meter di hadapan.
Wossh...
Meluncur laju...
Dan kena pada sasaran.
Nilai mata 6.
Tidak terlalu buruk bagi seorang yang baru menceburkan diri.
Target itu mempunyai 10 lingkaran, dari yang beerwarna putih bahagian terluar, sehinggalah bahagian paling dalam berwarna kuning, dengan nilai markah 10.
Tersasar dari bahagian putih terluar, alamat putihlah mata.
Fokus
Peralatan yang digunakan masih lagi pertukangan separa professional.Maksudnya, busur, anak panah dan peralatan kecil yang lain dibuat secara tradisional. Bahan asasnya masih kayu.
Di Bandung, Indonesia, sekadar pengetahuan saya, belum ada fasiliti memanah yang dibuka untuk umum.
Masyarakat rata-rata hanya mengenal memanah melalui layar televisyen.
Di Malaysia, memanah sudah memasuki arena komersil.Sesiapa sahaja boleh mencuba untuk memanah.Kompleks-kompleks membeli belah juga tersedia arena memanah, seperti di Sunway Pyramid.
Mudah.
Murah.
Sunnah lagi.
Kredit Hazmanfadzil.com
Jom memanah ^__^
P/S :
Hati-hati sewaktu memanah. Pastikan anda memakai pelindung jari dan pad pelindung di lengan.Kalau salah tekniknya, jari dan lengan boleh lebam-lebam jadinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan