Jumaat, 19 Ogos 2011

JOKI Jaga : Sebuah Jejak Menempa Celaka..




"Rasa malas la nak 'oncall' malam ini, baik aku upah sesiapa yang hendak.Setakat Rupiah 400,000 (sekitar RM 150) kacang je!"

Si A dengan leluasa berbicara melontarkan misi bolos dari 'oncall'.Di Indonesia kalimah 'oncall' lebih identik dengan istilah JAGA.

Tawaran yang dilontarkan si A ternyata lumayan.

" Uishh Rupiah 400,000, banyak tu.Setakat jaga 12 jam, cukup lumayan.Boleh tambah duit poket"

Si B terpikat sakan dengan tawaran menggiurkan.Siapa yang menolak rezeki la katakan.

Begitulah sedikit sebanyak fenomena bak cendawan selepas hujan, yang sering kedengaran di halwa telinga, khas di kalangan mahasiswa perubatan.


Salahkah?

Resmi ada yang menjual, pasti ada yang bakal membeli.Lebih-lebih lagi habuan yang diterima ternyata lumayan buat mahasiswa yang belum mempunyai penghasilan tetap.

'MENJUAL JAGA' atau istilah yang sering digunakan adalah 'MENGJOKI'.

Bagi segelintir mahasiswa yang mewah kehidupannya, yang wang bukan suatu permasalahan, ditambah dengan sindrom kemalasan kronik, mengjoki adalah suatu pilihan yang cukup ideal.

Tidak perlu berpenat lelah, tidak perlu bersengkang mata, tidak perlu pening dengan kerenah pesakit. Syurga sementara di dunia pendidikan perubatan.

Jadi apa salahnya?

Menurut saya, sekadar pandangan diri yang penuh kedaifan ini, fenomena JOKI ini boleh ditinjau dari dua sudut utama.

Pertamanya, sudut agama.Dan kedua, etika perubatan.


Islam dan JOKI..

" Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi!"

Kalam Rasulullah yang dibentangkan kepada sahabat yang khusyuk mendengarkan.

Terpinga sebentar.Ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Lantas ada yang kembali bertanya.

" Wahai Rasulullah, menolong yang dizalimi itu kami sangat mengerti. Tetapi bagaimanakah pula dengan yang menzalimi? Bagaimanakah caranya untuk menolong?"

Sambil tersenyum Rasulullah menjawab.

" Halanglah, cegahlah kezaliman yang dilakukan olehnya!"


Itu sketsa dari abad Rasulullah dan sahabat.


Zalim itu mengikut ulamak maksudnya

" Meletakkan sesuatu perkara bukan di tempatnya yang asal"

Meletakkan sepatu di kepala itu zalim.

Menempatkan topi di kaki untuk berjalan itu namanya juga zalim.

Mencuri yang bukan hak juga zalim.

Melihat yang bukan-bukan di Internet, melihat aurat bukan mahram, juga bererti zalim.

Dan setiap yang zalim itu, berita baiknya adalah DOSA.

Dan DOSA yang menumpuk-numpuk akan mendapatkan 'sebaik-baik' tempat akhir bernama NERAKA.

Namun, apa kaitannya pula dengan cerita joki?

Ya.

Jaga ada gilirannya.Malam ini siapa, besok pula siapa.

Jaga adalah tuntutan atas seorang mahasiswa untuk belajar dengan kontak langsung ke pesakit, diarahkan fakulti untuk belajar nilai tanggungjawab sebagai seorang doktor.

Tatkala rutin jaga diJOKIkan kepada yang lain, inilah namanya sebuah KEZALIMAN.

Kezaliman pada diri, pada masyarakat, bangsa, negara. Paling utama, menentang arahan agama.Menentang arahan Rasulullah untuk tidak berlaku zalim.

Yang menjual jaga itu orang yang zalim.

Si pembeli jaga juga punya palitan zalim.Bukan mahu mencegah yang zalim, tetapi turut sama menggalakkan adegan kezaliman.

Bibit rasuah mula ditanamkan dalam diri si pembeli jaga.

Sudah dapat diagak, kalaulah dengan jumlah yang sedikit pada zaman mahasiswa sudah tergiurkan, bagaimanakah nanti sewaktu bergelar doktor. Sudah tiada rasa taqwa, bahawa Sang Pengarah Di Atas super melihat.

Ingat, tiada yang membeli, maka bakal tiada yang menjual.

Ingat teman, bukan sahaja si peminum arak yang dihukum dosa, malah si pemerah anggur dan penghantar juga dalam gerabak dosa yang sama.

Dan di sini cukup saya kongsikan sebuah potongan tinta Ilahi surah Ibrahim, ayat ke 42.

" Dan janganlah engkau mengira, bahwa Allah lengah daripada apa yang diperbuat oleh orang yang zalim"

Manusia boleh tertipu, insan boleh dibeli, namun pandangan Tuhan tidak sesekali.



Jajarkan ke Tengah
Perubatan dan JOKI...

" Doktor harus tepat waktu, banyak berkorban untuk pesakit. Kalau tidak mahu berdisiplin, jangan jadi doktor"

Begitulah nasihat yang sering terngiang-ngiang di telinga. Nasihat-nasihat dari guru-guru doktor yang banyak mencurahkan pengalaman dan mutiara hikmah dalam menelusuri perjuangan sebagai penyelamat nyawa.

Ya begitulah sinonimya doktor dengan sebuah kedisiplinan.

Sampai dianggap medan perubatan adalah zon tanpa kesalahan.Kerana setiap kesalahan dalam penatalaksanaan bakal memperjudikan nyawa pesakit, nyawa seorang manusia.Insan seperti kita, sama-sama bernafas menggunakan oksigen untuk hidup.

Bayangkan seorang mahasiswa perubatan yang sanggup mengjokikan jaganya..

Bayangkan dalam beberapa tahun mendatang, si dia sudah bergelar doktor, bagaimanakah nasib pesakit di bawah kendaliannya.

Kalaulah si pesakit tahu sejarah kelam hitam di doktor yang suka mengjoki, percayalah pasti langkah seribu si pesakit melarikan diri.

Jaga sahaja sudah tidak dapat diandalkan, bagaimana pula apabila ditanggungjawabkan dengan pesakit yang realiti. Parah jadinya si pesakit.

Demi menjadi seorang doktor yang super baik, jangan sesekali mengjoki. Bukan sekadar pintar dan bijak aspek penilaiannya, apakah nilai di hati juga besar perannya.


Namun..

Lampu merah jangan dilanggar.

Namun, pada keadaan tertentu,lampu merah harus dilanggar.

Ambulans membawa pesakit, bomba mengejar api yang marak, dan sewaktu kita berada di ceruk kampung, pada jam 2 pagi dan tiada kereta yang lalu-lalang, silakan melanggar lampu merah.

Berdisiplin tetapi tidak bodoh, fleksibel tetapi masih di dalam batas undang-undang.

Begitu juga halnya menjual jaga.

Kadang-kadang fizikal sakit, jaga harus digantikan orang. Memberi imbuhan kepada teman yang menggantikan lebih bersifat membalas budi, bukan sengaja mengjoki atas dasar malas.

Begitu juga, kerna terpaksa pulang cuti atas dasar-dasar yang konkrit.Rukhsoh dalam jaga juga ada.

Cuma jangan terlalu sering dan fleksibel, sehingga menjadi tabiat buruk yang sukar diubah. Hakikat yang pasti, mengjoki atau jual jaga tetap suatu kesalahan.

Bukan atas dasar dengki.

Bukan kerana raihan cemburu.

Saya hanya seorang manusia biasa, yang melihat dan mentafsirkan, mengikut prinsip-prinsip yang dipegang diri.

Kerna diri menyayangi saudara dan teman, sedih melihat ada yang terjerumus.

Hanya kerana saya seorang Muslim yang percaya pada kalimah berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Saksikanlah Tuhan.Aku sudah menyampaikan....


Perhatian :

Saya menulis tidak merujuk kepada sesiapa.Hanya berbicara mengenai fenomena menjamur ini di kalangan mahasiswa perubatan.

Anda berhak untuk setuju atau tidak dengan pandangan saya.Semua berhak memberikan pandangan.Cuma pandangan hendaklah diungkap dengan berhemah dan rasional.

Semoga bermanfaat ^^,


2 ulasan:

cahayakehidupan berkata...

syukran atas peringatan yang bermanfaat ~realitinya terlalu banyak kemungkaran yang bertali arus di depan mata ,namun,kita masih belum mampu mencegahnya ..

Unknown berkata...

cahaya kehidupan~

Begitulah resmi hidup..

Semoga ada manfaatnya buat semua :)