Hj Furqan
Jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.Dia yang menentukan siapa, di mana, bila kita bertemu dan berpisah.Berkasih cinta, membenih benci dan suka..Dia yang menakdirkan...
Di Klinik Padjajaran, kembara hidup menemukan saya dengan pelbagai rencah manusia.Yang baik,cuba diadaptasikan dalam diri.Yang kurang baik, cuba direnungkan bersama buat bekal dalam menuju mati.
Sakit Seorang Nenek
Datangnya dengan keluhan tidak dapat menggerakkan jari tangan kiri dan pergelangan tangan kanan.Sakit juga malahan..
"Ketika solat, ibu memaksakan sujud dan rukuk!" kata sang ibu.
Umurnya sudah 66 tahun, dan saya menggambarkan arthritis sebagai penyakit yang dideritainya.
Selepas digali lebih mendalam, sakitnya bukan sekadar di tangan kiri dan kanan.Alhasil akhir, penyakit sang ibu menjadi 4.
Matanya kabur,perutnya sakit, punggungya sakit dan mudah kesemutan.Empati berteras di benak kepala dan diterjemahkan dalam perbuatan lahiriah.Umurnya yang 66 menjadikan sang ibu berpangkat nenek dengan saya.
Lama pemeriksaan fizik dan temubual yang saya jalankan.Dan kami bertemu janji untuk saya bertandang ke rumahnya.Resmi Family Medicine, sesuatu penyakit dilihat dengan pendekatan menyeluruh.
Dan di rumah sang ibu, saya berkenalan dengan seorang lelaki kecil berjiwa besar.
Seorang pesara guru..
Assalamualaikum ibu!
Saya memulakan kalimah tandang.Masuk ke kawasan warga Sunda di Cileles, jauh di atas bukit Cikuda tempat bermastautinnya.
Datang saya bersambut.Kelihatan serba tidak kena pada mereka, apabila melihat saya.Ya, rumah mereka tidaklah mewah.Terselit rasa segan mungkin di hati..Nun di lubuk hati saya, pondok mungil itu mengingatkan rumah nenda di kampung.Irasnya banyak..
Sang ibu tersenyum gembira,bibirnya tidak loket ukiran senyum.Dan di sisinya, sang suami setia mendampingi.Hj Furqon empunya nama.
Sesi temu ramah bermula.Dari struktur keluarga, psikososial ekonomi dan persekitaran, saya bertanya dan bertanya.Dan si ibu dibantu suami menjawab dengan ramah.
Dan entah kenapa.Saya terdetik bertanya tentang kediaman persekitaran mereka.
Yayasan Al-Falah nama tempat mereka.
" Saya dahulu seorang guru, guru sekolah dasar(sekolah rendah di Indonesia).." dia mula bercerita.
Saya seorang yang daya ingin tahunya sangatlah kuat.
"Apa ya yang menggerakkan bapak untuk membangunkan Yayasan Al-Falah ini?"saya bertanya dengan penuh perasaan.
Diam si bapak.Merenung jauh cerita 35 tahun silam..
"Begini asep (panggilan untuk anak lelaki oleh masyarakat Sunda, sama seperti Awe di Kelantan) !" si pesara guru itu memulakan bicara.
"Tahun 1970-an, di sini tiada langsung sekolah.Anak-anak kecil tidak belajar bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana sekolah tidak ada dan kuota di sekolah dasar terdekat ternyata sudah di tahap maksimum!"
"Bapak berfikir.Kasihan, sedih melihat anak bangsa sebegini nasibnya.Lantas bapak dirikan Yayasan Al-Falah, dengan tujuan untuk membiayai pendidikan dasar anak-anak."
Saya membiarkan dirinya berbicara.
"Masa berlalu.Dana yang didapatkan adalah melalui pemerintah dan sumbangan dari masyarakat.Anak-anak di sini makan apa yang kami makan.Selalunya tempe tauhu, sayur dan ikan kering.Terkadang ada masanya ayam dan daging, tetapi jarang sekali mahu mencicipinya."
"Dari sekolah dasar, bapa mengembangkan sekolah menengah rendah pula pada 1986, dan 4 tahun lepas sekolah menengah atas pula.Semuanya terbatas, tetapi kami semua gembira dengan usaha kami!"
Tertancap kagum di hati saya.Rasanya seperti mendengar cerita perjuangan sejarah di Malaysia.
Sedikit sebanyak, saya memikirkan susah payah para pemimpin negara mahu memperjuangkan bangsa yang celik huruf.Dengan datangnya dasar pecah dan perintah Inggeris dan sekolah vernakularnya,betapa hebat sebuah perjuangan.
"Dan sekarang anak-anak bapa banyak yang menjadi guru di sini!" saya melihat mata yang bernyala-nyala.Sejuk hatinya dan isteri melihat usaha mereka mencerdikkan nusa bangsa, walau payah dan lelah, hati mereka senang bahagia.
"Asep, mangga tuang ( silakan makan)!"
Saya cuba berdalih mahu pulang.Namun apabila diajak bersungguh-sungguh, akhirnya saya turut mencuba rasa kampung yang cukup sederhana.Ulaman,tahu tempe, sambal pedas, serta air minum yang dijerang di atas kayu bakar.
Apa-apapun, tabik hormat dariku untuk Haji Furqon dan isteri.
Mereka hanya orang kecil yang berjiwa besar.Peduli bangsa, negara dan agama..
Tidak mengapa tidak didendang manusia, asalkan Tuhan tidak pernah buta melihat hamba yang berjasa.Di gelanggang Yayasan Al-Falah, mereka menuai pahala..
Bagi diri yang biasa ini, saya tidak akan kalah dengan seorang tua bernama Haji Furqon.Asalkan kita mendendangkan irama yang sama, Raqib tidak akan pernah lupa mencatit tiket buat pertemuan kita di SyurgaNya nanti..
Amiin Ya Tuhan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan