Ahad, 28 November 2010

Fitnah Pembiasaan; Episod Cinta Jahiliyyah


Kucing yang mengonggong anak, tidak akan memakan si buah hati, kerna sayang dan cinta.

Ibu yang melahirkan anak, usah disuruh dengan ucapan 'sayangilah anakmu'.

Dan insan yang dilahirkan mulus mengikut fitrah, pasti adegan ketertarikan itu ada pada berlainan jantina.

Adam mendambakan Hawa.

Di sisi Muhammad, ada Khadijah dan Aishah.

Hukum ketertarikan itu fitrah, umpama kumbang kan terbang, hinggap mencari bunga. Dan di mana wujudnya gula, pasti ada sang penjejak nan setia, semut namanya.


Fenomena Paris di Jawa

Gula itu nikmat, tetapi di situlah juga mangkatnya sang semut.Intoksikasi gula mungkin.

Kumbang itu rajin, mencari bunga berkenan di hati. Namun, kadang-kadang destinasinya tersasar.Madu yang dicari, nesan pemakaman abadi pula menjadi anugerah.Disangka rezeki, rupanya bunga bertransformasi menjadi pembaham serangga.Bunga karnivor rupa-rupanya..

Dan begitu juga manusia insan, cucunda Adam dan Hawa.

Lega ketertarikan itu pada yang berbeza, namun sayang, ketertarikan itu membunuh jiwa.

Dan di Paris di Jawa (panggilan untuk Bandung), alam bersaksi bisu.

Secara umum,'pacaran', 'couple','gewe', atau apa-apapun nama yang julukan,pokoknya itulah namanya jalan-jalan yang menghampiri zina.

Bukan sahaja jalan dan lorong ke arah zina cuba ditutup, inikan pula zina itu sendiri.

Tetapi hakikatnya, inilah wabak maksiat yang penularannya seakan-akan sudah tidak disedari. Umpama terbangnya virus di udara, datangnya tidak kelihatan, menyelinap masuk ke dalam sistem pernafasan diam-diam, dan lama kelamaan, hanya demam dan selesema sebagai akibat pasti.


Tanya Sama Hati

Pertama kali, malu-malu itu menyelubungi sanubari. Takut dilihat teman, malu dilihat karib taulan, segan dilapor pada bonda di kampung.

Dari saling menyerang sistem pesanan ringkas sesama, bergayutan di corong telefon dan internet, dan keluar melepaskan rindu dendam, makan bersuapan,minum berduetan.

Selepas imunisasi pertahanan malu peringkat pertama, sistem pertahanan iman terus diserang dan diserang. Berbonceng naik motor sehinggalah bersentuhan erat. Syaitan menari-nari,bersorak riang.

Sistem pertahanan iman makin menipis.Serangan demi serangan yang bertali arus, ternyata melemahkan iman.Iman hanya tinggal senipis kulit bawang.

"Malu itu sebahagian daripada Iman"

Barulah difahami bahawa kenapa benteng malu itu sebahagian daripada iman.Kalaulah malu pada pertama kali itu dipertahankan, nescaya Iman itu akan sentiasa kuat.

"Kalau tidak malu, buatlah!"

Suatu ayat psikologi terbalik yang dicanangkan Rasulullah. Umpama sang ibu meleteri sang anak yang degil, keras kepala, yang berdarah-darah jari kerana bermain pisau tajam.

"Lain kali, main lagi.Mak cakap tak nak dengar!"

Ngomelan sang bonda kepada si permata hati, seraya bergegas mencari ubat dan plaster.Bahasa kasih dan cinta seorang ibu.

Begitu juga Rasulullah di atas.Kerana sayang dan kasih kepada ummah, itulah bicaranya. Bicara psikologi agar jangan mengikut, jangan diulang tayang aksi yang sama.Buruk padahnya jika terlanjur lagi, dan lagi.


BIASA Itu Subjektif..

Pada waktu itu, Quraisy tawaf sekeliling Kaabah.Tawaf, ya tawaf.Mengelilingi Kaabah, tujuh kali pusing.Cumanya bukan dengan ihram putih suci, tetapi tawafnya bertelanjang bulat, tanpa seurat benang.

Keadaan itu biasa.Umar, Abu Bakar, Usman juga mengganggapnya biasa, pada ketika itu.

Apabila ramai yang berbuat, suatu keadaan itu menjadi biasa.

Rasulullah pada pertama kali meuar-uarkan seruan akidahnya secara terang-terangan.Ramai yang bangkit menentang.Abu Jahal,Abu Sufyan,Umayyah Bin Khalaf, hatta Abu Talib pamannya juga tidak bersetuju.Kerana itu adalah LUAR BIASA.

Kalau diadakan pilihan raya pada waktu itu, pasti Rasulullah kalah teruk. Kerana ajakannya luar biasa.

Tetapi lama kelamaan, ajakan dan seruan itu perlahan-perlahan mula diterima ramai.Luar biasa pada mulanya, mula bermetamorfosis menjadi biasa.

Benda yang biasa akan mudah diterima. Terbukti, alam bersaksi pada Pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah.Gerombolan muslimin yang dulu 'luar biasa', kini, menjadi dominan,biasa.

Dan mulalah secara perlahan, tawaf di Kaabah itu sudah bertukar gaya dan fesyen. Tidak ada lagi trend bertelanjang bogel.Fesyen terkini adalah dengan seruan Ilahi dengan berpakaian serba putih, tanda sama pangkat di sisi Robbi.

Dan begitu juga, berdua-duaan, makan bersama-sama,menonton wayang berdua, bermain ice skating berdua, itu menjadi BIASA.

Biasa itu maksudnya diterima ramai.

Makan itu harus.

Menonton wayang itu tidak salah.

Bermain 'ice-skating' itu wajar-wajar sahaja.

Kembali pada sejarah.

Zaman 60,70-an, biasalah orang berjambul berseluar pendek.Namun, keluar berdua-duaan itu pantang datuk nenek.Memang dihambur masyarakat kalau yang se'daring' itu.Malu muka keluarga, terconteng hitam arang dengan episod sebegini.

Zaman 80-an, sekadar bercakap-cakap di tingkap, keluar mengambil angin di pantai bersama teruna dara, dilihat biasa.Yela, anak-anak muda.

Anak-anak 90-an pula, sudah mula keluar makan bersama.Membonceng motorsikal itu tidak mengapa, asal jangan bersentuhan erat, rapat.Pandai emak menjerit dari dapur mengingatkan.

Anak-anak alaf baru semakin maju ke depan.Membonceng motorsikal itu biasa, yang tidak membonceng itu pula yang aneh.Anak-anak muda di Bukit Bintang semakin berani dengan aksi-aksi berani mengalahkan hero heroin Hollywood. Adegan -adegan cumbu dan cium itu biasa dan biasa.

Proses PEMBIASAAN ke arah JAHILIYYAH kini kembali.Pembiasaan itu bisa sahaja dari negatif ke positif, ataupun dari positif dan negatif.


Seteruk-teruk IMAN

Paling jelek, BENCI maksiat.

Paling kuat, TAHAN dengan kuasa, tangan.

Paling tidak, BERTARI LIDAH dengan kata.

Sabda Nabi mengingatkan sebegitu 'Standard Operation Procedure' (SOP), pabila berdepan dengan apa yang disebut maksiat.

Tergantung kemampuan.

Paling tidak mampu, BENCI,TIDAK REDHA dengan MAKSIAT.

Namun, itulah FITNAH PROSES PEMBIASAAN, dari positif menuju negatif.

Melihat orang berbonceng, oh biasa.

Memerhati orang berpegangan tangan, oh tidak mengapa.

Menyuap makan si jantung hati, oh ini sahaja, tiada persentuhan pun.

Berdua-duaan menonton wayang, oh menonton sahaja.Mana ada buat tidak senonoh.

Keluar membeli belah, makan angin, oh biasa-biasa sahaja.Tunang kan,tidak pun mama abah pun kata ok-ok sahaja.

Hati-hati teman taulan..

Iman yang paling rendah tahapnya adalah dengan merasa BENCI.Seandainya sudah ada halwa biasa, senang di hati, di manakah TAHAP IMAN kita?

Masih adakah sisa iman yang melekat?

Dan kalaupun ada sisa, adakah dengan sisa itu kita bercanang mahu membeli SYURGA milikNya?

Sama-sama ada hati, sama-sama kita introspeksi.



Kepada KITA

Di bumi Parahyangan, pusat-pusat membeli yang gah merata letaknya.

Paris van Java (PVJ), Cihampelas Walk (Ci-WALK), Bandung Indah Plaza (BIP) dan mahupun juga Jatinangor Town Square (JATOS), antara nama yang kunjung di fikiran.

Tidak salah menapak ke destinasi tersebut.Silakan semahunya.

Ubat nyamuk itu sangat penting, untuk menghalau serangga terbang, pembawa petaka denggi, malaria.

Namun bukanlah caranya ubat nyamuk melingkar, dipatah-patahkan kecil, dan kemudian ditelan seperti menelan Panadol, ubat demam.

Ubat nyamuk melingkar dicucuh dengan api, asapnya naik menghalau membunuh nyamuk.

Pergilah Blitz,datangilah Solaria,Blind dan sebagainya, asalkan caranya tepat dan benar. Tiada siapa melarang.

Saya tujukan bicara ini kepada KITA semua. Mungkin ada yang 'salah cara' masuknya ke Cinema 21, ke Carefour membeli barang, berbareng maksiat dan pelbagai kesilapan yang lain.

Saya tidak tahu siapa, kenapa, di mana dan bila.Saya tidak punya pengintip peribadi di PVJ, tiada penyiasat di BIP, mahupun tiada juga CCTV khas memantau keluar masuknya siapa dan siapa, dengan siapa di sana.

Cuma yang saya TAHU, fenomena ini ADA.Dan dianggap BIASA.

KITA, semua adalah saudara. Bukan menghukumi sesiapa, menujukan pada sesiapa, cuma monolog hati mengatakan ini BIASA yang SALAH.

Dan saya memilih BERKATA.Kerana sayang pada Iman KITA, kasih sesama saudara.Tidak berkata maknanya makin menipis, tidak benci apatah lagi. Berbuat maksiat, itu khilaf, yang harus disuluhi dengan pancaran tegur, agar maksiat itu tidak menjadi BIASA.

Kerana itu, sekiranya nanti yang terlihat dan terpapar adalah saya yang berkelakuan maksiat, tegurlah saya, ungkapkanlah kata-kata nasihat kepada saya.Kerana saya, dan kita semua, mahu membeli tiket ke Syurga.

Tika biasa dalam maksiat dosa, apakah masih ada harapan pahala sentiasa ada.Mahu membeli Syurga, tetapi dijerumuskan dalam kancah menempah Neraka..Kita pohon jauh dari kesilapan sebegini.

Tidak penting penyiasat, pengintip,CCTV manusia, apa yang maha penting, ingatlah bahawa penyiasat di kanan, pengintip di kiri itu sentiasa ada, 24 jam sehari semalam, dipertanggungjawabkan Sang Penguasa Akhirat kepada kita.

Dan CCTV milik Ilahi itu sentiasa merakam dan merakam, tiada tertinggal satupun sisa. Tiada cara eskapism, tiada.

Wahai Tuhan, sesungguhnya aku sudah menyampaikan...



7 ulasan:

cik Nurul berkata...

terima kasih atas ingatan. . .

Unknown berkata...

Cik Nurul~

Sama-sama.Ingatan untuk diri sendiri juga :)

syuhadah berkata...

assalamualaikum..

bila hati dah suka,semua yang haram cuba dihalalkan,dengan berfikir mengikut suka dan selesa.

hmm..knapa walaupun hati sudah berkada `tidak selesa` dengan kemungkaran,ragu2 dengn tindakan dan mengatakan `tidak mahu` kpada cinta manusia semata,namun akhirnya masih rmai yg tewas kpada bisikan syaitan..tepuk dada,tnye iman..huhu..ayuh upgrade iman kita!..=)

p/s=metafora penulisan sngt menarik..tahniah..=)

Unknown berkata...

Syuhadah~

Waalaikumussalam..

Apo nak dikato jang :)

dr.illy berkata...

assalamualaikum..

lama tak jejak sini.

cantik artikel ni..bukan cantik gambarnya.cantik bahasanya..sedap membacanya..pedas yang boleh ditelan semua,tak ada yang meludah semula.itu kan lebih baik..

mahu diperpanjangkan ya..terima kasih atas peringatan...^^,

salmi berkata...

benarlah! mohon share :-) syukran..

Unknown berkata...

Salmi~

Semoga ada manfaatnya ye :)