Khamis, 25 Februari 2010

Cinta Rasul? Ubahlah, Jangan Hanya Pandai Berkata-kata..






Andainya, sewaktu kita berjalan santai di tepi pantai pada suatu petang, tiba-tiba kita menyaksikan ada seorang kanak-kanak sedang tenggelam timbul kelemasan, apakah TINDAKAN kita yang paling wajar pada saat itu??

Insan yang masih berjiwa fitrah, masih punya hati dan nurani, pasti akan sedaya upaya menolong si kanak-kanak, yang lantang berteriak meminta tolong nun di tengah laut.

Tetapi manusia boleh dibahagikan kepada beberapa golongan pada waktu ini..

A melihat termangu-mangu, terkejut tanpa membuat apa-apa.

B berteriak " Ada orang lemas..", kemudian bersahut-sahutan dengan C dan D.Berteriak sambil berharap agar ada yang sanggup menyelamatkan yang sedang kelemasan.

E berkejar mencari pelampung, tali dan bot yang boleh digunakan secepat mungkin untuk menyelamatkan kanak-kanak tadi.

Dan F tanpa berfikir panjang, merembeskan segenap adrenalin yang boleh, terus terjun ke dalam laut, berenang ke arah mangsa dan cuba menariknya ke tepi pantai.



Senario Kehidupan

Kebanyakan orang akan setuju jika dikatakan bahawa E dan F adalah insan yang terbaik teladannya dalam kisah ini.Dua insan ini sanggup bersusah payah,hatta sampai mampu mempertaruhkan nyawa sendiri, semata-mata demi seorang kanak-kanak yang mungkin sahaja langsung tidak dikenalinya.

B, C dan D pula mungkin merupakan 'murai-murai' yang cuba mengulas status terkini perkembangan kisah di atas. Mereka jenis yang tahu apa yang berlaku, faham apa yang perlu dilakukan dan sebagainya.Tetapi mereka hanya pandai mengulas, mengulas dan terus mengulas.

Dan sebulat suara semestinya, spesies manusia yang paling teruk adalah yang sedang termangu-mangu, terkulat-kulat memerhati , tidak tahu apa yang berlaku dan tidak langsung mahu menawarkan huluran bantuan pada yang perlu..

Ini secebis senario dalam kehidupan..

Seterusnya..



PKPMI-CB dan KUBI..

Sering juga dalam kehidupan, kita bertemu dengan banyak benda yang salah, sama ada salah dari segi syarak mahupun dari segi adab.

Kita pergi kepada contoh yang lebih nampak di depan mata.

Saya mengambil waqi' atau kondisi di Bandung, Indonesia.

Di sini, ada 2 organisasi utama anak-anak Malaysia.

Pertama, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Bandung ( PKPMI-CB) dan yang kedua adalah Kelab UMNO Bandung Indonesia (KUBI).

PKPMI bernaung terus dengan kedutaan besar Malaysia, seterusya dengan Kementerian Pengajian Tinggi manakala KUBI bernaung dengan sekretariat Kelab Umno Luar Negara (KULN).

Sesiapa yang berada di Bandung khasnya, pasti akan melihat kedua-dua sisi kebaikan dan keburukan kedua-dua persatuan ini.

" A coin has two sides"

PKPMI sebagai contoh, dengan saya sebagai bekas Yang Dipertuanya yang lepas, bermatlamatkan kebajikan dan perpaduan seluruh mahasiswa di bumi Bandung. Al-hasil daripada itu, banyak agenda, mekanisme dan program yang telah dirancang dan diimplementasikan sepanjang tahun semata-mata berobjektifkan 2 matlamat tadi. Tidak perlu dihuraikan mendalam tentang itu semua. Mesyuarat Agung yang 2 minggu sudah, telah memperincikannya..

Begitu juga dengan KUBI.

Saya punya pandangan sendiri tentang KUBI walaupun induknya adalah UMNO. Orang yang menggerakkan nadi KUBI adalah sahabat-sahabat yang motifnya juga sama seperti saya menggerakkan PKPMI. Persis..

Tiada dalam KUBI nepotisme, korupsi, politik cah keting dan sebagainya..Syukur di sini, KUBI bukanlah se'dajal' sesetengah kelab UMNO lain yang hanya menghabiskan duit semata-mata untuk bermesyuarat bulanan di restoran-restoran mewah , bukan juga hanya pandai mengeksploitasikan duit untuk agenda makan-makan dan melancong..

Alhamdulillah syukur..



Semenjak Tahun Pertama..

Pada penghujung Ogos 2006, saya dan kawan-kawan melabuhkan sauh kami di sini, Bandung.
Bercampur baur antara sedih dan gembira, antara semangat dan rindu keluarga..

Detik awal rencah kehidupan saya di Bandung bermula dengan segala ketidakpuasan hati.

Datang tidak bersambut senior, mata menaksir senior-senior ramai yang sengal, orang-orang Sunda pula ibarat musang berbulu ayam, sentiasa cuba memangsakan kami..

Saya tidak puas hati.

Annual Grand Meeting PKPMI dan KUBI tidak pernah saya lewati. Saya hadir..








"Duit lebih buat jalan-jalan.."





"Program tidak bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.."





"Kebajikan pelajar tidak terbela.."


"Duit yang banyak lebih baik beli peralatan seperti LCD.."






Ini antara ngomelan saya sewaktu AGM saban tahun.Mata saya memandang semua 'kesalahan-kesalahan' yang dilakukan.


Disebabkan marah dan tidak puas hati tadi, saya mengaku saya memang pernah mensasarkan biro agama PKPMI sebagai matlamat saya, sebagai medan saya mengubah semua benda yang 'tidak patut' tadi.Sekali lagi, sama ada dari segi syarak Islam mahupun adab.





Tetapi takdir Tuhan itu ternyata lebih berkuasa.


Saya menjadi pengerusi tetap persatuan dan tahun seterusnya diamanahkan memegang kendali PKPMI-CB. Berat, menyesakkan nafas..


Dari situ, segalanya berubah...


Medan saya bukan lagi sekecil dahulu.Sangat luas dan memenatkan..


Maaf kalau penulisan saya seterusnya ada membuat sesiapa terasa. Saya cuba berlapik..Tetapi kalaulah disebabkan kebenaran yang saya luahkan, saya tidak mampu untuk menyembunyikannya..









Berubah Itu Suatu Proses


Perubahan yang signifikan tidak mungkin berlaku dalam detik waktu yang singkat.Tidak mungkin melihat hari ini seorang perempuan, rambut bercat merah, pakai skirt paras paha dan dada tertonjol, keesokan harinnya 360 darjah berubah menjadi perempuan bertudung labuh, jalan menunduk pandangan, bercakap penuh budi dan bahasa.


Tidak mungkin dan ianya sesungguhnya memerlukan masa. Setahun, 2 tahun, mahupun sepuluh tahun..Ini kerja Sang Pengarah di atas..


Begitu juga dengan PKPMI dan KUBI tadi..


Kerja seorang YDP yang faham, tindakan seorang setiausaha yang penuh komited dan berprinsip serta biro-biro yang berkaitan pasti lagi masih terdedah dengan kekhilafan, tiada kemaksuman pada mereka..


Seorang yang berjiwa besar, mahu melakukan perubahan, adalah bak insan F tadi, sanggup terjun terus ke medan, sanggup berdepan risiko nyawa dan sebagainya..


Mereka mahukan perubahan dan mereka berani berdada turun ke medan...


Mereka bukan golongan B, C dan D, apatah lagi si 'Mat Jenin' A..


Tidak sama yang hanya bercakap dengan mereka yang terjun ke medan laga..







Medan HARAM..





Sesetengah orang mengatakan UMNO HARAM. Saya faham justifikasinya kenapa.Saya boleh melambakkan hujah dan dalil untuk menyokong tetapi bukan ini matlamat saya..


Dato Shahnon Ahmad, bekas ahli parlimen Sik, Kedah, pernah menggambarkan kerajaan UMNO adalah kerajaan tahi, najis dalam novelnya "SHIT". Dan alhasilnya banyak orang berpendapat, kalau mahu merubah UMNO, hendaklah dari luar. Usah membodohkan diri dengan turut sama memalit diri dengan ' keharuman' najis tahi.


Deduksi semberono bagi saya..


Cuba lihat lagi..


Ustaz Hasrizal dalam satu artikelnya menceritakan tentang kisah suatu kaum di Afrika yang setiap kali nama Muhammad disebut, kaum ini akan bangkit berdiri sambil 'melakukan gaya seperti menari'..Hukumya bidaah dan bidaah adalah HARAM.Berdosa..


Tetapi sahabat seperjuangan yang berada di dalam komuniti itu mampu MENGAJAR dan MERUBAH dengan perlahan-perlahan, dengan mekanisme memberi penerangan secara hikmah kepada kaum itu. Dan sahabat tadi terus-terusan berada dalam acara sebegitu, sehinggalah semuanya berubah menjadi ibadah selawat yang betul-betul sesuai kehendak Sunnah Rasulullah..


Begitu juga dengan kes pengurus-pengurus bank suatu ketika dahulu. Mereka terpaksa bergelumang dengan kepengurusan konvensional dan penuh riba. KeHARAMannya jelas..Tetapi di hujung perjalanan itu, merekalah yang menjadi ejen PERUBAHAN.Bak cendawan tumbuh selepas hujan, bank-bank syariah mula bertapak di negara kita, hasil kesabaran dan titik peluh mereka..


Semuanya HARAM..


Kalaulah ungkapan ' kapal bermuatan tahi' digunakan untuk setiap medan yang HARAM, pasti sekarang kaum tadi masih lagi ber'joget selawat' dan bank-bank di negara kita masih lagi dicengkam masalah riba tanpa sebarang alternatif..


Ramai yang mampu mengeluarkan fatwa hukum mana yang halal dan mana yang haram.


Sebaliknya, berapa ramaikah yang sanggup bergelumang untuk merubah yang HARAM menjadi HALAL...


Tidak semudah itu..









Fahami Mereka..


Orang berjiwa merubah ini hebat, penuh sabar di dada.


Kadang-kadang, persepsi pihak ketiga mungkin sahaja melabelkan mereka sebagai 'MURTAD', 'ahli BIDAAH' , ' kerjaya menempah neraka' dan sebagainya..


Betapa sakitnya hati andainya seorang sahabat yang berfikrah Islam juga MENGHUKUMI sang insan yang mahu MERUBAH tadi..


Betapa kecewanya jiwa, kalaulah sahabat yang selama ini mendokong, menyalahtafsirkan perbuatan diri..


Betapa lemahnya semangat, jika sahabat sefahaman mengatakan bahawa kita bukan lagi sahabat sejatinya, bukan lagi handai seperjuangan..


Tidak dapat dinafikan, dalam bergelut dengan semua yang 'HARAM' tadi, ejen-ejen perubahan ini kadangkala terleka. Gerakan silat langkah pernah tersadung. Pernah khilaf..


Sahabat-sahabat tegurlah dengan rasa empati, bekalkan imunisasi semangat kepada mereka secukupnya, dan jadikanlah diri sebagai bahu bersandar dan telinga mendengar sewaktu mereka diterkam masalah.Lebih-lebih lagi sewaktu prinsip mereka diuji..


Bukan dengan MENGHUKUMI,MENJATUHI, dan MEMULAUKAN mereka atas dasar mereka sudah berubah..







Ingatlah sewaktu Perjanjian Hudaibiyyah, Muhammad Al-Amin juga tidak didokong sahabat pada mulanya.

Mana mungkin perjanjian berat sebelah. Basmalah tidak di awal kalimah perjanjian..





Di manakah keadilan jika hanya orang Makkah yang ke Madinah sahaja yang perlu dikembalikan dan sebaliknya tidak..





Rasulullah bersemangat jitu, berbekalkan naungan Ilahi padanya. Mutiara hikmah terserlah di akhir perjalanan itu. Rupanya ada ruang tersirat yang dibuka..





Kerana Muhammad itulah GURU SEGALA EJEN PERUBAHAN..Dan sahabat di sisi, merekalah yang empati, pendokong murni dan bukan PENGHUKUM DIRI..





Cinta Rasul bukan sekadar seindah lakaran puisi..





Ayuh apa ditunggu, jangan hanya pandai MENILAI dan MENGHUKUMI, jadikanlah diri EJEN PERUBAHAN....







2 ulasan:

Dr Hana berkata...

Subhanallah, alhamdulillah, setuju sangat2. Dan inilah yang menjadi pegangan saya selama ini, dan di masa depan juga insyaAllah...

Orang yang berada di luar, melihat dari luar, tak mungkin sama dengan mereka yang berada di dalam dan tahu apa yang berlaku. Jika bukan sekalipun untuk menyelamatkan nama UMNO yang kononnya jijik dan kotor itu sekalipun, salahkah jika mahu menolong sahabat, keluarga yang masih berada di dalamnya? Yang mungkin memerlukan kita di situ? dan bukankah mereka saudara seIslam kita?

Kenapa harus takut dengan nama UMNO itu, ia hanya sekadar nama, terpulang pada kita bagaimana mahu menggerakkannya...

InsyaAllah, moga ada insan yang mahu membantu menjadi agen-agen perubahan ini...ia bukan mudah, namun besar ganjaranNya di sisi Tuhan...jzkk atas artikelnya :D

Unknown berkata...

F.Y-

Alhamdulillah lar..

Cuma apabila berdepan dengan realiti, cabarannya tidak mudah.

Prinsip kita sentiasa teruji..

Oleh itu, kita kena ada jaringan sahabat yang selalu mendokong dan menasihati, lagi bersifat empati..

Apabila kita masuk, sentiasa ingat bahawa Allah dan Rasul sebagai sumber kita. Apa yang paling dibimbangkan adalah takut2 kita larut dalam tu..

Takut2 mungkin sahaja dulu sesuatu perkara itu kita bencai lagi anti, cuma bila sekarang, kita yang jadi kepalanya..

Kena konsiisten dalam berprinsip..

Prinsip kita ISLAM..

jadi tidak hairan, kalau TGNA sendiri menyokong UMNO kalau betul2 AQ dan Sunnah didaulatkan..

Begitu juga apa yang diperjuangkan Dr MAZA.Kebenaran berdasarkan AQ dan Sunnah itu merentasi sempadan politik..

Wallahualam..