Saban tahun, kedatangan Muharam dimeriahkan dengan pelbagai jenis sambutan..Paling signifikan di kaca mata sesetengah kita,mungkin dengan berarak sambil berselawat dengan semangatnya,sambil melaungkan pelbagai slogan yang silih berganti setiap tahun.Dan trend terkini,muncul pula gelaran Tokoh Maal Hijrah,anugerah kepada sesetengah tokoh masyarakat yang dianggap berjasa kepada agama.
Begitulah manusia..
Mudah terjebak dengan kancah yang melebihkan perkara-perkara enteng dan remeh,akan tetapi persoalan yang lebih penting, dibutatulikan oleh mereka.Ada yang sekadar mengikut majoriti manusia menyambut kedatangan Muharam atas dasar ikutan dan adat semata-mata tanpa mengendahkan atas dasar apakah dia berbuat demikian.Persoalan asas...Banyak yang menganggap 1 Muharam merupakan tarikh di mana Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah.Padahal mengikut sejarah Rasulullah keluar dari rumah menuju rumah Abu Bakar pada malam 27 Safar tahun 14 dari nubuwwah.Muharam hanyalah merupakan bulan pertama daripada 12 bulan Hijrah,yang disusun oleh Umar Al-Khattab.Bukanlah mengatakan orang yang tidak mengetahui hakikat ini berdosa,tetapi ini sedikit sebanyak mempertontonkan ketidakcaknaan sejarah segelintir kita.
Tidak lengkap memperkatakan Muharam jika tidak diselitkan dengan istilah Ashura’.Ashura’ atau 10 Muharam terkenal dengan puasa sunnah pada hari ini.Juga masyhur dan menjadi satu kemestian di kalangan kita ialah juadah bubur Ashura’.Setiap tempat dengan resepi masing-masing.Banyak berpandangan resepi asal bubur Ashura’ dimiliki oleh Nuh a.s. Dikhabarkan tatkala pelayaran bahtera Nuh, simpanan makanan untuk penghuni bahtera itu berkurangan.Lantas,makanan yang ada dicampur-campur dan muncullah idea kreatif Nuh a.s , sejenis makanan yang kita sebut-sebut sebagai bubur Ashura’.Orang kita mensinonimkan Nuh a.s. dengan bubur Ashura’. Juga bila disebut nama nabi Allah ini,banyak yang akan takjub dengan peristiwa lambakan najis di atas bahteranya,yang ditakdirkan Allah berkuasa menyembuhkan.Si buta celik kembali,yang berpenyakit kulit kembali kepada keadaan asal.Kaum Nuh dengan rela hatinya menjilat balik ludah mereka sendiri..”Lihat,hebat benar mukjizat Nuh a.s. ini”, kata insan-insan yang kekaguman dengan keajaiban Nuh a.s.
Hebat lagi musuh Islam!!
Umat Islam diheret pandangannya kepada perkara sebegini tanpa melihat intipati utama dakwah Nuh a.s. Lebih-lebih lagi,kisah-kisah di atas tiada dasarnya di dalam Al-Quran, Sunnah mahupun kitab-kitab sirah muktabar.Al-Quran menceritakan kisah Nuh,khas di dalam surah yang dinamakan dengan nama Nuh a.s sendiri.950 tahun usia perjuangannya.Hanya sekelumit insan menyahut seruannya.80 orang,hasil perjuangannya siang dan malam.Menambah beban dakwahnya lagi, isteri dan anaknya sendiri bukan menjadi pendukung dakwahnya,tetapi lebih teruk, menjadi dalang penghancur semangatnya. Mereka ingkar dengan seruan penuh kasih-sayang seorang suami,seorang ayah yang penuh pengharapan pada keluarganya. Ayat 7 dari surah Nuh memaparkan tahap keingkaran melampau kaum Nuh a.s. Mungkin kita ada membenci seseorang individu, kita mungkin masih lagi mampu berpura-pura mendengar. Nuh a.s ternyata berbeza.Setiap kali Nuh melontarkan seruan mentauhidkan Allah,mereka menutup telinga mereka dengan jari-jari dan meletakkan wajah mereka ke dalam baju masing-masing. Kekaguman manusia sepatutnya diarahkan kepada kehebatan sabarnya Nuh a.s. dalam berdakwah kepada kaumnya,bukan ditumpukan kepada bubur Ashura’ dan kisah lambakan najis di dalam bahtera..
Selain itu,turut popular di kalangan masyarakat kita bahawa tanggal 10 Muharam,penuh dengan fadilatnya yang tersendiri.Usap,kepala anak yatim,baca Al-Fatihah 1000 kali,ziarah orang sakit,mandi Ashura’ dan sebagainya.Yang pasti tiada satupun dalil dan nas yang sahih menyatakan fadilat 10 Muharam.Hanya Allah, si pemberi pahala.Kemahuannya ditunjukkan oleh Al-Quran sambil dibantu petunjuk Rasululah.Tiada insan yang berkuasa mendabik dada bahawa amalan sekian sekian mempunyai pahala tertentu kecuali ianya disuluhi dari 2 sumber yang agung ini.Segala amalan soleh tersebut wajar dilakukan sepanjang masa,tanpa terikat dengan tarikh dan tempat tertentu.
Sebaliknya, golongan Syiah menjadikan Muharam ini sebagai Hari Kesedihan.Mereka mengingati hari di mana Hussain,cucunda Rasul dibunuh di Karbala pada tahun 61H. Mereka mencucuk diri mereka dengan besi,rantai dan sebagainya sehingga berdarah-darah.Sama kayaknya dengan kavadi Hindu.Mereka mendakwa ini sebagai bukti kecintaan mereka kepada Hussain dan keluarga Rasulullah yang lain.Padahal tidak pernah dicontohkan Rasulullah dan para sahabat melampaui batas dalam berkabung terhadap kematian seseorang yang disayangi.Fikirkanlah..Betapa sedihnya Rasulullah apabila Hamzah syahid,apabila Khadijah pendampingnya yang setia meninggal dunia.Sebagai manusia, Rasulullah juga fitrahnya pasti bersedih.Kalaulah berkabung ala Syiah itu,tanda kecintaan dan mendapat ganjaran pahala,pasti Rasulullah dan sahabat-sahabat lebih jauh mendahului kita dalam bab ini.Satu kontra yang cukup jelas dengan golongan Syiah..
Muharam ini merupakan Muharam yang kali ke 1429 dalam sejarah.Biarlah Muharam-Muharam yang telah lepas dibiarkan berlalu..Mungkin sebelum ini kita ‘mabuk’ dibuai sogokan sejarah dan cerita-cerita yang tidak jelas kebenarannya.Moga-moga Muharam ini menjadi titik perubahan dalam hidup kita dalam memahami Islam yang asli,murni tanpa terus dinodai anasir-anasir luar yang cuba merosakkan keaslian agama ini.Semoga picu kebenaran terus mekar menerobos pemikiran umat yang diracuni kefahamannya.Ameen....
2 ulasan:
Atuk ana penah dapat tokoh maal hijrah gak...hehehe
Mohsein-ok je dapat tokoh Maal Hijrah.Xda masalah pon.Huhu...
Catat Ulasan