Khamis, 28 Julai 2016

Doktor Bukan Tuhan..




Awan berarak masuk.Guruh berdentum dentam di angkasa.Langit gelap gelita,sarat memboyot seperti ibu menunggu detik untuk bersalin.

Jemuran segera diangkat.Sang ibu terpekik terlolong memanggil anak-anak yang sedang bermain untuk pulang segera.

Apa yang bermain di minda pastilah hanya satu perkara ; hujan ribut pasti akan melanda.

Biasanya begitu.Namun adakalanya hujan ribut yang dijangka menjelma,tiba-tiba menghilang.

Ketetapan/ norma berlakunya suatu perkara inilah yang dinamakan SUNNATULLAH.

Bolehkah ketetapan itu berlaku sebaliknya?Tentulah boleh.Namun itu tergantung pada kekuasaan Tuhan.

Begitu juga bab kesihatan.

Sebagai contoh mudah buat kita.

Seorang lelaki,berusia 50 tahun,dengan sejarah kencing manis dan darah tinggi selama 20 tahun.

"Tekanan darah encik 200/100.Ini bacaan yang sangat tinggi.Gula darah ketika puasa pula 20.Juga sangat tinggi!" .Kata seorang doktor ketika mendatangi pesakit tersebut.

"Bukan sekali.Hampir setiap kali berjumpa saya,inilah keadaan encik!".

"Bahaya ni.Boleh kena serangan jantung,stroke.Tinggi risiko!".

Si doktor terus sabar memberikan nasihat buat si pesakit.

"Doktor bukan Tuhan.Stroke ke,sakit jantung ke,itu semua kerja Dia!"

"Kawan saya,apa-apa sakit pun tak perbah ada.Tiba-tiba je kena serangan jantung.Terus meninggal!"

Bentak si pesakit.

Amarah pula menguasai akal si pesakit.Bosan juga mungkin dengan bebelan doktor kepadanya.

Inilah kesalahfahaman yang sering menjerat minda segelintir masyarakat kita.

Kita bercempera balik ke rumah,angkat kain di jemuran SEBELUM hujan ribut.Dah terlambat apabila SUDAH hujan ribut.

Begitu juga al kisah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Penyakit sebegini yang tidak terkawal bakal memberikan komplikasi seperti stroke dan serangan jantung.Sunnatullahnya begitu.

Dengan ilmu perubatan dan ditambah dengan pengalaman para anggota kesihatan,proses pengubatan akan bersifat mencegah; yakni SEBELUM 'hujan ribut melanda'.

Jika SUDAH dilanda 'hujan ribut',menyesal tidak sudah dibuatnya.Lebih-lebih lagi kalau nyawa menjadi taruhannya.

Ya begitulah.

Doktor bukan Tuhan,namun dengan ilmu dan pengalaman yang diberikan Tuhan,doktor
mampu meramal ceritera para pesakit yang didatanginya.

Sekali lagi,itulah SUNNATULLAH..




Tiada ulasan: