"Ke'kong (nakal) deh wat sulung nih!"
Terngiang-ngiang suara nenek belasan tahun silam.Sewaktu saya masih lagi anak-anak setahun jagung, masih di bangku tadika.
Nenek (kami cucu memanggil nenek dengan panggilan 'MOK'), memarahi saya kerana keletah yang nakal.
Saya tersinggung.
Sebagai tanda protes, saya tidak mahu lagi bertemu nenek.Malas mahu bertandang ke rumahnya lagi.
Sekarang, saya hanya mampu tersenyum, mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersama nenek.
Nenek
31 Mac 2009 detiknya, sudah 3 tahun nenek pergi meninggalkan kami.
Sekarang,saya sudah cukup dewasa.
Terasa aneh dengan perangai keanakan berdemonstrasi tidak mahu bertandang ke rumah nenda.
Dasar anak hingusan.
Semakin lama,semakin saya teringat nenek.
Tidak pernah dia melupakan anak cucunya.
Musim durian, durianlah kami dapat.
Musim rambutan tiba, pakatlah disuruh anak cucu datang mengait.
Selaku tukang masak 'bekwoh' (kenduri) handalan, gulai kawah nenek antara yang terbaik.Sering, setiap kali habis kenduri, pasti ada kiriman untuk kami cucu-cucu.
Terutamanya saya.Kerna saya peminat nombor satu gulai dan kari.Kadang-kadang, gulai buatan nenek akan tersimpan di dalam peti ais rumah, sampai seminggu lamanya.
Bukan kerana tidak laku, tetapi kerana banyak bahagiannya untuk saya.Pasti dihabiskan saya akhirnya.
Zaman silam anak-anak.
Sehinggalah nenek hilang upaya disebabkan serangan angin ahmar (strok).
Nenek masih nenek.Suka bertanya khabar sanak saudara.Kalau zaman sihatnya,sakit sahaja orang yang dia kenali, dialah orang yang pertama bertandang menziarahi.
Tabik dari saya.
Cucu Doktor
Dalam keluarga besar kami, sayalah cucu pertama yang menjadi doktor.
Belajar di luar negara, walaupun jarak tempoh ke Bandung hanya mengambil masa 2 jam lebih penerbangan.
Setiap kali pulang, rumah nenek akan saya ziarahi.
Dahulu dipaksa abah, tetapi pabila sudah menjadi mahasiswa, saya rela hati.Rindu malahan untuk ketemu.
" Maafkan Mok deh... Mok banyok saloh!"
Hiba hati saya pabila nenek pernah meminta maaf kepada saya sewaktu saya meminta izin untuk berangkat ke bumi Paris van Java.
Nenek pula yang mahu mengucup tangan saya.Serba salah saya dibuat nenek.
Seharusnya saya yang memohon ampun dan restu.
" Min minta maaf Mok.Doa ko Min deh!"
Lekat memori itu sehingga ke hari ini.
Mutiara air mata ikhlasnya, takkan saya lupakan.
Doa Buatmu Nenda
Kini, dirimu telah pergi.Selamanya meninggalkan kami, anakanda cucunda.
Semoga Jannatul Firdaus buatmu nenda.
Amin...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan