Sewaktu mencari buku dan sumber rujukan berkaitan fekah perubatan, saya banyak bertemu dengan buku-buku yang banyak berkisar pada teori dan hukum-hukum lama dalam perubatan.
Ilmunya ada, cuma sangat susah mahu berinjak pada zaman realiti sekarang.Antara teori dan realiti, terasa langit dan bumi rentangnya.
Dengan zaman kemajuan teknologi perubatan, manusia bertanya bagaimanakah mahu bersolat sewaktu sedang dipasang jarum di tangan (saluran infus), bagaimana pula tiub kencing (urine catheter), dan alat-alat yang dimasukkan ke dalam anggota badan untuk meneropong organ dalaman manusia..
Maka tidak hairan, jikalau menurut kajian di Malaysia, 50% pesakit di hospital tidak akan solat selama keberadaan di hospital.
Puncanya adalah kerana kejahilan dalam mengaplikasikan tuntutan rukhsoh dalam solat.Ini belum dicampur dengan mereka yang azali liat bersolat.
Buku FIKAH PERUBATAN
Buku Fikah Perubatan ini adalah terbitan PTS Millenia dengan gabungan pakar di bidang perubatan seperti Dr Harmy Mohd Yusoff dan Dr Rosediani Muhammad.
Sebagai pelengkap rencah, pakar agamanya adalah Ustaz Syamsul Kamal Abdullah dan Ustazah Wan Ainon Wan Abdullah.
Buku ini membahaskan tentang,
1) Asas Fikah Perubatan
2) Hukum Berubat
3) Bendalir Badan, Aplikasi dan Thaharah
4) Pelaksanaan Ibadah Semasa Sakit
5) Puasa dan Isu-Isu Perubatan Moden
Sejujurnya, banyak benda yang banyak saya pelajari sewaktu membaca buku ini.
Dari aspek haid, nifas, dan istihadha, setidak-tidaknya boleh diketahui hukumnya bagaimana.Beza warnanya pula dan sebagainya.
Keterbukaan dalam aspek ibadah membolehkan seorang bakal ibu yang sarat hamil dan hampir melahirkan, terus beribadah.
Wuduk dan Tayamum
Isu yang sering didebatkan dan dijadikan alasan tidak boleh bersolat oleh banyak pesakit, dan sering isu qadha solat ditimbulkan.
Pesakit dengan memakai beg tampung najis (colostomy bag), disimen (Plaster of Paris) dan sebagainya, bagaimanakah cara bersuci mereka.
Di sini dibentangkan dari menggunakan wuduk, bertayamum dan juga gabungan keduanya.
Perbahasan dari segi fekah dibuka, dan tidak terbatas kepada pandangan satu mazhab aliran semata-mata.Fokus akhirnya adalah memaksimalkan kemudahan untuk pesakit agar ibadahnya terus tetap berlangsung sewaktu di hospital.
Jamak Solat
Pesakit dibolehkan menggabungkan solat kerana pelbagai faktor seperti mahu menjalani pembedahan yang melangkaui waktu solat.
Begitu juga untuk doktor dan operator pembedahan yang lain.
Namun, ada satu aspek diangkat oleh buku ini, yang menarik pandangan saya untuk diketengahkan.
Bagaimanakah pula kalau pembedahan tadi bersifat kecemasan seperti perdarahan dalam perut akibat kemalangan, tiba-tiba pada pukul 530 pagi dan berakhir pukul 730pagi?
Sedangkan Subuh seperti diketahui tidak boleh dijamak dengan mana-mana solat.
Penyelesaiannya, doktor hendaklah bertindak secepat mungkin, dan menyegerakan solat yang dia tertinggal. Latar masa juga mungkin dengan pembedaha multi komplikasi yang boleh menjangkau berbelas-belas jam. Mungkin sahaja waktu Zuhur,Asar dan Maghrib luput.
Usai pembedahan, si doktor harus segera menunaikan fardu solat yang terpaksa ditinggalkan tadi mengikut urutan. Umpamanya seperti kes di atas Zuhur 4 rakaat,Asar 4 rakaat dan kemudian terakhir Maghrib 3 rakaat.
Di sini ada beberapa prinsip fekah yang perlu diperhatikan.
1) Apabila bertemu 2 kepentingan, hendaklah didahulukan kepentingan yang lebih besar.Dalam kes di atas adalah berkaitan NYAWA.
2) Apabila bertemu 2 mudarat, hendaklah cuba dielakkan mudarat yang lebih besar. Dalam kes di atas, nyawa pesakit dan tidak solat adalah kemudaratan.Namun, NYAWA mudaratnya lebih besar dan harus diutamakan.
3) Menolak kerosakan adalah lebih utama daripada mendatangkan kebaikan. Apabila bertemu antara menyelamatkan nyawa (menolak kerosakan) dan solat awal waktu (mendatangkan kebaikan), hendaklah dipilih untuk menyelamatkan nyawa terlebih dahulu.
4) Mendahulukan perkara yang terhapus tanp ada ganti adalah lebih perlu berbanding dengan perkara yang terhapus tapi ada ganti. Dalam kes ini, NYAWA pergi tidak akan kembali.Namun sekurang-kurangnya solat masih boleh digantikan.
Kesimpulan
Jika ditanya pada saya, sejujurnya,buku ini adalah buku yang WAJIB dibeli, dikhatam dan dihadamkan oleh ummat Islam, khasnya kepada petugas-petugas perubatan yang banyak bergelumang di medan.
Setidak-tidaknya apabila ada pesakit yang kurang mengerti, ada usaha promotif dari petugas-petugas perubatan seperti doktor untuk memberikan tunjuk ajar.
Setidaknya, sewaktu bersengkang mata di arena medik, berkeringat panjang, lenguh lutut sendi di kamar operasi, adalah sedikit sebanyak saham pahala yang terhasil oleh petugas medik. Terhapus juga dengan pahala sebegini untuk menggantikan waktu bacaan Quran, qiyam dan solat sunnah yang sangat minimal senggangnya.
Selamat membaca (^^,)
2 ulasan:
Assalamualaikum..
tengah cari jugak buku fiqh perubatan yang latest n paling byk menjadi isu di hospital..preparation b4 coass..huhu..price baper?..kat msia eh buku nie?
Syuhadah~
Waalaikumussalam..
Harga dalam RM 20.Yup terbitan Papisma :)
Catat Ulasan