Rabu, 31 Mac 2010

Dua INGAT dan Dua LUPA...


Dua Ingat :

Ingatlah kebaikan orang lain kepadamu..
Ingatlah keburukanmu pada orang lain..


Dua Lupa :

Lupakanlah keburukan orang lain padamu..
Lupakanlah kebaikanmu pada orang lain..


Kata-kata hikmah dari Sang Murabbi Kiyai Haji Rahmat Abdullah..


Bukan sekadar ungkapan biasa. Maksudnya yang tesirat lebih mendalam. Walau bertatih, semoga kita semua mampu melaksanakannya..

Khamis, 25 Mac 2010

Apa Salahmu Dibuang?


Pemimpin itu harus jujur, berani mengakui kekurangan, mahu menerima kritikan dan masukan dari orang lain..

~ Muhammad Natsir, bekas Presiden Masyumi, bekas Perdana Menteri Indonesia...





Ini kata keramat milik insan hebat bernama Muhammad Natsir. Hebat ilmu agamanya, bergegar gelanggang politik Indonesia kerananya..


Tetapi Pak Natsir ini sudah lama pergi meninggalkan kita. Hanya tinta bikinannya seperti Fiqh Dakwah dan Kapita Selekta yang masih menerobos pemikiran kita di zaman peninggalannya..

Ustaz Fadzil Noor
Sekejap singgah di arena politik tanah air, Parlimen sentiasa hangat dengan pelbagai isu yang dibangkitkan, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang..

Perhatian saya kembali pada tahun 2001, hampir 10 tahun silam.Ketua Pembangkang pada waktu itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor bangkit mempersoalkan kerajaan yang memandang enteng isu buang bayi, bunuh bayi..


Padahal statistik pada waktu sudah menunjukkan tanda aras kerosakan kronik pada nilai masyarakat. Adunan cantik antara ayat-ayat Allah dengan situasi politik kemasyarakatan..


Bahasanya ikhlas, tuntas dari hati, sambil berkostumkan baju Melayu yang sama buat 2 hari berturut-turut di Parlimen..Tidak perlu berhujah panjang, pengaruh kezuhudan yang terpancar itu sudah jelas, murni terserlah..


Selagi mana kebenaran itu muncul, sama ada dari barisan kerajaan atau pembangkang, saya akan tetap ISTIQAMAH dengan kebenaran..


Dalam bab buang bayi, saya berlepas diri dari kerajaan. Mungkin ada usaha rawatan dan pencegahan, tetapi bagi saya ianya tidak seberapa dengan apa yang dijanakan kerajaan sendiri..


Berapa banyak konsert-konsert tidak berfaedah dari artis terkinja-kinja yang diberikan permit, berapa banyak kelab-kelab malam, kasino, aktiviti pelacuran yang dipandang sebelah mata.Ini irama munafik, talam dua muka..


Selaku rakyat marhaen, saya sangat berharap ada tindakan proaktif dari kerajaan terutamanya dalam isu ini..


Bak kata Pak Natsir, maruah kerajaan tidak akan berkurang kalau kerajaan proaktif dan sanggup bangun memberantas permasalahan ini sampai ke akar umbi..


Sistem pendidikan, informasi hebahan di televisyen, internet dan sebagainya, sistem hukum syari' dan yang lain harus ada anjakan paradigma, bukan sekadar retorik musiman. Kerana sekarang musim orang buang bayi..


Percayalah, jika ini dibenarkan berleluasa, tidak pelik jika suatu hari nanti anak-anak luar nikah tidak lagi dianggap sebagai suatu hasil dari perbuatan negatif..Sedangkan tidak memakai celana dalam sempena Valentine, sudah dianggap tidak mengapa atas dasar kebebasan individu..


Ini tidak aneh seandainya pada masa hadapan, anak-anak luar nikah dan seks bebas juga mahu juga dianggap sebagai KEBEBASAN INDIVIDU..


Saya selaku seorang rakyat biasa, hanya mampu berbuat semampu saya. Dan kerajaan dengan sepenuh kuasa yang ada, semestinya lebih berperanan aktif..


Hanya luahan rasa dari rakyat jelata..







Ahad, 21 Mac 2010

Bingkisan Ahmad Yasin Buat Sang Bilis..



Seringkali dalam kehidupan seharian, ada bencana datang bertandang, ada ujian datang mengetuk tangkai hati. Acap kali apabila bebanan itu melampaui kapasiti hati dan perasaan, semangat sang bilis ini akan turun mendadak, sanubari akan rebah dilanda kecewa dan duka..


Banyak ketika, untuk menerobos tembok kecewa dan bangun menentang duka, sang bilis punya cara istimewa, tersendiri untuk menaikkan darah semangat.Ya, sang bilis suka bermonolog..Bercakap sendirian, melayan jiwa nan robek.Kadang-kadang, sahabat-sahabat yang rapat pasti tersenyum simpul, melihat adegan monolog diri yang dizahirkan oleh luahan kata di mulut..


Mencabar diri, membandingkan dengan pencapaian orang yang diidolakan, ternyata menggoncangkan penikus sang hati agar menjadi lebih perwira sifatnya..



Syeikh Ahmad Yassin..


Sewaktu zaman persediaan di INTEC, Shah Alam, artikel berjaya sang bilis prokdusikan, buat kali pertama dalam sejarah hidup peribadi , dalam majalah Whisper of Wisdom (WOW), terbitan Proffesional Students Society (PSC). Nukilan sulung untuk terbitan umum, ketika umur pada detik itu di penghujung umur belasan tahun..

Tajuknya " Semangat Syeikh Ahmad Yassin Untukmu"...


Artikel biasa, tetapi besar maknanya buat diri anak muda sang bilis ini..


Ya , Ahmad Yassin namanya, Bapa Intifadah Palestin, simbol perjuangan penduduk Palestin khasnya..


Ghalibnya, seorang sosok yang menggetarkan kekuasaan rejim Zionis, pada pandangan manusiawi kita, kemungkinan besar adalah seorang yang gagah perkasa, hebat orasinya, gah langkahan tapak kakinya.Persis salinan fotokopi pejuang versi Hamzah, sang Singa Allah..


Namun, jejak realitinya tidak sebegitu. Pejuang itu, sang simbol kegagahan, adalah seorang yang lumpuh, terpapah dek kerusi roda, bicaranya kurang jelas, deria pendengarannya kabur, dan jelingan matanya tidak mampu secara utuh mengidentifikasikan siapa gerangan si lawan bicara. Semata-mata kerana impak penderaan fizikal selama berkhalwat di dalam penjara Zionis, itu habuannya..

Seandainya pakej dhaif di atas milik seorang insan biasa , nescaya dia hanya mampu berfantasi mahu menggoyahkan Zionis celaka, dengan kemampuan diri yang sangat terbatas. Bagaikan mimpi sang kudung ingin bersarung cincin..Apatah lagi, hukum bagi yang cacat dan tidak mampu ,tidaklah WAJIB berjuang di medanNya.. Tetapi tidak begitu lagaknya oleh Bapa Intifhadah ini..


Orang kata, hanya jauhari yang mampu mengenal manikam, manakah kaca manakah permata..


Hanya Allah, sang pemilik alam, si ' jauhari' yang terbaik memilih siapakah pejuang, jundullah, pilihanNya.Dia paling mengetahui mana satukah hambaNya yang paling layak kualifikasinya.


Ternyata, gagah berani, ucapan membara berapi bukanlah segala-galanya..


Ahmad Yassin adalah bukti, dalil yang pernah hidup, bersaksikan bumi luas milik Tuhan ini..Aura kekuatannya adalah pada semangat, keberanian dirinya yang luar biasa..


Al-Quran adalah wirid harian. Tinta Ilahi adalah peneman paling setia sewaktu berada di dalam kepekatan gelapnya penjara..



Sahabat-sahabat akrabnya terkesan dek semangatnya.Anak-anak muda Palestin datang berlutut, memimpikan redha dan restu untuk berjuang olehnya..Dahinya dicium, badannya dipeluk mesra lagi hangat. Mengalir ruh semangat ke dalam jiwa-jiwa yang masih hijau.Aroma jihad berkumandang ke udara, menjadi slogan pamungkas dalam melayari samudera kehidupan..


Walaupun suaranya tiadalah sesedap penyanyi di kaca televisyen, bak langit dengan bumi, tetapi tetap sentiasa komentar-komentar waja berani olehnya muncul di khalayak, bukan sekadar di Palestin, tetapi ke seantero dunia..



Warga Al-Quds sebagai saksi di depan mata, pemuda di Indonesia menggelegak jiwa, jejaka di bumi Malaysia terbakar raga jiwa, syabab fityah di belahan bumi Arab bersiap sedia berdada telanjang memikul senjata..Semua kerana orasi tidak seberapa oleh gerangan tua bernama Ahmad Yassin..





6 Tahun Silam...



Tatkala dalam sejahtera bayu pupuk sang subuh hari, 22 Mac 2004, usai Subuh berjemaah, sang berkerusi roda dijemput mengadap Ilahi. Untuk seorang tua, lemah tidak berdaya, helikopter penggempur Apatche dipanggil untuk menggalas tugas keji..

Takdir Allah lebih mengatasi segala yang lain.

Cebisan-cebisan daging merah bertebaran ke serata, kerusi roda remuk tidak bermaya..Suara Allahuakbar bergema.Sahut-sahutan antara warga, mengenalpasti siapakah mangsa..

Warga Al-Aqsa meratap hiba, ibarat dunia tersimbah neraka. Pemuda di Indonesia senyap tertunduk, menahan esak mata, jejaka di bumi Malaysia hatinya perit menderita bak matinya bonda tercinta,syabab fityah di belahan bumi Arab terkesima melongo, menderita mati punca..

Seluruh dunia berkabung duka, langit menangisi, bumi bermuram durja..




" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin dirinya, hartanya, dengan ganjaran SYURGA. Mereka berperang di jalan Allah, ada yang membunuh dan ada yang terbunuh..JanjiNya pasti haqq.."

At-Taubah (9:111)


Sejahtera buatmu As Syahid..


Buat Kita...


Ini kisah Ahmad Yasin, kisah dia dan dunianya..

Silakan bertanya pada diri.Apa peranan kita?

Lihatlah para pemuda harapan bangsa. Bercakap gaya ayam jantan bertaji, berkokok berdegar-degar..Tetapi kosong...

Pemuda lembik ,longlai..

Dengan perempuan sudah kalah. Bak lembu dicucuk hidung, menjadi hamba perempuan, membuntuti ke mana-mana sesuka rasa..Bukan halal lagi bagimu, jadi usah membodohkan diri...

Pemuda pondan, 'sotong'..

Mulut berani bicara, kalimah-kalimah Ilahi mainan di bibir..Usah bicara soal perjuangan seandainya kehangatan selimut dini hari tidak mampu anda ketepikan untuk bangun menghadapNya..Di manakah Subuh anda? Berjemaah di masjidkah? Atau bak gajah dinosaur saiznya?

Pemuda kecut ,penakut..

Anak-anak didik asuhan tarbiyah as Syahid, bercakap soal jihad dan syahid, pembebasan Al-Aqsa modal bual bicara..Pemuda kita lumpuh hampir mati, bercakap soal game, bola sepak, fesyen dan hiburan semata-mata, ibarat hidup dunia sejati.Biusan hedonisme membekas jauh ke dalam sanubari..

Dakwat emas sejarah telah mencatatkan kisah seorang Ahmad Yasin dalam lembarannya.Tempoh masanya di atas muka bumi ini telah sampai ke penghujungnya 6 tahun silam...

Kematian itu pasti, kita tidak akan mampu memilih tempat dan waktu, tetapi satu yang mampu menjadi pilihan adalah bagaimanakah caranya kita mahu mati. Mati katak yang sia-sia, ataupun mati bangga disambut Ilahi, demi sebuah kebenaran? Tepuk dada tanyalah hati..


Monolog sang bilis....

" Tak malu ke kat dia!!!Ujian sikit, hati sakit perit, pun dah down nak mati..Macam mana nak berjumpa dengannya nanti?"

" Berkerusi roda, lumpuh, bercakap dah tak berapa nak betul, mata dah tak elok..Malu la wei kat dia.Semangat, semangat, Allahuakbar!!!"


Monolog anda pula??






Perhatilah, telitilah ratapan mereka di bumi sana, bumi Al-Aqsa yang dicintai..