Sabtu, 21 Ogos 2010

Hari Ini HARI AL-QUDS SEDUNIA ; Ini Perjuangan KITA!!

Hati ini menangis pilu..

Sendu si yatim menggamit jiwa..

Tiada bapa, kehilangan bonda..

Hanya doa dan air mata kuutus bersama..

Buatmu adik di Gaza sana..



Tika dirimu berlapar durja..

Kami kenyang menggila..

Tika puasa Ramadan ke dakapan kami..

Ramadanmu pula saban hari..



Ya Allah, ya Tuhan..

Maluku pada Al-Faruq Umar..

Makannya kala marhaen kenyang..


YaRahman Ya Rahim..

Berkatilah mereka..


Ya Latif, Ya Mujib..

Kami saudara mereka..

Kuatkanlah kami untuk mengandar sama...


Allah..Allah..

Senduku di subuh Al-Quds Sedunia..






Wahai Sahabat-Sahabat,

Hari Ini Hari Al-Quds Sedunia, sempena peristiwa Al-Aqsa pernah dikejami dengan dibakar oleh seorang pengganas Yahudi, pada 21 og0s 1969..


Bangkitlah semua, jangan hanya kesian meniti di bibirmu..

Perutmu kenyang, sendawamu menggamit raya angkasa, sedangkan mereka kebulur hiba menahan lapar dahaga.

Perjuangan kita hanya sebulan, Ramadan mereka bergilir hari, tiada kesudahan..

Bangkitlah..

Sedarlah..

Doakan mereka..

Sedekahkan sebatas daya..

Khabarilah warkah terkini tentang mereka, hidupkah atau sudah syahid, laparkah atau punya rezeki..

Kenalilah musuh kita bersama, Zionis durjana..

Apa cerita akhlak kita, tilawah firman Ilahi dan pengamalannya..

Sabda Rasul letaknya di mana.. Dijunjung di kepalakah, atau dilempar hina ke tapak kaki..

Ayuh..

Ayuh...

Ini perjuangan jelata Muslim, ini ehwal kita BERSAMA..

Allahuakbar..

Allahuakbar...

Allahuakbar.....


Masalah Bersama KITA..




Peranan KITA Sahabatku, Al-Aqsa kan Terbebas, Insyaallah..



Semangat-Semangat.. ALLAHUAKBAR!!!!




Khamis, 19 Ogos 2010

SATU RASA DUA HATI ; Sebuah Motivasi Diri



Perkahwinan.. ia boleh menjadi kebun percintaan, boleh juga menjadi pusara percintaan!

Kisah, sketsa, dialog dan monolog tentang cinta dan kasih.. adunan pengalaman dan gelombang rasa di gerbang perkahwinan dan di alam rumahtangga.

Bagaimana mencipta cinta sepanjang perkahwinan?

Lebihkan Menjadi..

Sewaktu meniti hujung usia belasan tahun, saat di mana anak-anak remaja mula merangkak dewasa, sebagaimana insan lain, persoalan fitrah acapkali menjengah kamar hati.

Ya persoalan cinta..

Hati berdebar-debar, malu bersarang segan, pesona rasa ingin cinta dan mencintai sering mengintai jendela nubari.

Pada detik itu, saya dianugerahkan Allah dengan sebuah karya yang cukup berharga, pertama kali mungkin saya membaca genre sebegitu, motivasi cinta.

TENTANG CINTA namanya.


Saya belajar teorinya.

Saya baca dan hayati patah demi patah perkataannya.

Sehinggakan sering saya memberi 'ceramah cinta' kepada sahabat-sahabat yang berkenaan. Buku itu benar-benar mendidik jiwa dan raga. Alah membeli menang memakai.

Dan apa yang betul-betul saya tekankan dalam kehidupan pada detik itu, kira-kira 5 tahun silam, adalah LEBIHKAN MENJADI DARI MENCARI.

Percayalah SOLEH pasti dapat SOLEHAH. Itu janji Qurani..

Pateri buku itu melekat di hati sehinggakan sekarang.

Dan sekarang, sudah ada makalah lain, karya sang penulis.


Satu Rasa Dua Hati namanya..

Runut-runut bahasa yang digunapakai sering menunjukkan ketinggian struktur ayat dan penggunaan bahasa. Penulisnya berfalsafah cukup menawan, gaya penulisannya berstrata sederhana, mampu dicerna segenap lapisan masyarakat.

Pengalaman peribadi yang berbicara memang punya keistimewaan tersendiri. Pengalamanlah yang sering membuat seseorang itu tampak berbeza.

Tambahan lagi, adunan kalam wahyu, diserasikan dengan sabda Rasul, diolah dengan dimensi pandang yang jarang diaplikasikan manusia hamba.



Pahruol Juoi gelaran sang pencipta karya.

Dialah penulis, kolumnis majalah, editor, pencipta lirik, penulis skrip, pengacara TV serta pengendali program latihan dan motivasi.





Pakej Kebahagiaan Rumahtangga

Toniknya, tegakkan iman, amalkan syariat dan istiqamahkan budaya akhlak.

Senang diutarakan, sulit pengamalannya. Sulit, ya sulit..tetapi ini misi pasti boleh, ianya tidak mustahil.

Canang yang digegarkan penulis dirangkum dalam 20 bab.

Bab 1 : Jadi Soleh Dapat Solehah

Bab 2 : Wanita Meminang Lelaki?

Bab 3 : Bina Cinta Dengan Memberi

Bab 4 : Latihan Memberi Cinta

Bab 5 : Nilai Harga Diri Untuk Dicintai

Bab 6 : Kelebihan Suami Mengemudi Kasih

Bab 7 : Lahirkan Harmoni Di Gelanggang Ibadah

Bab 8 : Cinta Allah Dalam Rumahtangga

Bab 9 : Tanda Adanya Cinta

Bab 10 : ' Jual Mahal' Pada Suami

Bab 11 : Terapi Emosi Buat Isteri

Bab 12 : 'Imarakan Masjid' Di Rumah Kita

Bab 13 : Teliti Soal Rezeki

Bab 14 : Kita Layak Bahagia

Bab 15 : Cinta Di Depan Mata

Bab 16 : Gembira Dengan Memberi Kegembiraan

Bab 17 : Membina Perkongsiaan Melalui Perbezaan

Bab 18 : Cinta Adalah Tanggungjawab

Bab 19 : Sayangkan Dia? Luahkan!

Bab 20 : Jika Sayang, Berilah Kemaafan!


Sedutan Menarik..

Jika anda berjaya mengekalkan rasa malu, anda akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan, dan personaliti yang menarik perhatian suami. Anda akan dirindui apabila jauh, akan disayangi bila dekat. Anda dilihat cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu.

Sesungguhnya malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran. Belajarlah dari bulan mengambang cuma sekali-sekala. Bulan tidak mengambang setiap malam.. kerana dengan mengambang setiap sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia ternanti-nanti. Begitulah isteri yang masih malu, suami menjadi perindu....

Bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana?

Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan berperut boroi serta rambut kusut tidak bersikat? Anda ingin siteri anda berubah, tetapi anda berada di takuk lama juga?



Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain. ubahlah penampilan diri. Mana minyak wangi yang menjadi daya pemikat isteri anda waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu?




..Bacalah wahai sahabat. Tiada rugi melabur secebis..demi cinta, fitrah hati..

..Agar perkahwinan itu bahagia sebuah kebun percintaan, bukannya celaka sebuah pusara cinta..

Rabu, 18 Ogos 2010

Produk Ramadan : Jejaka Soleh, Perawan Solehah


Resmi manusia, sering merungut dan merungut. Lebih-lebih lagi apabila dalam keadaan lapar dan dahaga meluap-luap. Penat dan letih menambah rencah, pakej khas untuk fizikal , khas di dalam arena Ramadan.

Lelaki dan perempuan sama-sama berkejar, turun bersama, pulang berbarengan.

Suami dan isteri merengus penat dan lelah, usai tiba di muka pintu kediaman.

Si suami, dengan tangkas, melempar tas ke samping, dibuang tali leher, terus dihumban fizikal lesu di sofa empuk. Kaca televisyen ditonton, penghibur jiwa sebentar.Nikmatnya..

Namun, si isteri setia, terus menyingsing lengan, mengenakan pakaian sesuai, lantas terjun ke medan masak-memasak di pentas dapur. Keringat masih belum kering, terus keringat lain pula mahu dikerah..

" Suami aku tu sedap sahaja. Balik-balik, rehat. Aku ni.. Haisshh"

Membebel tidak berhenti. Mulut becok bak si murai, hati rimas meminta belas insani.

Kedengaran dari bahagian ruang tamu, guruh dengkur menari-nari di awangan dengan melodi tersendiri. Si suami tenggelam di alam mimpi.

Anak-anak hanya memerhati dari kejauhan, menyaksikan adegan Ramadan Abah dan Mama.


Senario Lumrah

Kisah suami dan isteri di atas adalah di antara suatu kepingan senario Ramadan orang-orang kita. Kisah benar dan nyata, di alam realiti hidup.

Sang suami santai lagi menyenangkan.

Sang isteri pula bersabung keringat dengan bawang, cili dan minyak masak di dapur.

Anak-anak pula melihat senario itu.

Implikasi kejadian ini bukan sedikit.

Bukan sekadar kepada hubungan suami isteri, malahan mungkin juga dalam proses pembentukan keperibadian anak-anak.


Suami Isteri

Kalau tidak sekepal, mungkin secubit, akan ada kesan negatif kepada hubungan suami isteri.

Dari mencebik bibir, masam mencuka, lama kelamaan cebikan itu semakin bertimbun, melahirkan perasaan tidak puas hati membuak-buak. Kesumat ketidakpuasan hati suatu hari mungkin bakal meletus, meledak.

Goncangan kepada sebuah masjid Allah, diisyaratkan bakal terjadi.

Ya sering kita lihat..

Gegaran dan letusan kecil, menjadi titik-titik yang bersambung kepada peristiwa besar, sebuah ledakan gunung berapi dan gegaran gempa bumi yang super hebat.

Jangan sesekali kita doakan, namun hakikatnya, perceraian seringkali menjadi solusi. Jangan didoakan.


Seharusnya..

Sang suami memerhati saksama. Penuh minat dan empati..

Sang isteri menyingsing baju ke lengan, tanpa merengus banyak, beransur-ansur ke dapur.

" Isteriku yang kusayangi, ku cintai. Dia yang kunikahi kerana cintaku kepada Allah.. Ibu mithali kepada anak-anakku.."

Monolog seorang suami, membelai-belai hati dan sanubarinya.

Sama-sama penat, sama-sama memerah keringat. Rehat yang diimpikan, biarlah bersama. Kalau keringat mahu dikerah, biarlah saling mengelap titisan lelah.

Si suami melangkah berjiwa perkasa ke medan tempur dapur. Ego seorang lelaki berjaya dikalahkan. Jiwa Sunnah Rasulullah berjaya memenangkan pertempuran melawan ego lelaki..

Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik terhadap isteri-isteri kalian.
[Diriwayatkan oleh Tirmidzi}

Dan besar ganjarannya kepada pembuat juadah ifthar. Mungkin sekadar menyiang bawang merah dan putih, mengacau air teh pelepas dahaga. Tetap ianya dikira menyediakan juadah berbuka. Hanya Sang Ilahi yang memberi balasan pahala.

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa tidak dikurangkan walau sedikit.” (hadis riwayat al-Tirmizi)

Serampang dua mata layaknya. Ringankan beban isteri, bermesra ala Rasulullah, sambil menyediakan juadah berbuka puasa. Tinta-tinta Raqib kering menulis buah-buah pahala yang dibaja dan disemai subur di medan dapur. Semoga ada berkatnya.




Anak-Anak Pula..




Anak-anak memandang kejauhan.

Sama ada itu episod romantik atau satu adegan zalim, anak-anak kecil tidak mengerti.

Mereka hanya melihat dan menyaksi. Pasang-pasang mata itu menangkap isyarat. Dari mata, isyarat diproses dan disimpan di dalam memori fikir sang anak.

" Oh, begini rupanya kalau Mama memasak di dapur"

Anak-anak banyak belajar dari melihat, menggunakan deria mata. Tangkapan melalui pancaindera telinga jarang tertangkap ke akal fikir. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri gamaknya.

Inilah tarbiyah yang sering manusia terlepas pandang. Anak-anak melihat ibu dan bapa sebagai contoh.

Ibu bapa solat dan mengaji Al-Quran, anak-anak juga datang tertunggang-tonggek bersolat sama.

Ibu bapa berbahasa kesat dan negatif, tidak janggal alunan dialog 'salbiah' juga yang bakal kedengaran dari mulut si jantung hati.



Abah ke dapur, menghulur tangan kepada Mama. Diam-diam si permata hati menyelinap sama ke dapur. Bukanlah diharap si anak menyiang ikan atau membuang kulit ayam, apatah lagi menjadi chef pemasak gulai dan tomyam, cuma inilah didikan dini buatnya.

Besarnya nanti bakal menjadi perawan solehah, sering di dapur. Beruntung suami beristerikan solehah yang pandai membawa diri, berbakti kepada suami dan keluarga.

Kalau anak itu lelaki, besarnya nanti, semoga metamorfosisnya seorang jejaka soleh. Sering bertandang meringankan beban seorang isteri di kala penat dan lelah. Seorang suami yang empati memahami, lagi mengasihani.

Inilah didikan tarbawi yang diwarisi.

Inilah produk Ramadan yang diimpi, betapa berkatnya usrah mithali..

Isnin, 16 Ogos 2010

Ke Pangkal Jalanlah Wahai Syiah Melayu..

Antara Kasih dan Cinta..

Antara Sayang dan Rindu..

Kita cintakan Rasulullah dan keluarganya..

Ali dan Fatimah..

Hasan, Hussein, Zainab Al Kubra dan beradiknya..

Semuanya di hati..

Tetapi kita tidak meraikan CINTA yang melampau..

KASIH yang sesat..

RINDU yang gila..


Syiah MELAYU..

Dari luar Islam diserang..

Dari dalam juga tidak ketinggalan..

Akhlak semakin bejat, bahasa akidah juga terancam sakit..

Kembalilah kepada pemahaman Al-Quran dan Sunnah dengan suluhan ulama-ulama muktabar yang diyakini elok..

Semoga Ramadhan ini meningkatkan TAQWA kita kepadaNya..

Dan selamatkan mereka yang tersesat dalam komplot Syiah sesat dan menyesatkan ini..









Pintu taubat sentiasa terbuka. rahmatnya sentiasa menghujani segenap penjuru langit..

Allahumma yahdiihim Ya Allah..

Ya Allah, tunjukkanlah sinaran hidayh kepada hamba-hambaMu yang tersesat..


p/s :

Untuk lebih mengenali Syiah, klik DI SINI.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Ijazah TAQWA Universiti RAMADHAN

Perlahan-lahan Abu berjengket ke dapur rumah. Berhati-hati sebaik mungkin.

Abah di beranda, jangan digerakkan lena yang mendodoi.

Ibu di kamar, masih berselubungkan kain sembahyang, sedang asyik melayan tadabbur ayat-ayat Qurani.

Langkah diteruskan, menapak sehalus daya, ibarat sang pencuri mahu membobol rumah di gelap malam.

Jam 3 petang. Sisa 4 jam sungguh mengazabkan.

"Lambat betul nak berbuka"

Monolog sang hati mendayu-dayu. Keroncong sang perut terus membuat fikiran kacau, lagi caca merba.

Peluang sudah terhidang di depan mata. Sisa kuih dari sahur tadi menggamit-gamit rasa sukma jiwa.

Dicapai cepat, hampir dimamah lahap. Tiba-tiba...

" Abah dan Ibu tidak nampak. Tapi Tuhan nampak... Aku berpuasa untukNya"

Dengan kehendak Yang Maha Esa, puasa seorang Abu terselamat.




Namanya Taqwa

Istilahnya TAQWA..

Inilah matlamat akhir perintah puasa, agar manusia menjadi insan taqwa.

"Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah" [Surah al Baqarah:183]

Ya TAQWA..

Abu tidak sanggup mencicipi kuih di depan mata, kerna sebuah TAQWA.

Hadir perasaan hadirnya Tuhan di setiap tempat dan ketika. Kosong kebarangkalian untuk melarikan diri dari pengetahuan Tuhan. Usaha yang sia-sia pasti..

Tetapi..

Dalam rentak tari kehidupan seharian, kadang-kadang TAQWA itu tenggelam timbul.


Taqwa Sekular..


Abu dan Siti masih lagi berbonceng mesra ke medan berbuka..

Siti, Minah dan geng-geng mesyuarat tingkap masih lagi 'berdiskusi hal ehwal dunia' menjelang waktu berbuka..

Perlumbaan berbalas pesanan ringkas antara anak Adam dan Hawa, serta maraton gayut di dini hari.

Puasa Ramadan itu seakan-akan sudah hilang matlamatnya..

Seakan-akan hanya sebuah ritual tahunan, berkunjung ke laman peribadi.

Teringat ungkapan dialog di antara Ubay bin Ka’ab dengan Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhuma:

taqwa-hati-hati

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab radhiyallaahu ‘anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubay menjawab (dengan bertanya soalan):,”Pernahkah engkau lalu di jalan yang banyak duri?” Umar menjawab, “Sudah tentu!” Ubay bertanya, “Justeru apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab, “Aku akan mengangkat sedikit kainku dengan aku akan melangkah dengan berhati-hati.” Ubay berkata, “Itulah yang dimaksudkan dengan TAQWA”


Ya..

Taqwa sebagaimana Umar bertaqwa itu sudah pudar, sedikit demi sedikit..

Hidup ini sebuah penilaian ujian dari Ilahi. Hati-hati dalam melangkah..

Sama ada insan itu miskin atau kaya, cantik atau hodoh, pandai atau bodoh, itu bukanlah skema betul salah di sisiNya..

Kayu pengukur itu adalah TAQWA.


Taqwa Seorang Solo

Tidak mampu berkahwin, berpuasa itu terapinya. Ini pesanan insani dari Nabi junjungan dikasihi.

Bukan disebabkan puasa itu menggunakan tenaga dan sekadar mengekang bateri pemanjang hayat nafsu, tetapi kerana matlamatnya adalah sebuah TAQWA.

Takutkan Tuhan, manakan berani berdua-duaan m
esra di kebun bunga, memadu asmara.

Malukan Tuhan, apakah masih ada perkasa di mata untuk memandang berahi anak dara sunti.


Bimbangkan Tuhan, mahukah lagi bersimpuh santun dalam majlis mengumpat di beranda rumah.




Segankan Tuhan, adakah cantik berbarut sarung nangka, terjulur sana terhimpit sini, memakai baju adik sendiri..


Universiti Ramadhan

Resmi memasuki gerbang ilmu di universiti, segulung ijazah pasti menjadi impian hati.

Tiada guna jejak kaki di universiti tetapi keluarnya menggenggam kosong buku lima.

Ijazah itu sebagai bukti, tujuan akhir sudah didakap diri.

Dan begitu juga Universiti Ramadan ini..

Penuh pengharapan kita masuki,

Agar keluarnya kita nanti,

Menggenggam segulung ijazah TAQWA hakiki...





Rabu, 11 Ogos 2010

Aku Merinduimu Wahai Bonda Zainab Al Ghazali..

Sejarah banyak memahat sirah hebat.

Sentiasa kisah orang-orang hebat, ditulis dengan tinta darah dan air mata.

Berjuang di jalan Allah, ada yang membunuh musuh dan ada juga yang dibunuh musuh.

Dan resmi pejuang, janji Tuhan sentiasa tersemat erat, didakap kejap di dada hati.



Cerita Seorang Bunda Mujahidah


" Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki"

Tongkat..

Cemeti..

Digantung kaki ke atas..

Dikurung dengan anjing-anjing yang ganas..

Direndam seharian dalam penjara air..

Dipenjara dengan tikus..

Inilah antara seksaan yang ditimpakan kepada seorang perempuan tua bergelar ibu dan isteri.

Seksaan sehingga badannya susut.

Seksaan yang hanya berhenti apabila tuan empunya badan sudah hilang kesedaran. Sudah di luar batas manusiawi perlakuan sebegitu.




Kepada Diriku dan Sahabat-Sahabat

Tatkala saban hari cerita bayi dibuang, kes rogol dan zina, semuanya berleluasa.

Terasa sempit dada memikirkannya. Bayi-bayi mungil itu akan bertanya di akhirat kelak, atas sebab apakah aku dibunuh.

Ya Allah,ya Tuhan..

Bukanlah disebabkan merasa diri sendiri baik atau bagaimana, cuma terasa sangat pilu dengan keadaan umat kita sekarang.

Seakan-akan sudah tiada guna perjuangan yang dibuat selama ini.

Resmi perjuangan Rasulullah, sebagaimana dipaparkan bunda Zainab Al Ghazali, kita harus optimis dan positif.

Apabila datangnya aral perjuangan, terasa jemu dan lelah, dipandang serong manusia, ingatlah bahawa inilah tabiat agama.

Orang mukmin itu sentiasa layak untuk diuji, sentiasa.

Tiadalah kita sehebat bunda Zainab, kita harus malu padanya.

Semata-mata kerana mempertahankan kalimah Ilahi yang hak, dia sanggup mengorbankan segala-gala.

Hampir sahaja kehormatannya dicerobohi musuh Allah, tetapi kudratnya yang hampir hilang mampu menyebabkan ajal seorang lelaki iblis.

Subhanallah, pertolongannya datang kepada hambaNya yang memerlukan..


Motivasi Kurniaan Ilahi

Setiap bait bicaranya di dalam penjara, dilafazkan dengan penuh penghayatan.

Bacalah wahai sahabat, bacalah kisah seorang muslimah pejuang.

Kita belum lagi diuji dengan seksaan penjara, hanya dugaan masa terluang, sedikit belaan perempuan bukan mahram, kita sudah berkira-kira mahu mengangkat bendera putih. Betapa lemah jiwa perubahan seorang pejuang akhir zaman..

Bumi Gaza masih lagi terkongkong dek Yahudi Zionis..

Remaja lelaki dan perempuang terkulai di lembah nafsu..

Bayi-bayi tidak berdosa lahir tanpa bapa dan ibu di sisi, tanpa nama, tanpa azan dan iqamah di murni telinga.

Masih banyak, dan banyak..

Banyak tetapi tidak mustahil untuk SEMBUH.

Ceritalah wahai bunda, ceritalah..

Di dunia, hanya HARI-HARI DALAM HIDUPKU sebagai saksi bicara.

Semoga di SYURGA, langsung ke daun telinga, kami mendengar coretanmu.

Aku merinduimu wahai bunda..



Rabu, 4 Ogos 2010

IKHTILAT ; Sebuah Ceritera ROBOT dan MANUSIA


Adam dan Hawa itu hasil nukilan Tuhan.

Sang Penguasa Alam mengetahui akan perihal tingkah dan laku makhluk ciptaanNya. Adam dan Hawa punya cas yang saling menarik.

Fitrah dicampakkan kepada hati Adam untuk berkehendakkan Hawa. Begitu juga citarasa hati seorang Hawa, kepingin bertemankan seseorang di sisi.

Dan di sinilah Tuhan mengajarkan Adam untuk memperisterikan Hawa , melalui akad nikah untuk menghalalkan hubungan dua makhluk Tuhan ini.

Tuhan menjadikan Adam dan Hawa sebagai datuk nenek makhluk bernama manusia. Manusia insan yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian.

Malaikat hanya punya iman, haiwan pula hanya bersarangkan nafsu dan manusia dihiasi iman dan nafsu. bergabung kedua-duanya.


Ikhtilat..

Arab membahasakannya sebagai ikhtilat.

Melayu memanggilnya sebagai pergaulan.

Dan bila disebut pergaulan, istilah merujuk kepada pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Datangnya Islam bukan untuk melarang pergaulan, tetapi untuk mengawal pergaulan.

Larang itu maksudnya TIDAK BOLEH, dan kawal pula bererti ada yang BOLEH dan ada yang TIDAK.

Sesuatu yang berbeza fahamnya.

Petunjuk sudah diberikan olah Tuhan Yang Maha Esa, Sang Pencipta.

Apabila dikatakan sebagai Pencipta, Dia pasti mengetahui semua secara terperinci tentang ciptaanNya.

Pereka sebuah kereta lumba Ferrari mengetahui dengan jelas selok-belok jentera bikinannya, hatta untuk satu nat dan bol, sang pereka itu faham A, B dan C nya.

Begitu juga lampu isyarat. Ada ketika untuk merah, oren dan hijau. Manusia menciptanya. Tetapi cubalah mengendarai kenderaan sesuka hati anda.

Sama ada hijau, merah ataupun oren, aku punya kereta, suka hatilah aku nak berhenti atau bergerak bila.

Alamat Malakul Maut akan segera menjemput.

Apatah lagi Tuhan, sang Kholiq, sang pembikin manusia, lelaki dan perempuan.Ada peraturan dan undang-undang yang harus diikuti kita sang hamba.Dia lebih mengetahui kenapa dan mengapa..


Antara BOLEH dan TIDAK

Tidak perlu diungkap berpeluk tampar, bercuit cubit, dan bergesel mesra. Itu adalah wahana yang mengundang murka Tuhan, jelas dan tidak perlu dipertikaikan.

Bergesel-gesel di dalam gemerlapan disko.

Bercuit cubit dalam berprogram.

Semuanya membangkitkan resah dan gelisah kepada hati. Hati yang tenteram dengan cahaya iman, pasti sensitif dengan sentuhan dosa.

Bimbang lama kelamaan, kalau dibiasakan, takut dosa sudah tidak dianggap dosa.

Hati sudah kebal, dosa bermetamorfosis menjadi lumrah.

Senipis kulitbawang iman itu juga turut terhakis.



Antara MELAMPAU dan CUAI



" Kita tak boleh pergi program agama tu. Ada ikhtilat.. Laluan ikhwan dan akhwat tidak pula diasingkan. Tabir pula penganjur tak gunakan!"

Seorang pencinta Islam, mengeluarkan doktrinnya.


" Sami'na wa ato'na (kami dengar dan kami patuh), ya ukhti!"


Gerabak ukhuwwah di belakang menurut saksama.

Ketam berjalan senget, habis senget gerombolan anak ketam. Manakan berjaya lurus jalannya.


" Aduh.. sakit la cubit-cubit ni. Ke sini kau.. Biar aku balas balik!"

Seorang ukhi mengaduh sakit sambil mengejar ikhwan yang mencubitnya tadi. Dikejar bukan dengan parang, tetapi kejarannya ala-ala manja, seperti cerita-cerita Melayu dahulu.


" Gurau senda ini kan merapatkan ukhuwwah sesama. Bukan kita duduk berdua-duaan pun. Kita kan sedang mesyuarat. Sambil mesyuarat, gurau-gurau sikit la!"


Sang 'ikhwan soleh' berhujah mantap.

Gurau senda melahirkan ukhuwwah dan percaya.

Jamaah mesyuarat gamat. Anak-anak dara versi muslimat ketawa menyeringai. Jejaka muslimin, dalam menunduk malu, sempat mencuri pandang, menatap mana licin dahinya.


" Melihat untuk mencari calon isteri!"

Perangkap kerabat iblis menyelinap ke dalam sanubari jamaah mesyuarat.



Dan ada juga pernah saya saksikan dengan mata sendiri suatu peristiwa penghalal 'dating' aka mesyuarat.

Alkisahnya, dalam sebuah masjid, di penjuru, seorang ikhwan didindingi dengan sebuah tabir, sedang bermesyuarat dengan seorang ukhti.

Tertanya-tanya juga apakah agenda agama yang dibincangkan mereka. Bicara mereka disaksikan orang ketiga, syaitan namanya.

Saya terkedu, terkejut.



Sinergis MUSLIM dan TABIR

Ya antara MELAMPAU dan CUAI.

Betul ada ayat Quran mengatakan perihal hijab atau tabir dalam urusan lelaki dan perempuan.

Bahkan ada tetapinya.

Ulama berselisih pendapat tentang kewajipan bertabir. Boleh dibaca DI SINI.

Sesiapa yang mahu ada tabir dalam urusannya, anda Muslim dan saya Muslim, kita berlapang dada.

Sesiapa yang mahu sekadar berhijab di hati, menundukkan pandangan dan berbicara yang elok semata, anda Muslim dan saya Muslim, kita masih bersapa salam.

Jangan sesekali MELAMPAU dalam beragama.


" Saya mahu solat, tidak mahu tidur-tidur!"



"Saya mahu puasa tanpa berbuka!"



" Saya tidak mahu berkahwin!"


Merah padam muka junjungan Muhammad Rasulullah.

Dipandangnya para sahabat bertiga.Sorot matanya tajam menghiris raut wajah mereka.



" AKU adalah orang yang paling berTAQWA antara kamu semua!!"


Berpuasa tetapi tetap berbuka, bersolat tetapi masih ada ruang melelapkan mata, dan beribadah khusyuk dan masih juga beristeri.

Dan jangan juga CUAI dan ALPA..

Usah diremeh-remehkan hal beragama.


"Tidak mengapa. Tuhan tahu kita sibuk, tidak sempat nak solat"


" Asalkan solat, solat pakai niat cukup!"



" Cukuplah solat seminit je. Asal dirikan solat, lepas tanggungjawab!"


Kefahaman Robotik

Islam memanusiakan manusia, itu tujuannya.

Islam tidak mengembangbiakkan 'robot-robot' agama.

Ikhtilat manusiawi dipagar didikan agama, dan agama menjadi pegangan manusia dalam mematrol ikhtilat.

Pada era Rasullullah, Rasulullah melepaskan sepatu sewaktu sewaktu menziarahi tanah perkuburan dan tatkala di dalam masjid, sepatu dibawa masuk untuk bersolat juga.

Hadis itu betul dan sahih. Benar-benar perlakuan Rasulullah..

Dan manusia ' robot' ada yang percaya membuta tuli atas nama Sunnah dan mengikuti Nabi.

Kaki bertelanjang di kuburan, berkasut litup di karpet-karpet masjid. Manusia lain pelik memikirkan perihal ahli agama. Sunnah rasul kata mereka.

Padahal zaman Rasulullah, Baqi' dan perkuburan lain itulah tanah pasir. Padanlah sepatu Rasulullah dilepas.

Dan di beranda Nabawi, butiran batu bersimpang siur di jalanan. Patutlah bersepatu ketika solat.

Dan di zaman kita, di bumi kita Tanah Melayu, kuburan itulah lecak dan tanah merah berselut, dan masjid siap elok berpenghawa dingin, berkarpet litup.

Manusia-manusia robot salah memahami agama..

Wajah buruk terpampang dek contengan arang manusia robot.

Ikhtilat KITA..


Ikhtilat tetap ikhtilat..

Tabir sentiasa rupanya tabir..

Sama ada tabir itu fizikal pemisah ruang, ataupun bertabir litup menjaga niat dan pandang, tabir itu sentiasa relevan, ke akhir zaman.

Keadaan boleh berubah, dan hukum juga ada transformasinya.

Jangan menjadi robot dengan statiknya kefahaman.

Sila sesuaikan dengan keadaan dan tempat. Asalkan tabir itu sentiasa wujud.

Di pasar dan keramaian, bertabirlah.

Ketika mesyuarat dan program, juga jangan lupa bertabir.

Dan sematkan di kepala, ingatkan di hati,

Antara MELAMPAU dan CUAI, KITA adalah MANUSIA, BUKANNYA ROBOT!

Isnin, 2 Ogos 2010

10 Minit Mencari CINTA



Siang dan malam itu orbitnya 24 jam.

24 jam yang sama untuk setiap manusia.

Apa yang berbeza adalah bagaimanakah caranya peruntukan 24 jam itu digunakan oleh setiap manusia.

Dan manusia sangatlah sukar untuk istiqamah dalam kehidupan sehariannya.

Kadang-kadang iman naik mendaki bukit, dan adakalanya menjunam drastik menuruni cerun.


Yang Terbaik..

"Amalan yang terbaik adalah yang berterusan walaupun sedikit"

Hadis riwayat Muslim ini menceritakan perilaku amalan yang terbaik.

Banyak secara pukal bukanlah yang terbaik, kerana ia senang mendatangkan jemu untuk beribadah.

Sedikit tetapi istiqamah dalam melakukannya lebih disukai.

Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, kata nenda Melayu kita.


10 Minit

Disiplinkan 10 minit setiap hari melakukan ibadah tertentu, anda akan istiqamah melakukannya.

Ya, hanya 10 minit.

Sedangkan ber'facebook' berjam-jam lamanya, layan Hindustan atau Korea 3 jam terasa sebentar.

Alah bisa, tegal biasa..

Begitulah Abdul Malik al -Qasim mengajarkan dalam coretan tintanya, 10 Menit..


Antara 10 minit itu..

Solat Duha

Baca Al-Quran

Selawat

Solat jenazah

Zikrullah

Tasbih, tahmid dan tahlil

Bersama anak

Berdoa

Muhasabah diri

Qiyamulail

Membaca

Telefon bertanya khabar

Hafal hadis

Menolong isteri

Berziarah

Mulakan sekarang..



Apa yang penting, mulakannya sekarang.

Bertangguh-tangguh itulah perangkap syaitan.

Bertangguh tidak akan selesai sehingga detik akhir penamat nyawa.

Jom mulakan, sama-sama 10 minit mencari CINTA.

Pilih satu idaman anda, teruskan istiqamah.

Semoga bermanfaat (^^,)V