Jumaat, 28 Mei 2010

SUMPAH, saya dah TAUBAT dari JUDI!!



Suatu ketika dahulu, sekitar pada tahun 1994, saya masih di darjah dua. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Chempaka, sebuah sekolah di pinggir bandar Kota Bharu.

Adegan biasa seorang anak kampung, sementara menunggu abah datang menjemput pulang, saya dan kawan-kawan akan bertandang ke gerai-gerai menyediakan makanan ringan di sekitar sekolah..

" Aku boleh RM 1"

"Aku boleh Coca-Cola 1 liter"

Oh, rupanya ada mainan baru yang mengasyikkan.Kawan-kawan semua berkerumun.Beli sahaja satu nombor yang terpampang antara deretan nombor, kalau ada rezeki dan tuah, 20 sen yang dilaburkan boleh mendapat balasan yang lebih besar..

20 sen beli, dapat RM 1. Dapat air karbonat percuma dan segala-galanya.Dan ada juga yang kecewa, pulang berlenggang kosong.

Untung..Untung..

Kami tergelak bersama..

Sekali Bismillah, satu nombor dipilih. Agar berkat nama Tuhan dalam segala urusan kita, kata bonda di rumah. Tetapi Bismilllah tadi tidak cukup berkatnya, nasib tidak menyebelahi..

Hampa, kecewa..

Orang sebut main tikam. Kami budak-budak Kelantan sebut main ' ni'ke ' .. Seronok melihat diri dan kawan-kawan bergelak ketawa. Dapat hadiah air, minum kami secara berjemaah. Tidak dapat apa-apa, kami tetap ketawa mengenangkan nasib yang dirundung malang..

Anak-anak berumur 8 tahun yang bergelar mumaiyyiz, belum dapat membezakan baik dan buruk..


Cikgu kata..

" Balik nih bo (jangan) la gi ni'ke lagi, doso (dosa). Tuhe maghoh, masuk nerako!!"

Seorang cikgu menasihati kami, anak didiknya. Cikgu tahu gerak-geri kami. Lagipun anak sehijau ini mana mungkin pandai berbohong. Nakal mungkin, jahat tidak pernah sekalipun kami fikirkan..

Aura sentuhan kasih sayang sang cikgu menyentuh hati kami. Kami anak murid yang tidak tahu baik dan buruk..

Rupanya inilah satu bentuk judi yang kami pernah dengar dari cakap-cakap ustazah dalam kelas Agama Islam..

" Judi ini HARAM!! Kamu semua anak yang soleh dan solehah. Ingat pesan ustazah.." suatu hari ustazah yang disayangi berbicara.

Kami tersengih-sengih bak kerang busuk, mengiyakan.

"Kami tidak akan berjudi!!" sepakat kami sekelas.

Sepakat untuk tidak berjudi dengan kedhaifan diri yang masih tidak tahu, apakah itu sebenarnya JUDI..


Kesian Cikgu, Ustazah dan Mama!!

Itu kisah lebih kurang 15 tahun silam.Saya masih ingat..

Sekarang, fikiran saya berputar ligat. Di manakah pangkal silapnya..

" Melayu ni teruk.. Pencen-pencen umur dah tua pun, masih lagi jadi tahi judi!!" curahan hati seorang pak cik pemandu teksi. Pada waktu itu, saya dalam perjalanan dengan teksinya di Ampang.Saya mendengar dan mendengar curahan pengalamannya sambil tersenyum seraya sedikit memberi komentar..

Melalui lorong-lorong di Negeri Sembilan, Melaka, pada cuti yang lepas, fenomena ini bukan lagi kuman di seberang laut, tetapi telah bertransformasi kepada sebesar-besar gajah di depan mata..

Saya hanya tersenyum tersendirian. Ada benarnya..Sepasang mata ini menjadi saksi, memandang gejala ini di bumi Hang Tuah dan tanah Minangkabau, namun, hakikatnya saya percaya di mana-mana pun gejala ini ada, sama ada secara rasminya ada lesen HALAL ataupun dibuat secara haram..

Kenapa ada mereka yang berjudi?

Mereka juga ada cikgu, punya ustazah dan memiliki ibunda tercinta, seperti saya dan kawan-kawan.

Nampaknya, cikgu, ustazah dan mama mereka pasti sangat kecewa..


Wahai Tuhan, saksikanlah!!

Setiap orang ada salahnya. Sama ada kecil atau besar..Dan orang yang berbuat salah dan dosa ada jenisnya. Jenis yang terbaik adalah tahu dan sedar akan kesalahan dan dia BERTAUBAT..

Untuk orang yang melihat orang lain berbuat salah, adalah suatu TANGGUNGJAWAB untuk menegur dan membetulkan mana yang silap. Menegur adalah tanda kasih dan cinta..

Marah seorang ibu apabila melihat bayinya memegang pisau tajam ,adalah tanda cinta.

Menegur seorang kawan yang berbonceng motorsikal dengan bukan mahramnya, adalah tanda persahabatan sejati.

Dan memberikan pandangan berbeza serta nasihat kepada pemimpin adalah tanda SAYANG sebagai seorang rakyat dan saudara.Rakyat yang baik mahu melihat sang pemimpin berjiwa adil dan sentiasa dirahmati oleh Tuhan..Rakyat yang bobrok akan mengatakan YA kepada semua benda..

Dan dari saya, saya tidak mahu berhujah tentang JUDI BOLA dan komplikasinya. Banyak yang sudah berbicara kecuali mufti-mufti belum bersidang dan Majlis Mufti terkesima, diam seribu bahasa.

Anak-anak berjudi tikam ekor di kampung, siapa mahu bicara..

Pak cik-pakcik berlaga ayam sabung di hujung belantara, siapa mahu menegur saksama.

Kakitangan kerajaan singgah sebentar di kedai SPORTS TOTO, siapa mahu turun menyapa.

Dan bila Piala Dunia membuka panggungnya, JUDI BOLA diHALALKAN oleh BERJAYA, siapa mahu menanggung dosa dan celaka.

Cikgu-cikgu sudah berusaha, ustazah-ustazah kering tekak menasihat pelbagai, bonda-bonda menyapa penuh sayang dan cinta.. Tinggal anda sang pemimpin untuk melaksana..

Saya tidak rela,kami tidak rela..

Saya mungkin berputih mata di dunia, tetapi di akhirat, apabila MAHKAMAH ALLAH bersidang, saya yakin setiap bicara insan akan didengar saksama.

Kita semua mahu berjemaah di bawah naungan SyurgaNya, bukan dengan MENGHALALKAN judi tiket masuknya..

Wahai Tuhan, saksikanlah aku sudah menyampaikan!!!

Rabu, 26 Mei 2010

Demi Sebuah AMANAH KECIL ini!!!



" Ali, aku nak pinjam buku kau!!"

" Aku pinjam pendrive kejap ye!!"

"Pinjam VCD ni. Macam bagus je cerita dia!!"



Antara dialog lazim yang muncul di bibir sesetengah di antara kita. Meminta, meminjam dengan bermanis muka, bersusun kata, dengan teman sekeliling.

Fenomena biasa..

Lumrah..

Ada peminjam, benda dipinjam dan tuan empunya barang yang dipinjam..

Tetapi sedarkah kita, bahawa fenomena ini banyak mengundang noda-noda dosa??



Pandang Remeh..

Menyusun bahasa bicara bak menanam tebu di pinggir bibir, bersungguh-sungguh mengolah kata, lantas si tuan berkata..

" Ambillah.Nanti hantar balik ye."

Sesetengah manusia apabila sudah mendapat gading bertuah yang dihajati, langsung dia secara automatik terlupa kepada perkataan HANTAR BALIK..

Pinjam motor elok bersih, jangan dihantar comot terpalit lumpur dan kotor..

Pinjam buku putih bersih, tiada kedut, jangan dibawa kembali koyak rabak, berkedut seribu..

Dan pelbagai jenis senario yang mewarnai kehidupan kita pada hari ini..

Manusia MEMANDANG REMEH perihal ini..

Enteng, sebelah mata itu perkataannya..

Padahal si tuan, sangatlah menghargai barang miliknya, walau harganya mungkin seberapa cuma..

Ini belum lagi kes menghilangkan, memberi pinjam kepada orang lain dan sebagainya..

Pedih, menderita hati si tuan gerangan..


Dosa Kecil..

Membuat hati kecil manusia lain tersayat derita, menahan nestapa marah, tidak mampu disangkal lagi adalah sebuah DOSA..

"Ala, benda kecil je pun!!"

"Itu pun nak berkira!"

"Dosa kecil je, bukan aku berzina ke mencuri ke pe!!"

Antara bidasan biadap sesetengah peminjam yang tidak pandai berakhlak budi. Santun kata tidak menjadi perhiasan dirinya lagi.Madu habis diratah, apa lagi gunanya sepah yang hina dina..Entah ke mana hilangnya bahasa sopan, bunga diri..

Cuba kita perhatikan bersama..

Sewaktu kita berdepan dengan Perdan Menteri, sanggup tidak ketika mahu bersalaman dengannya kita melepas angin gempita dengan diiringi bau yang nian busuknya..

Dengan teman-teman, mungkin itu perilaku biasa, menjadi senda gurau lawak jenaka.Tetapi, adakah ini masih lagi JENAKA ketika dilakukan ketika berdepan dengan manusia paling besar jawatannya di tanah air kita?

Yakin saya bahawa semua tidak akan melakukan adegan ini.Hatta dalam mana-mana situasi sakit perut yang paling kronik sekalipun, pasti angin itu tidak akan dilepas semena-mena..

Silap-silap, kita ditahan oleh para pengawal peribadi atau pihak polis atas cubaan mahu memalukan Perdana Menteri. Ini bukan suatu dosapun, tetapi hakikatnya manusia itu adalah Perdana Menteri, wajar dihormati selayaknya..

Begitu juga kita...

Jangan sesekali kita melihat kecilnya dosa yang kita lakukan, tetapi lihatlah keengkaran, kemarahan siapakah yang kita cetuskan!!

Lihatlah kepada Zat Maha Agung manakah yang kita durhakai!!

Sedangkan diri seorang manusia bergelar PM kita sangat takut untuk melakukan kesalahan di hadapannya, inikan pula Tuhan pencipta seorang PM dan kita..Itu sejelasnya lebih-lebih lagi perlu diutamakan..

Tatkala sedang meremehkan episod dosa, tiba-tiba malakul maut datang menjemput pulang. Dosa hanya dilakukan apabila sudah tiada TAKUT dan RASA BERDOSA di dalam hati..

Kepalang celaka seandainya detik akhir kita adalah saat kita mendurhakai Tuhan, mencetak mata-mata dosa ke dalam akaun peribadi kita..

Astagfirullah....


Ramai Yang Buat..

Bilangan ramai atau sedikit bukanlah tolok ukur kebenaran suatu perkara.

Kalau dikira ramai adalah suatu KEBENARAN, nescaya pengikut-pengikut ajaran sesat seperti Kahar Ahmad, sang Rasul berketurunan Melayu, Ayah Pin Kerajaan Langit, pasti benar.Jumlah mereka tidak sedikit..

Tetapi realitinya tidak begitu..

Kayu ukurnya adalah setakat mana jitunya pegangan terhadap kata-kata Allah dan sabda RasulNya..

Walau sedikit di awal perjuangannya, bersama Khadijah , isteri nan setia , dan Abu Bakar, teman pendamping berkongsi jiwa raga, Rasulullah tetap berada di atas kebenaran..

Dan sememangnya Islam akan kembali menjadi asing, perlakuan manusia yang mahu membumikan Islam menjadi pelik dek khalayak ramai..

Tetapi itulah jalan bahagia, denai syurgawi yang telah dirintis Muhammad Al-Amin, 1400 tahun nan silam..


Jagalah Amanah Ini!!!

Saya juga insan biasa, tiada kekebalan terhadap semua karat-karat dosa ini, Tetapi yang penting adalah saya, kamu, dan kita semua harus sedaya upaya untuk mencuba dan terus mencuba..

Tika sang tuan menghulurkan kata " Ambillah" , dia juga mengikatkan kata itu dengan sebuah ikatan janji. Sebuah janji agar nanti barangnya nanti akan tetap selamat kembali ke pangkuannya..

Inilah amanah namanya.Al-Amin itu sikap pelakunya..Watak yang sejarah mencoretkan dalam tinta emas kepada seorang insan agung bernama Muhammad Bin Abdullah..

" Seandainya ada seekor keldai didapati terpelesek di Iraq, nescaya akulah orang yang bertanggungjawab atas kecelakaan tersebut!!"

Ini petikan bicara As-Siddiq Abu Bakar..

" Sekiranya nanti( di akhirat) diumumkan senarai orang masuk ke syurga kecuali seorang, maka aku merasakan orang itulah AKU!!!"

Umar, Sang pembeza kebenaran dan kebathilan, senandung pilunya ketika melihat seekor kambing rakyatnya mati, hingga membuatnya terasa sangat bersalah dan merasakan kematian kambing itu adalah disebabkan kelalaiannya..

Diari amanah Abu Bakar dan Umar, tercatat kukuh di lipatan sejarah..

Kecil pada pandangan manusia bilis seperti kita, tetapi BESAR dan CELAKA bagi mereka.. Kerana bukan dek kecilnya seekor kambing, buruknya seekor keldai, tetapi kerana AGUNG dan MAHA BESARnya sang PEMILIK ARASY..

Ratapan pilu dan sendu duka mereka sebagai dalil dan bukti..



Kita..

Wahai diriku dan sahabat,

Tatkala AMANAH yang SEKECIL inipun tidak MAMPU kita TUNAI, apakah kita mampu MENGHARAP kita kan melihat ISLAM akan tegak di tanah air kita!!

Usah bicara korupsi orang, pecah amanah si fulan, seandainya padakita, AMANAH KECIL inipun gagal kita laksanakannya..

Usah bicara IKUT SUNNAH, kalau AMANAH KECIL inipun sang nafsi membelakangkan jiwa Al-AMIN Muhammad..

Wahai diriku,

Demi sebuah AMANAH KECIL ini!!





Isnin, 24 Mei 2010

Selamat Hari Lahir Mama Tersayang....


“Mak kita ni satu je,tiada yang lain..,”bicaraku kepada seorang sahabat..

Matanya memandang lantai,tertunduk..

“Isteri,sesayang manapun kita padanya,kalaulah sudah meninggal dunia,boleh lagi dicari galang gantinya,”perlahan aku lafazkan bait-bait kalimah..

“Ibu kita,ibu yang mengandungkan kita Sembilan bulan sepuluh hari,menyusukan kita 2 tahun lamanya,sering tidak tidur malam,bersengkang mata mendodoi sang anak yang kelaparan…,”ujarku panjang lebar,meneruskan ..

“Dia,tiada galang gantinya.Patah boleh tumbuh,hilang bisa berganti,tetapi perginya seorang ibu tidak akan kembali.Walau air mata darah yang dicurahkan sekalipun..,”hati diheret sebak,pilu menyesakkan dada..

Kasihnya tanpa batas,sayangnya tinggi melangit

… …………………………………….

Ingatanku diheret mengingat kembali kesalahan-kesalahan diri yang menyusahkan, mengecewakan,dan paling tidak akan ku lupasepanjang hayat ,menyebabkan luruhnya air mata sang bonda tercinta..

Sewaktu berada di Tingkatan 3 ketika itu, terjadi suatu peristiwa yang sering meyeksa sukma hati ini,menyesal yang tidak pernah berkesudahan…

Kami adik-beradik meminjam pam basikal kepunyaan seorang jiran sebelah rumah.Janjinya mahu dipulangkan secepat mungkin..Akan tetapi,resam anak merangkak remaja,janji itu sekadar janji semata-mata..

“Mi,pergi hantar balik pam basikal yang pinjam semalam tu,”laung Mama dari bahagian dapur.

Aku sedang bersiap mahu ke kelas.Abah pula pada ketika itu,terpaksa berehat di rumah kerana penyakit goutnya agak kronik.Solatpun duduk,ke bilik air mengengsot,makan terpaksa dihadap ke hadapan..

“Malas lar,nak pergi sekolah ni,”dalam hati,aku membentak,tanpa ada nada kesal di situ.. Hendak dijadikan cerita,sang jiran datang menuntut janji.Dan alangkah terkejutnya aku,pam basikal itu rosak,tercabut bahagian atasnya..

Malu..

Takut Abah marah..

Rasa bersalah..

Dan pada detik itu jugalah,wajah bening itu suram bersalut duka.Pilu bermain-main di bebola matanya.. Setitis,kemudian dua titis,wajah itu melahirkan kristal-kristal jernih nan dingin.Wajah itu basah bermandikan air mata..

Tertunduk terus.. Dalam perit sakitnya,Abah dapat menguasai suasana.Pertama kali dalam riwayat hidupku,aku melihat air mata lelaki itu tumpah murah.Ego seorang lelaki itu tewas dek sedih melihat perangai kurang ajar seorang anak,anak sulung harapan keluarga..

Telinga ini dapat mengesan rentak syahdu sedu-sedan Abah.. Dua kali telapak tangan ini meyambut hayunan rotan Abah.Masih terdengar suara hibanya…Perit tapak tangan itu langsung tidak terasa.

Cuma yang menikam batin,adalah setiap kali menatap wajah kedua-dua insan itu.Hati bagai disiat-siat hidup..

Sakit… Perit… Pedih…

Hayunan langkah ke kelas tidak serancak biasa.

Hati dirundung muram sepanjang hari…

Semenjak peristiwa itu,sedaya upaya aku cuba ukirkan senyum tawa dan gembira di wajah mereka.Kutahu dan sedar,Mama dan Abahlah yang paling menderita saat merotanku .Hati merekalah yang paling sakit.. Air mata mereka mahal sekali harganya.. Keluarnya demi sayang dan cinta kepada seorang anak,zuriat kandung mereka..

Tidak ternilai harganya.. Janjiku pada diri..

“Jangan sesekali hati Mama dan Abah, insan tersayang disakiti lagi”

Hari ini,24hb Mei,genap sudah umur Mama 51 tahun..

Sudah separuh abad kembara hawa ini di atas muka bumi Allah ..

“Selamat Ulang Tahun ke 51, Mama,”kataku girang di talian telefon..

Mama tergelak kecil mendengar ucapan dari anaknya yang terpisah di bumi seberang.. Walau kita dipisah fizikal,tetapi hati kita tetap terpaut erat.Sayang dan cintaku tidak berbelah bahagi.Untukmu selamanya,selagi mana,hayat ini masih dikandung badan,selagi itulah kasih ini tertancap hebat di dasar sukma hati..

Andai suatu hari,kita terpisah dek nyawa kembali kepada pangkuan Sang Pencipta, sesungguhnya aku berharap moga-moga ,di pintu syurga nanti kita kan bertemu,melangkah bersama ke alam bahagia abadi..

Maafkan anakmu wahai Mamaku… Love you so,so much……


p/S:

Saya berjanji ingin membuat yang terbaik untuk Ujian SOOCA (oral case) esok.. Walau apapun keputusannya, inilah yang terbaik dariku, untuk sang bunda tercinta..

Permudahkanlah urusan kami Ya Rabb..

Rabu, 19 Mei 2010

Mutiara Jernih Demi Seorang Mama...


Masih tertancap erat di ingatan peristiwa sewaktu cuti semester pada bulan Julai-Ogos tahun lepas..Kalau tidak silap,17 Ogos tarikhnya.Kakiku menjejak bumi negeri Cik Siti Wan Kembang,tanah lahir tercinta.

Berdebar-debar hati tidak keruan.Mata ligat melingas mencari sosok ibuku.Dari jauh kupandang wajah jernih itu..Adik lelakiku,Faisal dan adik bongsuku,Faizah,menyeringai di sisi..

Perlahan-lahan,kaki menapak ke arah mereka.Ada cairan jernih bertakung di kelopak mata ibuku.Tangannya kusalam erat.Dahi dan pipinya kukucup syukur.Manik-manik air mata yang diempang,tidak tahan melawan gejolak rasa kasih dan cinta seorang ibu.Terharu kalbu melihat wajah gembira seorang ibu menyambut anaknya setelah sekian lama di perantauan..

Inilah ibuku yang 23 tahun silam,bersusah-payah melahirkan insan ini..


SAKIT


Ibuku kupanggil mama.Dari aku seorang anak yang masih berhingus ,pelat menyebut perkataan ‘mama’,sehinggalah detik ini..Panggilan itu pasti kan kekal walaupun nyawa memisahkan kami.Mama tetap mama ,dunia dan akhirat…

Pulang yang sekejap,akan aku cuba berbakti sebaik mungkin.Ke kedai,ke sekolah,ke masjid,ke pasar, pasti akan kuhantar mama atau di dapur sekalipun.Tidak sanggup aku menghampakan mama.Berat hati melihat gurat rasa kecewa berputik di wajahnya..

Berbakti selagi nyawa dikandung badan…

Belum sampai seminggu aku di rumah,badanku mula berasa tidak sedap.Suhu badan meninggi,kepala berat..Memang sedaya upaya,aku cuba bertahan.

“Kejap je ni,sehari dua kebahla,”kataku kepada mama dan abah..

Memang jenisku kurang ke doktor kecuali keadaan sudah di luar kawalan,dan mama dan abah sudah bernada memaksa.Akhirnya,aku akur ke klinik berdekatan,bertemankan mama.Preskripsi doktor diambil sebaiknya..Keadaan tidak banyak berubah.Demam kebah sebentar,kemudian naik menggunung tinggi.Rasanya pertama kali dalam sejarah hidupku,demam yang kali ini luar biasa,mencecah 41 darjah Celcius…

Abah menyangka aku terkena demam denggi.Sememangnya,ketika itu,di sekitar Kota Bharu memang demam denggi mewabak.’Fogging, sentiasa dilakukan di kawasan kami.Beberapa orang saudara dan jiran turut menjadi anggota jamaah denggi di hospital..

Bimbang…

Abah mendampingiku ke hospital.Ujian darah dibuat…Keputusannya,semuanya agak normal walaupun kadar platelet berada pada tahap batas hampir kurang.Hemoglobin masih dalam kadar normal..Doktor menasihatkan agar berehat di rumah sahaja.

“Keadaan awak tidak seserius pesakit yang lain.Cukuplah sekadar di rumah,”kata sang doktor memberi nasihat.Preskripsi turut diberi..

Keadaan tidak berubah.Selama 2 minggu,hampir setiap hari aku ke hospital,membuat pemeriksaan darah.Jawapannya hampir sama..Badan tersangat lemah,kaki tidak lagi larat melangkah..Solat sudah duduk,masjid sudah ditinggalkan dalam keterpaksaan.Panas badan memuncak setiap kali kesan ubat habis…Suhu badan sudah berpangkalkan nombor empat.Badan sudah berada di luar kawalan diri..

Menggigil….

Panas membahang.Mendemah dahi ibarat memegang bara api lagaknya..

Mama selalu setia di sisi.Tangan sang ibu berjiwa penawar..Sedaya upayanya,mama mengelap wajah dan badanku yang hangat membara.Hanya beberapa patah kata,mampu ku lafazkan..

Akibat terlalu lemah,antara malam-malam ujian itu,ketahanan badanku sudah jatuh berada di tahap paling mimimum.Mama dan abah mengejarkan diriku ke Unit Kecemasan Hospital Kota Bharu.Sesungguhnya aku benar-benar tidak berdaya.Kesedaranku menurun..

Mukanya menceritakan segala.Resah menjarah wajah,sukmanya apatah lagi.Hanya Allah mampu melakar gelisah seorang ibu ketika sang anak,lemah tidak bermaya di hadapan mata…Hatiku menangis hiba.Jiwaku longlai melihat sosok itu durja.Hatiku bermandi duka melihat adik yang mengiringi..Matanya kuyu menahan kantuk.Bahkan,ada ujian di sekolah menanti sang bongsu..

“Maafkan Mi,ma.Mi tak berniat pun nak susahkan mama,abah dan adik-adik,”monolog hati ini,bagai disiat-siat melihat insan-insan tersayang,kepayahan bersalut cemas melihat perihalku…


AKHIRNYA






Setelah 2 minggu berulang –alik hospital,akhirnya aku dimasukkan ke wad.Subhanallah…Barulah tahu kenapa doktor tidak mampu mendiagnosa penyakitku dengan betul.

Rupa-rupanya aku positif demam tifoid dan denggi pada masa yang sama.Rawatan selama ini hanya khas untuk tifoid..Tiada antibiotik khas untuk membunuh Salmonella paratyphii, yang menjajah badanku selama ini..

9 hari lagi pertapaanku di katil hospital…..

Demamku belum kebah sepenuhnya.Rawatan masih berjalan…

Mama dan abah sabar menemaniku di katil hospital.Aku masih longlai tidak bermaya.Selimut 2 lapisan pun masih belum menghilangkan rasa sejuk yang melanda.Menggigil sepanjang malam…

Mama keluar mengajar pada waktu petang.Kira-kira 5 jam sehingga pukul 1830.Syifnya disambung di katil hospital.Sepenuh masa menemani anak sulungnya yang terkapar tidak bermaya…

Aku sangat faham dia sangat-sangat penat.Pagi menyediakan sarapan adik-adik kesekolah,kemudian membasuh baju,mengemas rumah,kemudian memasak makanan tengah hari untuk abah dan adik-adik yang bakal pulang dari sekolah..Itu belum dicampur dengan tugasan sebagai seorang guru penyelia Petang merangkap guru Matematik…Badannya sudah berkata penat dan lelah.Cuma semangat dan naluri keibuaan yang terus membekalkan tenaga tidak putus-putus kepadanya…

Mama punya asma,tidak tahan kesejukan.Hujan sedikit ataupun musim tengkujuh melanda Pantai Timur,itulah saat-saat Mama mendambakan perhatian.

Wad tempat rawatanku itu terpasang pendingin hawa.Harus dipasang sebagai ruang pengudaraan, wahana bakteria-bakteria dinyahkan…

Suatu saat terbangun di tengah heningnya malam,kulihat jasad hawa pertengahan usia itu menggigil kesejukan,dingin yang menggigit ke tulang sumsum…………

Hatiku diruntun hiba…

Air mataku tidak mampu diempang lagi…

Berjejeran keluar,mengalir menyoroti belahan pipi..

Berderaian dalam diam…

Aku tidak mampu memaafkan ke’salahan’ ini..

Sepatutnya,akulah yang berbakti,bukan DIA..

Sepatutnya,aku menyelimutinya,menghangatkannya,bukan melihat dengan pandangan tidak berdaya…

Sepatutnya ketika diri ini sudah mampu berjalan,bercakap,menggerakkan tangan dan kaki,diri inilah yang sewajibnya membalas BUDI yang selamanya tidak akan terbalas..

Sesungguhnya,hanya Allah yang maha mengetahui betapa siksa jiwa dan raga ini menonton tayangan secara langsung itu…

“Mi minta maaf Ma.Mi tak sengaja nak sakit macam ni,takda niat pun nak meyusahkan Ma dan Abah,”aku membungkus diriku di dalam balutan selimut,menangis sedu-sedan…

Aku berjanji pada sang diri..

“Jangan engkau sakiti hati hawa ini selama-lamanya,jangan sesekali!!”

Kasih sayangnya tidak mengharapkan balasan..

Cinta kepada zuriatnya tanpa ada maksud tersirat..

Memberi cinta tanpa dipinta

Cinta yang TANPA SYARAT…



DEMI REDHANYA….



“Redha Allah dengan redha kedua ibubapa,dan murkanya Allah dengan murka kedua ibubapa”


Begitulah secebis untaian kata dari Rasulullah yang dikhabarkan oleh Bukhari dalam Sahihnya…

Tanpa keredhaan ibubapa,bagaimanalah pula mahu mendapatkan redha Allah,Tuhan sekalian alam.Tuhan yang meletakkan darjat ibubapa itu berada di tingkatan teratas di bawah darjat keagunganNya..

Nasihatnya penuh maksud tersirat,tiada yang lain kecuali mahukan sejuta kebaikan didoakan untuk sang anak.Jauh ke hadapan dia memikirkan kemaslahatan zuriat tersayang..

“Nak tak nak,saya nak kawen dengan dia jugak.Mak setuju ke tak,saya dah fikir masak-masak.Keputusan saya dah muktamad,”
lancang perkataan kata dua dihamburkan oleh seorang anak yang sudah kemaruk cinta.

Resmi orang bercinta,dunia punya dia dan permaisuri di hatinya.Tiada yang lain..Langsung lupa dengan kewujudan perempuan yang selama ini bersusah-payah siang dan malam kerana dia..Hanya kerana seorang anak gadis,langsung si ibu tua diendahkan ke tepi..

Hakikatnya,si ibu pasti tersenyum gembira melihat anaknya tumbuh mengikut jalur fitrah seorang manusia biasa.Lelaki sukakan perempuan,hawa inginkan adam..Cuma mungkin nada seorang ibu yang penuh kasih dan cinta,inginkan yang terbaik untuk anaknya..Cinta itu membutakan,rasional ditolak ke tepi.Si ibu mungkin sahaja mahu memberi celik dari buta yang menggerhanakan.

“Apakah salah ibu wahai anakku??”pertanyaan hati seorang ibu,sambil melambaikan tangisan sayu kepada sang anak yang melangkah laju,tanpa berpaling sepicis…

Hancur hati seorang ibu…….


…………………………………………………………………

“Ma,Mi rasa macam nak kawen lar,dah sampai seru kot,”usikku riang kepada Mama suatu saat bersamanya.

“Kalau nak,pilih yang Kelantan je,”selamba Mama menjawab.

“Kenapa kena Kelantan je,negeri lain tak boleh ke?”tanyaku kembali sambil tersenyum.

Mama memandang,tiada emosi dipamerkan.Riak wajah yang belum dapat diteka sebetulnya…

“Orang sini ramai yang baik,agama pun ok.Dah la dekat…
,”sepotong demi sepotong kata diluahkannya..

“Oh macam tu.Orang nak tanya sikit ye.Mama ingat tak kawan baik Mama.Tak silap Mi,orang Merlimau dulu.Baik tak dia?”aku memasukkan jarum,mencucuk perlahan-lahan.

Mama suka bercerita.Dan aku anak yang sulung yang suka mendengar.Tentang asal-usulnya dari orang Kuala Kangsar,tentang datuk nenek,tentang zaman mudanya dan pelbagai lagi rencah pengalamannya…..

Tidak silap,kawan Mama itu bernama Hamidah.Teman karibnya di maktab perguruan dulu..Pertemuan mereka yang terakhir adalah kira-kira 25 tahun silam,sewaktu masing-masing masih anak dara sunti.Tetapi,hubungan mereka masih rapat walaupun sudah bersuami dan beranak-pinak.

Cara orang lama berhubung,surat menyurat,kad hari raya,sering berbalas kunjung..

“Pandai la tu,”
Mama membalas dengan mimik muka terukir senyum,mekar..

Kami pecah dengan hilai ketawa…….

...... ……………………………………….


Setiap sesuatu ada tempat dan caranya..

Setiap yang diutarakan pasti ada sebab musababnya,susur-galurnya...

Adakah tidak boleh berdialog dengan cara yang terhormat dengan seorang yang bergelar ibu dan bapa??

Adakah tidak boleh disapa halus,belai lembut hatinya sebelum mengutarakan pandangan yang sedikit berbeza??

Jawapannya boleh-boleh sahaja.Bergantung sepenuhnya kepada setiap orang bagaimana mahu menyikapinya.Diri kitalah yang mengawal “controller”nya…

Cubalah sedaya upaya kita untuk memutikkan senyuman seri di wajahnya..

Mungkin dengan belajar sedaya upaya,pulang ke kampung halaman dengan IPK yang bagus..

Mungkin juga dengan berakhlak dengan akhlak yang baik,menjadi hamba Allah yang taat dan sebagainya..

Apa-apapun tugasan kita,gembirakanlah mereka,ibu dan ayah…

Kita adalah jambatan wasilah kebahagiaan mereka.Selagi mana mereka masih bernyawa dan kita juga masih bernyawa,selagi itulah kita berbakti…

Bukan sekadar di dunia,akhiratlah yang paling utama..

Anak soleh dan solehah sebagai harta….



Sabtu, 15 Mei 2010

Ke Mana Destinasimu Wahai Pembonceng Cinta..






Seandainya sewaktu berbonceng hangat di atas kenderaan beroda dua yang dinamakan sebagai motor, anda dan teman tapi mesra anda mengalami kecelakaan yang tidak terduga.Malang tidak berbau.Langsung tidak terhidu kedatangannya..

Dan ditakdirkan Allah, Malakul Maut menjemput anda pulang menuju ke dunia abadi peristirehatan. Tanyakan pada hati suci bersih punya anda pada detik itu, CELAKA atau GEMBIRA habuan didapat...

Dalam gelak dan tawa, dalam seringai nan bahagia, tiada terduga dek firasat manusia, duka yang menjelang tiba.


Al-Kisah Teman-Teman..


" Dah ada motor nanti, jangan la pula diusung ke hulu ke hilir anak dara orang ye!!" suatu hari saya bergurau dengan seorang rakan yang baru mengusung pulang motor baru ke pangkuannya.

Kami sama-sama bergelak ketawa.

Dan gelak ketawa itu tinggal dalam lipatan kenangan.Sudah menjadi gelak ketawa yang mematikan, membunuh rasa dan tingkah..

Dan ternyata, di mana ada motornya, di situlah ada si buah hati pengarang jantung.


"Awak tolong la nasihatkan dia, awak kan rapat dengan dia.Tak elok bawa anak dara orang ke hulu ke hilir macam tu!!" seorang senior meluahkan perasaan yang terbuku di hati, melihatkan aksi seorang sahabat yang sedang khilaf. Fatamorgana cinta cukup mendodoikan hati dan perasann. Perasaan malu sudah lama terbius mati.

Mahu tidak mahu, inilah rentak moden, inilah gaya hidup anak muda zaman sekarang.

Setiap hari, di mana-mana lembayung milik Sang Kholiq ini, trend ini sudah bersifat lumrah.Sudah menjadi biasa..

Bahkan pelik pula, kalau ada yang tidak berbonceng dengan mana-mana perempuan, dengan alasan menjaga.

Usah bertanya kehalalannya, saya merasa semua sudah jelas. Antara mahu dan tidak semata-mata. Jelas, perkara yang seronok sering sinonim dengan dosa, dan bab-bab ketaatan dilabel sebagai membebankan dan menyekat kebebasan sosial.

"Jangan kamu dekati ZINA!!"

"Tundukkanlah pandanganmu!!"

Ayat-ayat cinta dari Tuhan ini sudah cukup menjelaskannya. Tuhan bukan mahu menyekat hak kebebasan manusia.Tidak sekali-kali..Tidak..

Cuma Dia yang paling mengetahui makhluk ciptaannya. Ada cas yang menarik, ada aura yang cuba membaurkan..Itulah sinergis makhluk bernama lelaki dan perempuan.

Tundukkan pandangan itu bernada mencegah.Agar jangan dari mata, menyerbu ke hati tanpa kendali..Seandainya, mata dan pipi sudah melekat di bahu bidang sang arjuna hati, apatah lagi komplikasinya. Hanya Tuhan yang tahu..


Ala..Bukan Buat Apa Pun..

Bosan saya mendengar ungkapan ini.Ayat penghalal bicara manusia..

Cuba menafsirkan dalil dengan pemahaman sendiri.Trend ingin mengurangkan rasa berdosa gamaknya.

Hantar balik rumah, pergi kelas, dia sakit,dan aneka ragam manusia pembuat 'fatwa halal'.

Saya teringat kepada kisah Yahudi, pada hari Sabtu. Mereka tidak dibenarkan keluar menangkap ikan pada hari Sabtu, kerana itu hari suci buat mereka..

Ujian turun buat mereka. Hari-hari lain kurang sekali ikan yang mahu melekat di jaring.Akan tetapi, setiap kali hari Sabtu, ikan-ikan timbul di permukaan air, seakan-akan mengejek manusia tadi.

Lantas...Mereka manusia yang masih cuba taat, masih ada riak takut untuk melanggar peraturan hari Sabtu.Mereka masih tidak berani keluar menangkap ikan pada hari Sabtu, cumanya mereka menahan jala, dan membiarkannya di penghujung hari Jumaat, Ahad mereka kembali..

" Kita tak tangkap ikan kan hari Jumaat.Tengok hari ni, hari Ahad, baru kita datang.Banyak pula ikan yang tersangkut!!" berdekah-dekah ketawa insan memecah sepi.

Lupa mereka, bahawa Sang Pengarah di atas Maha Mengetahui.Cuba mempermain dan mempersenda Tuhan, celaka balasannya.Bahagialah kamu kera-kera yang hina!!

Hati-hati teman!!

Mereka sudah bergelar kera.Jangan kita bodoh membuntuti jejak langkah kera-kera. Cuba bertindak cerdas membodohkan Tuhan, akhirnya nasib derita terkena diri..


Positif..

" Habisla motor aku.Nanti kalau keluar outstation nanti, susah sangat kot nak elak tak bonceng perempuan!! rengek sang teman, hampir-hampir terpaksa dia menodai 'maruah' motornya yang terjaga rapi selama ini.

" Waktu tu ketika hujan.Akak naikla motor kawan.Dia ajak..Pertama kali naik, semua orang pandang serong,sebab selama ni tak pernah membonceng dengan mana-mana lelaki!! panjang lebar cerita seorang kakak, sedih bunyinya.

Manusia senang menghukumi manusia lain. Satu kesalahan itu nampak besar ketika pertama kali orang yang tidak pernah melakukannya, melakukannya..Mulalah murai-murai bergosip, membawa mulut, bercerita ke sana sini.Tercongek ekor kata orang Kelantan...

Padahal dosa itu tetap dosa. Waima siapapun pelakunya..

Di Indonesia, ada kumpulan masyarakat yang bekerja sebagai 'ojeg'.Ojeg iaitu pemandu motor yang akan membonceng sesiapa ke mana sahaja destinasi yang ingin dituju.Bayaran akan dikenakan mengikut tarif tertentu..

Seringnya ojeg adalah lelaki. Bab hukum menaiki ojeg adalah harus.Ia berbeza dengan membonceng lelaki lain.Saya tidak ingin membicarakannya panjang lebar cuma ingin berkongsi dengan anda perihal sahabat-sahabat perempuan yang tetap tidak berkenan mencemar duli untuk menaiki ojeg..Tentang persoalan hukum, tanyakan pada yang ahlinya.

"Saya tak naik ojeg!!"

"Selama 3,4 tahun kat sini, sekali dua je naik ojeg.Tu pun sebab kecemasan!!"


Antara skrip kawan-kawan yang pernah didengari.

Ada bahagian yang menarik yang ingin diperkongsikan tentan beberapa kawan yang tidak pernah 'mengojeg'..

Suatu hari, saya melihat 2 orang sahabat perempuan menaiki motor berdua. Mereka tiada motor, dan kawan-kawan serumah dan jiran mereka juga tidak punya. Penasaran...

" Motor siapa tadi?" saya bertanya seperti anak kecil.

" Kami naik motor pak cik ojeg. Motornya kami bawa berdua..Pak cik ojeg ikut dari belakang, sambil membonceng motor temannya.Balik dia ambil la !!" jawabnya sambil memekarkan senyum lebar.

Saya tergelak kecil. Takjub dengan kecerdasan mereka.Semata-mata kerana tidak mahu membonceng.Semoga Tuhan merahmati mereka...


Bukan Sok Suci...

"Bajet baik sangatla nak perbetul orang!!" panas telinga mendengar ngomelan persis sebegini.

Dasar manusia. Ada yang terkesan dengan celupan yang positif dan segelintir mungkin menyambut dengan tangan dingin membeku. Mungkin ada yang panas sampai cuba menjatuhkan sahabat-sahabat yang berpandangan menegur.

Bagi makan nenek Yahudi yang buta. Bajet baikla!!

Tak membalas sewaktu dihunjam dengan batu sampai berdarah.Bajet baikla!!

Kalaulah Rasulullah itu terkesan dengan kata-kata manusia yang hasad dengki, tidak suka, rasa-rasanya kemungkinan besar, tiadalah Islam akan tegak di atas muka bumi ini..

Sepakat kita sayangkan Rasulullah.Kita cintakan sunnahnya.. Tidak boleh mencontohi semua tidak bermaksud kita harus tinggalkan semua.Cubalah sedikit-sedikit biar riak-riak sunnah itu punya pada kita..

Ini bukan arena kelabu. Kes ini sudah jelas hitam dan putih.Cuma manusia sahaja yang suka mengelabukan keadaan..


Kerana sebuah cinta, pilihlah destinasi anda..

Kerana cintakan si dia, pilihlah antara dua..

Antara Syurga dan Neraka...



Rabu, 12 Mei 2010

BUMI CINTA : Naluri Seorang Ayyas..





Pernah suatu ketika dalam episod kehidupan, saya berputus asa dengan dunia novel. Dendangan topik bicara semuanya berkisar soal cinta, sering membawa pesona khayal dalam arena realiti.

Semenjak zaman berhingus dengan Siri Hadi, Siri Salma, Siri Educare, novel-novel keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sehinggalah menginjak remaja dengan siraman bacaaan karya Ahadiat Akashah, Anis Ayuni, Khadijah Ibrahim dan sebagainya.

Tidak ketinggalan dengan novel-novel 'lama' yang agak menepati citarasa seperti 'Kota Cahaya' dan 'Masuk Ke Dalam Cahaya', karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, dan pelbagai karya sastera sejarah yang lainnya.

Malangnya pada waktu menginjak umur 15 tahun, kebosanan dengan rentak bacaan novel yang suka membuai perasaan, melanda diri ini. Saya 'bersara' awal...


Penghujung 2006..

" Cuba baca Ayat-Ayat Cinta!!" seorang teman merekomendasikan kepada saya, sebuah novel milik dari negeri seberang.Fenomena katanya...

Anggapan awal saya, mesti bosan persis.

"Paling-paling pun macam 'Keluarga Gerilya'.."tungkas sang hati, mendefinisi penilaian awal kepada rekomendasi teman tadi. Kalau tidak bosan dengan buaian hati dan perasaan, setidak-tidaknya ,struktur ayatnya pasti mirip dengan Keluarga Gerilya, nukilan pujangga Indonesia, Pramoedya Ananta Toer.Latar bicara penulisan yang agak klasik..

Entah ditakdirkan Tuhan, kelibat novel itu terlihat di Pasar Unpad (PAUN), pada minggu-minggu awal permukiman di Bandung. Saya membelinya..

Penasaran..

Mula membelek, lembar ke lembar..

Subhanallah HEBAT!!

Lain dari garapan yang lain..

Semenjak itu, karya fenomena Habiburrahman El Shirazy, tidak pernah saya lewati..

Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 &2, Di Atas Sejadah Cinta, Dalam Mihrab Cinta, Pudarnya Pesona Cinta Cleopatra, begitulah daftarnya..

Sehinggalah..


BUMI CINTA..

Kalau dulu, Ayat-Ayat Cinta punya Fahri, Abdullah Khairul Azzam di Ketika Cinta Bertasbih, kali ini Muhammad Ayyas, gerangan nama sang perwira.

Ayyas, seorang santri salaf, lulusan khas Universiti Madinah dan India, berkelana ke Moscow, Rusia dalam rangka urusan , mencari data dan bahan untuk tesis peringkat PHDnya.

Ya Rusia..Sebuah negeri yang menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi. Rusia bukanlah Madinah, saat semua pemuda pandangannya selalu menunduk, pemudi pula berbalut cantik, penuh maruah..

Rusia adalah sebaliknya..

Mencari hawa untuk dibawa balik ke kamar itu mudah..

Mengincar adegan porno, tidak perlu susah-susah memuat turun di Internet..

Terdedah sana sini itu biasa, bertudung litup itu pula luar biasa..

Menunduk pandang itu bermaksud menghina..

Melihat dengan nafsu bergelora , itu tanda menghargai dan memuji..

Begitulah kembara Ayyas di bumi milik Lenin, Stalin..Bumi yang memekarkan ideologi Marxisme Komunisme..

Kiri kanan, jelitawan-jelitawan memperagakan aksi. Anastasia Palazzo, si doktor pembimbing, Linor dan Yelena, teman serumah yang bak bidadari.Semuanya cuba melebur waja mujahadah seorang fityah..

Antara babak yang menarik dalam novel ini adalah, saat Ayyas digoda sehingga hampir berzina.Di mana Tuhan, di saat-saat terakhir menyelamatkannya.

Menangis teresak-esak seorang hamba di tikar sujud menghadap Ilahi..

" Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri. Seandainya diriMu tidak memaafkanku, nescaya aku tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi!!"

Dan mungkin juga babak perubahan 360 darjah dari seorang perempuan bernama Linor, ejen Mossad di luar negara, membunuh dengan terancang, dan menfitnah sosok-sosok Muslim yang berpotensi mengancam.

Ternyata mesin pembunuh itu, konon-kononnya seorang Yahudi tulen, merupakan seorang anak Palestin, seorang mangsa sewaktu Shabra dan Shatilla, kekejama Ariel Sharon pada ketika itu..

Plot-plot perubahan dipapar dengan elok dan mengesankan..


Kesimpulan..

Bumi Cinta lebih bersifat realiti.

Tujuan Kang Abik ( Habiburrahman El Shirazy) memaparkan cerita ini, lebih menjurus kepada senario terkini yang membarah dalam jiwa umat Islam, di Indonesia khasnya. Dengan pornografi dan pornoaksi yang gila berleluasa, seakan-akan sudah sangat langka ( jarang) untuk melihat peribadi yang suci bersih seperti Ayyas, yang berjuang dengan darah dan air mata, untuk mempertahankan maruah kesucian diri, seorang bernama lelaki..

Kurang romantik percintaan, kurang adegan mengharukan, tetap ada, cuma fokusnya adalah MARUAH seorang LELAKI!!!

Semata-mata mengharap redha Ilahi, takut ingkar pada arahan Rabbul Izzati..

Kalaulah celaka itu buminya neraka..

SYURGA itulah BUMI CINTA, dambaan nafsi...


Nota :

1) Edisi Bahasa Melayu belum keluar lagi di Malaysia.Mungkin dalam 3,4 bulan lagi.

2) Novel ini harganya dalam Rp 40,000. Kalau di Jatinangor, boleh didapatkan di Toko Buku Arafah, berdekatan dengan perhentian bas DAMRI, dekat Ichi Bento..

Jumaat, 7 Mei 2010

My Name is U.J.I.A.N.




Detik-detik ini benar menegangkan, tekanan mulai memuncak.

Ada yang terpaksa ponteng kuliyah kerana harus turun ke medan, mengumpul data untuk minor thesis.Minilecture, aktiviti lab terpaksa dipinggirkan dengan berat hati.

Ada yang sentiasa tersengguk-sengguk di ruangan tutorial dan kuliyah.Seringnya penuh perhatian, mungkin terkesan dengan kepenatan dan berjaga malam.

Selalunya hidup penuh keceriaan, tawa suka membingit suasana.Tetapi, wajah itu sudah mulai suram, berkerut seribu menahan derita. Lidah tiada bersuara, cuma gurat muram itu memperihalkan segala.


Ujian..

Ajaran di tahun ke 4 sudah tamat ke penghujung.Dua bulan mendatang, hari demi hari akan dilalui dengan hadirnya gerombolan ujian.

Ya ujian..

Entah untuk ke sekian kalinya, ujian dan ujian.

Manusia tidak suka akan ujian.Manusia akan diuji..Dan akan ada menang dan kalah, suka dan duka, serta pahala atau dosa.

Dan ujian andai salah jalan trafiknya, boleh menghantar orang kepada tekanan ultra negatif ,jika melebihi dosis yang sepatutnya.

Tekanan positif akan mengundang perasaan dan semangat untuk berusaha sehabis daya, untuk mengatasi segala halang dan rintang..

Dan manusia itu, senantiasa layak untuk diuji, sentiasa..

Lulus ujian, nescaya manusia itu berjaya.

Gagal ujian, itu alkisah sebaliknya.


Resmi Manusia..

Al-Mulk bercerita tentang manusia.Sang Kholiq mahu menguji mana yang terbaik amalannya.Demi sebuah hidup dan mati...

Dan ujian, kadar susahnya ternyata ada kelasnya tersendiri.

Tergantung pada orang yang dikenakan ujian.

"Alamak,hujan pulak.Sial la!!"

Baru sedikit rintik hujan bersujud di dataran bumi, marak marah nan membara sudah di luar kawal.Baru sedikit ujian menimpa..

" Saya redha, anak-anak dan isteri saya telah pergi terlebih dahulu.Tuhan lebih menyayangi mereka!"

Bahasa seorang suami dan ayah, yang kemas salutan taqwanya. Sedih itu jelas.Deraian manik-manik jernih mulus, lagi dingin, tidak mampu menghindar..Mengalir lesu, turun lewat pipi.

Tsunami meminta segala-galanya.Tsunami tidak mengenal cinta dan perasaan.Tsunami itu datang dengan arahan Tuhannya.Ujian buat hamba-hambaNya yang lain, dibentangkan jalan fujur dan taqwa.Silakan memilih..


Kembali Ke Asal..

Setiap hari, insan-insan bersyahadah, mematerikan setia dan janji, mengaku kekuasaan Rabbul Izzati.Ritual itu rutin dan sentiasa..Sama ada berdogmatiskan adat ataupun betul-betul siraman kefahaman dalam beragama, itu hanya maklum dek sendiri dan sang Kholiq.

Ibadah itu sendinya kefahaman.Solat itu kefahaman, bukan warisan budaya emak atau ayah.

Ujian akan datang, untuk disaksikan adakah benar-benar kefahaman itu melekat di nubari iman.Ataupun hanya lafaz semata-mata, sekadar cop bahawa aku seorang Muslim...Adakah sebegitu?

Setiap kali ujian datang bertamu, mintalah tunjuk-ajar dari Pemilik ujian itu. Ujian datang berbekalkan jawapan.Hanya harus dirujuk Pemiliknya tadi, untuk mencari penyelesaian ujian tersebut..


"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah PERTOLONGAN kepada Allah dengan SABAR dan SOLAT.Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar"


~ Al-Baqarah : 153


Tonik Ilahi mengundang kita kembali padaNya.

Sabarlah dan terus kuatkan kesabaran. Kemudian solatlah semahu-mahumu.Saat sang hati gundah gulana, kembalilah padaNya, sang Pembolak Balik Hati..Bicara denganNya seenak-enak mahumu,Dia Maha Mendengar.Dia Maha Dekat..Lebih dekat dari alur darah di leher kita, sang manusia.

Ketika jalan penyelesaian berhujungkan denai yang mati,palingkan hati kepada sang Pemilik Jalan Yang Lurus.Dia kan membuka jalan yang tidak tersangka dek hambaNya.Taqwalah kepadaNya, nescaya kunci kepada kekusutan itu akan terlerai.


"Sesiapa yang bertakwa pada Allah, nescaya Allah akan menunjukkannya jalan keluar"

At-Tholaq : 3


Dan terakhir sekali, ingatlah bahawa kita ini hamba. Resmi hamba adalah taat tanpa ada belah bahagi. Tiada kata dua..Kalau hitam mahunya, maka hitamlah jawapannya..

Begitu jugalah skrip kita dengan sang Pengarah di atas.

"Cukuplah Allah sebagai penolong bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung"

Ali-Imran: 173





Selasa, 4 Mei 2010

Katakan Tidak Pada 'AL-FATIHAH' versi Ashram Cat..



Saya tidak mahu masuk ke dalam perbahasan yang panjang lebar, berkurun lama diperdebatkan, berkaitan suatu isu yang dinamakan sebagai..

BIDAAH...

Jika mahu mendengar perbahasannya, silakan merujuk ulama' muktabar di dalam dunia Islam kini.

Cukuplah kita mengetahui bahawa Bidaah secara syariatnya adalah perkara ibadah khusus yang baru dicipta dalam kehidupan beragama.


Dari Ummul mukminin, Ummu ‘Abdillah, ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, ia berkata bahwa Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami ini yang bukan dari kami, maka dia tertolak”.
(Bukhari dan Muslim. Dalam riwayat Muslim : “Barangsiapa melakukan suatu amal yang tidak sesuai urusan kami, maka dia tertolak”)


Cikgu Meninggal...

" Cikgu kita, sewaktu Tingkatan 3 dahulu, baru sahaja meninggal dunia.Al-Fatihah..."

Begitulah bunyi pesanan ringkas dari seorang teman persekolahan, mengkhabarkan meninggalnya seorang guru kami.Detik bersama cikgu, berputar laju, mengenang suka duka bersama.Raut wajah asyik tersenyum itu..

Lantas, atas dasar prihatin, saya menyampaikan berita duka kepada beberapa orang sahabat seperjuangan.


" Al-Fatihah tu boleh ke dibaca? Mana ada dalam SUNNAH?"

Terpampang deretan ayat, muncul di skrin telefon bimbit. Nuansa duka yang bertapak di sukma hati, sedikit tersentak.

Serius saya marah, kecewa dengan balasan sedemikian.

Isi utama yang mahu diungkapkan adalah berita pemergian seorang guru. Kesedihan yang berkunjung...

Di sini, pola fikir hendaklah dibetulkan sebaik-baiknya.

Kalau ditanyakan pada saya, saya juga akan mengatakan bacaan khas AL-FATIHAH untuk si mati, adalah SUATU BIDAAH.

Rasulullah tidak pernah mencontohkannya.Begitu juga para sahabat yang terdekat.

Ya..Pasti...

Sedangkan bab kencing, bab romantik suami isteri, semuanya tercatat erat dalam himpunan Bukhari dan sahabat berenam, inikan bab ibadah mendasar dalam agama.Tidak pula diperkatakan secara terus terang.


Orang Kita Sekarang...

Setiap kali kematian, pasti ungkapan Al-Fatihah dikumandangkan sesama Muslim yang masih meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.

Rasulullah menyuruh untuk mendoakan si mati, bukan membaca Al-Fatihah..

" Semoga tempatnya di syurga"

" Semoga dosa dia semua dulu terampun"

Ini juga namanya doa.Untuk si mati..

Secara dasarnya, tiada Al-Fatihah untuk si mati.Cuma boleh difahami, antara ayat-ayat di dalam Ummul Kitab ini, banyak bermaksud elok.

" Tunjukkan kami jalan yang lurus"

"KepadaMu kami sembah, kepadaMulah kami meminta pertolongan"

Doa ini buat kita dan mereka, sama ada masih hidup atau sudah mati.

Doa yang bermaksud cukup baik..

Cuma sayang seribu kali sayang..



Jernihkan Kaca Mata..

" Mari sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah kepada si mati!!"

Laungan yang sering diucapkan.

Hati-hati di sini.Berapa ramai Muslim yang menyangka Al-Fatihah itu KHAS dihadiahkan kepada si mati.

Pahalanya pasti sampai kepada si mati, di alam sana.

Hati-hati dengan kejahilan berfikir ini..

Sesetengah ulama, sangat-sangat menjaga akan hal ini. Bahkan inilah BIDAAH bagi mereka.Kerana cara fikir yang salah inilah pokok pancarobanya.

Teringat kisah The Ashram Cat, yang diceritakan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam banyak presentasinya.

Kisah Guru Nanak, dengan kucing yang sering mengganggu dalam upcara sembahyang penganut Sikh.Lantas, disebabkan kekacauan dek kucing itu, setiap kali ingin sembahyang, kucing itu ditambat di tiang seri kuil, supaya tidak lepas mengganggu.

Lama kelamaan, Guru Nanak meninggal.Dan kucing itu masih di situ, masih ditambat setiap kali upacara sembahyang oleh para pengikut Guru Nanak.

Dan hayat kucing itu, suatu hari, telah berakhir. Para pengikut kaget..Kucing yang ditambat itu telah mati.

Lantas, sebagai ganti, kucing lain dicari dan ditambat ke tiang seri, persis seperti kucing tadi yang sering mengganggu, tetapi telah mati.

Mungkin kita boleh tersenyum, lucu memikirkan penganut Sikh tadi.

Menambat kucing yang mengganggu, disebabkan oleh kebiasaan ataupun adat, lama kelamaan disangka sebagai suatu IBADAT yang diperintahkan.

Kejahilan itu ternyata boleh membunuh keaslian ajaran.


Katakan Tidak Pada 'Ashram Cat'..

Apabila keaslian sudah sirna, apa lagi yang boleh kita harapkan.

Ibadah adalah suatu yang kotak fikir manusia tidak mampu mencernakannya.

Ia datang dari Tuhan, kehendaknya bagaimana. Wasilahnya melalui sang Rasulullah..

Bukan paling pendek,paling panjang..Tidak paling banyak atau paling besar, ibadah yang terbaik adalah setakat mana ia mencontohi RASULULLAH, persis mengikut kata TUHAN..

Si Ashram Cat tidak bersalah.Ia hanya seekor mangsa keadaan.

Begitu juga Al-Fatihah, jangan kita 'memangsakannya', menjadikan Al-Fatihah sebagai wasilah bidaah, mengundang murka TUHAN..

Sama ada mahu membaca Al-Fatihah atau tidak, sama-samalah kita cuba memahami erti sebenar sebuah kefahaman dalam beragama.

Biarlah membaca Al-Fatihah mendapat ganjaran PAHALA, tidak membaca Al-Fatihah dan menggantikannya dengan amalan lain, biarlah juga mendapat PAHALA..

Hati-hati dalam beramal.

Katakan TIDAK kepada JAHIL..