Ahad, 19 Februari 2017

Derma Darah Untuk Bukan Islam


Image result for Dr Zulkifli AL Bakri, derma darah

" Mana boleh macam ini.Biar isteri saya mati pun saya rela!"

Mendengus marah lelaki itu.

Dia meradang apabila isterinya yang sedang dirawat di hospital memerlukan pemindahan darah.

" Perdarahan yang berlaku itu disebabkan oleh ketumbuhan dinamakan fibroid di dalam rahim isteri tuan.Dan satu-satunya cara yang mampu menyelamatkan nyawa isteri tuan adalah dengan pemindahan darah!"

Doktor bertugas cuba menjernihkan kembali keadaan.Dijelaskan  keadaan si isteri dengan bahasa yang semudah-mudahnya agar mesej mampu dicerna oleh si suami.

" Doktor ni tak reti bahasa ke? Darah yang nak dimasukkan itu tak tahu hujung pangkalnya.Entah-entah pemiliknya ada makan benda-benda haram.Bukan Islam lagi!"

Kelu seribu bahasa dibuatnya.

Ah sudah.

Senario di atas merupakan senario buatan.Namun, saya percaya bahawa senario seperti di atas bukanlah kes terpencil.Ini benar-benar terjadi di dalam masyarakat.

Pemahaman segolongan anggota masyarakat yang melihat dari perspektif yang kolot, bakal memperjudikan nyawa seseorang yang tidak berdosa.

Isu terbaru ditimbulkan adalah berkaitan Namewee, seorang artis Youtube,yang menyatakan bahawa darahnya tidak halal untuk orang Islam.

Pemahaman Namewee meleset, namun kenapa pemahaman ini boleh ditimbulkan oleh seorang non Muslim lebih perlu kita fikirkan.

Orang Islam sendiri yang gagal menerjemahkan wajah sebenar Islam dalam memahami hal-hal muamalat seperti mana kes penerimaan darah dan organ daripada golongan bukan Islam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato Dr Noor Hisham Abdullah, menyatakan
bahawa pengagihan organ tidak berdasarkan kepada bangsa, agama, latar belakang, status di dalam masyarakat dan sebagainya.Kriteria yang digunakan untuk sistem pemilihan adalah tergantung kepada klinikal bakal penerima darah atau organ tersebut.

Image result for Dato Dr Noor Hisham, pemindahan darah

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Zulkifli Al Bakri sendiri telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang keharusan pemindahan darah/organ kepada yang berlainan agama.

Menurut beliau ;

" Berkenaan dengan persoalan samada pendermaan darah dari orang bukan Islam yang mungkin memakan makanan seperti khinzir adakah dikira sebagai haram dan juga najis mughallazah (major impurity), kami nyatakan di sini bahawa hukumnya DIBOLEHKAN kerana ia adalah darah dan bukan lagi zat khinzir atau ‘ain (essence) khinzir secara total. Begitu juga darah seperti yang kita ketahui, terbentuk daripada nutrisi-nutrisi hasil makanan dan minuman yang pelbagai. Maka, kita dapat ketahui bahawa darah tidak hanya terbentuk dengan zat khinzir atas faktor perubahan istihalah (the transformation of a substance's properties resulting in the removal of its impure nature).

Justeru, kami katakan tidak menjadi kesalahan untuk menderma darah walaupun seseorang non-Muslim itu memakan makanan seperti khinzir. Sebaliknya, kami sarankan agar penderma darah diberi penghargaan dan sedikit keistimewaan agar kempen derma darah dapat disemarakkan disamping bekalan darah negara sentiasa mencukupi bahkan melebihi paras biasa.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengemukakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 April 1982 telah membincangkan Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Menderma darah hukumnya harus.
Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam."

Related image

Kesimpulannya, fatwa sudah menjelaskan keharusan pemindahan darah/pendermaan organ silang agama, kaum dan bangsa.Tidak perlu berpolemik panjang.

Kepada orang Islam, kita mampu mempersembahkan wajah Islam yang syumul, rahmatan lil alamin dengan bersikap fleksibel, toleransi namun masih dalam kerangka pegangan Al Quran dan Sunnah


Rujukan :

1) http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1407-al-kafi-li-al-fatawi-ke-528-hukum-menerima-darah-dan-organ-daripada-non-muslim

2)https://kpkesihatan.com/2017/02/12/kenyataan-akhbar-kpk-12-februari-2017-derma-organ-dan-darah-tanpa-mengira-bangsa-dan-agama/ht

Isnin, 23 Januari 2017

Banjir bukan Pesta.



Musim bah bukanlah musim berpesta.
Musim tengkujuh bukanlah saatnya untuk berpesta ria.
Sehingga saat ini, banjir sudah meragut 3 nyawa setelah sehari semalam melanda negeri Kelantan. Kadar kematian yang tinggi.
Beberapa langkah mudah semasa banjir berlaku ini sebagaimana diambil daripada Panduan Keselamatan Banjir oleh Kementerian Kesihatan Malaysia , mampu untuk mengelakkan musibah melanda.
1) Matikan utiliti anda di suis utama.Jangan sentuh mana-mana peranti elektrik jika anda berkeadaan lembab/ basah atau berdiri di dalam air.
2) Jangan berjalan melalui air yang deras untuk mengelakkan dari terjatuh dan tercedera.
3) Minum air masak atau air minuman berbungkus seperti air botol sekiranya tiada air bersih.
4) Berikan tumpuan kepada amaran banjir. Jika terdapat risiko berlakunya banjir kilat di mana anda berada, segera ke kawasan yang lebih tinggi, jangan berlengah.
5) Jangan biarkan anak-anak anda bermain air banjir.
Nasihat-nasihat mudah ini mampu mengelakkan tragedi daripada berlaku.Janganlah kegembiraan yang seketika sewaktu berpesta menyebabkan duka yang tiada noktah kepada kita.




Rabu, 18 Januari 2017

Cerita Sangka Buruk





Saya membentak marah. Andai kemarahan itu mampu untk dilihat, nescaya ia tidak akan kalah dengan letusan Merapi.

Bayi berusia 8 bulan lebih.Dikendong oleh neneknya.

Datang dengan keluhan cirit-birit, demam selama 3 hari.

Tampaknya bayi itu kurang aktif.Tidak tidur, tidak juga menangis.

" Kenapa datang ke sini?" tanya saya.

Keluarga itu berasal dari daerah luar.Jaraknya sekitar 20 kilometer dari hospital tempat saya bertugas.

" Saja doktor.Jalan-jalan makan angin!" selamba badak jawapan si nenek.

Si ibu kepada bayi itu diam membisu.Hanya tersengih-sengih bila ditanya.Si nenek yang mengambil alih tugas sebagai jurucakap.

Padahal, ada hospital berdekatan dengan rumahnya.Ada juga 2,3 buah klinik kesihatan terdekat , namun tetap hospital yang berjarak 20 kilometer menjadi pilihan hati.

Ah, sudah.Malas mahu bertekak lama.Tiada kesudahan ceritanya nanti.





Terkejut Lagi

" Doktor kelmarin ada bagi ubat batuk kepada anak saya!" si ibu akhirnya bersuara, menceritakan perihal preskripsi ubat sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta sehari sebelum.

Merapi sudah bertukar menjadi Krakatoa.

Kemarahan saya tidak mampu diempang lagi.Panas membara tidak mampu dilawan oleh aura sejuk penghawa dingin.

"Mana boleh bagi ubat batuk.Anak puan baru umur 8 bulan!"

" Bayi boleh sesak nafas, lembik, kejang sehingga mengancam nyawa kalau minum ubat batuk!"

Nada suara saya meninggi.Asap kemarahan dihala kepada doktor di klinik swasta tersebut.

Termangu-mangu, terkulat-kulat seisi keluarga tersebut melihat perlakuan doktor di depan mereka.

Mereka orang kampung biasa, tidak tahu apa yang bahaya , apa yang tidak.Apa yang mereka tahu, ubat ditu dipreskripsi oleh doktor.Itulah hubungan paternalistik.


Ada Rupa-Rupanya


" Hello boleh saya bercakap dengan Doktor X?" sesopan mungkin bahasa diatur walaupun hebat benar maraknya api di dalam hati.

Saya inginkan kepastian.Maka, klinik swasta itu saya hubungi, usai bayi tersebut selesai dimasukkan ke dalam wad.

" It's unethical.It's wrong!" monolog hati.Kata-kata cercaan sudah siap dikarang di dalam kepala.Hanya menunggu masa untuk dihamburkan.

"Oh bayi itu.Ada datang kelmarin.Saya tak bagi ubat batuk.Saya bagi ubat Smecta (sejenis ubat cirit birit yang dibenarkan untuk bayi)!" jawap si doktor tersebut.

Lain yang diceritakan oleh si ibu, lain pula jawapan sang doktor. Pemahaman berbeza barangkali.

Krakatoa mengerdilkan diri.

Terdiam seribu bahasa.Hanya lantunan istigfar sedikit meredakan perasaan berdosa.

Aduhai diri.

Sangka buruk itu membinasakan.Binasa lisan, binasa diri membenihkan dosa.

Benar sekali kalam Ilahi di dalam surah Al Hujuraat , ayat ke 6 .

" Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepadamau maka periksalah dengan teliti agar kalian tidak menimpakan musibah akibat kejahilan kamu sendiri, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"


Verifikasi

Apa yang saya belajar ialah proses verifikasi.

Tenang dahulu, jangan terburu-buru.Kumpulkan maklumat, selidiki terlebih dahulu.

Baru bunga silat, rencak tarinya tidak cacat.

Pengalaman baru, walaupun pahit, merupakan ruang pembelajaran untuk menjadikan diri kita peribadi yang lebih baik.



Sumber

1) Ubat batuk untuk umur bawah 2 tahun
http://www.doktorbudak.com/2014/02/22/ubat-batuk-selsema-tidak-sesuai-untuk-kanak-kanak-bawah-2-tahun/