Jumaat, 5 Mac 2010

Kerana Jiwa Cassanova : Wasiatku Buat Sahabat dan Teman..






Alhamdulillah , pujian kepadaNya..Manusia hanya mampu merancang, tetapi hanya Dia yang menentukan segala-galanya..

A yang kita rancangkan, kadang-kadang ia menjadi B. Putaran roda kehidupan boleh melahirkan pelbagai rencah , yang mungkin sahaja di luar andaian kita, sebagai insan biasa.

Artikel yang saya hasilkan pada hujung Februari lepas dengan tajuk " Irama Cassanova Makhluk Bergelar Lelaki" , ternyata menjadi artikel hits, dengan izinNya.Setiap hari lebih 100 pengunjung yang meninggalkan jejak di maxchempaka.blogspot.com.Suatu catatan rekod sepanjang kehidupan saya sebagai seorang penulis blog.


Tujuan Saya...

Setiap benda boleh dilihat dari pelbagai sudut pandang. Begitu juga dengan mana-mana artikel yang saya tulis.

Ada ramai pembaca senyap, menilai dalam diam, juga berbincang secara diam, di luar kotak pengetahuan sang penulis, si pelontar idea.Ada yang mengiyakan artikel itu dengan ' menarik' ataupun 'hebat'.Dan ada juga memberi sudut sisi pandangan peribadi dengan berkongsi komen di blog saya..

Tetapi, saya percaya ada juga yang mungkin kurang senang dengan pendekatan saya.Ya pasti...Mana mungkin semua benda atas muka bumi ini 100% dipersetujui bersama secara jamaah.Kalau Rasulullah masih hidup pun di atas muka bumi, dan bertanding pilihan raya di Malaysia, saya percaya Rasulullah akan menang tetapi juga saya percaya, pasti akan ada juga undi yang menentang..

Berkenaan artikel tadi, masalah akan timbul jika persepsi pandangan sang penulis berbeza dengan para pembacanya.Setakat ini, ramai yang masih ' bergelombang sama' dengan saya. Sudut pandang atau perspektif sama, buktinya dengan komen dan bual bicara teman-teman secara langsung ataupun melalui dunia maya seperti Facebook dan Yahoo Messenger..

Penulis menulis, perspektif yang benar tentang artikel itu juga datangnya dari penulis..


Lelaki= Cassanova?

Cassanova itu seorang lelaki, tetapi tidaklah semua lelaki adalah Cassanova.

Mungkin ada segelintir yang menganut doktrin Cassanova secara membuta tuli, menjadikan nafsu sebagai tuhannya.Mungkin...

Artikel saya, dengan ini ditegaskan, TARGETNYA adalah LELAKI. Saya , kamu, dan mereka yang bernama lelaki. Yang tidak pernah datang bulan, berpangkalkan nama Ahmad,Muhammad, yang namanya di'bin'kan, bukan di'binti'kan..

Itulah lelaki...

Dalam tulisan saya, saya tidak menghalakan peluru kepada sesiapa, sekadar berkongsi pandangan dan nasihat. Agar jiwa dihalakan kepada kebaikan dan dijauhkan dari segala keburukan..

Semuanya bertitik tolak dari pengalaman. Sahabat-sahabat mengatakan teori saya tentang bab ini lengkap,sempurna, cuma kata sahabat, tidak berguna teori kalau tidak dipraktikkan..Saya setuju dan saya maklum tentang kelemahan saya di sini..

Rasulullah kata, aib dan dosa kita tidak perlu kita dedahkan, cukuplah sekadar kita rahsiakan dang tebuslah dengan taubat sebenar-benarnya..

Saya segan dan malu apabila berbicara hal ini. Orang yang baru mengenali saya, boleh menyangka saya orang agama, keluaran sekolah agama, mamat masjid dan sebagainya. Walhal sahabat-sahabat saya yang sudah lama mengenali diri bernama Ahmad Zulfahmi ini, mereka tahu saya macam mana suatu ketika dahulu..

Dahulu...

Berjemaah dan masjid hanya kunjungan rutin sekali seminggu..

Dahulu...

Saya anak sulung yang banyak melukakan hati mama dan abah,degil,banyak menumpahkan air mata sedih kedua insan tersayang kerana saya...

Dahulu..

Saya anti pengawas, anti naqib dan anti badan agama..

Dan dahulu...

Saya juga berhati dan jiwa Cassanova. Mulut manis, prihatin, itu modal saya..Ada perempuan terluka pasti. Saya tidak pernah menjanjikan apa-apa, cuma kadang-kadang seronok diambil berat, ditanya khabar..


Pesan..

Saya memberi risiko berkongsi coretan hati ini. Ada sahabat mungkin tidak menyangka, ada adik mungkin tidak percaya..Dan mungkin juga, kata-kata saya mungkin akan jauh dari menerobos hati manusia lainnya, kerana saya dahulu lebih durjana..

Kadang-kadang, saya memikirkan, saya seorang yang cukup hina. Saya tidak punya apa-apa akhlak yang istimewa. Apabila memandang sahabat-sahabat yang jauh lebih baik, sama ada lelaki atau perempuan, saya kagum dengan mereka, apatah lagi jika membandingkan diri dengan mereka..

Semoga Tuhan memelihara sahabat-sahabat saya dan membalas jasa mereka.Mereka mengajar saya erti sebuah kehidupan, makna dosa dan pahala..

Tetapi...

Seburuk-buruk perilaku saya, harapan saya masih menyala agar Tuhan mengampunkan dosa saya. Saya tidak sanggup berkongsi neraka dengan Abu Jahal dan Firaun. Saya tidak sanggup untuk itu..

Dan kalaulah dengan berkongsi artikel ini, berkongsi coretan hati ini, mampu menyedarkan insan-insan di luar sana, mampu menghapuskan dosa saya yang bertimbun-timbun dahulu, saya SANGGUP untuk meluahkan perasaan terbuku di jiwa, dengan lakaran pena di blog ini..

Sama ada manusia memandang hina, durjana, ataupun tidak, dan kalaulah ada hati mana-mana manusia dibukakan hidayah dengan asbab artikel saya, pujian bagi Allah, saya cukup senang dan gembira...

Sekurang-kurangnya adalah dosa saya yang dilakukan dahulu , yang mungkin diampunkan Allah dengan sebab kebajikan yang saya buat, walaupun secebis cuma..

Sekiranya saat ini malakul maut datang menjemput, saya sangat berharap perginya saya, meninggalkan manfaat, bukan membekaskan contoh teladan buruk kepada orang lain..

Andainya waktu yang ditentukan itu adalah saat ini, saya mohon sepenuh hati agar adik-adik saya yang berlima, agar mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, taat dan mendoakan mama dan abah, bukan seperti saya dahulu...Agar mereka boleh menggantikan saya berbakti jiwa dan raga kepada mereka berdua.Saya sayang adik-adik saya, lebih-lebih lagi mama dan abah.Saya sayang mereka..

Dan saya sangat-sangat berharap, artikel-artikel saya ini adalah medan bukti bahawa inilah padang yang pernah saya gunakan untuk memberi manfaat kepada sesama. Dan saya mohon kepadaNya, janganlah medan ini menjadi medan orang marah, membenci dan menyakiti hati..

Cukuplah dosa sudah bertimbun, jangan pula blog ini menambah derita...

Ya Allah, semoga blog dan artikel ini menjadi bukti aku pernah mengajak manusia ke jalanMu yang diredhai...

Sesungguhnya aku faqir kepadaMu ya Allah...

Ampunkan dosaku Ya Rabbi..





Ketika darjah 1, mama ( berkurung kuning) adalah cikgu kelas merangkap mamaku..






Sewaktu darjah 4...


Sebelum berangkat pertama kali ke Bandung, saya bersama mama, abah, dan adik-adik tersayang..

Sabtu, 27 Februari 2010

Irama Cassanova Makhluk Bergelar LELAKI..



"Tidak ada lelaki yang bakal tidak disukai perempuan.Semuanya pasti ada kecualilah lelaki itu benar-benar hodoh..," keluar kata-kata dari Cikgu Tarmidzi.



Pecah deraian gelak ketawa kami sekelas 4 Sains Makkah, mendengar candaan Cikgu Tarmidzi, cikgu Kimia kami pada waktu itu. Sedikit masa senggang antara formula kimia dan cairan berbikar-bikar di makmal ujian, diisi dengan telatah cikgu yang melihat kami mula diserang kebosanan, ada yang tidur dan ada yang memulakan aktiviti ber'gosip'.



Anak-anak teruna semuanya pada waktu itu hanya menyeringai, melihatkan belahan gigi nan tersusun putih. Maklumlah umur I6 tahun, topik tentang perempuan memang menjadi agenda hangat.Ada 'gewe' belum, siapa bakal isteri, cantik tidak budak tu dan sebagainya menjadi bualan mengisi ruang waktu.



Cikgu Tarmidzi ternyata memahami gejolak jiwa para teruna didikannya. Fitrah untuk mencintai dan dicintai sudah membenih subur di dalam sanubari.



"Fokus belajar dulu. Lepas itu, petik saja jari, sekali petik sepuluh yang datang..," Cikgu Tarmidzi mula membajai pemikiran anak didiknya.



" Anak-anak ini masih sangat hijau, masih belum kenal selok-belok terajang dunia. Mereka perlu dikenalkan mana satu kawan mahupun lawan..," itu mungkin monolog seorang cikgu yang penuh dedikasi dan memahami..







Hati Seorang Perempuan..



Setelah 8 tahun dari peristiwa itu, saya mula mampu menghadam apa yang benar-benar dimaksudkan cikgu.Pengalaman melihat dunia nyata dan menambah dari persepsi hidup insan yang jauh lebih pengalaman, jelas mencambah pemahaman saya.



Kenapa pasti semua lelaki ada yang akan menyukainya?



Jawapannya sangat subjektif.Mungkin sebab lelaki itu kacak, banyak duit, baik, berakhlak dan sebagainya.Tetapi saya senang untuk mengatakan bahawa hati seorang perempuan itu sangat lembut, 'fragile'...



Disebabkan kena marah dengan lelaki, marah bertransformasi menjadi cinta.



Hanya dari jauh mengenal, melihat, tanpa pernah berbual bicara, cinta boleh berputik.



Apatah lagi dengan perempuan yang saban hari, kebajikan, kesihatan, makan, pakai, semuanya diambil berat. Hati perempuan mana yang mampu menafikan perasaan cinta itu. Naluri fitrah itu tumbuh tanpa memberi tanda berjaga-jaga.



Sensasi riang, gembira, bahagia bermain di batin jiwa. Pemuda idaman hati sering bermain di hati, walau fizikal ribuan kilometer terpisah jaraknya.



Hanya sang hati mampu mendiagnosa apakah namanya penyakit yang bersarang hinggap di badan.Lenanya tidur terganggu, seharian tidak mencicipi makanan, tiada sang perut mengalunkan 'keroncong' dan pelbagai keluhan luaran yang mendasari penyakit yang terinfeksi dek diri.



Sungguh aneh lagi pelik perasaan itu..







Lelaki Cassanova..



Saya tidak berniat melabel siapa-siapa. Saya berbicara tentang adegan atau perilaku bak Cassanova, seorang legenda pencinta, konon-kononnya. Dikatakan Cassanova mempunyai pesona yang cukup menawan. Sesiapa yang melihatnya ditambah dengan pujuk rayu membelai yang melemahkan hati nurani perempuan, hampir sesiapa sahaja boleh diajak berselingkuh olehnya.



Sehinggakan dari beberapa sumber mengatakan anak-anak haram hasil perbuatan Cassanova sangatlah banyak. Ada yang merupakan anak haramnya sendiri, yang dia sendiri tidak kenali, dijadikan sebagai mangsa.



Itu hikayat seorang bernama Cassanova..



Saya cuma ingin mengaitkan dengan sikap sesetengah lelaki berjiwa 'Cassanova'.



Ada yang dengan mudah mengambil kesempatan..



Ada yang melambakkan kasih-sayang, perasaan, mencuri hati seorang perempuan dan ditinggalkannya..



Ada yang memerah manis madu sehingga habis dan kemudiannya dibuang nista, ditendang bak anjing nan hina..



Dan pelbagai senario aksi yang mampu kita saksikan pada akhir zaman ini..



Saya mahu meninggalkan segala yang jelas buruk dan dosa seperti zina, rogol, bersekedudukan, khalwat, berdua-duaan bak belangkas dan juga 'monggek bak kata orang Kelantan' atau ' gelek porong bak kata teman-teman Terengganu'.



Sudah terang, tidak perlu lagi bersuluh untuk benda-benda di atas.



Ada sisi lain yang perlu diperhati bersama.







Salahkah Aku?





" Jangan main-mainkan anak gadis orang!" suatu hari Mak Long berkongsi pengalaman dengan saya.



Sudah resmi kalau pulang bercuti, sama ada atas arahan mama abah atau kerelaan hati sendiri, saya pasti akan bertandang ke rumah sanak saudara terutamanya Mak Long, kakak kepada abah.Mak Long seorang ustazah lulusan Al-Azhar, baru pencen tahun kelmarin.



Bukan mahu mengaibkan sesiapa. Nasihat Mak Long itu dijuruskan kepada saya, memandangkan keletah perangai seorang sepupu saya,anak Mak Long. Orangnya baik, taat pada agama cuma ada satu sisi kehidupan yang emaknya sendiri menggelengkan kepala pusing..



Mungkin kerana perilakunya yang penuh perhatian dan mengambil-berat, ramai anak gadis yang terpikat dengannya. Dan tidaklah dia me'monggek' anak siapa-siapa, jauh sekali berdua-duaan ke Pantai Cahaya Bulan, menikmati pemandangan malam disinari purnama di sana.



Tidak..



Hanya keprihatinannya bermasalah. Suka mengambil berat..



Sikap yang baik tetapi membungakan perasaan si perempuan.Calon suami soleh gamaknya, monolog sang kalbu.



Begitulah cerita sehingga bukan satu, tetapi 3 ,4 yang menyimpan perasaan kepadanya.Ada yang sampai menangis-nangis, merengek berkehendakkan jejaka tadi, yakni sepupu saya..



Walaubagaimanapun, jejaka ini tidak pernah mengatakan YA dan juga TIDAK.Semuanya terawang-awang, tiada keputusan rasmi. Harapan membara, tidak pernah padam dan surut.



Begitulah suatu sketsa dari sebuah babak kehidupan insan.



Ini perkara lumrah dan sering terjadi kepada insan-insan biasa, yang berhajatkan kasih dan sayang, cinta dan suka..



Persoalannya sebagai seorang lelaki adalah..








"Salahkah aku?"








"Aku tidak pernah melafazkan kata-kata AKU CINTAKANMU.."








"Kita hanya kawan biasa selama ini"







Itulah melodi justifikasi seorang lelaki. Sekali pandang, memang tidak ada silapnya. Semuanya kerana perempuan yang naif.Sekali pandang...







Jawapannya..



Cinta dan perasaan suka itu lumrah. Harus berterima kasih kepada kurniaan Ilahi..



Untuk lelaki, kalau sudah tahu perempuan hatinya lembut, jadi usah dibelai dan diberi perhatian membuta-tuli, semata-mata untuk mempermainkan perasaannya.



Jangan sesekali..



Juga bukan salah kita lelaki, andainya tiba-tiba perasaan cinta itu hadir di sanubari seorang anak hawa kepada kita.Itu FITRAH namanya..



Cumanya kalau kita tidak berkehendak dan serius, KATAKAN TIDAK sahaja padanya. Bunyinya kejam tetapi itulah tonik paling mujarab untuk meredamkan kecamuk jiwa sang hawa. Parahnya lebih jika keadaan itu dibiarkan berlanjutan kerana harapan itu akan sentiasa menyala.



Lebih baik nyalanya itu DIPADAMKAN sewaktu masih kecil, sukar sekali jika sudah marak nyalaannya.Silap-silap kebakaran terjadi, dan alhasilnya lebih buruk dengan kerugian berlipat kali ganda..



Dan untuk perempuan, jangan jadi NAIF dan BODOH. Jangan sesekali membuntuti lelaki yang anda idamkan ke hulu ke hilir, mempercayainya setengah mati..Dan andai tidak pernah terdengar perkataan JUMPA MAK AYAH, KAHWIN, ANAK, terkeluar dari mulut jejaka idaman, usahlah JIWA dan RAGA dikorbankan kepada jejaka ' plastik' tadi.



Kalau berani, silakan beradab jumpa dengan mak ayah si hawa.Itu cara orang 'gentleman'..Berdada dalam memikul tanggungjawab bukan segan malu bersembunyi di belakang langsir bak pengecut pondan..



Percayalah, jika inipun si 'plastik' ini tidak mampu, manakah mungkin urusan rezeki anak, bancuh susu, tukar lampin anak jam 2,3 pagi akan menjadi pilihan hatinya. Tidak masuk dek akal..







Pesan Buat Diri dan Anda..



Pesona seorang wanita itu hebat.Boleh menjatuhkan, dan juga sebaliknya boleh menaikkan izzah seorang lelaki.



Wanita boleh menjadi seindah perhiasan dunia kurniaan Ilahi, juga wanita boleh menjadi fitnah penghancur seorang lelaki, neraka duniawi ukhrawi..



Rentak Rasulullah mampu meningkatkan jatidiri seorang Khadijah, pesona seorang Aishah Humaira'..



Melodi seorang Ali , mencipta seorang Fatimah, sang setia berjiwa perwira..

Begitu juga irama Cassanova, mencelakakan lelaki, mendurjanakan perempuan bak abdi..

Mahu bertemankan Muhammad di SYURGA atau Cassanova di NERAKA nanti, tepuklah dada, tanyalah hati...





Khamis, 25 Februari 2010

Cinta Rasul? Ubahlah, Jangan Hanya Pandai Berkata-kata..






Andainya, sewaktu kita berjalan santai di tepi pantai pada suatu petang, tiba-tiba kita menyaksikan ada seorang kanak-kanak sedang tenggelam timbul kelemasan, apakah TINDAKAN kita yang paling wajar pada saat itu??

Insan yang masih berjiwa fitrah, masih punya hati dan nurani, pasti akan sedaya upaya menolong si kanak-kanak, yang lantang berteriak meminta tolong nun di tengah laut.

Tetapi manusia boleh dibahagikan kepada beberapa golongan pada waktu ini..

A melihat termangu-mangu, terkejut tanpa membuat apa-apa.

B berteriak " Ada orang lemas..", kemudian bersahut-sahutan dengan C dan D.Berteriak sambil berharap agar ada yang sanggup menyelamatkan yang sedang kelemasan.

E berkejar mencari pelampung, tali dan bot yang boleh digunakan secepat mungkin untuk menyelamatkan kanak-kanak tadi.

Dan F tanpa berfikir panjang, merembeskan segenap adrenalin yang boleh, terus terjun ke dalam laut, berenang ke arah mangsa dan cuba menariknya ke tepi pantai.



Senario Kehidupan

Kebanyakan orang akan setuju jika dikatakan bahawa E dan F adalah insan yang terbaik teladannya dalam kisah ini.Dua insan ini sanggup bersusah payah,hatta sampai mampu mempertaruhkan nyawa sendiri, semata-mata demi seorang kanak-kanak yang mungkin sahaja langsung tidak dikenalinya.

B, C dan D pula mungkin merupakan 'murai-murai' yang cuba mengulas status terkini perkembangan kisah di atas. Mereka jenis yang tahu apa yang berlaku, faham apa yang perlu dilakukan dan sebagainya.Tetapi mereka hanya pandai mengulas, mengulas dan terus mengulas.

Dan sebulat suara semestinya, spesies manusia yang paling teruk adalah yang sedang termangu-mangu, terkulat-kulat memerhati , tidak tahu apa yang berlaku dan tidak langsung mahu menawarkan huluran bantuan pada yang perlu..

Ini secebis senario dalam kehidupan..

Seterusnya..



PKPMI-CB dan KUBI..

Sering juga dalam kehidupan, kita bertemu dengan banyak benda yang salah, sama ada salah dari segi syarak mahupun dari segi adab.

Kita pergi kepada contoh yang lebih nampak di depan mata.

Saya mengambil waqi' atau kondisi di Bandung, Indonesia.

Di sini, ada 2 organisasi utama anak-anak Malaysia.

Pertama, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Bandung ( PKPMI-CB) dan yang kedua adalah Kelab UMNO Bandung Indonesia (KUBI).

PKPMI bernaung terus dengan kedutaan besar Malaysia, seterusya dengan Kementerian Pengajian Tinggi manakala KUBI bernaung dengan sekretariat Kelab Umno Luar Negara (KULN).

Sesiapa yang berada di Bandung khasnya, pasti akan melihat kedua-dua sisi kebaikan dan keburukan kedua-dua persatuan ini.

" A coin has two sides"

PKPMI sebagai contoh, dengan saya sebagai bekas Yang Dipertuanya yang lepas, bermatlamatkan kebajikan dan perpaduan seluruh mahasiswa di bumi Bandung. Al-hasil daripada itu, banyak agenda, mekanisme dan program yang telah dirancang dan diimplementasikan sepanjang tahun semata-mata berobjektifkan 2 matlamat tadi. Tidak perlu dihuraikan mendalam tentang itu semua. Mesyuarat Agung yang 2 minggu sudah, telah memperincikannya..

Begitu juga dengan KUBI.

Saya punya pandangan sendiri tentang KUBI walaupun induknya adalah UMNO. Orang yang menggerakkan nadi KUBI adalah sahabat-sahabat yang motifnya juga sama seperti saya menggerakkan PKPMI. Persis..

Tiada dalam KUBI nepotisme, korupsi, politik cah keting dan sebagainya..Syukur di sini, KUBI bukanlah se'dajal' sesetengah kelab UMNO lain yang hanya menghabiskan duit semata-mata untuk bermesyuarat bulanan di restoran-restoran mewah , bukan juga hanya pandai mengeksploitasikan duit untuk agenda makan-makan dan melancong..

Alhamdulillah syukur..



Semenjak Tahun Pertama..

Pada penghujung Ogos 2006, saya dan kawan-kawan melabuhkan sauh kami di sini, Bandung.
Bercampur baur antara sedih dan gembira, antara semangat dan rindu keluarga..

Detik awal rencah kehidupan saya di Bandung bermula dengan segala ketidakpuasan hati.

Datang tidak bersambut senior, mata menaksir senior-senior ramai yang sengal, orang-orang Sunda pula ibarat musang berbulu ayam, sentiasa cuba memangsakan kami..

Saya tidak puas hati.

Annual Grand Meeting PKPMI dan KUBI tidak pernah saya lewati. Saya hadir..








"Duit lebih buat jalan-jalan.."





"Program tidak bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.."





"Kebajikan pelajar tidak terbela.."


"Duit yang banyak lebih baik beli peralatan seperti LCD.."






Ini antara ngomelan saya sewaktu AGM saban tahun.Mata saya memandang semua 'kesalahan-kesalahan' yang dilakukan.


Disebabkan marah dan tidak puas hati tadi, saya mengaku saya memang pernah mensasarkan biro agama PKPMI sebagai matlamat saya, sebagai medan saya mengubah semua benda yang 'tidak patut' tadi.Sekali lagi, sama ada dari segi syarak Islam mahupun adab.





Tetapi takdir Tuhan itu ternyata lebih berkuasa.


Saya menjadi pengerusi tetap persatuan dan tahun seterusnya diamanahkan memegang kendali PKPMI-CB. Berat, menyesakkan nafas..


Dari situ, segalanya berubah...


Medan saya bukan lagi sekecil dahulu.Sangat luas dan memenatkan..


Maaf kalau penulisan saya seterusnya ada membuat sesiapa terasa. Saya cuba berlapik..Tetapi kalaulah disebabkan kebenaran yang saya luahkan, saya tidak mampu untuk menyembunyikannya..









Berubah Itu Suatu Proses


Perubahan yang signifikan tidak mungkin berlaku dalam detik waktu yang singkat.Tidak mungkin melihat hari ini seorang perempuan, rambut bercat merah, pakai skirt paras paha dan dada tertonjol, keesokan harinnya 360 darjah berubah menjadi perempuan bertudung labuh, jalan menunduk pandangan, bercakap penuh budi dan bahasa.


Tidak mungkin dan ianya sesungguhnya memerlukan masa. Setahun, 2 tahun, mahupun sepuluh tahun..Ini kerja Sang Pengarah di atas..


Begitu juga dengan PKPMI dan KUBI tadi..


Kerja seorang YDP yang faham, tindakan seorang setiausaha yang penuh komited dan berprinsip serta biro-biro yang berkaitan pasti lagi masih terdedah dengan kekhilafan, tiada kemaksuman pada mereka..


Seorang yang berjiwa besar, mahu melakukan perubahan, adalah bak insan F tadi, sanggup terjun terus ke medan, sanggup berdepan risiko nyawa dan sebagainya..


Mereka mahukan perubahan dan mereka berani berdada turun ke medan...


Mereka bukan golongan B, C dan D, apatah lagi si 'Mat Jenin' A..


Tidak sama yang hanya bercakap dengan mereka yang terjun ke medan laga..







Medan HARAM..





Sesetengah orang mengatakan UMNO HARAM. Saya faham justifikasinya kenapa.Saya boleh melambakkan hujah dan dalil untuk menyokong tetapi bukan ini matlamat saya..


Dato Shahnon Ahmad, bekas ahli parlimen Sik, Kedah, pernah menggambarkan kerajaan UMNO adalah kerajaan tahi, najis dalam novelnya "SHIT". Dan alhasilnya banyak orang berpendapat, kalau mahu merubah UMNO, hendaklah dari luar. Usah membodohkan diri dengan turut sama memalit diri dengan ' keharuman' najis tahi.


Deduksi semberono bagi saya..


Cuba lihat lagi..


Ustaz Hasrizal dalam satu artikelnya menceritakan tentang kisah suatu kaum di Afrika yang setiap kali nama Muhammad disebut, kaum ini akan bangkit berdiri sambil 'melakukan gaya seperti menari'..Hukumya bidaah dan bidaah adalah HARAM.Berdosa..


Tetapi sahabat seperjuangan yang berada di dalam komuniti itu mampu MENGAJAR dan MERUBAH dengan perlahan-perlahan, dengan mekanisme memberi penerangan secara hikmah kepada kaum itu. Dan sahabat tadi terus-terusan berada dalam acara sebegitu, sehinggalah semuanya berubah menjadi ibadah selawat yang betul-betul sesuai kehendak Sunnah Rasulullah..


Begitu juga dengan kes pengurus-pengurus bank suatu ketika dahulu. Mereka terpaksa bergelumang dengan kepengurusan konvensional dan penuh riba. KeHARAMannya jelas..Tetapi di hujung perjalanan itu, merekalah yang menjadi ejen PERUBAHAN.Bak cendawan tumbuh selepas hujan, bank-bank syariah mula bertapak di negara kita, hasil kesabaran dan titik peluh mereka..


Semuanya HARAM..


Kalaulah ungkapan ' kapal bermuatan tahi' digunakan untuk setiap medan yang HARAM, pasti sekarang kaum tadi masih lagi ber'joget selawat' dan bank-bank di negara kita masih lagi dicengkam masalah riba tanpa sebarang alternatif..


Ramai yang mampu mengeluarkan fatwa hukum mana yang halal dan mana yang haram.


Sebaliknya, berapa ramaikah yang sanggup bergelumang untuk merubah yang HARAM menjadi HALAL...


Tidak semudah itu..









Fahami Mereka..


Orang berjiwa merubah ini hebat, penuh sabar di dada.


Kadang-kadang, persepsi pihak ketiga mungkin sahaja melabelkan mereka sebagai 'MURTAD', 'ahli BIDAAH' , ' kerjaya menempah neraka' dan sebagainya..


Betapa sakitnya hati andainya seorang sahabat yang berfikrah Islam juga MENGHUKUMI sang insan yang mahu MERUBAH tadi..


Betapa kecewanya jiwa, kalaulah sahabat yang selama ini mendokong, menyalahtafsirkan perbuatan diri..


Betapa lemahnya semangat, jika sahabat sefahaman mengatakan bahawa kita bukan lagi sahabat sejatinya, bukan lagi handai seperjuangan..


Tidak dapat dinafikan, dalam bergelut dengan semua yang 'HARAM' tadi, ejen-ejen perubahan ini kadangkala terleka. Gerakan silat langkah pernah tersadung. Pernah khilaf..


Sahabat-sahabat tegurlah dengan rasa empati, bekalkan imunisasi semangat kepada mereka secukupnya, dan jadikanlah diri sebagai bahu bersandar dan telinga mendengar sewaktu mereka diterkam masalah.Lebih-lebih lagi sewaktu prinsip mereka diuji..


Bukan dengan MENGHUKUMI,MENJATUHI, dan MEMULAUKAN mereka atas dasar mereka sudah berubah..







Ingatlah sewaktu Perjanjian Hudaibiyyah, Muhammad Al-Amin juga tidak didokong sahabat pada mulanya.

Mana mungkin perjanjian berat sebelah. Basmalah tidak di awal kalimah perjanjian..





Di manakah keadilan jika hanya orang Makkah yang ke Madinah sahaja yang perlu dikembalikan dan sebaliknya tidak..





Rasulullah bersemangat jitu, berbekalkan naungan Ilahi padanya. Mutiara hikmah terserlah di akhir perjalanan itu. Rupanya ada ruang tersirat yang dibuka..





Kerana Muhammad itulah GURU SEGALA EJEN PERUBAHAN..Dan sahabat di sisi, merekalah yang empati, pendokong murni dan bukan PENGHUKUM DIRI..





Cinta Rasul bukan sekadar seindah lakaran puisi..





Ayuh apa ditunggu, jangan hanya pandai MENILAI dan MENGHUKUMI, jadikanlah diri EJEN PERUBAHAN....