Sabtu, 20 April 2013

Ibu Dia, Ibuku Jua...



Di birai katil itu, si anak setia mendampingi ibu nan tua.

Setiap liur tersingkap meleleh , disapunya lembut dari tirai bibir si ibu.

Sentuhan penuh kasih dan sayang.

Setiap ada keluhan mengaduh, si anak mengurut halus, mengurangkan lenguh ratap si ibu.

Aku merenung dari jauh.

Menguntum senyum.


Ibu Dia, Ibuku Jua

Pasangan anak beranak itu keturunan Cina.

Si anak lelaki dengan si ibu yang sudah umurnya berpangkalkan 7.

Tidak pernah aku lihat dia merungut, meratapi nasib.

Kagum meraup tangkai kalbu.

Aku teringat mama di kampung.

Teringat salah silapku, bicara nan kasar, perbuatan mengguris rasa dari umurku setahun jagung sehinggalah sekarang.

Teringat mamku pernah berkata,

" Ajar anak orang lain, bersungguh-sungguh biar pandai, jadi orang berguna. Biar orang lain ajar anak mama juga jadi orang pandai dan berguna!"

Mamaku seorang cikgu.Masih seorang cikgu.

Sebati nalurinya mendidik anak bangsa.


Aku Seorang Doktor

Baru sekarang aku mula memahami.

" Layanilah pesakit seperti melayani ibu sendiri!"

Kata-kata yang mudah diungkap, namun tidak mudah untuk dihadam dalam kehidupan yang penuh tekanan.

Pesakit perangai elok, bolehlah terukir senyum.

Namun kalau yang datang meracau-racau, menghamburkan kata kasar akibat tidak sedarkan diri, dan seribu macam perangai, bagaimana senyum mahu dihambur.

Silap-silap, hamburan kesat pula yang termuncul di bibir.

Tidak mudah.

Namun cuba aku ajarkan diri, bayangkan yang berada di depanku adalah ibuku sendiri.

Hikmah aku tercampak jauh di belantara batu Kuala Lumpur, jauh dari kampung halaman,membuatkan hati ini lebih menghargai.

Aku niatkan setiap kali aku menyentuh pesakit, saham pahala turut tercurah kepada mama dan abahku, yang banyak menyumbang kepada diriku sekarang.

Baru datang pancaran ikhlas sedikit sebannyak.

Benar-benar ujian apabila keadaan diri yang penat, dengan pelbagai stres yang menimpa.

Pasangan anak beranak Cina tadi benar-benar mengajarku bahawa erti hidup adalah benar-benar untuk memberi.

Doa buat ibubapaku,

" Wahai Tuhan, ampunkan dosaku, dosa kedua ibubapaku, berilah rahmat kasih sayang kepada mereka, sebagaimana mereka menyayangi dan mendidikku sejak aku masih kecil"


- Dr Ahmad Zulfahmi, Jabatan Perubatan PPUKM-

Tiada ulasan: