Selasa, 28 Ogos 2012

Shaken Baby Syndrome..



Shaken Baby Syndrome, itulah gerangan nama penyakitnya.

Kejadian di mana seorang bayi tercedera akibat digoncang secara berlebihan. Ia boleh berlaku akibat kes dera bayi, secara sengaja, mahupun secara tidak sengaja, akibat kejahilan ibubapa dan keluarga.

Pernah melihat bayi diputar-putar, dilambung-lambung dengan gaya memujuk? Ala-ala gaya memujuk AR Tompel terhadap cucunya dalam cerita Ahmad Albab.


Ya, silap-silap di sinilah puncanya. Kegembiraan orang tua yang membunuh secara tidak sedar.

Akibatnya, dari lumpuh anggota gerak, mata berdarah, kejang, buta, sehinggalah kematian bayi tidak berdosa.Bahasa mudahnya, 'stroke'  untuk bayi.

Dan pada malam yang malang ini, kali pertama saya bersua dengan bayi yang dirundung malang itu.Yang jauh lebih malang adalah kemiskinan ilmu orang tuanya.

Datang dengan keluhan badan yang lemah, pucat dan menangis-nangis.Awalnya tidak menampakkan sebarang kelainan.

Kadar darah dalam badan menurun secara drastis.Tidak ada langsung perdarahan dari luar kelihatan.Sebarang trauma tumpul akibat kecederaan juga tidak terlihat.

Lama kelamaan, keadaan fizikal si bayi terus menurun.Tiba-tiba sahaja senyap dan berhenti nafas.

Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dilakukan saya dan jururawat bertugas.Belasan kali putaran CPR terus dilakukan.Tiada nadi berdenyut, tiada denyutan jantung terdengar.


Datuk, nenek, seluruh isi keluarga sudah tidak keruan.Ibubapa si bayi bak tersampuk jembalang, melihat bayi mungil, pucat tidak bernyawa.

Si ibu lemah longlai, pengsan beberapa kali.Sudah kering air mata hiba.

Air mata darah sekalipun tidak mampu menebus nyawa si buah hati pengarang jantung.

Dalam masa 5 jam dari 'digoncang-goncang', bayi itu dijemput pergi oleh Malakul Maut.

Hanya sempat 7 bulan si bayi menghirup nafas oksigen di atas muka bumi milik Tuhan.

Innalillah wainna ilaihi rojiun..


Sunnatullah Pendidikan Anak

Kita boleh berfikir positif dengan mengatakan bahawa bayi itu sudah menempa Syurga.Tanpa dosa, ibubapanya dijanjikan ganjaran Syurga, Tuhan mahu memberikan rezeki yang lebih baik dan pelbagai lagi hikmah yang tersirat.

Saya hanya mahu mengheret perhatian kita agar jangan memudahkan urusan bayi.

Bukan sekadar nama yang baik, diazan dan diiqamah, aqiqah dan sebagainya, sunnatullah dalam proses tumbesaran bayi harus menjadi aspek penting ilmu dasar pembentukan anak-anak.

Kalaulah Tarbiyatul Aulad, karangan Abdullah Nasih Ulwan, menjadi antara rujukan utama pembentukan karakter seorang anak, bidang medik, sesuai sunnatullah, juga harus dilengkapkan dengan ilmu membesarkan anak, sihat secara fizikal dan mental.

Khususnya kepada ibubapa, suami isteri, bakal-bakal pengantin dan yang senada dengannya.

Dari hal sekecil susu ibu, sehinggalah pendidikan seksual.Al-Quran sendiri sudah menyentuh perihal susu badan selama 2 tahun, menyentuh juga tentang waktu larangan masuk ke dalam bilik orang tua.


Sedar

Saya menulis kes Shaken Baby Syndrome ini di laman Facebook kira-kira 3 minggu yang lalu.Sangat menarik perhatian saya apabila melihat banyak kenalan yang mengongsikan cerita saya di laman utama masing-masing.

Kecaknaan kejadiaan kes sebegini ternyata masih kurang di kalangan orang awam, dan Alhamdulillah banyak yang mulai membuka mata apabila muncul kes berupa realiti di dalam masyarakat.

Dan bagi saya, selaku salah seorang petugas medik, saya menemui sesuatu yang sangat penting dan istimewa..

Rupa-rupanya menyampaikan kalimah Allah itu bukan sekadar dengan menjadikan diri hebat berhujah dengann Al-Quran dan Hadis, ijmak dan qiyas, ada sisi sunnatullah (ketentuan Allah) yang kebanyakan masyarakat masih lagi alpa.

Bidang perubatan , sebagai contoh, kes Shaken Baby Syndrome. Proses terjadinya penyakit dan kematian itu adalah suatu kekuasaan Allah, dalam tanganNya. Manusia, petugas perubatan khususnya berperanan di sini dalam menyampaikan bagaimanakan proses ketentuan Allah ini boleh berlaku.

Benar sungguh kalimah Allah dalam ayat 33, surah Af -Fussilaat.

" Siapa lagi yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyampaikan kalimah-kalimah Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ," Sungguh , aku termasuk orang Muslim yang berserah diri?"

Allahul Mustaan..Dialah sebaik-baik yang memberikan pertolongan..

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

As'salam doc, bagaimana pula sekiranya saya menggunakan buaian elektrik utk anak saya yg sentiasa mengenjut buaian tanpa henti, adakah itu akan mengakibatkan anak saya yg kini berusia 2 bulan mendapat sindrom ini?