Khamis, 9 Februari 2012

'Tangan' Tuhan Yang Gagal


Bangg...

Pintu Ruang Resusitasi (RR) dihentam halilintar keras.

Sekujur tubuh ditolak masuk lekas.

Segera, doktor-doktor berkostum putih mengerumuni.

Ahli keluarga melihat dengan pandangan cemas amat.Kumat-kamit doa dilantunkan, mengharapkan pertolongan sakti dari atas.

Pernafasan tiada.

"Look, Listen, Feel... Negative!"

Refleks cahaya ditinjau dari mata.

Kalau masih ada refleks, bola mata belum membesar maksimum, harapan untuk pesakit diselamatkan masih ada.

Refleks cahaya negatif, tetapi pembesaran bola mata belum maksimum.

Gambaran elektrokardiografi (ECG = alat untuk melihat denyut jantung), menunjukkan asystole (gambaran jantung mati).

Tunggu sebentar.Masih ada yang berdetak...

" Masih ada!"

Saya berkata kepada rakan yang lain seraya cepat, menggagau peralatan untuk langsung memulakan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), sejenis prosedur bantuan pernafasan melibatkan kompresi dada.

30 kompresi dada, diselangi 2 bantuan pernafasan.



Memang kecil sekali. Saya menghitung.

Mungkin sekitar belasan kali per minit denyut nadinya.Sangat lemah.

" Sudahlah dik.Sudah meninggal!"

Suara doktor senior menghentikan langkah.Kuda-kuda CPR yang dipasak teguh, terhenti secara tiba.

Berhenti.

Selesai.

Pecah tangisan si keluarga.

Sambil menyentuh bahu anak lelakinya yang bercucuran tetesan manik air mata, langkah menapak menjauh pergi.

Semoga bapamu bahagia di Syurga..


Kecewa

Sejujurnya, saya tidak puas hati dengan arahan dari doktor untuk menghentikan bantuan pernafasan.

Pesakit itu belum benar-benar positif meninggal.Masih ada peluang untuk menjemputnya kembali dari ambang maut.

Fikiran saya menerawang entah ke mana, memikirkan peristiwa kematian yang boleh dielakkan.

" Doc, bapa tadi masih belum 'asystole' total. Masih ada peluang untuk diselamatkan!"

Saya mencurahkan pendapat kepada doktor bius yang bertugas.

Dia hanya tersenyum.

" Saya doktor muda, dan saya idealistik untuk menyelamatkan pesakit saya.Semampunya saya akan mencuba!"

Bergejolak semangat untuk menyelamatkan nyawa manusia.Ini tanggungjawab, ini amanah.Bukan main-main.

" Saya juga seperti kamu dulu"

Doktor itu memulakan bicara.

" Mengikut pengalaman saya, pesakit dengan 'bradypnea' (pernafasan kurang) sekitar 20x per minit, masih boleh diselamatkan.Dan saya pernah berjaya!"

"Tapi kamu tahu apa implikasinya?"

Saya hanya merenung kosong.Pertanyaan sang doktor, saya biarkan tidak berjawab.

" Pesakit saya menggunakan 'ventilator' (mesin bantuan pernafasan) tersangat lama, berada di Intensive Care Unit (ICU) selama berpuluh-puluh hari!"

" Pulang ke rumah dengan hemiparesis (lumpuh setengah badan) dan memerlukan bantuan hemodialisis (cuci darah) sebanyak 3 kali seminggu!"

" Kamu tahu biayanya?"

Saya biarkan pertanyaan itu tidak berjawab.

" Sehari di ICU, kosnya Rupiah 3 juta (sekitar RM 1000).Belum lagi biaya ubatan dan rawatan susulan.Hemodialisis sekali sudah rp 7000,000(sekitar RM 300)!"

Saya termangu-mangu.

"Bayangkan derita si pesakit.Penyeksaan ekonomi kepada keluarga, beban yang tidak tertanggung.Lebih baik biarkan si pesakit meninggal secara baik!"

" Tidak salah idealistik tetapi berpijaklah kepada realiti!"

Saya mengerti.

Namun banyak tetapi yang ligat berputar di fikiran.

Seakan doktor itu 'tangan' Tuhan.Hidup ataupun mati, dengan ya atau tidak sang doktor.

Saya kurang mampu mencerna dengan persepsi rasional.

" Kalau kamu berada di Indonesia, dengan segala alat terbatas, biaya perubatan mahal, itulah realitinya. Keadaan akan berbeza jika kamu di Eropah atau Amerika dengan biaya perubatan itu percuma!"

Saya menggangguk perlahan.

Latar peristiwa di Indonesia yang segala kekurangan, memungkinkan yang HARAM menjadi HARUS.

Doktor HARUS menjadi ' tangan' Tuhan.


DNR

Katil sebelah menyaksikan si ibu bertarung sengit.

Nyawanya benar-benar di hujung tanduk.Payah benar nafas yag dihirup.

" Keadaannya teruk benar!"

Semua doktor yang melintas mengiyakan bahawa keadaan pesakit sudah sekarat.

"Doktor bedah kata 'withold'!"

Ya withold.Bererti segala tindakan medis dari bahagian Bedah sudah tidak ada.Dengan kata lain, sudah tidak ada harapan.Biarkan pesakit meninggal secara normal.

Andai detak jantungnya berhenti, slogan 'Do Not Resuscitate' aka DNR diuar-uarkan.

Biarkan si pesakit meninggal.Sudah tiada harapan.

Pesakit-pesakit peringkat akhir kanser, gagal jantung, gagal ginjal dan sebagainya.

Saya hanya mampu melihat.

Usaha terakhir saya sebagai seorang doktor yang lemah adalah dengan sehebat-hebat senjata.

DOA.

" Wahai Tuhan Yang Maha Besar aku memohon, yang memiliki Arasy yang besar, agar menyembuhkanmu!"

7 kali dibaca sambil dihembus kepada si pesakit.

Sunnah Rasul pabila bertemu insan manusia yang berhadapan dengan kesakitan.

Saya belajar sesuatu.

Kudrat manusia itu sangat terbatas.

Mati dan hidup seorang manusia itu benar di tangan Tuhan.

Bila, di mana, baik atau buruk penghujung seseorang, semuanya dalam ilmu Tuhan.Tiada manusia mampu menjulurkan muka, mengintai takdir diri dan manusia lain.

Sesungguhnya kepada Allah kita datang, kepada Allah jugalah kita kembali.....


Tiada ulasan: