Khamis, 19 Ogos 2010

SATU RASA DUA HATI ; Sebuah Motivasi Diri



Perkahwinan.. ia boleh menjadi kebun percintaan, boleh juga menjadi pusara percintaan!

Kisah, sketsa, dialog dan monolog tentang cinta dan kasih.. adunan pengalaman dan gelombang rasa di gerbang perkahwinan dan di alam rumahtangga.

Bagaimana mencipta cinta sepanjang perkahwinan?

Lebihkan Menjadi..

Sewaktu meniti hujung usia belasan tahun, saat di mana anak-anak remaja mula merangkak dewasa, sebagaimana insan lain, persoalan fitrah acapkali menjengah kamar hati.

Ya persoalan cinta..

Hati berdebar-debar, malu bersarang segan, pesona rasa ingin cinta dan mencintai sering mengintai jendela nubari.

Pada detik itu, saya dianugerahkan Allah dengan sebuah karya yang cukup berharga, pertama kali mungkin saya membaca genre sebegitu, motivasi cinta.

TENTANG CINTA namanya.


Saya belajar teorinya.

Saya baca dan hayati patah demi patah perkataannya.

Sehinggakan sering saya memberi 'ceramah cinta' kepada sahabat-sahabat yang berkenaan. Buku itu benar-benar mendidik jiwa dan raga. Alah membeli menang memakai.

Dan apa yang betul-betul saya tekankan dalam kehidupan pada detik itu, kira-kira 5 tahun silam, adalah LEBIHKAN MENJADI DARI MENCARI.

Percayalah SOLEH pasti dapat SOLEHAH. Itu janji Qurani..

Pateri buku itu melekat di hati sehinggakan sekarang.

Dan sekarang, sudah ada makalah lain, karya sang penulis.


Satu Rasa Dua Hati namanya..

Runut-runut bahasa yang digunapakai sering menunjukkan ketinggian struktur ayat dan penggunaan bahasa. Penulisnya berfalsafah cukup menawan, gaya penulisannya berstrata sederhana, mampu dicerna segenap lapisan masyarakat.

Pengalaman peribadi yang berbicara memang punya keistimewaan tersendiri. Pengalamanlah yang sering membuat seseorang itu tampak berbeza.

Tambahan lagi, adunan kalam wahyu, diserasikan dengan sabda Rasul, diolah dengan dimensi pandang yang jarang diaplikasikan manusia hamba.



Pahruol Juoi gelaran sang pencipta karya.

Dialah penulis, kolumnis majalah, editor, pencipta lirik, penulis skrip, pengacara TV serta pengendali program latihan dan motivasi.





Pakej Kebahagiaan Rumahtangga

Toniknya, tegakkan iman, amalkan syariat dan istiqamahkan budaya akhlak.

Senang diutarakan, sulit pengamalannya. Sulit, ya sulit..tetapi ini misi pasti boleh, ianya tidak mustahil.

Canang yang digegarkan penulis dirangkum dalam 20 bab.

Bab 1 : Jadi Soleh Dapat Solehah

Bab 2 : Wanita Meminang Lelaki?

Bab 3 : Bina Cinta Dengan Memberi

Bab 4 : Latihan Memberi Cinta

Bab 5 : Nilai Harga Diri Untuk Dicintai

Bab 6 : Kelebihan Suami Mengemudi Kasih

Bab 7 : Lahirkan Harmoni Di Gelanggang Ibadah

Bab 8 : Cinta Allah Dalam Rumahtangga

Bab 9 : Tanda Adanya Cinta

Bab 10 : ' Jual Mahal' Pada Suami

Bab 11 : Terapi Emosi Buat Isteri

Bab 12 : 'Imarakan Masjid' Di Rumah Kita

Bab 13 : Teliti Soal Rezeki

Bab 14 : Kita Layak Bahagia

Bab 15 : Cinta Di Depan Mata

Bab 16 : Gembira Dengan Memberi Kegembiraan

Bab 17 : Membina Perkongsiaan Melalui Perbezaan

Bab 18 : Cinta Adalah Tanggungjawab

Bab 19 : Sayangkan Dia? Luahkan!

Bab 20 : Jika Sayang, Berilah Kemaafan!


Sedutan Menarik..

Jika anda berjaya mengekalkan rasa malu, anda akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan, dan personaliti yang menarik perhatian suami. Anda akan dirindui apabila jauh, akan disayangi bila dekat. Anda dilihat cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu.

Sesungguhnya malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran. Belajarlah dari bulan mengambang cuma sekali-sekala. Bulan tidak mengambang setiap malam.. kerana dengan mengambang setiap sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia ternanti-nanti. Begitulah isteri yang masih malu, suami menjadi perindu....

Bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana?

Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan berperut boroi serta rambut kusut tidak bersikat? Anda ingin siteri anda berubah, tetapi anda berada di takuk lama juga?



Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain. ubahlah penampilan diri. Mana minyak wangi yang menjadi daya pemikat isteri anda waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu?




..Bacalah wahai sahabat. Tiada rugi melabur secebis..demi cinta, fitrah hati..

..Agar perkahwinan itu bahagia sebuah kebun percintaan, bukannya celaka sebuah pusara cinta..

Tiada ulasan: