Sabtu, 31 Julai 2010

Sabarlah Wahai Sahabatku, Khalis..

Sesungguhnya demam, sakit dan musibah itu datangnya dari Sang Penguasa Alam.

Datangnya sebagai imtihan duniawi, mahu menguji sebaik mana perlakuan tindak balas hambaNya. Jika sang hamba bersabar atas dugaan, ganjaran pahala bakal menanti.

Janji kita pada iftitah solat,

" Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah kepada Allah, Sang Pemilik Alam"


Musibah Buat Sahabat

Kecelakaan itu datangnya tidak berdendang salam, datangnya menjengah kamar hidup secara tiba-tiba.

Ditakdirkan Allah, sahabat yang dikasihi, Khalis ditimpa kecelakaan jalan raya. Lokasi kemalangan adalah di Jalan Dago, Bandung.

Kereta yang berhenti di pinggir jalan, membuka pintu kereta secara tiba-tiba. Tidak sempat mengelak, pintu itu dilanggar keras, jatuh terduduk di tengah jalan.

Perlanggaran tidaklah kuat, cumanya bahagian atas kaki Khalis terhiris dek besi engsel kereta. Luka yang agak dalam, sampai ke tulang putih.

Dipendekkan cerita, dia dikejarkan ke Rumah Sakit Sariningsih. Pembedahan minor terpaksa dilakukan segera bagi menutupi luka yang agak teruk.

Sejam sudah, semuanya selesai. Di samping itu, isterinya Khalis, Syamimi, tiada sebarang kecederaan serius.

Dan hari ini, Khalis dan isteri sudah berada di Kampung Kedemit, Tumpat, Kelantan. Tiket sudah ditempah awal, dan pulanglah pasangan ini dengan kaki berbungkus elok, bertongkat dua.
berehat di rumah

sudah boleh tersenyum

kaki yang berbalut

papa dan mama sang pesakit bersama pelawat


betis yang lebam


Anam dan Shiraaj


Doa Buat Sahabat


"Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung,Tuhan Arasy Yang Agung, supaya menyembuhkan engkau"

Dibaca 7x (HR Tirmizi dan Abu Daud)

Semoga cepat sembuh wahai sahabat dan bersabarlah atas dugaan ini. Sesungguhnya Dia bersama dengan hambaNya yang sabar..





Muslim versi Michael Schumacher..

Pengaruh adalah suatu unsur yang signifikan dalam medan kepimpinan dan dakwah.

Pengaruh bukanlah semata-mata diukur dengan banyaknya pengikut, berapi-apinya orasi di khalayak ramai, dan gahnya kostum luaran seseorang.

Pengaruh banyak ditentukan oleh integriti seseorang individu.

Dan bagi saya, saya susah untuk dipengaruhi sebegitu mudah.

Ada langkah dan tatacara yang harus dipenuhi terlebih dahulu untuk menambat hati saya.

Saya melihat, memerhati dari atas ke bawah, mendengar dengan mata dan akal, dan saya menjustifikasikan apa yang diperbuat dan dibicarakan oleh sang pemimpin.

Dengan neraca Islam berteraskan Al-Quran dan Sunnah semestinya..


Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Yang Kukenali..



" Dia waris, saudara Tuk Guru juga, asal Kelantan juga orangnya" suatu masa dahulu bonda bercerita.

Patutlah tidak pelik sekiranya pertuturan dialek Kelantannya ternyata masih pekat, masih berlidah budu dalam bicaranya.

Mastautin di ceruk Jengka, tetapi darahnya masih lagi Kelantan.

Dan tadi, ditakdirkan Tuhan, majlis kuliyyah ilmu di Dataran Ilmu Kota Bharu, dimulaikan oleh Ustaz Tuan Ibrahim, bekas Adun Jengka di Pahang. Sudah lama tidak bersua secara berdepan-depan dengan pemimpin hebat ini.


Medan PRU lepas, rezeki perjuangannya tersekat seketika di arena Jengka. Jengka dimenangi oleh YB Wan Salman(gambar atas) dari Barisan Nasional

Pertuturannya lembut, tetapi disulami ketegasan berprinsip.


Suasana Medan Ilmu Kota Bharu 30/07/2010



Islam Di Hati

" Kita tentang UMNO, bukan dengan orang-orang UMNO, tetapi atas dasar prinsip!"

" Bila kita bertemu, tegur sapa dan ramah mesra itu tuntutan Islam"

Kalibernya sebagai Naib Presiden PAS ternyata hebat.

" Rasulullah dulu, baginda membelai hati dan jiwa Abu Sufyan sewaktu Pembukaan Kota Makkah!"

" Rasulullah mengatakan, Sesiapa yang ingin selamat jiwanya maka masuklah ke rumah Abu Sufyan, pemimpin Makkah!"

" Islam menjaga hati dan maruah seorang pemimpin walaupun dia adalah seorang bukan Muslim!"

Runut-runut kalimahnya diutarakan satu persatu secara jelas dan tenang.

" Sehari dua ini, ada penulis blog tulis Haram Sani, Haram Jadah dan sebagainya, ini tidak betul, bukan cara Islam!!"

Benar sekali katanya. Sedangkan mayat Yahudi berlalu di hadapan Sang Rasulullah, baginda bangun memberi penghormatan.

Teguran diberikan kepada penulis-penulis blog yang tidak beradab sopan melabel SS Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria dengan pelbagai panggilan tidak baik. Mahu memperdengarkan bicara Islam, tetapi nuansanya nyanyian yang tidak diredhai Allah dan RasulNya.

Akidah dan perjuangan mungkin berbeza, tetapi penghormatan manusiawi tetap tuntutan Al-Quran dan Sunnah.

Matlamat tetap tidak menghalalkan cara.

Tiada istilah Robin Hood of Sherwood versi Islam, dan juga tiada Pancho Villa of Mexico di dalam kamus kehidupan seorang pejuang Islam.

Hati saya damai mendengarkan untaian bicara Ustaz Tuan Ibrahim.

Berilmu tetapi merendah hati


Penutup Islam, Penutup Pergerakan Islam

Islam mahjubun bil muslimin, Islam itu tertutup oleh Muslim sendiri. Kata-kata mutiara dari Muhammad Abduh, seorang wirawan pejuang agama.

Enjin Ferrari memang berada di kelasnya tersendiri. Memecut sehingga 400km/jam dalam laluan lurus, itu adalah kemampuannya.

Syarat yang mesti dipatuhi adalah pemandunya mestilah Alonso atau Massa. Schumacher telah membuktikannya. Juara dunia 7 kali, 3 kali dengan pasukan Merah Hitam dari bumi Itali. Kuda hitam itu sentiasa megah di podium kemenangan.

Bayangkan jika sang pengemudi adalah seorang pak cik penarik beca di Bandar Hilir Melaka ataupun seorang supir angkot di belantara batu di Jakarta dan Bandung..Oh tidak tercapai dek akal waras insani.




Begitu juga Islam, sebuah revolusi yang cukup hebat. Hebat sebenar-benar hebat seandainya sang pendokong adalah Muhammad Al-Fateh, Salahudin Al Ayyubi, Umar Abdul Aziz dan yang lain-lain. Inilah 'Schumacher' yang sebenar-benarnya.

Keadaan boleh berputar 360 darjah seandainya mat-mat rempit, minah bohsia, couple jalan pegang tangan, pencaci maki di pentas ceramah, kaki gosip jendela, ahli keluar masuk penjara dan sebagainya, dibiarkan memandu suka hati ' kereta Ferrari' yang hebat tadi.

Silap-silap ngauman enjin pun belum tentu kedengaran.

Teringat kata-kata seorang sahabat.

" Kawe pun tawar hati nak ikut mana-mana organisasi Islam. Tengok orang tu ceramah agresif sangat, fanatik, jumud dan sebagainya!"

Nukilan kecewa seorang sahabat yang bernuansa Islami, tetapi kecewa dengan pendekatan segelintir individu dari gerakan Islam yang dikenalinya.

Islam yang cuba ditonjolkan oleh gerakan Islam itu , kelihatan jelek dan buruk di mata pandangannya. Semata-mata disebabkan 'promosi' yang buruk oleh ahli gerakan Islam tadi.

Promosi Islam ternyata mencacatkan wajah Islam. Sang tikus cuba membaiki labu, niat sang tikus baik, tetapi labu itu tidaklah semakin bagus, makin buruk malahan.


Tegakkan Islam Dalam Dirimu, Nescaya Tertegak Negara Islam Di Tempatmu

Hasan Ismail Hudaibi mengingatkan umat Islam akan hakikat ini.

Wajah Islam dicemarkan oleh orang Islam sendiri.

Walaupun saya tahu teh tarik manis dan sedap, tetapi apabila melihat air liur dan hingus meleleh, santun dengan pelanggan tidak dijaga, saya rela menjauhkan diri dari gerai itu.





Bicara Dr Asri Zainal Abidin ini wajar dijadikan iktibar dan teladan dalam kita mengamalkan ajaran Islami.

Islam itu adil dalam menilai dan memberikan hukuman. Tiada istilah pilih kasih dan matlamat menghalalkan cara.

Kepada saudara-saudaraku yang sama-sama bersyahadah, jadilah kita Michael Schumacher. Kita bukanlah sang penarik beca , bukan juga supirnya angkot..


p/s:

Rakaman kuliah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz di medan ilmu pagi tadi boleh dimuat turun di http://www.mediafire.com/?c5c2t3pycb618jr manakala rakaman kuliah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di alamat http://www.mediafire.com/?ewlzzcvd5vrbo3p

Jumaat, 30 Julai 2010

Semoga Bahagia Sampai Ke Syurga Wahai Sahabat..



Kepada Sahabatku, Dr Mustassrikh dan isteri,

Barakallahulakuma wa baraka alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair.."







Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan sehingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggungjawab dan tanggungjawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara, dari dunia hinggalah ke syurga~ Ustaz Pahruol Juoi