Isnin, 22 Julai 2013

Erti Hidup Pada Memberi.


Hidup ketika bergelar doktor 'houseman', peluang saya turun ke medan semakin sedikit.

Hidup terfokus kepada pesakit di hospital.

Sekarang, keluar sebelum Subuh, balik kalau bernasib baik sebelum berbuka, dan kalau waktu oncall, akan bersambung terus sehingga selepas Subuh keesokan hari.

Setidak-tidaknya, melihat adik-adik di bumi Bandung dan Jatinangor menghulurkan tangan kepada para penduduk, dapat juga menimbulkan perasaan bahagia.

Program Cry No More; From Malaysia With Love berjalan lancar.

Di Bandung, juadah berbuka dibahagikan kepada para penduduk sekitar.

Di Jatinangor, barang-barang makanan mentah disalurkan kepada penduduk di sana.

Sesungguhnya Allah Maha Melihat, semoga barakah kepada tangan-tangan yang menghulur, segala tenaga yang tercurah, segalanaya ada seribu satu nilai kebaikan..







Sabtu, 6 Julai 2013

PROMO : Cry No More ; From Malaysia With Love



Jom bersama kafilah Ramadan , sebuah projek menebarkan senyuman bahagia di bumi Indonesia.

^__^


Jumaat, 21 Jun 2013

CRY NO MORE ; From Malaysia Wit Love..




CRY NO MORE ; From Malaysia With Love..

Sebuah projek mega pahala, meriah dengan barakah, yang akan dipelopori oleh mahasiswa-mahasiswa Malaysia di bumi Bandung, Indonesia..

Projek ini bermatlamat untuk membekalkan juadah berbuka puasa kepada anak-anak yatim, anak-anak jalanan, orang-orang miskin dan kurang upaya..

Sepanjang lebih 6 tahun saya mendiami Bandung, bergelumang dengan orang-orang Sunda yang aneka ragam, mendatangi pelbagai majlis dan keraian, melawati pelbagai ceruk tempat, bumi Indonesia yang merupakan bumi paling banyak umat Islam, ternyata masih sangat memerlukan bantuan.

Yang kaya menjadi lebih kaya, yang miskin terus kedana melarat.

Anak-anak jalanan dibiar tidak terurus.

'Mengamen' ( aksi menyanyi di jalan, dalam bas, dalam kenderaan awam, sambil mengharapkan derma dan belas ehsan dari orang ramai) kebanyakan juga dari anak-anak jalanan ini.


Compang camping pakaiannya, ditambah kusut masai penampilannya, demi kepingan rupiah.

Demi sesuap nasi.Belum lagi kita bercerita tentang pendidikan mereka.

Yang cacat dan kurang upaya dibiar tanpa peduli.Malahan menjadi mangsa sindiket permainan mengemis di jalanan.


Masjid-masjid begitu banyak, dalam senggang yang begitu hampir antara satu dengan yang lain.

Pada bulan Ramadan, masjid akan penuh dengan jamaah.

Seakan suatu kebiasaan apabila berselawat ketika rehat antara solat sunat tarawikh, menjadi suatu aksi yang penuh pekikan. Pernah saya umpamakan seperti gaya orang Red Indian bertempik..

Tidak percaya?

Tanyalah mana-mana pelajar Malaysia yang pernah mendiami Bandung dan Jawa Barat.Pasti akan diiyakan mereka.

Berbuka puasa di masjid mungkin menjadi pilihan sesetengah kita di Malaysia.Aneka hidangan dari beriani gam, nasi Arab, kambing guling, bubur lambuk dan sebagainya.

Ramadan di Malaysia, kita berpesta dengan makanan.

Di bumi Bandung, saya menyaksikan masjid hampir tidak pernah mengadakan majlis berbuka puasa.

Yang biasa saya lihat adalah disediakan air kosong dan ' gorengan' ( istilah Indonesia untuk cekodok atau jemput-jemput) sebagai ' taajil' ( istilah Arab yang popular di Indonesia bermaksud makanan awal berbuka).

Semata-mata itu..

Inilah Bandung pada kaca mata saya, bekas seorang pelajar perubatan di sana.

Alangkah bahagianya hati jika kita mampu mengalirkan sedikit rezeki dari bumi Malaysia yang penuh barakah ini kepada jiran kita di sebelah sana..

Kita memilih makanan apa lagi untuk berbuka, mereka pula berfikir adakah ada makanan yang cukup untuk berbuka..

Sekadar sedikit perkongsian pengalaman..

Semoga Ramadan ini membawa seribu makna dalam kehidupan kita seharian..