Selasa, 22 Mei 2012

Walimatul Urus Nurul Aimi & Ahmad Zulfahmi



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.


" Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, suapaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir."

(Ar-Rum : 21)


Dengan izin Allah ke atas hamba-Nya yang merancang, dilimpahi rasa rendah diri dan penuh kesyukuran, mohon kesudian dan mempersilakan Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan/Encik/Cik ke :

WALIMATUL URUS

Nurul Aimi binti Lt. Kol. Hj. Mustaffa
&
Ahmad Zulfahmi Bin Mohd Kamaruzaman


pada : Sabtu, 26hb Mei 2012, bersamaan 5 Rejab 1433H
                        bertempat di :
Ballroom Stadium Hang Jebat,
Aras 2 Stadium Hang Jebat, 
Kompleks Sukan Hang Jebat,
Paya Rumput, Krubong, 75260 Melaka.


Doa untuk pengantin :

" Semoga Allah memberkatimu dan melimpahkan keberkatan-Nya ke atasmu serta menempatkan kebaikan di antara kamu berdua"

Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim.


Petah sungguh si burung nuri,
Hinggap sebentar di hujung julai,
Kasih didamba, doa teguh bersaksi,
Biar termeterai cinta Syurgawi.

Semoga kehadiran dan doa restu kalian semua dapat memberi keberkatan dan memeriahkan lagu majlis walimatul urus kami.

Wassalamualaikum wbt.



Isnin, 21 Mei 2012

Maaf Blogku..


Alhamdulilllah, segenap puji dan syukur kepada Tuhan yang Maha Pemurah, akhirnya blog ini dapat dibuka lagi.

Dengan kesibukan ( ataupun banyak perbuatan buat-buat sibuk), ditambah dengan masalah blog yang tidak dapat di'sign in' kerana masalah emel, blog ini tidak dapat dikemaskinikan.

5 minggu bukan suatu tempoh masa yang sebentar.

Banyak liku perjuangan hidup yang masih tersurat di kamar hati, belum sempat tertinta di dunia maya.

Semoga saya diberikan kesempatan kembali untuk melunaskan hutang kepada blog ini ke hadapan.



Kini

Setelah berjaya melepasi hadangan pelajaran di bumi Rumah Sakit Hasan Sadikin, Bandung, kini kembara doktor saya membawa diri ini ke bumi Ciamis, Jawa Barat.

Jaraknya sekitar 200 kilometer dari bumi Bandung.

Suatu jarak yang tidak dekat, dengan gunung-ganang dan belukar gaung di sisi kiri kanan jalan, menggambarkan sebuah perjuangan.

Cerita di  bumi Soreang, sekitar 25 kilometer dari Bandung, belum sempat saya ceritakan.

Belum seminggu di bumi Ciamis, Insyaallah saya harus pulang ke tanah air tercinta untuk melafazkan sebuah 'mi saqan ghalizon', sebuah lafaz yang berat, sebuah akad, memeteraikan secara rasmi hubungan halal lagi diredhai, antara seorang anak Adam dan Hawa.

Mohon doanya agar semuanya berjalan lancar dan dimudahkan.

Sekian, terima kasih.


Jumaat, 30 Mac 2012

Semoga Jannatul Firdaus Buatmu Nenda.


"Ke'kong (nakal) deh wat sulung nih!"

Terngiang-ngiang suara nenek belasan tahun silam.Sewaktu saya masih lagi anak-anak setahun jagung, masih di bangku tadika.

Nenek (kami cucu memanggil nenek dengan panggilan 'MOK'), memarahi saya kerana keletah yang nakal.

Saya tersinggung.

Sebagai tanda protes, saya tidak mahu lagi bertemu nenek.Malas mahu bertandang ke rumahnya lagi.

Sekarang, saya hanya mampu tersenyum, mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersama nenek.


Nenek

31 Mac 2009 detiknya, sudah 3 tahun nenek pergi meninggalkan kami.

Sekarang,saya sudah cukup dewasa.

Terasa aneh dengan perangai keanakan berdemonstrasi tidak mahu bertandang ke rumah nenda.

Dasar anak hingusan.

Semakin lama,semakin saya teringat nenek.

Tidak pernah dia melupakan anak cucunya.

Musim durian, durianlah kami dapat.

Musim rambutan tiba, pakatlah disuruh anak cucu datang mengait.

Selaku tukang masak 'bekwoh' (kenduri) handalan, gulai kawah nenek antara yang terbaik.Sering, setiap kali habis kenduri, pasti ada kiriman untuk kami cucu-cucu.

Terutamanya saya.Kerna saya peminat nombor satu gulai dan kari.Kadang-kadang, gulai buatan nenek akan tersimpan di dalam peti ais rumah, sampai seminggu lamanya.

Bukan kerana tidak laku, tetapi kerana banyak bahagiannya untuk saya.Pasti dihabiskan saya akhirnya.

Zaman silam anak-anak.

Sehinggalah nenek hilang upaya disebabkan serangan angin ahmar (strok).

Nenek masih nenek.Suka bertanya khabar sanak saudara.Kalau zaman sihatnya,sakit sahaja orang yang dia kenali, dialah orang yang pertama bertandang menziarahi.

Tabik dari saya.


Cucu Doktor

Dalam keluarga besar kami, sayalah cucu pertama yang menjadi doktor.

Belajar di luar negara, walaupun jarak tempoh ke Bandung hanya mengambil masa 2 jam lebih penerbangan.

Setiap kali pulang, rumah nenek akan saya ziarahi.

Dahulu dipaksa abah, tetapi pabila sudah menjadi mahasiswa, saya rela hati.Rindu malahan untuk ketemu.

" Maafkan Mok deh... Mok banyok saloh!"

Hiba hati saya pabila nenek pernah meminta maaf kepada saya sewaktu saya meminta izin untuk berangkat ke bumi Paris van Java.

Nenek pula yang mahu mengucup tangan saya.Serba salah saya dibuat nenek.

Seharusnya saya yang memohon ampun dan restu.

" Min minta maaf Mok.Doa ko Min deh!"

Lekat memori itu sehingga ke hari ini.

Mutiara air mata ikhlasnya, takkan saya lupakan.


Doa Buatmu Nenda

Kini, dirimu telah pergi.Selamanya meninggalkan kami, anakanda cucunda.

Semoga Jannatul Firdaus buatmu nenda.

Amin...