Rabu, 17 November 2010

Qurban ; Sebuah Episod CINTA..

Budak-budak 1st Year Beraya Pada Idul Adha (^^,)V

Gambar penuh nostalgia :-)



Artikel lama yang dinaikkan kembali.Bahasa orang baru bertatih 3 tahun lepas.Semoga bermanfaat..


“Anakku,sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu,”berat hamburan kata-kata Sang Bapa.

“Ayahku,kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu.Insyaallah, engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar,”ringkas balasan Sang Anak.

Diseka perlahan rembesan manik-manik jernih dari kelopak matanya. Tidak terbayang kalbu sang Bapa tika itu.Hati pedih bak disiat-siat sembilu bisa sambil pisau di jemari menggeletar maha hebat..Sang Anak menunduk rela,pasrah dalam ketaatan.Luluh tangkai jantung pasti melihat cereka ini...Demi sebuah CINTA,Ibrahim sanggup memperjudikan nyawa buah hati pengarang jantungnya..

Takjub!! Suatu jawapan yang cukup agung..Pasti, tidak terfikir di dalam benak seorang manusia yang waras akalnya, untuk menyembelih darah dagingnya sendiri.Akan tetapi,kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Yang Esa, lebih jauh diutamakan..Begitulah kisah Ibrahim dan puteranya Ismail yang dipotretkan Allah dalam Surah As-Soffat (37:102).

Saban tahun, kita lewati tanggal 10 Zulhijjah..Semua maklum inilah tarikhnya Hari Raya Aidil Adha,hari kebesaran umat Islam.

Cuma sayang seribu kali sayang..Aidil Adha seakan-akan sudah tiada tempat di hati sesetengah daripada kita.Taring dan sengatnya entah ke mana menghilang. Hambar!Tawar!..Cuti yang sekadar sehari dua,digunakan untuk bersantai.Mahasiswa lena di katil empuknya,penjawat awam senang bergoyang kaki di istana masing-masing,anak-anak kecil terpaku melongo di hadapan kaca TV dari pagi hingga ke petang..

Mulut mungkin mahu menidakkan,pandangan mungkin disebelah matakan,tetapi hakikatnya inilah fenomena yang mula membarah dalam nubari masyarakat kita.Pahit pasti,tetapi itulah yang harus ditelan..

Di mana titik khilaf itu??

Jelas,dangkalnya kefahaman tentang peri pentingnya Aidil Adha itu kian membelenggu jiwa-jiwa Muslim hari ini.Manifestasi pengorbanan Ibrahim dan Ismail langsung tidak membekas di hati.Kosong..Adakah sama nilai tumbangnya seekor lembu korban dengan jasad mulus Ismail?Andai dikumpul semua haiwan korban AidilAdha nanti pun,tetap neraca pengorbanan memberat kepada Ismail.Jelas..

Wahai teman sekalian...Tatkala nanti laungan Allahuakbar menggamit suasana pagi 10 Zulhijjah,marilah kita sama-sama menghayati erti sebuah pengorbanan.Berkorban terpisah dengan keluarga tersayang di seberang,berkorban bergelut dalam jerih-perih dunia kedoktoran...Semuanya mengandalkan jiwa,masa,tenaga,harta..Alangkah rugi andaikata pengorbanan itu, hujung pangkalnya tidak ketahuan..Atau sekalipun tujuan itu wujud,tetapi berkiblatkan materialisme hedonistik sesaat cuma,tetap ia tidak punya pulangan.Korbanlah kita kernaNya dalam rangka kita sebagai hamba dan khalifah di bumiNya.Inilah cinta yang abadi dan hakiki,dambaan hati...

Semuanya kerana CINTA...

Sabtu, 13 November 2010

Muslim Berkostum Jahiliyyah...




Sewaktu masih kecil, saya pernah mengalami fobia. Fobia pada ahli agama, dan juga ahli politik.

Puncanya segelintir, bukan semuanya. Kambing hitam mewarnakan imej negatif dalam kotak fikiran saya, masih anak-anak berusia sedini awal belasan tahun.

Pada peringkat ini, keteladanan memainkan peranan penting kepada pencorakan pola fikir seorang anak remaja. Lingkungan pengaruh dipertontonkan kepada khalayak, dan anak-anak ini akan menilai, memerhati, dan kemudian, memilih sama ada mencontohi atau menjauhi.

Dan kesannya, sampailah ke detik ini, kadang-kadang masih ada was-was pesimis kepada sesetengah ahli agama mahupun politik, yang bicaranya terlampau, aksinya tidak ke mana.


Bicara dari Paris..

"Aku melihat Islam di Paris, meskipun tiada orang Islam.Aku melihat orang Islam di Cairo, tetapi tidak ada Islam di sana"

Tinta ini termaktub dalam halaman tarikh, diceriterakan oleh Muhammad Abduh, seorang pemikir Islam pada awal abad ke 20.

Kembara ke Paris menemukannya dengan Islam tanpa Muslim, dan di Cairo, Muslimnya pula hampa tanpa Islam.

Dan senario yang sama kelihatan bergelanggang di arena hari ini amnya, laman Melayu juga tidak ketinggalan berwajah seiras.

Testimoni dari Brother Shah Kirit Kalkulal Govindji, seorang mantan penganut Hindu, memberikan pengesahan rasmi. Tidak jarang ramai orang bukan Islam yang diperlecehkan dan ditakut-takutkan dengan gaya dan tingkahlaku orang Melayu yang namanya bernuansa Islam.

" Kalaulah melihat statistik anak luar nikah, penagih dadah, mat-mat rempit, bohsia dan sebagainya, juara segala juara, tidak lain tidak bukan adalah Melayu. Melayu yang pastinya Muslim"

Sukar..

Sulit...

Payah..

Umpama membeli buah limau di pasar. Waras pemikiran akan menjejaki, membelek-belek buah yang oren segar, tiada coret kehitaman, bersih dan sebagainya, terus memilih dan diposisikan ke dalam keranjang beli. Tetapi adakah ada titik perbezaan rasa bagi keduanya?

Mungkin sahaja rasanya sama. Sama-sama manis, mahupun masam mencuka.

Begitulah resmi insan. Kostum luaran bukanlah segala-galanya, tetapi itulah rentak tari manusia. Gambaran pertama memainkan peranan penentu.

Manusia melihat, menafsir, dan memilih untuk mendekati ataupun menjauhi.


Personaliti Dakwah

"Andaikata Rasulullah hadir ke dalam ceramah kalian, adakah Rasulullah akan mengaku bahawa inilah Islam yang diajarkan oleh Rasulullah 1400 tahun silam?"

Dr Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis pernah melontarkan pertanyaan sebegini kepada para penceramah bernuansa agama dan juga politik.

Ceramah dihiasi dengan fitnah, penggunaan perkataan mencarut, berkata hodoh dan sebagainya. Ada sesetengah dengan bangga berkopiah litup, bersongkok tinggi membukit dan pelbagai kostum berjenama agamis yang lain.

Tolak ketepi yang bercakap tetapi rasuah korupsi, lempar jauh-jauh calon pilihanraya yang suka 'makan di luar', buangkan dari perasaan dan benak minda pemimpin yang memakan duit marhain, kenyang membuntal, rakyat tidak teringat di ingatan.

Manusia-manusia sebegini adalah jenis 100% tertolak, tiada kompromi. Jangan diharapkan serigala untuk menjaga kawanan kambing, sedangkan pagar yang diharap juga ada yang memakan padi..

Serigala keluar dari topik perbincangan. Fokus kita adalah pada sang pagar, agar menjadi pagar beramanah, berbuat pada fungsinya iaitu menjaga padi..


Antara Kafir dan Fasik..

Memaki orang adalah fasiq dan membunuh Muslim adalah kafir..Ini nukilan Rasulullah kepada kita, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya.

Memaki, mencerca, mengutuk dan seangkatan dengannya dikategorikan sebagai fasik, apatah lagi peringkat membunuh sesama Muslim.

Dalam keadaan normal, inilah pantang larang agama. Akhlak yang diajar junjungan Muhammad.


Antara Contoh..




3 contoh di atas pakat kita tontoni.

Mereka masing-masing adalah personaliti yang dikenali, dan disegani kawan dan lawan.

Ada nama, ada pangkat..Dan dianugerahkan Ilahi, pandai bersilat bicara, bertari lidah.

Cuma maaf dari saya, saya tidak bersetuju dengan semua pendekatan di atas. Cubaan di atas digunakan untuk memburuk-burukkan Muslim lain, malahan tanpa disedari, imej jurubicara sendiri yang terpalit najis, terconteng arang.

Boleh sahaja tidak bersetuju dengan seseorang, berbantahan, tetapi jangan sesekali keluar dari norma Islam..

Wajah generasi silam tidak mengajarkan tingkah dan telatah sebegini biadap lagi cacat.

Muawiyah berbeza pendapat dengan Ali tetapi ketika Ali dicerca orang Muawiyah bangkit mempertahankan.

" Siapa berani mencerca Ali? Sesungguhnya Ali jauh lagi baik dari kalian!"

Bercucuran airmata Muaiyah tatkala Ali pergi mengadap Ilahi.

Perbezaan, khilaf sesama Muslim itu pasti wujud, tetapi akhlak muamalah, persaudaraan ikatan seakidah itu tiada kompromi.Titik..

Begitu juga bicara Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika Mufti Perak Dato Harussani digelarkan orang dengan panggilan 'Haram sani', dan sebagainya.

" Ini bukan gaya kita Muslim walaupun berbeza pendapat!"


Bukan Pembunuhan Karakter

Petikan-petikan video di atas hanyalah sekadar contoh. Teladan ini bukan bermaksud mahu menjatuhkan hukuman kepada mereka.

Dengan rendah hati, tingkat mereka bagai langit dan bumi berbanding kita, marhaen biasa. Boleh sahaja darjat taqwa di sisi Ilahi, jauh mereka bertingkat 100 di atas kita.

Mungkin sahaja , sewaktu melontarkan ucapan tersebut, emosi kurang terkawal dek provokasi, kemarahan, sedih kecewa dan pelbagai lagi telahan seribu satu yang tidak kita ketahui.

Bisa sahaja, mereka sudah melantunkan kata taubat pada Rabbnya. Bisa dan bisa..

Sebagai Muslim, doakan mereka agar berubah dan jika sudah ada titik perubahan, mohonkanlah keistiqamahan terus mendampingi peribadi. Biarlah bicara hebat kurniaan Ilahi itu menjadi bak bicara perwira Abdullah Bin Rawahah, sang panglima mujahid di medan Mu'tah.

Sedangkan Fudhail Bin Iyadh, seorang sufi alim, awalnya adalah seorang perompak, inikan pula pemimpin yang salah bicara..

Calar dan coreng Muslim selama ini, banyak mencontengkan aib ke wajah Islam. Biarlah yang berlalu terus pergi dalam belahan zaman, dan agar sekarang kita, mencoretkan irama merdu seorang Muslim yang menggenggam Islam, dengan akal dan aksi, hati dan juga perasaan.

Suatu hari nanti, bakal subur makmur Muslim di Cairo dan Melayu Muslim berkostumkan Islam, dalaman pasti, luaran tidak ketinggalan..

Katakan TIDAK pada Muslim berkostum Jahiliyyah...

Khamis, 11 November 2010

Bersama Para Tetamu PENDIAM...



Setelah bergelumang di bahagian Psikiatri, bersuai kenal dengan 'penghuni-penghuni syurga', kelana bersambung di laman tiada bunyi dan suara. Keheningan mematikan rasa..

Forensik, tempat berkunjung..

Pertama kali, diakui, memang menyelinap perasaan takut, cuak dan gementar. Berbaur sesama dalam lubuk hati..

"Seram, tak takut ke?" tanya adik bongsuku Faizah.

Saya hanya tersenyum simpul. Alah bisa tegal biasa.

Pertama kali berdebar-debar.Kedua kalinya degupan jantung mula berkurangan, lebih tenang.


Di Laman Forensik..

"Siap sedialah dengan permainan kad, poker, menonton filem dan sebagainya1!" saran kawan-kawan yang sudah melepasi bahagian ini.

Tetapi hakikat sebenarnya tidaklah seindah khabar.

Bagi saya, setiap bahagian itu susah, dengan caranya tersendiri.Forensik juga sama.

Segala-galanya tergantung kepada kehadiran 'tetamu' (baca mayat).Kalau banyak, banyaklah rezekinya.Kalau tidak, sekadar ala kadar jatahnya.

Dan tetamu-tetamu itu datang dengan pelbagai keluhan.

Mati tenggelam, bunuh diri, pembunuhan, kecelakaan lalulintas, dan sebagainya.

Paling menghibakan hati setakat ini adalah kehadiran dua jenazah mungil, dua orang bayi yang mati dibuang.Anak lahir hasil perzinaan..

"Atas sebab apakah kami dibunuh?"

Pasti pertanyaan ini akan menghantui ibu bapa yang tergamak melakukan aksi kejam sedemikian, di negeri akhirat nanti..


Tujuan

Multifungsional sebenarnya.

Kes mahkamah, tuntutan insurans, pengebumian jenazah dan pencen antara sebab utama.

Prosedurnya bagi saya agak rumit, melecehkan di samping dengan bauan yang langsung tidak menyenangkan.
Bayangkan ramai rakan seperjuangan melekatkan kopi, uncang teh, minyak wangi, minyak angin dan sebagainya untuk mengalihkan bauan busuk yang memaharajalela di udara terbuka.

Cuma, kata saya pada diri..

" Ayuh , fikir positif.."

Semua yang tertiarap kaku di katil autopsi adalah saudara-saudara kita, semanusia bukan haiwan.

Kebanyakan tidak berharap untuk mengakhirkan detik penamat mereka dengan cara sebegini.Hanya Tuhan menentukan saksama.

Dan atas bahu kitalah untuk melaksanakan pertolongan, menolong mereka sebaik-baiknya.

Menolong membedah, mengerat dan mengenalpasti kelainan pada mayat, adalah satu wahana 'membantu atas kebaikan dan taqwa', suatu suruhan Ilahi pada hambaNya..

Dan sentiasalah positif dengan kehadiran tetamu-tetamu ini. Tetamu datang membawa rezeki kepada sang tuan rumah..

Kunjungan tetamu ibarat ladang pahala menunggu tuaiannya oleh kita. Sudah terhidang di depan mata, maka syukurlah dengan rezeki yang datang..

Kata pujangga nasyid, Raihan..

Syukur..Syukur..Alhamdulillah...