Khamis, 21 Oktober 2010

Salam Terakhir Seorang Teman..





Hari ini saya melangkah penuh semangat, memasuki Rumah Sakit Hasan Sadikin,Bandung.

Sambil berjalan perlahan-lahan, sempat juga bertegur sapa dengan teman-teman yang turut mengorak tapak ke medan memberi kami.

Tiba-tiba datang seorang kawan perempuan. Esakan tangisnya membuat saya kaget. Kenapa dan kenapa bermain di fikiran.

"Nani dah tiada!"

Kawan-kawan mula berkumpul. Khabar yang diterima cuba dikenalpasti kesahihannya.

Masing-masing terkesima. Sungguh mengejutkan..


Di Rumah Sakit Advent

Jenazah ditempatkan di Rumah Sakit Advent, Cihampelas, kira-kira 2 kilometer dari kediaman kami para pelajar Malaysia.

Ruangan Jiwa saya tinggalkan.. Dengan beberapa orang teman, kami bergerak dengan 'angkot' ke sana. Mahu menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat yang terlebih dahulu bergegas ke sana..

Ke ruangan Forensik kami menapak. Berdebar adakah benar berita yang terngiang di telinga.

Usai di destinasi, sudah ramai yang menanti. Membaca Yasin , menguruskan surat menyurat rasmi dan pemberitahuan kepada pihak kedutaan Malaysia, pihak fakulti, saudara mara dan sebagainya.

Hawa dukacita menguasai gelanggang.Suram dan muram.

Ya benar, 100 %. Jasad itu terbujur kaku. Kain diselak, rona wajahnya bersih, memancarkan nur ketenangan. Sempat dibingkiskan kalimah doa, mengharapkan kebaikan dunia akhirat buatnya..


Tunggu Kami Di Sana..

Selesai sudah urusan seorang keturunan Adam dan Hawa di bumi milik Ilahi ini.

Saya melamun jauh. Instrospeksi ke dalam diri yang kerdil..

" Tak rasa apa-apa ke?"

Sengaja saya lemparkan persoalan menikam sukma kepada seorang 'abang', sahabat saya.Nada saya bergurau, dalam mengingatkan sahabat dan diri sendiri. Terasa dekat benar sebuah kata bernama M.A.U.T.

Hakikat sebenarnya, saya merodok jantung, nyawa sendiri. Terasa benar dosa-dosa yang bertimbun , dilakukan saban hari.

Ketakutan ini datang bertandang. Saya betul-betul belum bersedia.

Astagfirullah tidak terucap dengan banyaknya noda-noda hitam yang mengarati hati nan putih bersih.

Buat temanku, Inani Zalikha Binti Zainal Abidin, semoga tenang di persemadian abadi. Dan moga-moga ruhmu dutempatkan bersama hamba-hambaNya yang solehah dan beriman.

Tunggu kami di sana, Insyaallah kami akan mengikuti jejak langkahmu, wahai teman.Jenazah-jenazah ini kan mengiringimu..

Innalillahi wainna ilaihi rojiun.....




p/s :

1) Inani meninggal dunia sekitar jam 5 pagi di biliknya. Sebab kematian tidak diketahui secara penuh, cuma berkaitan dengan masalah pernafasan.

2) Autopsi untuk mencari sumber kematian tidak dilakukan atas kehendak keluarga allahyarhamah.

3) Keluarga allahyarhamah telah tiba di Bandung, kira-kira jam 1530 waktu Indonesia Barat.

4) Urusan penghantaran jenazah berjalan lancar Alhamdulillah. Terima kasih kepada pihak Fakulti Kedokteran Unpad, pihak PADMA, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan juga para sahabat seperjuangan yang banyak turun tangan.. Insyaallah jenazah akan dibawa pulang melalui Bandar Udara Soekarno Hatta, Jakarta, pada pagi esok, 22/10/2010.

5) Memandangkan berita kematian ini telah dimasukkan ke dalam Bernama, Berita Harian dan juga Buletin Utama TV3, saya sebagai seorang teman, tidak mengharapkan ada pihak yang akan mengeksploitasi kematiannnya untuk kepentingan peribadi, politik dan sebagainya..Hanya harapan seorang teman..

Selasa, 19 Oktober 2010

3 Minggu Berdamping Ahli Syurga..




" Tuan puan nak tengok ahli syurga?"

"Betul-betul ni. Tak percaya ke?"

Dalam nada serius berceramah, sang orator sempat bergurau canda.

" Ni yang banyak jalan-jalan kat bandar. Jangan main-main, mereka tu ahli syurga. Kepingin tidak jadi macam mereka!"

Lawak lelucon itu ada benarnya.Gempita hadirin hadirat menggamit sukma duha di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man empunya cereka. Di sebalik ketawa ceria, tersingkap sebuah kebenaran.

Ya, mereka ahli syurga. Tiada taklifan pahala dan dosa terhadap mereka.

Ya, orang yang punya masalah psikiatri atau bahasa rakyat, orang gila, adalah golongan yang tidak mampu disaman oleh Raqib dan 'Atid.


Ilmu Kesehatan Jiwa..

Di Indonesia, umum memanggil Psikiatri dengan Ilmu Kesehatan Jiwa atau ringkasnya J.I.W.A.

Sekarang, saya berada di dalam putaran di bahagian ini, 3 minggu lamanya. Dan hari ini, baru 2 hari baru dinoktahkan.

"Wahyu, Wahyu, kamu Wahyu kan?"

Ketika jejak sulung di bahagian ini, kami kaget seketika. Seorang teman di'serang hendap' oleh seorang pesakit wanita. Sangkanya teman ini adalah anaknya.

Cuak sang teman tiada berkesudahan. Kawan-kawan perempuan pula mula memposisikan diri di bahagian tengah, agar terhindar dari ' ancaman'.

Saya kurang memerhatikan taklimat oleh jururawat bertugas. Mata saya melilau-lilau melihat suasana sekeliling. Hapak, tengik menyambar aroma ciuman hidung.

Kurang menyenangkan.

" Ala bosannya. Menakutkan pun ada!"

Mula ada komentar terlontar sesama kelompok.

Kes pembunuhan berprofail tinggi dan penuh sadis di Malaysia, sering sinonim dengan pesakit mental. Menyembelih ibu dan bapa, membunuh anak kandung..

Benak fikiran kembali memutarkan kembali rakaman kejadian yang dipapar di dada akhbar dan kaca televisyen.Tidak tenang qolbu jadinya..


Positif Masih..

Saya percaya sesuatu kendali adalah di dalam tangan kita, kita yang menentukan jadinya A,B mahupun C. Ya, dengan doa dan kudrat Tuhan pastinya.

Memandang sebuah gelas yang masih penuh setengah airnya adalah betul.

Juga gelas yang sama bisa ditafsirkan sebagai kosong setengah, tidak pula suatu kesalahan fakta.

Tetapi, di situ ada bezanya.

Setengah penuh itu sentiasa bernada aura positif, kosong setengah pula mendambakan negitivism, salbiah benar akal di kepala.

Begitu juga di Jiwa..Penentunya adalah diri sendiri.

Mahu takut, sentiasa mencari eskapisme, kosonglah tangkapan ilmu.

Mahu berlapang dada, turun berkenalan, berdamping dengan 'ahli-ahli syurga', bertanya khabar, adalah suatu kesempatan emas. Jarang yang dihidangkan peluang seumpama.


Dan Hari Ini..

Tunggu punyalah tunggu, rupanya bimbingan dengan konsulen (doktor pakar psikiatri) ditunda ke sekian waktu.

Ada teman yang mengisi keperluan perut dan ada yang menghala pulang ke kediaman masing-masing. Saya pula malas untuk pulang.

Usai mencatat sedikit nota, saya masuk ke ruangan pesakit. Mereka dilepas, bebas.

Pendek cerita, aneka ragam adegan disaksikan dan terlibat.

Bermain pingpong dengan pesakit itu biasa, cumanya tadi kot putih saya 'terancam'.

Kot yang diletak di samping, diambil dan diperagakan oleh seorang pesakit skizofrenia. Mujur diminta terus diberikan kembali. Kalau tidak, jenuh mahu mengejar 'anak dara' seorang .

Bergaduh sesama pesakit, meludah-ludah.

Berjemaah menghidangkan 'air oren' ( baca air kencing) kepada teman-teman sewad. Semuanya meminum. Ubat kata sang penghidang.

Mandi di tengah-tengah ruangan, sambil cuba berbogel kerna permintaan baju baru tidak dilayan jururawat.

Dalam pening melayan kerenah mereka, saya tersenyum sendiri...

Kerja Tuhan itu sungguh istimewa..

Ada pesakit mental, adalah juga doktor datang menghulurkan terapi. Kedua-duanya manusia berlainan aksi dan cerita.

Ada yang punya halusinasi dan ada yang suka ada delusi.Sedih, marah dan kecewa bermaharajalela di takhta akal.

Pesakit mental ibarat anak-anak mumaiyyiz lagi. Beban dosa dan pahala hanyalah sekadar penghidupan sihat mereka dahulu, sebelum tersimbah sakit.

Yang satu hapak dan berbau, satu lagi wangi lagi kemas.. Belumlah tentu taqwa sang wangi lebih tinggi dari yang hapak berbau..Bahkan lebih tinggi, mungkin sahaja.

Moga satu sudah bercop rasmi Syurga. Mereka sudah 'mati' sebelum mati.. Manakala doakan yang satu lagi, yang berjuang menyelamatkan nyawa insan, bergerak juga menuju 'ajrun 'azim. Syurga yang abadi..

Semoga di J.I.W.A. , kita bertemu kasih, dan di Syurga , hati kita bersimpul mati..Dengan izinNya Rabbi,,

Jumaat, 15 Oktober 2010

Jejak Sulung di IGD (Unit Kecemasan)



Setinggi kemaafan dijunjung wahai lamanku tersayang. Hampir sebulan tiada sebarang artikel baru..Sekarang empunya diri sudah berpindah mukim ke Jalan Sukagalih, Sukajadi, di tengah jantung kota Bandung..

Bertugas di rumah sakit (baca hospital) dengan bidayahnya di bahagian Saraf. Dan kini telah 3 minggu berlalu dan bahagian saraf telah dilalui dengan jayanya. Syukur Alhamdulillah..

Internet pula baru 2 hari berjaya dengan stabilnya mengetuk pintu laman rumah kami, Villa Intan, gerangan kun'yahnya.


Jejak Sulung di IGD

Bismillah.. Jejak diatur, hati dicerna seikhlas mungkin.

Instalasi Gawat Darurat atau Unit Kecemasan menanti di depan.

'Oncall' kali pertama di ruangan nyawa bersabung. Malakul Maut berkunjung datang dan pergi.

Tugas saya hanya di ruangan Penyakit Dalam kerana di situlah pesakit-pesakit bahagian Saraf datang bertandang.

Mudah bahasanya, Saraf adalah anak kepada Penyakit Dalam. Tetapi kadang-kadang, pesakit-pesakit yang datang menderu dipertanggungjawabkan kepada doktor-doktor saraf.

Seringnya serangan angin ahmar ataupun bahasa klinisnya stroke adalah penyebab paling utama, di samping sawan epilepsi, tetanus, meningitis ( radang otak) dan aneka ragam nama penyakit yang lain.

Mendebarkan namun mengasyikkan.

Detik demi detik berjalan, namun tiada terasa sang waktu melambai pergi.

Dari tugas asas mengambil nadi, suhu, kadar respirasi, dan tekanan darah, sehinggalah memasang 'nasogastric tube' ( tiub dari hidung sampai ke perut), memasang ' catheter' ( saluran kencing tiub) dan pelbagai tugas dokter muda, saya beranikan diri untuk mencuba.

Lihat jururawat lakukan terlebih dahulu, kemudian dengan namaMu Tuhan, saya memberanikan diri. Pesona memberi manfaat sesama manusia, saya sukakannya.

" Semangat nampak. Rajin benar ke sana ke mari!"

Doktor-doktor yang sedang membuat spesialisasi (panggil Residen) menegur ramah. Pertama kali mungkin. Kalau sudah berpuluh kali hadir di Unit Kecemasan, mungkin saya juga dihinggap jemu melata. Sudah terlalu biasa pasti..

Cuma saya berkata pada diri, sematkan dalam nubari, semuanya pasti ada ganjaran di sisi Ilahi Rabbi..

"Aku hanya seorang hamba insani, sekadar perpanjangan tangan Tuhan kepada makhluk dikasihi. Aku bangga untuk peribadi ini.. DemiMu Ya Allah..."


Detik Itu..

Setelah penat lebih 2 jam berjuang dengan pesakit yang mengamuk kerana tidak mahu cairan tulang belakangnya diambil, saya melepaskan lelah di kerusi. Sebentar..

Masuk seorang pesakit, sudah tidak sedar.

Menurut keluarganya, semenjak 3 minggu lalu, kesedarannya kian menurun.

Umur pak cik itu sudah melebihi 80 tahun. Subsidi umur yang diberikan Tuhan kepadanya.

Berganding dengan seorang teman, kami berbuat prosedur biasa. Saya memeriksa nadi. Masih berdenyut elok..

Sang teman pula terkebil-kebil, tekanan darah tidak juga-juga berjaya didapatkannya. Sangkaan diri kemungkinan tekanan darahnya tinggi, sehingga sukar untuk dibaca jitu.

Datang seorang jururawat, saluran vena di tangan kiri sang pesakit ditusuk jarum. Hajatnya untuk memasukkan cairan infusa. Sang pak cik masih lagi kaku, tidak sedar. Pernafasannya berbantu tabung oksigen.

" Doktor, matanya sudah 'mydriasis' (bebola mata berkembang tanda pesakit hampir meninggal dunia)"

Berkejar saya mencari doktor residen yang berada di kaunter.Secepat kilat..

" Sudah meninggal. Biarkan sahaja.." kata doktor apabila saya masih cuba melakukan CPR. Dadanya ditekan-tekan..Hanya mencuba.Kudrat lemah seorang manusia biasa.

Terpaku.

Kaget.

Keluarga pesakit dijelaskan. Nyawanya sudah habis. Kembara dunia berakhir, perjalanan akhirat bermula.

"Allah..Allah..Allah.."

Anak-anak sang jasad kaku membisikkan kalimah agung di telinga. Air mata mengalir tiada henti. Esak tangis bergema di ruangan kecemasan.

Saya melihat, memandang sayu suatu episod yang pasti.Doa dihambur dari hati dan lidah..

Saya, ibu dan bapa saya, anda dan juga keluarga anda..Kita bakal-bakal jenazah itu..Tiada Insyaallah untuk sebuah kematian , Insyaallah hanya pada sebuah husnul khatimah, penutup yang terpuji.

Sama ada esok atau lusa, sekarang atau sedekad lagi, hanya dalam pengetahuan Rabbi..


Jangan Mati Rasa..

Sebagaimana kubur itu dikunjungi untuk menerbitkan insaf dan ingat, begitu juga ruang kecemasan. Laman kunjungan rutin makhluk pencabut nyawa, Malakul Maut panggilannya.

Sedar seketika..

Sesungguhnya hospital itu suatu perkara yang subjektif. Kita menentukannya dengan nilai kita secara individu.

Mencari jururawat-jururawat comel (baca perawat imut) , bergaul tanpa batas dengan teman berlainan jantina, bertempuk tampar sedaya mahu, memperlaku pesakit seperti tiada mata dek kemiskinan dan papa kedana dan pelbagai aneka sikap celaka dan mencelakakan.

Mahu mengawal mata sangat susah, merawat hati yang sakit, bergelap dosa apatah lagi..

Kepada sejawat, tatkala bertungkus lumus di kamar kecemasan, sama-sama kita ingatkan diri tentang MATI.

Di bawah pepohon kelapa, banyak kelapa-kelapa tua berwarna coklat bertebaran sana sini. Namun di antara sensasi tua itu, ada kelapa-kelapa muda berwarna hijau khudra' berselang seli.
Jatuhnya tidak punya alamat dan ketika..

Sekarang mungkin yang sekujur kaku di perbaringan di depan mata adalah pesakit kita, esok lusa, perbaringan itu kan menjadi takhta milik sendiri.Kaku sendiri..

Cerdaslah wahai diri, jom mengingat mati..

" Sesungguhnya setiap yang hidup pasti kan merasai MATI"