Isnin, 12 Februari 2018

Hukum Menggunakan Khidmat Doula








Mukadimah
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula. Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1] Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum. Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung. Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional. Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih. Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih. Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut. Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryamalahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi. Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014.  Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan kalimah (وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ) dengan katanya:
مُعَالَجَةٌ صَحِيحَةٌ غَالِبَةٌ عَلَى الْخَطَأِ فَأَخْطَأَ فِي طِبِّهِ وَأَتْلَفَ شَيْئًا مِنَ الْمَرِيضِ
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri. 
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid(penguat).
  • Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi'il (kata kerja)
  • Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata:  “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu  yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan  mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu.  Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.  
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

11 Februari 2018
_________________________________________________
[1] http://americanpregnancy.org/labor-and-birth/having-a-doula/
[2] https://www.webmd.com/baby/what-is-a-doula
[3] Temuramah dengan Dr. Abdul Latif Mohamad pada 10 Februari 2018.

Ahad, 19 Februari 2017

Derma Darah Untuk Bukan Islam


Image result for Dr Zulkifli AL Bakri, derma darah

" Mana boleh macam ini.Biar isteri saya mati pun saya rela!"

Mendengus marah lelaki itu.

Dia meradang apabila isterinya yang sedang dirawat di hospital memerlukan pemindahan darah.

" Perdarahan yang berlaku itu disebabkan oleh ketumbuhan dinamakan fibroid di dalam rahim isteri tuan.Dan satu-satunya cara yang mampu menyelamatkan nyawa isteri tuan adalah dengan pemindahan darah!"

Doktor bertugas cuba menjernihkan kembali keadaan.Dijelaskan  keadaan si isteri dengan bahasa yang semudah-mudahnya agar mesej mampu dicerna oleh si suami.

" Doktor ni tak reti bahasa ke? Darah yang nak dimasukkan itu tak tahu hujung pangkalnya.Entah-entah pemiliknya ada makan benda-benda haram.Bukan Islam lagi!"

Kelu seribu bahasa dibuatnya.

Ah sudah.

Senario di atas merupakan senario buatan.Namun, saya percaya bahawa senario seperti di atas bukanlah kes terpencil.Ini benar-benar terjadi di dalam masyarakat.

Pemahaman segolongan anggota masyarakat yang melihat dari perspektif yang kolot, bakal memperjudikan nyawa seseorang yang tidak berdosa.

Isu terbaru ditimbulkan adalah berkaitan Namewee, seorang artis Youtube,yang menyatakan bahawa darahnya tidak halal untuk orang Islam.

Pemahaman Namewee meleset, namun kenapa pemahaman ini boleh ditimbulkan oleh seorang non Muslim lebih perlu kita fikirkan.

Orang Islam sendiri yang gagal menerjemahkan wajah sebenar Islam dalam memahami hal-hal muamalat seperti mana kes penerimaan darah dan organ daripada golongan bukan Islam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato Dr Noor Hisham Abdullah, menyatakan
bahawa pengagihan organ tidak berdasarkan kepada bangsa, agama, latar belakang, status di dalam masyarakat dan sebagainya.Kriteria yang digunakan untuk sistem pemilihan adalah tergantung kepada klinikal bakal penerima darah atau organ tersebut.

Image result for Dato Dr Noor Hisham, pemindahan darah

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Zulkifli Al Bakri sendiri telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang keharusan pemindahan darah/organ kepada yang berlainan agama.

Menurut beliau ;

" Berkenaan dengan persoalan samada pendermaan darah dari orang bukan Islam yang mungkin memakan makanan seperti khinzir adakah dikira sebagai haram dan juga najis mughallazah (major impurity), kami nyatakan di sini bahawa hukumnya DIBOLEHKAN kerana ia adalah darah dan bukan lagi zat khinzir atau ‘ain (essence) khinzir secara total. Begitu juga darah seperti yang kita ketahui, terbentuk daripada nutrisi-nutrisi hasil makanan dan minuman yang pelbagai. Maka, kita dapat ketahui bahawa darah tidak hanya terbentuk dengan zat khinzir atas faktor perubahan istihalah (the transformation of a substance's properties resulting in the removal of its impure nature).

Justeru, kami katakan tidak menjadi kesalahan untuk menderma darah walaupun seseorang non-Muslim itu memakan makanan seperti khinzir. Sebaliknya, kami sarankan agar penderma darah diberi penghargaan dan sedikit keistimewaan agar kempen derma darah dapat disemarakkan disamping bekalan darah negara sentiasa mencukupi bahkan melebihi paras biasa.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengemukakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 April 1982 telah membincangkan Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Menderma darah hukumnya harus.
Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam."

Related image

Kesimpulannya, fatwa sudah menjelaskan keharusan pemindahan darah/pendermaan organ silang agama, kaum dan bangsa.Tidak perlu berpolemik panjang.

Kepada orang Islam, kita mampu mempersembahkan wajah Islam yang syumul, rahmatan lil alamin dengan bersikap fleksibel, toleransi namun masih dalam kerangka pegangan Al Quran dan Sunnah


Rujukan :

1) http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1407-al-kafi-li-al-fatawi-ke-528-hukum-menerima-darah-dan-organ-daripada-non-muslim

2)https://kpkesihatan.com/2017/02/12/kenyataan-akhbar-kpk-12-februari-2017-derma-organ-dan-darah-tanpa-mengira-bangsa-dan-agama/ht

Isnin, 23 Januari 2017

Banjir bukan Pesta.



Musim bah bukanlah musim berpesta.
Musim tengkujuh bukanlah saatnya untuk berpesta ria.
Sehingga saat ini, banjir sudah meragut 3 nyawa setelah sehari semalam melanda negeri Kelantan. Kadar kematian yang tinggi.
Beberapa langkah mudah semasa banjir berlaku ini sebagaimana diambil daripada Panduan Keselamatan Banjir oleh Kementerian Kesihatan Malaysia , mampu untuk mengelakkan musibah melanda.
1) Matikan utiliti anda di suis utama.Jangan sentuh mana-mana peranti elektrik jika anda berkeadaan lembab/ basah atau berdiri di dalam air.
2) Jangan berjalan melalui air yang deras untuk mengelakkan dari terjatuh dan tercedera.
3) Minum air masak atau air minuman berbungkus seperti air botol sekiranya tiada air bersih.
4) Berikan tumpuan kepada amaran banjir. Jika terdapat risiko berlakunya banjir kilat di mana anda berada, segera ke kawasan yang lebih tinggi, jangan berlengah.
5) Jangan biarkan anak-anak anda bermain air banjir.
Nasihat-nasihat mudah ini mampu mengelakkan tragedi daripada berlaku.Janganlah kegembiraan yang seketika sewaktu berpesta menyebabkan duka yang tiada noktah kepada kita.