Jumaat, 30 Mac 2012

Semoga Jannatul Firdaus Buatmu Nenda.


"Ke'kong (nakal) deh wat sulung nih!"

Terngiang-ngiang suara nenek belasan tahun silam.Sewaktu saya masih lagi anak-anak setahun jagung, masih di bangku tadika.

Nenek (kami cucu memanggil nenek dengan panggilan 'MOK'), memarahi saya kerana keletah yang nakal.

Saya tersinggung.

Sebagai tanda protes, saya tidak mahu lagi bertemu nenek.Malas mahu bertandang ke rumahnya lagi.

Sekarang, saya hanya mampu tersenyum, mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersama nenek.


Nenek

31 Mac 2009 detiknya, sudah 3 tahun nenek pergi meninggalkan kami.

Sekarang,saya sudah cukup dewasa.

Terasa aneh dengan perangai keanakan berdemonstrasi tidak mahu bertandang ke rumah nenda.

Dasar anak hingusan.

Semakin lama,semakin saya teringat nenek.

Tidak pernah dia melupakan anak cucunya.

Musim durian, durianlah kami dapat.

Musim rambutan tiba, pakatlah disuruh anak cucu datang mengait.

Selaku tukang masak 'bekwoh' (kenduri) handalan, gulai kawah nenek antara yang terbaik.Sering, setiap kali habis kenduri, pasti ada kiriman untuk kami cucu-cucu.

Terutamanya saya.Kerna saya peminat nombor satu gulai dan kari.Kadang-kadang, gulai buatan nenek akan tersimpan di dalam peti ais rumah, sampai seminggu lamanya.

Bukan kerana tidak laku, tetapi kerana banyak bahagiannya untuk saya.Pasti dihabiskan saya akhirnya.

Zaman silam anak-anak.

Sehinggalah nenek hilang upaya disebabkan serangan angin ahmar (strok).

Nenek masih nenek.Suka bertanya khabar sanak saudara.Kalau zaman sihatnya,sakit sahaja orang yang dia kenali, dialah orang yang pertama bertandang menziarahi.

Tabik dari saya.


Cucu Doktor

Dalam keluarga besar kami, sayalah cucu pertama yang menjadi doktor.

Belajar di luar negara, walaupun jarak tempoh ke Bandung hanya mengambil masa 2 jam lebih penerbangan.

Setiap kali pulang, rumah nenek akan saya ziarahi.

Dahulu dipaksa abah, tetapi pabila sudah menjadi mahasiswa, saya rela hati.Rindu malahan untuk ketemu.

" Maafkan Mok deh... Mok banyok saloh!"

Hiba hati saya pabila nenek pernah meminta maaf kepada saya sewaktu saya meminta izin untuk berangkat ke bumi Paris van Java.

Nenek pula yang mahu mengucup tangan saya.Serba salah saya dibuat nenek.

Seharusnya saya yang memohon ampun dan restu.

" Min minta maaf Mok.Doa ko Min deh!"

Lekat memori itu sehingga ke hari ini.

Mutiara air mata ikhlasnya, takkan saya lupakan.


Doa Buatmu Nenda

Kini, dirimu telah pergi.Selamanya meninggalkan kami, anakanda cucunda.

Semoga Jannatul Firdaus buatmu nenda.

Amin...

Isnin, 26 Mac 2012

INTEC :Dari Hamparan Luka Kepada Sejadah Rahmat (Bahagian 1)

Advanced Level Medicine (A-Level) Indonesia di International Education Centre (INTEC), UiTM Seksyen 17,Shah Alam , Selangor. Tempoh pengajian selama 2 tahun.

Terpampang jelas di surat lamaran biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Apa Indonesia? 2 tahun persediaan?

Hati saya cukup memberontak.Tidak redha dengan lamaran yang datang.

Target saya adalah di Timur Tengah.Sama ada Mesir ataupun Jordan, dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikategorikan cemerlang.

Bahasa Arab Tinggi (BAT) markahnya A1.Bukan takat biasa.Lebih-lebih lagi dengan nama Maahad Muhammadi Lilbanin yang dikendong.

Jiwa saya nanar.Dengan harapan ibu bapa dan cita-cita yang mahu digapai.


Melangkah Ke INTEC

Antara sahabat yang hadir sebelum kami terbang ke Bandung


Memulakan langkah sulung di bumi luar Kelantan tidaklah mudah.Jarang saya berpisah jauh dengan ibubapa dan adik-adik.

Asing.

Saya menjadi ghuraba' di belantara batu.

Lidah 'budu' yang dibawa, terasa sukar mahu bertransformasi secara mendadak.Sudah genetik Cik Siti Wan Kembang mengalir di dalam darah.

Dengan kepala masih berperang hebat dengan kecamuk memikirkan harus bergelumang dengan dunia A-Level sebelum mampu menjadi mahasiswa perubatan.

Marah, tidak puas hati, kecewa, berpadu menjadi adunan pelemah motivasi.

Orang ke Rusia persediaan hanya 3 bulan.

Teman ke Mesir hanya bersiap juga 3 bulan.

Rakan-rakan yang tidak mendapat bantuan JPA, hanya memerlukan setahun Matrikulasi untuk menjadi mahasiswa perubatan.

"Tuhan tidak adil.Aku berhak mendapat lebih dari ini!"

Monolog hati yang kusam iman pada tika itu.

"Kuota Jordan baru dibuka JPA.Aku dapat.Cuba la jugak!!"

Seorang teman yang turut berada di dalam komuniti A-Level memberikan informasi.Dia berjaya mengubah program ke Indonesia kepada ke lambaian bumi Urdun.

Terasa ada cahaya di dalam terowong nan gelap.

Gulita pasti kan segera berakhir.Fikirku...

Sijil-sijil berkaitan segera dipersiapkan.Pensyarah yang bertanggungjawab menjaga Middle East Program (MEP) kudatangi dengan semangat.

Aku mahu ke Jordan!


Jatuh Lagi

"Maaf Fahmi.Kamu terlambat.Rayuan sudah ditutup seminggu lalu.Permohonan awak terpaksa saya tolak!"

Kata-kata pensyarah itu ibarat talkin kematian kepada diri.

Motivasi diri tersembam parah.

Bagai jatuh ditimpa tangga, telinga ini mendapat pula khabar yang menyakitkan hati.

" Kami bertiga dapat ke Jordan. Tawaran dari pihak JPA!"

Rupa-rupanya ada 3 orang sahabat, teman seperjuangan di bumi Maahad yang berjaya mendapat tempat untuk ke Jordan. Tahniah buat mereka.

Hati sekali lagi terhiris sembilu luka.

"Mana aci.Result SPM dorang lagi rendah dari result aku!"

"Kenapa Tuhan buat aku macam ni?"

Hati menangis siapa yang tahu.


Gamitan Dataran Eropah

Langkahan diteruskan.

Kehidupan di INTEC dilalui bertatih perlahan.

Lambaian Jakarta,Bandung dan kota Jogjakarta mulai disemai di dalam benak fikir.

Kami pelajar A-Level Medicine Indonesia, sudah membulatkan tekad untuk menjejakkan kaki ke bumi Merah Putih.

Ikatan erat sesama bercambah subur.Makmur silaturahim.

Tinggal sekitar 3 bulan sebelum Ujian Final, kami mendapat khabar.

Generasi kami akan dibahagikan kepada dua tempat berbeza.Satu kekal di Indonesia, sebahagian lain akan diterbangkan ke Republik Czech.Nama Prague, Hradec Kralove dan Olomouc mulai meniti-niti di bibir.

Rupanya masih ada harapan untuk melarikan diri dari bumi Indonesia.

Ujian objektif lulus.Tinggal ujian lisan, wawancara dengan wakil dari universiti di Czech menanti sebagai hadangan terakhir.

" I am a little bit shiny person.Shivering to be in front.Whatsoever to ask me talking to crowd.Please do not!"

Saya terlalu polos berbicara. Dasar anak hijau.

Seharusnya teknik dalam wawancara adalah dengan menunjukkan keyakinan, kelebihan dan semangat kepada lawan bercakap kita.Namun, saya bertindak sebaliknya.

Terlalu jujur sehingga menjatuhkan diri sendiri.

Dan alhasil akhir, telahan awal ternyata benar.

Saya bukan di dalam senarai penerbangan ke bumi Czech.

Czech bukanlah pilihan yang sangat penting buat saya.Namun apa yang lebih memeritkan hati sebenarnya, adalah. terpaksa berpisah dengan sahabat-sahabat yang pada takdir awalnya, sudah kami bulatkan tekad bersama untuk ke Indonesia.

"Takpa.Kita tetap sahabat.Ada SMS, Yahoo Messenger yang boleh kita gunakan.Keep in touch okay!"

Saya menyedapkan hati yang gundah.Awan kelabu kembali berarak menyelubungi, turut sama meratapi melodi sendu hati.


Bersambung..............