Sabtu, 31 Disember 2011

Subuh,Abah dan Honda C70..



Beek...Beek..Beek..

Honda C70 tua meraung kuat memecahkan sepi dinginnya pagi.

Suara yang cukup dikenali.

Motor tua kepunyaan Abah mengaum dari luar rumah.Auman sebagai siren terakhir, tanda bahawa kami adik beradik harus mengangkat kaki langkah seribu ke kamar mandi.Gandingan Abah dan motor tua itu menandakan bahawa mereka sudah selesai berjamaah Subuh di masjid.

Saya yang paling tua, namun antara yang paling liat untuk bangun pagi.

Disiram oleh mama itu biasa.Dibambu oleh mama sedikit luar biasa.Kalau dari mama, semuanya tidak lut.Saya kebal, anti bangun Subuh.

Namun, rengekan motor tua Abah, itu maha menakutkan.Kalau berjaya 'ditangkap basah' oleh Abah, padah jawapannya.

Pasti berbirat badan.Suara guntur bakal kedengaran.

Inilah saya, saya sepanjang di sekolah menengah agama tersohor di bumi Kelantan, Maahad Muhammadi.

Jangan diharap mahu berjamaah Subuh, solat sehari 5 waktu pun hanya di rumah.Paket kilat lagi..



Di Intec,Shah Alam

Allahuakbar..Allahuakbar..

Sayup-sayup kedengaran suara azan berkumandang dari surau Cemara.

Terpisat-pisat membuka mata.

Dingin, sungguh enak terbalut di dalam selimut.

" Ada ke orang yang nak solat Subuh kat surau tu?Sedangkan aku,budak sekolah agama pun haram nak pergi!"

Entah tiba-tiba terpancar kilasan di fikiran.

Perlahan-perlahan, kaki menapak.

Wuduk perlahan,berbaju Melayu bersarungkan kain pelikat yang seminggu sekali digunakan untuk pergi bersolat Jumaat di masjid.

Surau Cemara menjadi destinasi.

Hati yang kepingin tahu.Berdebar-debar.

Pintu surau sudah di hadapan.

Dengan namaMu ya Tuhan..

Hanya ada beberapa sosok.Sosok biasa geng masjid yang saya kenali di kuliyah.

"Ala biasa.Budak-budak ni memang dah baik sejak azali.Tak hairan!"

Saya bermain dengan kata-kata sendiri.

Namun mata saya terpaku pada sekujur tubuh yang cukup saya kenali.

Sosok seorang teman yang sehariannya cukup biasa, bersekolah tidak bercopkan Maahad mahupun sekolah agama, teman yang sama mengambil Advanced Level Medicine.

Ego saya berkecai.

Sesungguhnya hati saya menangis.

Sujud dan rukuk pada Subuh hening itu,mengingatkan daku bahawa aku benar-benar seorang hamba yang lupa.

Mujur Tuhan, pada usia 19 tahunku memberikanku petunjuk dengan menghantar seorang sahabat kepadaku.

Sahabat yang sampai sekarang yang sampai ke saat ini, tidak mengetahui bahwa dia telah menjadi asbab hidayah kepadaku.

Terima kasih sahabat!



Syarat Kemenangan Islam

Berdegar-degar memperkatakan tentang perjuangan syahid di bumi Palestin.

Somalia bagaimana, khabar Pattani,Iraq,Syria pula.

Seorang musuh Islam pernah berkata,

" Islam tidak akan menang selagi mana solat Subuh setiap hari di masjid tidak menjadi seperti solat Jumaat setiap minggu!"

Kata-kata ini realiti yang harus ditanggung bersama.

Saya,dengan keterbatasan sebagai seorang manusia bergelar doktor, berjuang untuk sama-sama merealisasikan agar makmurnya solat Subuh di masjid.

Kadang-kadang, pasca 'oncall', badan tidak mendengar deringan jam dan telefon tangan.Tidur yang tidak cukup, fizikal yang tidak segar,membantutkan torehan langkah.

Biasa solat Subuh terlajak menginjak jam 6, 7 pagi (waktu Indonesia Barat lambat sejam dari Malaysia).Walau atas bukan dasar sengaja, keadaan ini cukup meresahkan jiwa. Kekeringan.

Dan pada saat ini, saya sangat merindui suara guntur Abah dan rengekan Honda C70nya.

Baru sekarang, setelah 8 tahun meninggalkan sekolah menengah, baru saya memahami fikiran seorang Abah.

Terima kasih Abah atas nilai yang cuba dipupuk kepada anakmu ini.




Isnin, 5 Disember 2011

A Good Samaritan


Kiranya saya, dia adalah keluarga si pesakit yang mengalami kecelakaan jalan raya.

Setia di samping,mendampingi.

Disuruh membayar wang pendaftaran X-Ray, dia berkejar.

Diarah menghantar borang hasil darah lab, dia mengiyakan, tanpa berkira.

"Bapa bukan keluarganya, bapa hanya penjual di jalanan"

" Tadi sewaktu si ibu ditabrak (dilanggar) dari belakang, saya berada berdekatan.Maka, saya yang membawanya ke sini"

Saya hanya tersenyum.

" Tadi duit pengangkutan ke sini gratis (percuma) pak?"

Jajarkan ke Tengah
" Tidaklah.Saya yang bayarkan.Tidak usahlah menyusahkan si supir (pemandu).Dia juga mahu punya penghasilan!"

Saya kagum.

Kerjanya hanyalah sebagai penjual kaki lima, namun hatinya bermartabat raja.

Asal ikhlas,semuanya mahakarya pengukir Syurga~

Sabtu, 3 Disember 2011

Update I GIVE : Sudah masuk 30 buah bahagian Qurban (lebih 4 ekor lembu)


Alhamdulillah setakat ini, Program I GIVE, Medium Menabung Untuk Korban, kira-kira 30 orang peserta sudah menyertai kafilah taqwa ini.Sudah 4 ekor lembu, setidaknya Insyaallah akan ditumbangkan nanti.

Tarikh penyertaan masih dibuka sehingga 31 Disember 2011.

Anda Mampu Sebenarnya,Bersama Kami,Wadah Pengorbanan Anda!

^___^


Jumaat, 2 Disember 2011

Mahakarya Petugas Kebersihan


Bandung dirundung hujan berpanjangan.

Kedinginan membungkus hawa yang sedia mencengkam tulang hitam.

Dan sewaktu mundar-mandir,menunggu kuliyyah bermula, saya memerhati.

Ligat.

Manusia lalu lalang, terpaku pada urusan sendiri.

Dan sepasang mata ini bersaksi.

Doktor berkot putih, bergentayangan stetoskop di leher.

Jururawat bersimpang-siur,mendorong pesakit ke sana ke mari.

Wajah manusia ada yang gembira, ada yang duka.

Dan di pojok itu, ada petugas kebersihan.

Kerjanya ya, membersih.Sesuai portfolio kerjanya.

Kerjanya sekarang,menyapu takungan air hujan yang membasahi lantai laluan doktor, jururawat dan orang ramai.

Kerjanya biasa,namun sinergisnya luar biasa.

Kala itu, terlihat ada ibu tua tergelincir kerana air hujan yang menakung di lantai.

Kerja si petugas kebersihan bertambah penting.

Menyelamatkan nyawa manusia, mengelakkan bahaya menimpa mereka.

Kecil di mata manusia, di mata Tuhan, itu mungkin sebuah mahakarya pahala.

Sinis profesinya di mata manusia, namun asal di hati berfikir bahawa inilah detik kerja yang sangat penting dan memberi manfaat, profesi itu tetap sebuah kebanggaan.

Sebuah mahakarya melakar garapan Syurga.