Jumaat, 22 April 2011

Cerita Seorang Kartini..


Raden Adjeng Kartini empunya nama.

Beliau merupakan ikon perjuangan wanita di bumi Merah Putih sehinggakan namanya diabadikan dalam peringatan Hari Kartini,setiap tanggal 21 April sempena tarikh keramat kelahiran hawa hebat ini..

Surat-surat tulisannya menggambarkan idea-idea besar yang dijana.

"Kartini menulis ide dan cita-citanya, seperti tertulis: Zelf-ontwikkeling dan Zelf-onderricht, Zelf- vertrouwen dan Zelf-werkzaamheid dan juga Solidariteit. Semua itu atas dasar Religieusiteit, Wijsheid en Schoonheid (yaitu Ketuhanan, Kebijaksanaan dan Keindahan), ditambah dengan Humanitarianisme (peri kemanusiaan) dan Nasionalisme (cinta tanah air)"
~Sumber Wikipedia

Penindasan terhadap kaum wanita diJawa, tiadanya hak untuk membuat keputusan berkeluarga dan lain-lain.

"Pandangan-pandangan kritis lain yang diungkapkan Kartini dalam surat-suratnya adalah kritik terhadap agamanya. Ia mempertanyakan mengapa kitab suci harus dilafalkan dan dihafalkan tanpa diwajibkan untuk dipahami. Ia mengungkapkan tentang pandangan bahwa dunia akan lebih damai jika tidak ada agama yang sering menjadi alasan manusia untuk berselisih, terpisah, dan saling menyakiti. "...Agama harus menjaga kita daripada berbuat dosa, tetapi berapa banyaknya dosa diperbuat orang atas nama agama itu..." Kartini mempertanyakan tentang agama yang dijadikan pembenaran bagi kaum laki-laki untuk berpoligami. Bagi Kartini, lengkap sudah penderitaan perempuan Jawa yang dunianya hanya sebatas tembok rumah"

Sebuah perjuangan yang tidak semua orang tahu dan kenal.

Sebuah pengorbanan yang tiada taranya.

Selamat Hari Kartini...

Ahad, 17 April 2011

Impian Apatche : Kayangan Syurga Seorang Rantisi



Aku tidak segagah dirimu..
Dirimu di langit dan aku sekadar mendongak mampu..
Mekar mewangi, bauan Syurga milikmu..

Sibuk bukan alasan..
Gelar doktor bukan kayangan..
Datangnya gelar seribu khuatiran..
Takutkan amanah tiada aman..

Hatiku cemburu malu..
Pabila menjeling diari hebatmu..
Doaku di pojok kalbu rindu..
Agarku turuti jejak saktimu..

Maut itu taulan jauhan..
Menjemput jalan ke ribaan Tuhan..
Walau serangan jantung menghumban..
Hatta Apatche berbondongan malahan..
Dikau tetap di gunung sabar nian..

Walau merangkak, walau kura-kura sang laju..
Pahatku di perdu kalbu..
Kan denai ini tertaut istiqamah padu..


Ahmad Zulfahmi
17 April 2011
Sukagalih,Bandung




~ Sebuah puisi sempena 7 tahun syahidnya Dr Abdul Aziz Rantissi. Di tangan peluru-peluru helikopter tempur Apatche.

Darah sang syahid sudah tiada di mata, namun jangan sesekali disangka dianya mati meninggalkan kita. Perginya bukan mati, tetapi terus hidup di hati yang tidak kenal erti mati..

Sebuah perjuangan Rantisi bukan untuk dikenang-kenang, tetapi ia sebuah perjuangan yang menjadi obor bakaran semangat untuk terus berkorban dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaan.

Sesungguhnya hidup dan matiku demiMu Tuhan...




Sabtu, 16 April 2011

Magis Negeri 5 Menara..




Apa yang terlekat karat negatif dalam diri saya, adalah saya mudah merendahkan tulisan ataupun buku keluaran Indonesia. Pertama kali saya terkena paku buah keras adalah apabila bersua dengan buku Saksikanlah Aku Seorang Muslim pada tahun 2007.


Siapa Salim A. Fillah, si penulisnya? Namanya tidak pernah didengari, jauh dari panggang tulisannya bakal mempersada di hati sanubari.Bisik jauh di sudut hati.

Namun, realiti apabila helaian demi helaian diselak ternyata berbeza 360 darjah.Pertemuan 3,4 kali dengan Ustaz Salim A Fillah membuahkan magis hebat ke dalam diri.Takjub..

Impak positif mendominasi diri dan saya bangga bersyahadah sebagai seorang Muslim.


Sekali Lagi..

Ogos 2010 silam sekali lagi mempertontonkan sikap saya yang kurang baik. Ke Jakarta, menghadiri sebuah pesta buku.

Di atas panggung, ada sosok bernama A Fuadi. Hadirin khusyuk mendengar bedah buku Negeri 5 Menara yang sedang didiskusikan.


Usai diskusi, penonton bak histeria merebut novel tersebut sambil mengejar-ngejar tandatangan si penulisnya, A Fuadi, seorang jejaka berkaca mata, dan berambut separas bahu.

Saya hanya melingas selintas.Endah tidak endah melihat.

Pulang ke Bandung, sosok si penulis dan bukunya tiada tercantum langsung dalam kamus fikiran.Semuanya hilang, sesuai dengan beredarnya hawa panas Jakarta.

Namun, ditakdirkan Tuhan, kawan-kawan Indonesia banyak yang mengesyorkan.

" Bacalah Negeri 5 Menara ya Fahmi!" kata teman sekelompok ketika di Public Health.

Saya tersengih bak kerang busuk. Antara dengar dan tidak.

Hidayah Tuhan mendetikkan hati untuk membeli.

Ternyata sisipan demi sisipan.Dari 10 halaman bertransformasi menjadi 100 halaman.Sekejap cuma..

Pengembaraan seorang Alif Fikri dengan bekal " Man Jadda Wajada" , sesiapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya, terasa masuk ke jiwa.


Perjuangan, pengorbanan, kesabaran semuanya memadu dan menjadi resipi istimewa sebuah kejayaan. Saya terkesima.

Seorang anak hingusan Maninjau, pada pandangan saya, mampu bermetamorfosis menjadi sosok hebat dengan mantera sesakti itu.

Hebat..

Dari sentuhan Negeri 5 Menara, saya bergerak pantas mencari Ranah 3 Warna, novel kedua dari trilogi ini.

Dalam Ranah 3 Warna, sketsa difokuskan kepada Alif Fikri yang mulai kuliah di Univesitas Padjajaran, dan juga pergulatan fizikal dan emosi dirinya di rantau Quebec, Kanada.Sebuah negara di Amerika Utara...

Ternyata mantera sakti Man Jadda Wajada semata tidak cukup.Harus digabung jalinkan dengan mantera magis Man Sabara Zhofira, sesiapa yang sabar bakal mendapat kegembiraan.

Sekali lagi saya tersihir dengan Alif Fikri, si jejaka yang berjiwa mendunia luas.

Tidak sabar sang hati untuk membaca novel ketiga, penamat kepada trilogi ini.


Kesimpulan

Negeri 5 Menara sangat berbaloi untuk dibaca.

Aliran tenaga positif mengalir dari urat nadi terkecil, membuak-buakkan semangat positisme ke dalam sukma.


Ranah 3 Warna melengkapkan penangan positif. Kesabaran menggunung dalam menggalas ujian dan beban, tiada kan sesal, pasti berbuah gembira dan suka di penghujung.

Apa tunggu lagi...

Khamis, 14 April 2011

ObGyn : Sebuah Musafir Manfaat


Ini masuk hari keempat, kaki ini melangkah kembali ke Rumah Sakit Hasan Sadikin (RSHS), Bandung, setelah sekian lama berkelana buana di sekitar Kota Bandung, dalam rangka mempelajari Public Health dan Family Medicine.

Di Indonesia, perkataan hospital masih lagi menggunakan perkataan rumah sakit, persis seperti penggunaan di Malaysia sekitar pertengahan abad ke 20. Teringat pada cerita Melayu lama yang masih hitam putih yang sering menggunakan perkataan rumah sakit dan juga rumah pasung.Ternyata tidak jauh beza gaya bahasa negara serumpun ini.

Di RSHS, kali ini saya memasuki suatu alam perubatan klinis yang mencabar. Umum membahasakan sebagai sakit puan ataupun kebidanan.

Bahasa Inggerisnya dikenali dengan Obstetrics and Gynaecology. Di Malaysia kependekannya O&G manakala di bumi Merah Putih, kami menggelarnya sebagai ObGyn.

Ya Obgyn, ruang yang pesakitnya 100% adalah kaum Hawa.


Pertama Kali..

Tidak dapat saya nafikan, pada pandangan pertama, saya memang malas untuk mendampingi bidang ini.

Seribu satu mehnah boleh timbul, dari masalah komunikasi dan pemeriksaan kepada pesakit, sehinggalah kepada komunikasi dengan pihak keluarga pesakit.Macam-macam.

Lama-kelamaan, fikiran positif lebih mendominasi, takluk dari anasir negatif yang cuba mempengaruhi.

Menyelamatkan nyawa sebuah ciptaan Tuhan, membantu lahirnya sebuah nyawa yang baru, ternyata ia satu kepuasan yang tiada taranya.

Pengalaman pertama saya menolong persalinan adalah sewaktu di bahagian Paediatrics (Anak), kira-kira 3 bulan sudah.Walaupun penat menunggu proses persalinan, kepuasan menyaksikan proses hidup manusia, dan berperanan aktif membantu, nikmat puas menyebar manfaat itu sangat mengesankan.

Masih saya ingat air mata sang ayah luruh sewaktu mengazankan si mungil yang baru menjengah alam dunia.Seumur hidup memori itu bakal saya tancapkan di benak.


3 Jam Yang Sebentar..


Kuliah Dr Hadi

Minggu pertama di Obgyn.

Tradisinya , kami belum menyentuh pesakit. Seminggu ini adalah waktu untuk proses latihan secara amali sebelum benar-benar menyambut kelahiran bayi. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada prosedur-prosedur yang perlu dilakukan pada waktu kecemasan.

Menarik..

Kuliah demi kuliah sehingga sampailah kepada kuliah oleh seorang sosok pada atas kertas bernama Hadi.

Saya belum mengenalinya.Kali pertama bersua muka..

Penampilannya biasa.Postur tubuh sederhana, kemas, berkumis tipis dan berkaca mata.

Tajuk kuliahnya berkisar kepada Perdarahan Pasca Persalinan (Post-Partum Hemorrhage).Saya jangkakan biasa dan sebentar cuma.Namun andaian itu meleset jauh.

Luar dari topik , dia bercerita tentang dunia Obgyn.

" Apa yang perlu kamu punya adalah ilmu, ketrampilan, sikap yang baik, dan ilmu pengurusan yang mantap! "

Selang-selikan dengan segudang pengalaman berharga sewaktu dirinya masih muda di pedalaman, menyalurkan tenaga positif kepada para pendengar. Tiada yang terlelap.Semuanya memasang mata dan telinga.

" Apabila suatu itu dirutinkan, kadang-kadang kita terlupa bahawa yang di depan kita bukanlah robot. Mereka adalah manusia yang punya hati dan perasaan , boleh gembira dan marah..Rasakanlah empati kepada pesakit...

Seandainya itulah isteri, adik mahupun ibumu, apakah kamu tidak mahu sehabis daya berkorban untuk mereka ?"

Lantas, saya teringatkan perjuangan bonda sewaktu melahirkan diriku dan adik-adik.Pasti penuh darah dan air mata, lelah dan letih.Menderita kesakitan demi seorang cahaya mata.Kujanjikan pada diri, tidak akan mensia-siakan sebuah perjuangan suci bonda.Bonda tetap di bersinggahsana di hati, walaupun lautan luas yang memisahkan fizikal kita..


Seorang yang jauh berwawasan.Setiap pergerakan umur harus tahu pencak apa yang harus dimainkan diri.Padanlah selain seorang pakar di bidang Obgyn, dia juga punya Sarjana Muda dalam 2 bidang kesihatan yang lain.Takjub.

Bicaranya santai dan penuh dengan unsur humor.Gelak ketawa memecah panggung kuliah. Namun apabila bercakap tentang prinsip, dia adalah orang yang tegas. Seperti bicaranya tentang pengguguran kandungan.

" Saya tidak takut masuk penjara, tetapi saya takut dengan yang di ATAS!"


Tabik hormat dari saya, seorang murid, penuntut ilmu darinya.

Dirinya bernama Hadi Susiarno, Sp. OG (K), M.Kes, MHKes.


8 Minggu Mendatang

Masih jauh langkahan ini. Ada 8 minggu penuh cabaran harus dilalui.

Ujian, pesakit dan keluarga, semuanya bakal bergantian datang dan pergi.

Ada tenaga perlu diperah, banyak waktu perlu disita, segudang akal harus diberikan.

Bak kata Rasulullah,

" Sebaik-baik manusia itu adalah yang bermanfaat kepada seluruh manusia!"

Apapun dugaan, demi cita manusia terbaik, aku kan riang, penuh senyuman melangkah..

Isnin, 11 April 2011

Terima Kasihku Pada Si Buta...

Deni (berbaju putih)

"Ada sesetengah orang benar-benar tidak mampu, tetapi sangat bersemangat untuk datang!"

Suara juru acara majlis bergema.Saya penasaran.

Gerangan siapakah yang dimaksudkannya, tiada saya ketahui.

.............................................................................

Cuti yang sebentar dimanfaatkan dengan memenuhi undangan seorang sahabat Indonesia ke sebuah program motivasi dan perkongsian pendapat.

Tempatnya tidaklah jauh, sekitar 4 kilometer dari rumah saya di Sukagalih, Bandung.

Sebenarnya jauh di lubuk hati, memang saya terasa sangat malas.Sudah sekian bulan tidak merehatkan diri di hujung minggu, fikiran terus mengajak berkelubung di dalam selimut. Aura dingin Kota Bandung sangat kondusif untuk proses hibernasi hari minggu.

Namun dikuatkan juga langkahan kaki, sambil cuba mengikhlaskan niat untuk bersilaturahmi dan mendapat kemanfaatan sedikit sebanyak..

Dan syukur, kaki menapak juga ke sana..


Tuna Netra..

Ini gelaran yang diberikan di Indonesia untuk menggambarkan seorang yang cacat penglihatan atau sinonimya buta..

Berpaling ke belakang, sorotan mata saya tertumpu kepada seorang sosok pemuda. Menunduk wajah gayanya...

"Tak boleh melihat rupanya" saya bermonolog sendirian..

Motivasi berjalan dan fokus saya terarah pada penceramah.Sehingga solat Zuhur..

Berbondong kami para peserta melangkah ke masjid berdekatan.Berwuduk, merapikan saf..

Dan si pemuda tadi dipimpin masuk ke saf, betul-betul di sebelah saya..Dipegang bahunya, perlahan-lahan saya tarik agar rapat antara kami.Sesi bersama Tuhan kami panjatkan secara berjemaah.

Usai solat dan sedikit zikir, saya menghampiri..

Salam berkumandang di bibir, sambil tangan dihulur langsung ke tangannya.

"Saya Fahmi!" bermanis mulut memperkenalkan diri, suatu cara 'memecahkan ais' yang saya gemari.

" Oh saya Deni.." sang pemuda membalas.

Senyuman menguntum , walau tiada komunikasi mata antara kami.

Berdamping kami, sambil melangkah..

"Saya dari Lampung, datang ke Bandung untuk bersekolah lanjutan di sekolah orang cacat penglihatan!"

"Saya pula dari Malaysia!" saya menyugihkan maklumat walau tidak ada pertanyaan.

" Oh jauhnya sampai ke Indonesia datangnya" ternyata sang pemuda terkesan dengan perkenalan dengan seorang warga negara jiran, dari bumi Harimau Malaya.

Tersenyum diriku.

Entah bagaimana, pertanyaan yang agak drastik meluncur, lidah fasih berbicara, memohon balasan. Dasar ingin tahu yang cukup tinggi dari pojok hati ini..

" Bagaimana ya sampai boleh hilang penglihatan?" saya bertanya sambil melihat di bahagian kepalanya ada sedikit lekukan. Anggapan saya mungkin pernah ada trauma di sekitar kepala.

" Ada tumor di kepala. Ia menekan saraf optik sehingga menyebabkan saya hilang nikmat penglihatan. Punya mata tetapi tidak mampu melihat!" jelasnya lebar..

Mengangguk panjang.Luar dari sangkaan..

" 3 tahun kelmarin saya mulai buta!"tambahnya lagi.

Ya itulah Deni, seorang pria berusia 38 tahun, sudah berkeluarga, dan sanggup merantau ke Bandung untuk belajar, meninggalkan keluarga tercinta di Lampung, Sumatera.Jauh safarnya..

Kami tidak banyak bicara.Majlis bersambung.Dia di belakang, saya di depan..

" Bagi menutup majlis ini, saya mempersilakan saudara kita Deni untuk membacakan doa!" suara juruacara memenuhi segenap dewan.Saya terkesima dengan pilihan gerangan pembaca doa.

Dengan alunan Basmalah sebagai pemula, lantunan doanya memecah sukma dewan. Khusyuk.Sujud dalam keredhaan...

Ternyata matanya buta, namun hatinya penuh dengan cahaya keimanan.


Apa Saya Belajar?

Saya dan Deni (berbaju putih)

Sesungguhnya, terasa sangat malu.

Ya malu..

Kenapa malu?

Sebelum derapan langkah pada pagi itu, kemalasan, saat mahu memanjakan diri, menguasai sanubari.Pada banyak ketika yang lain juga, kemalasan bertakhta.

Dan ternyata Tuhan menghantarkan seorang makhluknya kepada saya untuk mengajarkan.

Seorang Deni, seorang yang buta, musafir jarak jauh berpisah dengan keluarga, sanggup sahaja bersusah payah menghadiri sebuah majlis yang punya manfaat kepada diri dan ummah..

Namun bagi seorang yang cukup sifat seperti saya, masih lagi dibelenggu malas, sifat salbiah negatif bermaharaja lela.

Betapa banyak nikmatNya yang aku sia-siakan.Terngiang-ngiang di telinga ayat dari Surah Ar Rahman..

" Dengan nikmat Tuhanmu yang manakah telah engkau dustakan!"

Di dunia, hanya suara penghubung bicara, semoga di Syurga kita kan bersua mata..

Terima kasih atas teladannya, sahabatku Deni..



Sabtu, 2 April 2011

Dunia Autisme : 2 April Milik Mereka..




Apa kata anda?



Dunia kita ,dunia mereka..



Lets Do Some Acts..



At least,show your concern about them..BLUE DAY TODAY..

Come on friends ^^,