Isnin, 31 Januari 2011

Sebuah Al-Kisah : Meremehkan Janji


Ada sebuah cerita tentang pengalaman pahit yang dialami oleh seorang wanita. Teman perempuannya membuat janji dengan wanita itu. Katanya ada persoalan penting yang harus dibicarakan. Tentu saja wanita itu menunggu temannya tersebut sesuai dengan waktu yang dijanjikan. Akan tetapi, ternyata temannya itu datang setelah terlambat hampir tiga jam. Tentu kita dapat membayangkan bagaimana perasaan wanita itu. Rasa penasaran tentang persoalan penting menjadi hilang dan berganti dengan keingintahuan mengapa temannya datang terlambat.

Buku yang tebalnya 88 muka surat ini mengandungi sesuatu tonik yang berguna dalam berbicara tentang JANJI..

Suka saya apabila di jazirah Arab juga ada yang mendefinisikan janji kepada dua; Janji Timur (Arab) dan juga janji Barat..

Janji Timur, ya biasa dengan kelewatan. Dan Barat sinonim dengan ketepatan waktu..

Padahal ISLAM sendiri mengajar umatnya tepat waktu.

Solat sehari semalam, puasa pada bulan Ramadan..

Berbuka seminit awal secara sengaja, maka terbatallah puasa.Walau picis itu seminit, masa sangat dipentingkan dalam ISLAM..

Dan umat MELAYu, terkenal dengan janji MELAYU..

Bahasa 'hampeh' untuk merelevankan salah satu ciri celaka insan MUNAFIQ..


Alangkah indahnya hidup dengan penuh keteraturan, keseimbangan dan keselarasan dalam menggunakan hak dan melaksanakan kewajiban. Tentu kita mengerti bahwa jika kita terikat perjanjian atau kesepakatan dengan siapa saja, kita harus menepatinya kecuali jika ada hal-hal di luar perkiraan yang benar-benar menghalangi kita untuk menunaikannya, dan kita tidak sanggup untuk menghindarinya. Namun, kita harus berusaha semaksimal mungkin untuk menepatinya. Kalaupun kita tidak dapat menepatinya, kita harus meminta maaf sebelum waktu yang disepakati bersama atau sesudahnya jika terpaksa.

Dan juga bicara buku tentang kenapa orang tidak menepati janji, bagaimanakah mahu menepati janji dan juga kesan-kesan buruk apabila janji diremehkan..

Menarik juga petikan-petikan cerita ulama seperti Syeikh Utsaimin, Syeikh Nasiruddin Albani dan ulama-ulama Ikhwan Muslimin.

Betapa di hati mereka menilai tinggi apa yang dinamakan janji..

Menepati janji antara kriteria WAJIB untuk memilih seorang pemimpin. Terfikir rasional sekali seandainya janji sekecil waktu mesyuarat tidak dapat ditepati dan diberi komitmen bersama, masakan nanti mampu si dia menguruskan kebajikan dan harta negara dengan saksama..

Secara keseluruhannya, buku ini sangat mengujakan saya..

Walaupun di mata banyak manusia ini adalah permasalahan BIASA dan KECIL, jauh di pandagan orang yang punya IMAN, aspek JANJI adalah salah satu SYARAT menuai SYURGA...

Ayuh teman, jaga bahasamu berkomitmen dan TUNAIKAN JANJI....

Rabu, 26 Januari 2011

Hatur Nuhun Doktor K...


Bahagian Perinatalogi merupakan laman di mana bayi yang sejurus dilahirkan ditempatkan buat seketika. Bayi diukur panjang badan, berat badan, lingkar kepala dan dibuat pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan keadaan bayi normal atau sebaliknya.

Prosedur-prosedur rutin dilakukan seperti biasa untuk setiap kali kelahiran.

Terlihat wajah-wajah senyum bonda ayahanda.Lebih-lebih lagi bagi yang menimang cahaya mata buat pertama kali.

Azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri.Suatu mukaddimah soleh dalam hidup seorang insan..

Dan di sinilah bicara dua insan ditakdirkan Robbi mengambil tempat..


Dia Seorang 'Qualif'

Dia seorang perempuan.

Umurnya mungkin di penghujung 20-an. Sesuai saya bahasakan dirinya sebagai seorang kakak.Namakan sahaja sebagai Doktor K..

Dan dia merupakan seorang 'qualif' di bahagian Pediatrik.

Qualif merupakan gelaran yang diberikan pada doktor yang baru memulakan spesialisasi, masih di awal semester pertama.

Resmi seorang qualif, hidup tidak teratur. 'Oncall' minimum 2 kali per minggu.Biasanya sampai 3 kali seminggu, maksudnya selang sehari harus bermastautin tetap di rumah sakit.

Orangnya, pada pandangan pertama, kelihatan ramah dan mesra.Sesuai untuk diajak lawan bicara.

Dan cukuplah saya katakan namanya sangat terkesan di hati. Namanya sempena seorang sohabiyah yang kehilangan anak-anak semuanya di medan perang, dan namanya turut menjadi gelar seorang bonda di Palestin yang semua anaknya syahid berdada telanjang menentang Zionis.

Sambil-sambil merekodkan data bayi yang baru dilahirkan, menginjeksi vitamin K dan sebagainya, saya memulakan kalimah.

Lebih kepada perkongsian.Mengalir pengalaman dirinya kepadaku..


Jiwa Pengubah..

Sesiapa yang pernah menjadi doktor muda di Rumah Sakit Hasan Sadikin,Bandung, pasti tahu dan jelas, bagaimanakah realiti menjadi seorang residen Anak.

'Residen'..Suatu istilah untuk doktor yang sedang melakukan spesialisasi.

'Masuk sekolah lagi', antara kata-kata doktor-doktor residen, selepas bertungkus lumus selama 5,6 tahun di fakulti perubatan.

Residen, bekerja di rumah sakit, belajar di rumah sakit dan mereka tidak dibayar gaji. Gaji hanya datang melalui pekerjaan luar rumah sakit.Pendapatan sendiri-sendiri..

Dan beban kerjanya sangatlah berat. Belajar, dengan 'oncall' yang berderet, kerenah pesakit, melayan doktor-doktor senior dan spesialis..Semuanya bertimbun menjadi suatu punca menumpuknya stress.

" Saya ada anak.Saya punya keluarga.Dan saya punya tanggungjawab terhadap seorang lelaki bergelar suami.."

Saya hanya mendengarkan.Berat di telinga yang mendengar, jauh lebih menggunung berat bahu yang memikul.

" Mujurlah suami jenis memahami.Menolong membuat pekerjaan rumah dan keluarga mertua sangatlah mendokong dan memberi semangat.."

Ya..Saya pernah mendengar testimoni ini.Bukan sedikit doktor perempuan yang jatuh di medan spesialisasi.

Bukan disebabkan kurang bijak, tidak juga berpunca dari kosongnya poket untuk menampung wang yuran.Semua hanya kerana keluarga tidak memahami dan beban tanggungjawab yang ranah bertimbun.Hujungnya, perjalanan itu hanya sekerat jalan.

Semangat yang membara terhapus dek beban yang merumitkan kepala.

Saya mengangguk dan mengangguk.

Dan di Anak, saya melihat kebejatan yang sama terus berlaku.Seperti mana bejat yang saya anti sewaktu menjadi Yang Dipertua suatu ketika dahulu.

Ada senior, maka wujudlah junior.

Kalau bagus pembawaan, sanggup mengajar dan menghulurkan tangan bantuan, itu tidak mengapa.

Namun apa yang menjengkelkan, doktrin junior harus melayani dan menuruti kehendak senior terus bertapak di kalangan doktor yang mengikut pendidikan spesialisasi.

Hormat itu harus, beradab itu perlu.Tetapi tidak bermaksud sehingga tiada perkataan TIDAK dalam kamus kehidupan.

Membuat itu ini, beli makan dan minum, disuruh menaip dan pelbagai aneka gaya mendera ruhani.Dan Doktor K bercerita dan berkongsi pengalaman peribadi selama bergelar 'qualif'.

"Jiwa pengubah ini tidak mudah doc.Banyak halangan dan rintang kerana kita yang memulakan.Namun, jika bukan kita yang memulakan, siapa lagi?"

Saya memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

"Semoga terus kuat ya doc!"





Cubaan Perempuan..

"Selama menjadi dokter muda, benda paling berbahaya buat kamu adalah PEREMPUAN"

Untaian kata itu memasuki ruang pendengaran.Cuping menangkap getaran bunyi, menyalurkan kepada gegendang telinga, terus sehingga sampai di otak.

Kata-kata itu merangsang fikir.

Saya sendiri tidak mampu menafikan.

Di Indonesia, sebuah negara yang mendokong hak asasi manusia.Semua benda bisa..

Yang berlegar-legar di rumah sakit, sama ada doktor, jururawat, kakitangan administrasi dan juga pesakit serta keluarga, bukan sedikit yang berpakaian minim.

Terbelah sana, terselak sini.Ketat di bawah, berbalut sarung nangka di atas..

Rambut ikal mayang, hidung bak seludang kelapa, semuanya berpakej lengkap.Bukan namanya lelaki jika tidak berkenan pada yang berdahi licin sebegini.

Dan ketika merawat pesakit berlainan jantina, jurang antara ikhlas dan nafsu sangatlah kecil. Syaitan sangatlah kreatif untuk memanipulasi dan membisikkan aura iblisi kepada anak Adam.

Imam Syafie kehilangan bijaksana dek kilasan betis haram yang tiada disengajakan.

Diriku? Bukan sekadar yang tidak sengaja.Yang sengaja juga tidak terbilang.

Astagfirullah.Banyak benarnya di sini..

" Terima kasih doc"




Terapi Harian..

"Saya dahulu sewaktu menjadi doktor muda, saya mampu untuk membaca Al-Quran sejuzuk setiap hari!"

" Ini terapi batin kita.Kesibukan dengan urusan duniawi akan menjadikan hati kita hampa dan kosong, seperti tiada apa-apa!"

Jelas-jelas saya terpukul.

Al-Quran entah ke mana.Ketika beralasankan SIBUK, itulah sihir yang paling mujarab.

Pernah tiada wahyu Ilahi terpancar di mulut pada sekian hari.Padahal, bukanlah keadaan sesibuk mana.Masih sempat melepak, berborak kosong, melayan Facebook dan internet dan sebagainya.

Jika Al-Quran itu benar-benar dicintai, berpisah nan sekejap pun pasti tidak rela.Ingin dibelai, ditanya dan ditatap mesra senantiasa.

SIBUK, seni beralasan yang menakjubkan..

Dan ketika kami rancak berborak, panggilan ke kamar bedah diterima. Ada pesakit yang bakal melahirkan melalui jalan pembedahan Caesaerian.

Selaku dokter muda Anak, saya mengikut Doktor K dari belakang, bergegas ke kamar bedah, menunggu sang mungil menjengah dunia.

Saya memerhati.

"Hebat perempuan ini!"

Tertancap kagum di hati.

Insyaallah, segala mutiara nasihatnya akan saya ingati.

Hatur Nuhun Doktor K....

Jumaat, 21 Januari 2011

'Sujud Sembahku' Buat Bonda Ayahanda..



Hati saya resah..

Badan bermadu panas..

Dan saya memikirkan bonda, ayahanda dan adik-adik di laman rindu.

Saya merindukan mereka..


Ya Tuhan, kuatkanlah keazamanku..

Ya Rahman, bekalilah diriku dengan tiang iman nan teguh, dalam berjuang dalam menentang badai,sebagai seorang doktor..

Ya Muqallibal Qulub, tetapkanlah hatiku di jalanMu..

Ya Robb, siramilah cahaya kasih sayangMu kepada bonda dan ayahanda di bumi sana. Hanya semilir lalu membawa khabar buat diriku..

Ya Ilahi, kurniakanlah daku dan teman-teman kekuatan semangat dan keikhlasan dalam menuju redhamu..

Selasa, 18 Januari 2011

Nota Teladan Seorang Gayus Tambunan..



Di Indonesia, ada seorang bernama Gayus Tambunan.

Seorang mafia, mendekam di penjara, kemudian meletup bahawa sang Gayus terlihat di Bali.Bikin apa, ya apa lagi,bercuti..


Sedang hangat cerita Bali sang koruptor besar,rupa-rupanya Hong Kong dan Macau juga menjadi tempat bermain, bercuti seketika dari hidup di penjara.

Di Indonesia, manusia awam berkata.Obrolan kedai kopi..

Di Indonesia, wang mampu membeli hukum.Hukum berbeza antara marhaen rakyat dengan pemilik duit bertimbun.

Dan muncullah lagu rakyat.Bercerita ehwal negara, meratapi hukum berpandu duit dan fulus.

Dan saya selaku warga Malaysia, terfikir adakah ada pernah wujud sewaktu Isa Samad,Khir Toyo, Kasitah Gaddam, dan pelbagai lagi yang bergelar Dato', yang terbukti bersalah di pengadilan hukum, suatu protes, luahan rasa rakyat bawah..

Apabila hukum bertransformasi sebagai alat,manusia akan menyemai bibit tidak percaya. Bukan salah hukum, cuma hukum dimanipulasi ,dieksploitasi mereka yang berwang.Rakyat sudah turun ke jalan dek kerana kecewa.

Dan saya selaku marhaen rakyat, sesekali tidak mahu Malaysia menjadi Tunisia Kedua.Tiada mahu saya melihat Ben Ali dan Laila sejoli bertapak di tanah ibunda.


Tidak mahu saya melihat betapa gila Imelda Marcos dengan koleksi kasut, pakain hak milik peribadi.Sedangkan di Filipina, pada waktu itu, betapa banyak hamba rakyat yang memerlukan.

Katakan tidak pada Imelda Marcos versi Malaysia.


Kepada Pejuang Rakyat..

Sesungguhnya jalan ini sukar dan maha panjang.Namun destinasinya ada..

Kita jelas dan percaya bahawa puncaknya di depan cuma.Teruskan melangkah dan melangkah.Menapak dan menapak sang kaki..

Ya Tuhan, jauhkanlah Ben Ali dan Laila dari bumi Malaysia..

Ya Ilahi, nyahkanlah Imelda Marcos dari mencengkam khazanah bundaku..

Ya Robbi, pertahankanlah Malaysia dari ancaman Gayus-Gayus ini..

Ya Rahman, berkatilah baldah ini, satukanlah kami, hidupkanlah kami di atas titian jalan ke SyurgaMu...

Ahad, 16 Januari 2011

Selamat Hari Lahir Adindaku Faiz..


Beza umur kami dalam 6 tahun.

Saya abang yang sulung dan dia anak yang keempat.

Semenjak sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah, antara kegiatan rutin hampir setiap hari saya adalah dengan adik yang satu ini.

Langsung tidak berfaedah kegiatannya.Apa lagi, kalau bukan menyakat si adik ini.

Sakat-sakat yang berlebihan bakal memprovokasi. Tumbuk, pukul, cubit, kejar mengejar, menangis dan sederet alat seksa dan dera, saya pernah mencuba.

Dan tidak jarang, abah menjadi pengadil yang tidak berkecuali.Dia kena pulas telinga, saya kena rotan.Berbirat la jawabnya.

Namun, serik tidak pernah datang bertandang di benak akal.Sensasi seronok mendominasi.

Yang pasti, air dicincang selamanya tidak akan putus. Ketika membaca komik Mutiara Naga,Misteri Naga,Jengking Merah kami bersama.

Detiknya beradu bermain badminton, kami juga bersahabat.Apabila seruan mama mengajak ke dapur, sama-sama bergerak menyahut dakwah seorang mama.Senda dan gurau menjadi hiasan.

Seiring perubahan dari kanak-kanak, menjadi remaja dan bertransformasi menjadi dewasa, kami sama-sama berubah.

Mendapat 5A dalam UPSR, dia melanjutkan teratak belajarnya ke Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah,Kelantan.Satu-satunya, anak Cikgu Kamaruzaman dan Cikgu Maimon yang keluar dari laman bonda sedini usia 13 tahun.Semua yang lain baru mulai menapak usai habis Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).


Kini, Al-Quran menjadi pedoman, lekat di bibir. Moga di bibir berbaur sampai ke hati hendaknya.Semoga..

Usai SPM, dengan keputusan yang cemerlang, langkah dilanjutkan ke Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) di Nilai,Negeri Sembilan. Bidang yang mahu diambil adalah persis sama dengan abang sulungnya.Ya, perubatan..

Masih panjang perjalananmu adikku..Baru mengenal dunia luar yang buas, dan penuh dengan cabaran dan rintangan.

Hanya titipan warkah selamat dari kekandamu dari jauh..

Selamat Hari Lahir ke 19 wahai adindaku, Muhammad Faiz Bin Mohd Kamaruzaman. Semoga menjadi doktor yang bakal mengharumkan nama mama dan abah, Islam ,bangsa dan negara..




Rabu, 12 Januari 2011

Bidikan Hikmah Cakerawala Dakwah



Saya jenisnya orang yang mudah terasa.Senang berkecil hati, namun, lebih berbahagia untuk memendam dan merahsiakan.

Begitu juga apabila berbicara.Maujud perkataan kawan dan teman, handai dan taulan yang menjentik hati.Ambang batas sensitif itu,suatu ketika, sangat rendah takarannya.

Dan disebabkan begitu, saya jadinya lebih berhati-hati dalam berbicara.Saya mudah berkecil hati dan saya juga tidak enak seandainya ada juga yang berkecil hati disebabkan oleh kata-kata saya.

Dan disebabkan cakap yang beralas, pendekatan saya dikategorikan sahabat-sahabat sebagai lembut.Gaya Abu Bakar katanya.

Saya tidak pula mengiya dan juga menidakkan.

" Berlapik-lapik,beralas-alas ini, kadang-kadang, maksud bicara tidak sampai ke pendengar!" seorang sahabat berkongsi suatu ketika dahulu.

Lembut..


Hikmah

Sesetengah orang mengatakan lembut itulah hikmah. Hikmah dalam menegur,hikmah dalam memberikan komen dan cadangan.

Segala sesuatu yang lembut disinonimkan dengan hikmah,dan antagonisnya pastilah perkataan keras,kurang beradab, dan sebagainya.

Saya memikirkan sepotong hadis yang popular.

"Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran,maka cegahlah dengan tangan, yakni kuasa.Jika tidak berkemampuan, gunalah lidah.Dan jika tidak mampu juga, bencilah dengan hati,itulah selemah-lemah iman.."

Andai terlihat seorang perompak memasuki rumah, nyata dan jelas itu satu kemungkaran.Maksiat dan membuahkan dosa.


Anda Muslim,dan saya juga Muslim.

Apakah tindakan paling hikmah di sini?

Pabila hikmah disinonimkan dengan lembut, pasti ada Muslim yang pergi merapati sang perompak bersenjata lengkap,pisau belati tersisip erat di pinggangnya.

Assalamualaikum dilemparkan kepada perompak.Muslim juga barangkali.

"Tidak baik merompak,Tuhan marah!"

Kaget sang perompak tadi seraya merodok perut Muslim yang 'berhikmah' tadi.Teguran lembut tadi berbuahkan tuba.Susu putih yang diharapkan,bertransformasi menjadi darah pekat mengalir.

Suatu hikmah yang tersalah..

Tepat di dalam perkataan, perbuatan dan keyakinan, serta meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Inilah namanya hikmah.

Tika terserempak perompak sebegitu lengkap persenjataannya, hempaplah kepalanya dengan kayu terlebih dahulu.Biarkan dia lumpuh seketika, ikat dan serahkan kepada pihak polisi.

Islam tidak menjadikan umatnya bebal mengikut satu acuan semata.Semuanya bergantung keadaan.Memukul sehingga pengsan seorang berprofesikan perompak adalah sesuatu kekerasan,akan tetapi, sangatlah sesuai dengan kondisi sewaktu.

Sedangkan Rasulullah pernah bergusti sehingga memenangkan pertandingan, dan alhasilnya sang kalah memeluk agama Islam. Dan pernah juga tangan lembut itu menyuap mulut Yahudi tua yang dengan mulut yang sama menghamburkan caci maki kepada Muhammad, namun di akhirnya, Yahudi itu terkesan akhlak Muhammad dan sudahnya melantunkan dua kalimah syahadah. Itupun hanya usai kewafatan baginda.

Pokoknya, keras dan lembut dua-dua bisa jadi berhikmah asal kena tempat dan cara.


Persoalan Kemudian..

Seterusnya, macam mana pula mahu mengetahui penggunaan hikmah metode keras atau lembut ataupun lembut keras?

Sesuatu yang subjektif.

Apa yang saya belajar, yang paling penting, apa sekalipun tindakan kita, fikirlah kesan baik dan buruk natijah dari tindakan kita.

Sesuatu benda boleh dilihat dari 360 darjah. Sungguh suatu kepelbagaian.

Lihatlah gajah sebagaimana orang celik yang bijak dan cerdas melihat gajah. Orang yang bodoh,walaupun celik, boleh melihat gajah seperti seorang buta mengenal gajah.


Dipegang perut, gajah itu seperti perempuan mengandung.

Diraba telinga, sepertinya gajah itu tampi yang besar.

Disentuh-sentuh belalai, pasti gajah itu seperti paip getah yang panjang dan tinggi.

Suatu gaya bertindak yang tidak tepat.Orang yang celik, cerdas seharusnya melihat gajah, keseluruhannya, bukan sebahagian kecil.

Begitu juga dalam menilai suatu aspek.Perhatikan saksama alhasil tindakan.Renungkan jauh ke hadapan..

Kemudian, apabila pertimbangan akal bersih, pilihlah jalan yang dirasakan terbaik. Dengan cahaya petunjuk kalam Ilahi dan tinta Sabda pastinya, sebagai neraca..


Adegan Kapel

Walaupun ini adalah suatu yang membarah banyak, sudah namanya barah, pasti sudah bukan suatu nuansa berunsur kebaikan.Barah sinonim dengan keburukan.

Itulah adegan kapel.

I love you, you love me..Sehingga menggadai 'body', menjual diri.

Sebagai contoh, kawan kita kapel menggila.Diusung ke hulu ke hilir bak belangkas pasangannya.Dan kita mahu menegur.

Caranya?

Adakah dengan marah depan-depan secara terbuka?

"Kapel HARAM, tempah NERAKA!!"

Ataupun dengan berbicara berdua, menyelami perasaan teman dan berkongsi sedikit sebanyak..Memberi semangat dan pencerahan.

Kedua-duanya adalah pilihan.Dalam genggaman kita..

Dan kemudian kita memilih pendekatan kedua, dengan cara berlembut, agar dia lebih lunak dan sentiasa menyedari bahawa tindakannya khilaf.

Namun, kesan jangka pendek tidak juga terlihat.

Kapel masih bersemarak.

Cinta makin membiak.

Persoalannya..

Adakah kita salah teknik?

Rasulullah pernah ke Thaif untuk mendapatkan sokongan pemuka kaum di sana. Namun, mimpi yang disemai indah bertukar mala petaka.

Datang bersambut caci dan hina, dilempar batu berbuah derita luka.

Adakah Rasulullah juga salah teknik?

Strategi Rasulullah menyebarkan sayap ke luar Makkah itu benar, tetapi Arab Quraisy cepat tindakannya.Hasutan dan omongan jahat bermain di maya Thaif.

Nostalgia duka ini ditatap Jibril.

"Jangan Jibril jangan!"

Ditahan Jibril dari menghempap ashab Thaif dengan bukit Uhud.Dan ternyata keturunan pelempar batu itu menjadi pendokong kuat Islam di kemudian hari.

Kita hanya pendakwah bukan pemberi hidayah.Ini intinya..

Berusaha dan berusaha..Dan serahkan sebulatnya hal pintu hidayah kepadaNya.


Kisah Luqman,Anak dan Unta


Luqman berjalan.

Sang anak membuntuti.Tali kendali unta ada pada tangan Luqman.

Pertama-tama, Luqman mengendarai unta.

"Zalim punya ayah, anak dibiarkan berjalan sendiri!"

Turun Luqman, seraya menaikkan anak ke pelana unta.

"Apa punya anak.Tidak kasihan orang yang tua!"

Turunlah sang anak pabila mendengar opini publik yang mengatakan dirinya.

Dan kemudian Luqman dan anaknya berjalan.Dan juga sang unta juga berjalan.Dan manusia juga berkata-kata..

"Bodoh manusia.Unta ada , tetapi tidak digunakan!"

Dinaiki unta oleh keduanya.Masyarakat sinis.

"Bebal punya manusia.Kasihan unta itu!"

Jika anda mencari redha manusia, anda akan kecewa dengan manusia.

Manusia tiada satu prosedur baku untuk sesuatu perkara.Subjektif sifatnya..

Begitu juga perihal hikmah.

Hikmah itu sofistikated.Lebih-lebih lagi di zaman ini..

Sehikmah-hikmah anda, pasti akan muncul juga aura negatif dari pelosok tertentu. Mungkin ada yang terasa, berniat jahat mahupun dengki.

Saya teringat suatu ceramah Tok Guru Nik Aziz yang memperkatakan bahawa Allah itu samseng.Saya hanya tersengih apabila isu itu menjadi polemik hangat.

Al-Jabbar diterjemahkan sebgai samseng.Diputarkan di layar televisyen dan dikatakan Tok Guru sesat lagi menyesatkan.Lupa sekali media pada keadaan dan lokasi ceramah tersebut diadakan.

Lokasinya di bumi Tok Janggut.Resmi orang Kelantan, bahasa penuh analogi dan susun atur katanya boleh bermadah.Orang Kelantan paling memahami bahasa orang Kelantan.Jangan diputarbelitkan kepada orang Johor dan Melaka.Salah pengertian jadinya.

Begitu juga, Dr Asri Zainal Abidin dikatakan kasar, namun loghat Kedahnya kena dengan orang-orang Utara. Ustaz Azhar Idrus dimaklumi keras, bergurau pun kasar.Tetapi ribuan yang turun ke Surau Ladang,Manir dan sebagainya.Di Terengganu, namanya suatu fenomena.





Dan ketiga-tiga mereka juga ada bicara negatif dari manusia, walau sehikmah manapun mereka.Dan percayalah mulut manusia tidak mampu ditutup.Kecualilah apabila dipenuhi tanah kelak.

Dan sering manusia sebegini berbicara juga pasal hikmah.

"Pendekatan kamu tidak berhikmah.Ini tidak betul!"

Namun acap kali tatkala diminta memperagakan aksi hikmah, terkial-kial mereka dibuatnya.

Manusia lupa bahawa bumi ini milik Tuhan.Manusia hanya mahu mendengar apa yang mahu didengar.Segala yang menyusahkan, memberatkan, berlawanan dengan kehendak nafsu, diketepikan..

Pokoknya, FIKIR BAIK dan BURUK, LAKUKAN, TAWAKAL dan DOA, SABAR dengan kata-kata MANUSIA..

Manusia oh Manusia..

Sabtu, 8 Januari 2011

Ini Langkahku...



Jangan pernah berhenti melangkah..
Walau parah, menagih darah dan lelah..

Lontarkan azimat pusaka,
Bahawa kita sentiasa rela,
Bergolok usaha bergadai nyawa.
Sampai titian hujung usia.
Dari muda bertukar tua.

Bahtera itu bahtera kita,
Muhammad itu sang nakhoda.
Wahyu Ilahi, tinta sabda, sebagai petua.
Tiada sekali alpa dan leka.

Apa kata dunia.
Apa bicara manusia.
Biarkan mereka selesa.
Asal kita berpaksi nakhoda.
Jalan kita pasti berpeta.

Ini langkahku.
Terus melaju.
Kerana Allah dan Rasul..
Di dadaku..


Rabu, 5 Januari 2011

M. Zain,Tunggu Kami di Syurga..


Minggu ini kota Cimahi menjadi rutin kunjungan setiap hari. Bahagian Paediatrics aka Anak dihalakan ke medan Rumah Sakit Cibabat,kira-kira 20 minit perjalanan berkereta dari Rumah Sakit Hasan Sadikin,Bandung, tempat kami menuntut ilmu.

Dan seperti biasa, rutin setiap pagi di ruangan anak adalah memeriksa tekanan darah,suhu,denyutan nadi dan pernafasan. Sambil-sambil, diajak juga bicara dengan keluarga pesakit seraya cuba menelah apakah gerangan sakit yang menimpa si adik..


Hari Ini..

Dari jauh adik itu tersenyum manis. Sambil jemarinya tangkas bermain krayon, mewarnakan hero kesayangannya Ultraman.



"Siapa namanya?"

Saya bertanya, bermanis mulut sebagai mukaddimah bicara.

"M. Zain (bukan nama sebenar)!"

Jawab si adik lelaki berusia 6 tahun, kelas 1 Sekolah Dasar katanya. Namanya terinspirasi keperkasaan seorang penyanyi 'evergreen' mungkin..Saya mengukir senyum di lubuk hati.Pertama kali mendengar nama unik ini digunakan di Indonesia.

Ibunya pula setia mendampingi,memerhati keletah sang anak.

"Zain sesak nafas doktor!"

Ibunya memulakan kalimah. Rupanya datang dengan keluhan kesulitan bernafas.Otak saya ligat berputar mencari pertanyaan bersangkutan.

Biasanya kesulitan bernafas boleh muncul disebabkan punca dari paru-paru ataupun luar paru-paru. Dari luar paru-paru, mungkin sahaja ada masalah dengan jantung, ginjal, cirit-birit..

Dan masalah si Zain tampaknya tidaklah semudah disangka.

Pakej lengkap penyakit dibawa bersama..

Demam 2 minggu, ada kejang demam, ada infeksi saluran nafas, diprediksi punya kelainan jantung kongenital, dan ada faktor risiko asma..

Mencari diagnosa pasti untuknya agak sulit jika hanya berandalkan seputar tanya jawab dengan sang ibu..

Dan akhirnya, saya beransur pergi ke katil sebelah, sementara si Zain menguntumkan senyum. Dan saya menghambur ukir senyuman kepadanya kembali.

Tidak sampai 5 minit, sang ibu berteriak seperti orang sasau.

Anaknya tiba-tiba pengsan.

Dan kami dokter-dokter muda yang sedang bertugas, terus berkejar ke Zain.Doktor sudah ada,sambil peralatan bantuan nafas dikejarkan.

Bantuan pernafasan segera diberikan,Jantungnya berhenti..Pernafasan spontan juga berhenti.Syukur, selepas beberapa ketika, jantung berdenyut kembali..

Lega..

Meraung,menangis si Zain. Tanda yang baik, menunjukkan bahawa dia sudah kembali sedar.


Nyawa Itu MilikNya

Dengan lega, kami beransur keluar memandangkan kondisinya sudah membaik.

Dan saya turun ke lantai 2 untuk ke polikilinik anak, menolong pesakit-pesakit luar yang datang berubat.

Seketika, saya kembali ke ruangan.Dilihat di ruang dokter muda, tiada kawan-kawan yang menunggu.

Penasaran.

Rupanya semua bertumpu di ruangan, dan di katil yang tadi pagi kami bertapa lama.

Badan mungil itu terjelepuk lelah.

Tiada pernafasan kelihatan.Sekitar bibir sudah timbul kebiruan..

Seorang demi seorang kawan bergilir memberikan pertolongan cemas. Dinding dada ditekan berkali-kali mengharapkan stimulasi jantung, agar bernafas kembali..

Suntikan ubat epinephrine diberikan untuk menstimulasikan gerakan jantung.Sambil saya, dengan sarung tangan terpakai, memulakan bantuan pernafasan.Dinding dada ditekan tanpa jeda...

Keluarga si adik hanya mampu melihat dari luar ruangan..

"Nanti saya bilang berhenti, kamu berhenti ya!"

Kata sang doktor kepada kami.

Sang bapa dipanggil dan diberi penjelasan.

"Pak, kami sudah berusaha sedaya upaya, terbaik.Namun, tidak berjaya.Zain sudah tiada!"

Air mata lelaki itu jatuh.

Tiada ego,tanpa malu.Demi sang tersayang...

Bantuan pernafasan dihentikan..

Raungan sang bonda didengarkan telinga,menyayatkan hati.Sang kakak pengsan terjelepuk.

Ucapan kalimah syahadah dilantunkan sang bapa ke telinga sang anak.

Adegan mengharukan yang tersaksi.Dan saya hanya menjadi saksi bisu sebuah fitrah.Air mata diempang kejap.Namun hati, sama bertakziah.Sama terharu berempati..

Dan di akhir, selaku yang dokter muda terakhir melangkah keluar,saya menepuk bahu sang bapa..

"Semoga kuat ya pak"

Hanya sebuah monolog yang diutarakan melalui sentuhan penguat.


Bicara Teman..

Ya,benda biasa.Selaku seorang dalam profesi kedoktoran.Saya tidak menafikan..

Namun sebagai manusia, empati itu sentiasa akan wujud.

"Rileks bro..The most important thing is, we give our best to help, with all the apparatus here we got, as professional as we can be. The positive thing is, he was 6 you know..And without any sins..Thanks God, he'll be in Heaven"

Dan saya menepuk bahu teman, yang masih bersedih, menebarkan kayuhan semangat kepadanya.

Zain sudah di Syurga..

Dan sekarang giliran kita di dunia untuk mempersiapkan diri untuk sebuah Syurga, untuk bertemu janji dengan Zain di sana..

Ayuh ke Syurga teman....


Selasa, 4 Januari 2011

Terbitan PKPMI Pusat ; Fiqh Ibadah di Hospital..



InsyaAllah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Pusat akan menerbitkan sebuah buku yang memuatkan sedikit panduan pelaksanaan solat bagi pesakit dan juga doktor...

Buku ini akan diedarkan pada setiap perwakilan PKPMI dari 16 cawangan di seluruh kepulauan Indonesia yang berkumpul di Bali pada 3-6hb Februari 2011 mendatang,dan seterusnya disebar ratakan ke cawangan masing-masing.


Semoga semua yang terlibat menjayakan terbitnya buku kecil ini diberikan ganjaran berlipat kali ganda daripadaNya..

Dan semoga nanti buku kecil ini dapat memberikan
manfaat buat kita dalam menjalankan kerja seharian...

InsyaAllah..


Ahad, 2 Januari 2011

Antara Aroma Positif, Irama Semangat dan Bunga Kemenangan



Saya sukakan sesuatu yang positif.

Saya menggemari sesuatu perkara yang bersemangat.

Positif dan bersemangat akan melahirkan keyakinan yang menjulang langit.

Dan keyakinan ini akan membungakan kemenangan..


Mustahil Tapi Bisa


Lee Chong Wei ketinggalan 13-20 dalam set penentuan ketika final terbuka Malaysia 2006.

Sekali melihat, harapan sudah berkubur.Mustahil mahu menidakkan Lin Dan dalam keadaan sebegini.

Namun semangat pantang menyerah itu bergelar kunci.Lin Dan tersungkur kecewa tidak percaya.Di set penentuan kalah 23-21..

Menangis tidak percaya sang jagoan, kerna mengalahkan sebuah 'kemustahilan'.



Dan pada 1999, Manchester United beradu tenaga dengan gergasi Munich,Bayern Munchen di final Liga Juara Eropah..

Sehingga minit 90, Keane, Beckham,Giggs dan kawan-kawan ketinggalan 0-1. Trofi seakan-akan sudah bergerak ke bumi Tembok Berlin..

Tiba-tiba dengan semangat dan tidak kenal putus asa, hatta Schmeichel, sang pemilik tangan emas, turut sama membantu serangan..

Dan di akhir-akhir permainan, Sheringham dan Solksjaer menggamatkan suasana stadium. Penyokong-penyokong berbaju merah dilanda euforia..

Manchester United 2, Bayern 1..

Keajaiban tercipta sudah...



Dan jangan sesekali mengaku kalah, meratapi nasib, membentur kepala ke dinding..

Kerana nyala harapan itu akan sentiasa ada..

Kerana tangan ini masih lagi mampu berbuat,kerana kaki ini masih mampu melangkah melibas..

Dan kerana Tuhan itu sentiasa hidup, dan hidup, memberikan kekuatan kepada yang percaya..

Tiada kaki bukan penghalang, kurang tangan bukan bererti sudah pasti mati..

Kerana Tuhan itu super adil,maha bijaksana..Tidak akan menzalimi hambaNya..

Dan yakinlah masalah yang tercipta adalah kunci untuk kita mencapai kejayaan..Asal sahaja kita mampu mengerti bahasa ajar Tuhan kepada hambaNya..

Kerna masalah itu datang tanda sayang..Ibrahim diuji dengan Namrud, berpisah jauh dengan anak isteri dan disuruh menyembelih buah hati..Dan Muhammad dipukul diejek hina di Thaif, patah gigi berdarah lagi di medan Uhud..

Itu bukan tanda benci, tetapi terapi percaya dan sayang Tuhan kepada hamba.Asal kita memahami..

Prestasi menanti terukir oleh kita, nun jauh di depan..Asal kita terus melangkah, pasti..

Ayuh melangkah..