Ahad, 24 Januari 2010

Wahai Anak Adam, Jagalah Maruah Seorang Hawa!!






Alhamdulillah,setinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi.

Permai 2010 telah melabuhkan tirai dengan jayanya.Titik pertemuan di Bandung,membawa seribu rahmat.

Dan semoga mutiara-mutiara berharga yang dikutip sewaktu Permai 2010 mampu untuk dicerna elok dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian oleh semua peserta...



Kenangan Terhalal Abu Saif

Banyak kali sudah saya berinteraksi dengan pengalaman Abu Saif ini, sama ada melalui tulisan di blognya Saifulislam.com ataupun melalui perkongsian secara langsung dengan 'sifu cinta' ini..

Sedikit petikan dari artikel 'Kenangan Terhalal" :



“Macam mana kita nak tentukan yang kita masih ada rasa sayang kepada isteri, kalau semasa itu kita sedang marah-marah?” beliau terus mengajukan soalan.
Wah, bagus sungguh anak muda ini. Tajam fikirannya, dan kritis dalam menghalusi pandangan.



“Hmm… kenanglah balik peristiwa-peristiwa semasa cinta sedang mekar dan segar bugar itu,” saya membalas.


“Apa kenangan terhebat ustaz? Yang boleh mengingatkan ustaz kepada cinta ustaz untuk Kak Muna? Cewah!” kata beliau dalam nada bergurau tetapi serius.


“Ehh, apa pula yang ada cewah di hujung tu?” saya ketawa mendengar ekspresi beliau.


“Tak ada apa-apa. Saya rasa malulah pula tanya ustaz soalan-soalan macam ini,” jelas beliau. Jujur.


“Hmm, kalaulah ada masa yang kami berselisih faham, atau jika tiada salah faham sekali pun, saat yang paling bermakna untuk ustaz kenangkan ialah petang ustaz menentukan tarikh bertunang. Selepas menetapkan persetujuan, ustaz ditanya oleh bakal ibu mertua ustaz sama ada sudah pernah bersua muka dengan bakal tunang atau tidak?” saya mengomel.


“Ustaz pernah jumpa?” tanya beliau.


“Anta ni, tak baca buku analah ya!” saya menduga.


“Bacalah ustaz. Tapi tak pasti yang mana satu. Saya ni ada sifat pelupa sikit,” katanya lagi.


“Tentulah tak pernah jumpa. Memang abang ustaz pun terkejut masa itu. Jadi, bakal emak mertua ustaz panggillah Kak Muna yang menyorok di dapur tu supaya keluar. Dan itulah kenangan terindah ustaz sebab kali pertama ustaz menatap wajah bakal isteri, ialah di dalam majlis yang paling mulia dan halal iaitu di rumahnya sendiri, dan di hadapan ibu serta bapanya!” saya tersenyum sambil bercerita.


“Wah, sweetnya! Betullah kata guru saya, kemanisan dan kenikmatan itu ada pada yang halal!” beliau membuat kesimpulan.


“Ya. Sebab itu, janganlah dicemar perhubungan pra perkahwinan dengan apa-apa yang haram atau syubhat. Biar kenangan semuanya halal dan indah belaka,” saya menokok.


“Samson kena buat lagu baru sempena Ramadhan ni!” katanya dengan nada gurau.


“Lagu apa?” saya tidak dapat menangkap maksudnya.


“Kenangan Terhalal!” jawab beliau.


Kami ketawa… bermanfaat sungguh usrah kami di lebuh raya..






Di Luar Sangkaan


Saya sangat terkesan dengan perkongsian pengalaman sebegitu.Insyaallah boleh menjadi sumber kekuatan pada masa mendatang.

Dan pertama kali saya mendengar secara langsung adalah sewaktu di Sekolah Al-Amin,Gombak,sewaktu program yang dianjurkan oleh IMAN,PKPMI-Cawangan Bandung.

Sangat bermakna bagi saya..

Walaupun usai perkongsian ustaz,saya terpaksa berkejar ke Jakarta untuk mengikuti Kongres Pelajar di sana.Dan di Jakartalah,cerita bermula.

"Assalamualaikum.Apa khabar?Lama tak nampak!"saya menegur seorang muslimah yang saya kagumi peribadinya. 'Mangsa pertama' saya di Bandung kerana ketidakpuasan hati.Datang kami ke bumi Jatinangor pada penghujung Ogos 2006,langsung tidak bersambut sebarang senior.

Dan saya melampiaskan dukacita kepadanya,yang mengenalkan diri sebagai salah seorang senior pada waktu itu.

Selepas saling bertanya khabar,seperti biasa,saya berkongsi cerita dengannya.Saya menganggapnya seperti kakak sendiri,senang untuk berkomunikasi dan meminta tunjuk ajar.

Saya tahu persis masalahnya dan saya mencuba sedaya upaya tidak bersifat 'judgemental' ataupun suka menghukum.


Cuma saya perkongsikan adegan 'Kenangan Terhalal' karya Abu Saif.

Babak ke babak saya menjiwainya.

Dan di luar sangkaan,dia menangis mengalirkan air mata.Saya tenggelam punca.Betul-betul di hadapan saya..


"Yusuf memilih untuk lebih menyukai penjara dari dia terpaksa menggadaikan maruah diri dan maruah seorang perempuan.Yusuf memilih bersabar di dalam penjara.."


"Semata-mata kerana maruah,Yusuf berbuat demikian!!" saya mengalunkan kata,tenang.




Air mata diempang kejap, tisu dikesat penawar basahnya pipi.


Saya mendiagnosis mungkin tangisnya itu bersangkut paut dengan urusan bakal suaminya.Semoga Tuhan mempermudah segalanya..


Segalanya berkait tentang maruah..



Usai Permai 2010


Disebabkan pengangkutan agak terhad mahu pulang ke rumah,kami,sebagai panitia diundurkan waktu kepulangannya,memberi ruang untuk para peserta terlebih dahulu beredar.

Masa yang ada digunakan untuk berkongsi pengalaman sesama para peserta.

Dalam ruang dan keterbatasan,saya merapat dengan seorang dua adik yang saya rapat.Semenjak mereka tahun pertama lagi,ikatan itu sudah disulam..

Sepanjang program,masing-masing fokus jadi tidak adalah ruang mencukupi untuk bersua lama.Sekadar bertemu di jalanan nan sebentar.

Kedua-dua mereka insan yang baik.Senang sekali berdamping dengan mereka selama ini.

"Abang Fahmi percaya tak saya menangis sewaktu dalam pembentangan ustaz?"tiba-tiba terpacul soalan itu daripada mulut salah seorang mereka.

Soalan itu dari seorang anak muda yang cukup periang,bersemangat.

"Saya datang untuk meluruskan hubungan kami.Saya mahu memelihara maruahnya!!"tambah seorang lagi adik.Datangnya ke Permai mahu mencari solusi krisis 'cinta fitrahnya' sambil mengejar suntikan semangat.Nada bicaranya serba mendatar.

Kedua-duanya menyebakkan saya.

Saya kongsikan sedikit pengalaman peribadi dan sahabat-sahabat terdekat.Perjuangan menjaga maruah diri dan maruah seorang perempuan itu sangat besar ertinya bagi mereka,dan juga saya.

"Usah malu adik-adikku!Lelaki yang sedang bercakap ini juga gugur air mata kelakiannya!!"

Perkongsian sebentar itu menumbuhkan lagi semangat dan perjuangan kami menegakkan maruah diri dan perempuan,walaupun dalam kehidupan ini,ada masanya pernah kaki tersadung akar nafsu.

Saya menyayangi kedua-dua mereka.Dan semoga Tuhan memberikan mereka kekuatan dalam perjuangan mereka mengikut jejak langkah Nabi Yusuf mengdekam lama di dalam penjara.



Coretan Hati Seorang Muslimah


Seorang sahabat,seorang muslimah mengadu kepada saya.


"L ni asyik mengacau saya.Asyik kata sukakan saya,mahu bertemu ibu saya dan sebagainya"

"Sampai satu tahap L selalu memalukan saya di hadapan khalayak ramai.Mereka yang tidak mengenali saya,mula memandang serong,mengatakan saya perempuan gedik,gatal dan sebagainya.."


"Hatta apabila saya sudah memberitahunya saya sudah bertunang,dia masih tetap mengacau saya!"


Ini coretan hati seorang sahabat baik saya.Saya mengaku darah saya menyirap sampai ke kepala.Saya sampai sudah memikirkan sama ada mahu menghadiahkan pelempang dua,tiga biji ataupun menghayunkan sabiji tumbukan ke muka lelaki haprak tadi,biar lebam biji mata.


Dasar manusia bertuhankan nafsu,bertopengkan syaitan.Sudah beristeri dan beranak tiga,masih mahu menggatal.Lebih-lebih lagi apabila L dikenali sebagai seorang lelaki yang wara' dan alim kerana hidupnya bersama gerakan Islam,dan sering melantunkan ayat-ayat Allah dalam bicaranya.

Sehinggakan sahabat muslimah ini mula dipandang serong oleh komuniti.

Lelaki sebegini,sejak dari dahulu,memang sangat saya anti.

Kesabaran saya selalu di tahap maksimum apabila bertemu lelaki-lelaki dayus sebegini.

Sepatutnya di dalam Islam,lelaki adalah pelindung maruah wanita.Bukan perosak maruahnya!!

Dan fitrahnya manusia,walaupun agama anutannya,pasti meletakkan maruah seorang wanita di martabat yang tinggi.

Islam sangat menentang perilaku jahiliyyah yang meletakkan strata wanita hanyalah sebagai objek pemuas nafsu lelaki dan boleh diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Inilah hikmahnya apabila lelaki itu dijadikan lebih 'kuat' dari seorang perempuan.Lelaki mesti menjaga maruah seorang wanita..




Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka (An-Nisa' : 34)











Mencari Al-Mu'tasim


Seorang wanita dipermainkan maruahnya oleh seorang lelaki Yahudi.Mendengar khabaran itu,bergegas sang khalifah Al-Mu'tasim berkejar ke tempat itu dan mengumandangkan bendera Islam di situ.

Demi maruah seorang perempuan!!

Di realiti dunia hari ini,di belahan Palestin,banyak para wanita dan muslimah yang dicerobohi maruahnya,dimalukan di khalayak oleh tentera Zionis Israel.

Di Baghdad, wanita-wanita Muslimah diperiksa seluruh badan dengan menanggalkan pakaian mereka oleh tentera-tentera penjajah.

Di Sudan suatu ketika dahulu, perempuan-perempuan di sana ditangkap,kemudian dimandikan dan dibersihkan elok-elok dan kemudiannya ditelanjangi untuk dirogol oleh tentera penjajah.Sesetengahnya sampai melahirkan anak luar nikah..

Dan lelaki-lelaki di luar sana hanya mampu melihat dan terus melihat.

Di mana mahu mencari 'Al-Mu'tasim-A-Mu'tasim' di dalam dunia hari ini?

Di mana,wahai para lelaki di luar sana?

Segala-galanya bermula dengan langkah pertama.Jari telunjuk sepatutnya menghala kepada diri kita sendiri..Kita yang harus memulakan agar suatu saat nanti akan muncul jelmaan Al-Mu'tasim yang baru..

Rintihan wanita di Al-Quds akan dibela..

Tangisan hawa di Baghdad,akan dikesat..

Mulakan dengan sekecil-kecilnya.Lihatlah bagaimana kita menjaga maruah ibu,adik perempuan, isteri dan bakal isteri kita..

Kalaulah berjalan masih berpegangan tangan,memalit janji ukiran nafsu,hatta sampai habis usia dikandung badan,maruah seluruh perempuan Muslimah yang tertindas di seluruh dunia tidak akan terbela..

Dan bagi perempuan yang mengaku muslimah,jangan bodohkan diri anda 'dipeluk,dicium,dibelai manja' lelaki bukan mahram bagi anda.Anda hanya meng'keldaikan' diri mengikut resmi khinzir..Tidak punya maruah diri..

Khinzirkah kita?

Saya tidak, DAHULU,KINI dan SELAMANYA!!!




Rabu, 20 Januari 2010

Ultra-Nasionalisme,Pemecah Kuasa












Isu Palestin tidak pernah menemui titik noktah.Malah sering bertambah marak dari sehari ke sehari..

Perang Gaza sudah setahun berlalu.Tetapi masih setiap hari ada 'Gaza-Gaza kecil' yang berlaku di bumi Al-Quds.

Darah merah berderai di bumi anbiya'.

Air mata tidak pernah kering dari kelopak mata sang ibu.

Anak-anak terus merintih rindu pada sang ayahanda yang ditahan tanpa rela.

Jentolak ganas terus merobohkan teratak buat berteduh.

Bekalan makan sesuap minum seteguk , sudah bersyukur tika mendapatkannya.

Hanya Tuhan ,dahan berpaut tawakal.


Kenapa??

Umat Islam umat yang sangat besar jumlahnya.

Dilaporkan sekarang sudah sampai hampir 2 billion insan syahadah di atas muka bumi Tuhan ini.

Logiknya,sesuatu yang besar bolehlah dikira suatu entiti yang gagah lagi hebat.

Pasukan tarik tali yang mempunyai 20 orang ahli pasti menang apabila berhadapan dengan kumpulan yang terbentuk dari 10 orang semata..

Itu rasional akal..

Begitu juga kes di Palestin.Umat Islam berkumpul mengelilingi Israel,dari segenap penjuru bumi.Mengepung segenap arah Israel.Jumlah umat Islam hampir 300juta orang di Semenanjung Tanah Arab, dan penduduk Zionis Israel hanya kira-kira 4 juta orang.

Kenapa kekalahan yang terjadi?

Kenapa?

Jawapannya multi-faktor jika diperhalusi.

Antara pra-faktor yang memacu kebaculan ini adalah kerana maraknya suatu semangat yang dibenihkan dan disemai subur oleh para penjajah..






NASIONALISME...






Nasionalisme adalah suatu sikap atau unsur yang baik.



Nasionalisme memupuk semangat cintakan negara dan bangsa.



Begitu juga Muhammad Al-Amin.



Esakan tangisnya jelas apabila terkenangkan bumi Makkah yang ditinggalkan demi sebuah perintah Hijrah.



Betapa syahdunya apabila kembali ke kampung halaman sewaktu Pembukaan Makkah..



Semangat cintakan tanah air dan kaum kerabat jelas terselah.

Tetapi......

Islam adalah agama kesederhanaan.Meletakkan segalanya dalam titik keseimbangan.Dalam Islam,ada unsur sosialisme,demokratisme,kapitalisme dan juga nasionalisme,pasti..








Melampau..

Kenapa Islam menjadi kecil walaupun hakikatnya besar?

Kenapa orang Islam menjadi pak turut,menggangguk sepanjang masa?

Kerana suatu tembok pemisah.

Skop Islam dikecilkan dan nasionalisme menjadi anutan,fahaman.

Bukan sahaja blok Islam yang gergasi berjaya dikerdilkan,nasib Arab yang satu juga sama.

Arab yang besar,dikecilkan kepada blok-blok bangsa dan negara.Arab Saudi,Iran,Iraq,Syria,Mesir,Jordan,Kuwait dan sebagainya..

Arab dengan Arabnya..

Turki dengan Turkinya..

Parsi dengan Parsinya..

Indonesia dengan Indonesianya..

Malaysia dengan Malaysianya..

Melayu dengan Melayunya..

Semangat keIslaman dilunturkan.Bangsa dan Negara menjadi 'agama baru' , walaupun ritual perkahwinan, jenazah dan sebagainya masih dikosmetikkan dengan wajah Islam.

Tembok nasionalisme pandai berpalsukan topeng,menutup gerak kerja sendiri.

Patutlah kumpulan yang punya 20 ahli boleh kalah,rupa-rupanya ada yang menarik arah bertentangan.Ada juga yang menarik lembik seperti pondan.Ada juga 1,2 yang menarik tika yang lain melepaskan pacu kekuda.



Padan dengan tewas tersungkur.

Itulah 'kumpulan Islam',yang kecundang...


Khutbah Masjid Ibnu Sina

Masih saya ingat buah bicara sang khatib pada waktu itu.Jumaat itu,arena perbahasan umum di Indonesia adalah berkisar tentang Manohara yang dizalimi dan perairan Ambalat yang dicuri.

Panas.

Hangat.

Khatib naik ke mimbar.






"Kenapa kita orang Jawa,Sunda yang beragama Islam,sangat marah membakar tatkala berbicara tentang Malaysia,Melayu?"



"Kenapa kita yang warna kulitnya sama,pertuturan bahasanya hampir sama,agamanya sama,tidak jauh berbeza dengan Melayu Malaysia, tidak mampu duduk-duduk mesra bersebelahan?"



"Kenapa dengan orang Papua kita mampu duduk bersebelahan walaupun warna kulitnya berbeza,rambutnya berbeza,bahasanya berbeza dan agamanya berbeza?"

"Ultra-Nasionalisme!!"





Sungguh bernas percakapannya sewaktu itu.Langsung tiada mengantuk dan menguap.

Hebat idealisme penjajah.Mereka tidak meninggalkan negara selagi tidak berbekas sesuatu peninggalan milik mereka.

Gold, Gospel , Glory..

Seruan ini tidak akan bertukar selamanya.

Dahulu ,Gospel mungkin bermaksud agama Kristian,yang dipopularkan penjajah.

Sekarang,Nasionalisme bisa sahaja menjadi 'Gospel baru'!!

Wajah sahaja yang bertransformasi,niat dan tujuan tetap sama tiada berubah.




Ubatnya

Umat Islam umpama buih di lautan.Sungguh banyak,tetapi mudah pecah,tiada kekuatan.

Hanya satu penawarnya..

Buanglah 'agama ' nasionalisme melampau,kembalilah pada semangat persaudaraan Islam.Islam tidak menjadikan negara dan bangsa sebagai matlamat,ianya hanyalah alat untuk mencapai matlamat Islam..

Selagi mana , kita sendiri tidak bersatu-padu,saling mencantas (baca : cah keting),selagi itulah Islam tidak akan menang.

Selama itulah juga,pekikan perempuan terzalimi di Palestin tidak bersambut genderang perang,demi menegakkan maruah seorang muslimah.

'Al-Mu'tasim-Al-Mu'tasim' abad ke 21 tidak akan muncul selagi mana barisan-barisan ini tidak dirapatkan.

Hanyalah ia sebuah laungan utopia retorik jika kita sendiri tidak memulakan pengubatannya.

Bangunan yang kukuh akan terealisasi andai barisan itu sudah bersatu dan mantap.

Mulakan perjalanan ini dengan langkah pertama milik kita..




"Sehari selembar benang,lama-lama menjadi kain"

Isnin, 18 Januari 2010

Ini Kisah Keperwiraan Mereka!!Kita?



"Tanah air kami telah dirampas.Saya ada rumah di Askalon dan lagi di Yafa,Gaza."






"Kami meminta hak kami..tidak lebih dari itu"





"Kami tidak membenci Yahudi dan melawan mereka kerana mereka Yahudi"





"Mereka orang punya agama dan kami juga punya agama (Islam)"





"Kami mencintai semua orang yang mempunyai agama"





"Kalau adik saya,yang mempunyai agama yang sama (Islam) dan berkongsi ibu bapa yang sama,merampas rumah saya, dan menghalau saya dari tanah saya,saya pasti akan melawannya"





"Saya akan melawan adik saya!!"





"Saya juga akan melawan sepupu saya jika dia berbuat sedemikian juga terhadap saya"





"Jadi,apabila seorang Yahudi merampas tanah air saya dan menghalau saya,saya juga akan melawannya persis!!"





"Saya tidak bermusuh dengan Amerika,Britain dan negara-negara lain.."





"Saya damai dan cintakan keamanan dengan semua orang!"





"Saya cintakan semua orang dan saya mendoakan mereka kebaikan,hatta kepada orang-orang Yahudi.Mereka tinggal dengan kami dalam tempoh masa yang lama."





"Kami sesekali tidak pernah menyerang mereka ataupun merampas sebarang hak mereka"





"Mereka biasa memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan kementerian,tetapi seandainya mereka merampas rumah dan tanah air saya dan menjadikan saya sebagai pelarian..Kita ada 4 juta orang-orang Palestin yang terpaksa menjadi pelarian,di luar tanah Palestin!!"





"Siapa yang lebih berhak ke atas tanah ini?"





"Pendatang dari Rusia?Yang meninggalkan tanah ini lebih 2000 tahun yang lampau??"





"Ataupun mereka yang dipaksa meninggalkannya 40 tahun yang lalu???"





"Siapa yang lebih berhak??"





"Kami tidak membenci Yahudi.Apa yang hanya kami mahukan,adalah berikan hak kami kembali!!"







~As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin,tatkala ditanya untuk apa perjuangan dia,HAMAS dan rakyat Palestin.





















“Sampaikan kepada Dr. Hertzl untuk tidak mengambil langkah lebih jauh lagi dalam projeknya ini. "





Aku tidak akan memberikan sejengkal pun tanah dari wilayah Palestine kerana memang tanah ini bukan milikku, tanah ini milik Daulah Islam"





"Daulah Islam yang telah mengobarkan jihadnya demi untuk penggabungan wilayah ini, dan mereka telah mengaliri tanah ini dengan darah mereka"





"Silakan Yahudi menyimpan kembali wang mereka!!"





"Jika khalifah Islam suatu hari nanti berhasil dihancurkan, mereka boleh mengambil tanah Palestin dengan percuma"





"Tapi selama aku masih hidup, aku lebih memilih menusukkan pedang ke dalam tubuhku daripada harus melihat tanah Palestine dipotong dan dilepaskan dari Khilafah Islam"





"Ini adalah suatu hal yang tidak akan terjadi"





"Aku tidak akan memulai memotong tubuh sendiri sementara ia masih hidup!!!"






~Khalifah Usmaniyyah,Sultan Abdul Hamid 2,ketika rombongan Yahudi datang mahu membeli tanah Palestin daripadanya.


















"Andai pilihannya antara serangan jantung atau Apache,saya memilih Apache!!"






~Dr Abdul Aziz Rantissi,sewaktu seminggu sebelum kematiannya di hujung misil Apache.































"Hanya lemparan anak-anak batu termampu,sebagai bukti kebencian,jihadku menentang Zionis Israel"




~As-Syahid Fariz Audah,seorang anak yang syahid pada usia 14 tahun ketika berdada depan-depan dengan kereta kebal Zionis Israel.














UNTUK PEMUDA MUSLIM




Mereka semua telah pergi meninggalkan kita.




Mereka berangkat bertemu Tuhan dengan menumpahkan tinta-tinta emas dalam coretan semangat perlawananan,demi menegakkan sebuah kebenaran.




Mereka hidup di sisi Tuhan mereka!!




Untuk kita,masih tersisa sedikit waktu yang kapankah hujungnya tidak kita ketahui.




Masih boleh memilih denai dan liku yang mahu ditakluki.




Jangan asyik dengan duniawi semata-mata.




Permainan komputer..




Melepak..




Disedatifkan hiburan melampau..




Dimabukkan kelembutan seorang anak hawa..




Sibuk mencari wang..







Hidup kita mencari mati..




Mati bukan pilihan,bahkan kewajipan..




Bagaimana mati,itu suatu pilihan..




Mati katak tanpa guna..




Mati harimau meninggalkan belang..




Atau matinya seorang manusia,meninggalkan nama,menegakkan kebenaran..

Khamis, 14 Januari 2010

Demi Sebuah Kebaikan,Ujian Kan Menimpa..




Islam mengajar penganutnya agar mencari yang terbaik dalam setiap perkara.Tidak kisahlah dalam bab duniawi ataupun mengejar mati demi akhirat..



Dalam mencari yang terbaik, ianya tidak sesenang makan kacang atau kuaci.





Yang pipih takkan datang melayang,

Yang bulat takkan datang bergolek.





Usaha Kuat,Azam Teguh



Untuk mencapai kejayaan,usaha yang kuat dan keazaman yang teguh diperlukan semestinya.



Mahu menjadi seorang doktor yang berjaya,5,6 tahun diperlukan tempohnya.Doktor yang bagus pula diandalkan usaha untuk belajar yang bersungguh-sungguh.Menelaah pelajaran,sering bertanya guru,dan sebagainya..



Banyak perkara perlu dikorbankan.Masa untuk berseronok,tenaga dan wang.Semuanya mengalir deras demi mencapai cita-cita..





Pasangan Hidup



Mahu mencari pasangan hidup yang terbaik?



Itu impian kasih semua orang.



Seorang perempuan pasti mendambakan seorang lelaki yang baik,soleh,mengambil berat kebajikannya,bertanggungjawab dan penuh kasih sayang lagi romantik.



Seorang lelaki pula semahunya mengimpikan seorang perempuan solehah,penyayang,hormat orang tua,pandai masak dan sebagainya.



Merpati sejoli itu yang dicari setiap insan fitrah.



Tiada yang mahu berteman mesra sehidup semati dengan pasangan yang jelek,memandang wajahnya sahaja sudah menimbulkan rona benci di hati.



Hidupnya persis neraka dunia.





Tidak Mudah



Semua boleh bermimpi indah,tetapi tidak semua sanggup berusaha mendapatkan mimpi tadi menjadi realiti.



Kerana apa?



Kerana ini bukanlah semudah fantasi bertukar realiti seperti tuntasnya menjadi seorang puteri raja seperti Amy Mastura di dalam filem Puteri Impian.Tidak semudah itu..



Usaha...



Untuk mendapatkan pasangan hidup yang terbaik,kita perlu berusaha sebaik mungkin.



Mulakan dengan diri kita terlebih dahulu.



Dambakan seorang isteri solehah,jadilah terlebih dahulu seorang lelaki yang soleh.Solat 5 waktunya adakah jamaah di masjid, akhlaknya adakah mencerminkan seorang muslim sejati dan seterusnya..



Dan proses menuju kebaikan tidak selalunya dibentangkan dengan jalan karpet merah.Boleh sahaja kita dibentangkan dengan hamparan mawar merah di sepanjang laluan itu..



Baunya cukup harum mewangi,warnanya membangkitkan aroma seri.Tetapi awas,duri tajamnya boleh melukakan tapak mulus sang kaki..





"Sesiapa yang Allah inginkannya kebaikan,nescaya dia akan diuji"





Pesan Rasulullah amat benar.



Seringkali manusia alpa dan tewas dalam perjuangan dalam menempuh badai ujian dariNya.Walhal boleh sahaja ujian itu akan menaikkan darjat sang hamba andai sang hamba berjaya melepasinya dengan saksama.



Penat lagi melelahkan.



Kecewa membawa putus asa.



Sedih berkembang duka lara.



Marah menguasai dada.



Insan yang tidak sabar cepat akan bersangka buruk dengan Tuhan,menyangkakan bahawa Tuhan itu zalim amat.



Masakan mungkin seorang yang taat beragama,soleh perwatakan,duji dengan ujian yang maha berat sedangkan manusia pelaku maksiat meminum arak,berpeleseran dengan bukan mahram,terus dibiarkan tenteram menikmati adegan mungkar lagi dilaknat.



Astagfirullah..



Astagfirullah..



Astagfirullah..



Kita ingat kembali kepada RasulNya,makhluk paling disayangi sepanjang jagat kemanusiaan.



Sanggup Tuhan membiarkan RasulNya patah gigi berdarah-darah di medan Uhud,tergamaknya Tuhan melihat rasulNya dilempar batu,dinista hina di kota Thaif..



Kenapa ini terjadi?



Berat mata memandang,berat lagi menggalas bebanan.



Ini ujian Tuhan kepada hambaNya yang tersayang.Naik darjat sang hamba ketika sabar dan percayanya kepada Tuhan di saat-saat sebegini.



Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..







Teladan Ketika Cinta Bertasbih



Bukan mahu membicarakan KCB di sini.Cuma apa yang patut dijadikan ibrah teladan di sini adalah perilaku watak protagonisnya Abdullah Khairul Azzam yang dilakonkan oleh Kholidil Asadil Alam..



Kekecewaan berulang-ulang.



Wanita idamannya telah dipetik sahabat sendiri.



Pinangannya pula ditolak dari satu menjadi dua,dua menjadi tiga.Dan tiga menjadi empat..



Kecelakaan motor menimpa,lantas si ibunda tercinta melambaikan salam pada dunia,pergi buat selamanya.



Hampir putus asa.



Rupanya ada sinar gemerlapan di hujung pencarian.



Perempuan idaman,dengan takdir Ilahi,selamat diijabkabulkan dengannya.



Ini cerita seorang manusia bernama Abdullah Khairul Azzam.



Sesiapa yang menonton pasti teruja mendapatkan pasangan hidup yang sesolehah Anna Althafunnisa,si bidadari dunia.



Tetapi inilah namanya proses.Proses tidak dapat diselesaikan dalam 2 jam sepertimana kita menonton wayang gambar kisah si penjual tempe dan bakso di Universiti Al-Azhar tadi..



Proses itu memakan masa.Ada yang lama dan mungkin juga ada yang lebih sebentar jangka penantiannya.



Dan insan yang mengikuti proses sedemikian harus sabar dalam menunggu detik untuk menuai hasilnya.Tidak dapat di fana dunia,kebaikan akhirat itu akan menjadi miliknya.



Kerana kebaikan yang dipinta,maka sabarlah.



"Memilih yang terbaik itu senang,tetapi proses untuk mendapatkannya tidak mudah,bakal banyak yang terpaksa dihadapi.Kerana kebaikan yang dipinta.." mutiara nasihat seorang sahabat seperjuangan.









Pesan Mama



"Kita boleh merancang tetapi perancangan yang terbaik adalah padaNya.Dia paling mengetahui apa yang terbaik untuk kita walaupun kita merasakan sebaliknya"suatu malam,mama berpesan pada saya.



Nasihat seorang bonda selalu menenangkan hati yang gundah gulana,mendamaikan perasaan.



Itulah intisari ayat Al-Baqarah : 216..



Dan di sini jugalah muncul istilah doa dan tawakal kepadaNya.



"Wahai Tuhan Yang Maha Hidup,Wahai Tuhan Yang Berdiri Sendiri ,dengan rahmatMu aku minta pertolongan ,perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekalipun sekejap mata"

HR Al-Hakim


Kejarlah sebuah kebaikan walaupun badai datang melanda,ingatlah kita masih punya Tuhan!!














Isnin, 11 Januari 2010

~Mulainya Tapak Perubahan Oleh Diri Sendiri~







Tidak ada yang boleh menggaru gatal kulitmu..


Sama seperti kuku tanganmu sendiri..


Sebab itu buatlah olehmu sendiri..


Segala kerja tanggungan dirimu...

~Syair Arab~





Seantero Tanah Melayu mengenali Zainal Abidin Ahmad sebagai pejuang bahasa, juga seorang negarawan terbilang..

Tetapi mungkin jarang yang mengaitkan Zainal Abidin Ahmad atau lebih masyhur sebagai Zaaba,turut mempelopori bidang keagamaan..

Di sini,mahu berkongsi sedikit buah fikirannya..




Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Nama judul buku karangan Zaaba.Asal mausul dari beberapa buah risalah yang kemudiannya dijadikan sebagai satu manuskrip lengkap lantas dibukukan..

Zaaba mengkritik dasar pegangan sikap orang Melayu dalam penulisannya sehingga buku ini tidak diterbitkan sehinggalah Zaaba sendiri lama sudah meninggalkan dunia ini..

Tujuannya satu,

"Membetulkan Perangai"

Sikap orang Melayu dalam menilai dunia dan akhirat dikritisi secara tuntas...



Di Dunia..


"Misalnya,jika mahu memasukkan anak-anak ke sekolah,maka sentiasalah mereka mahu mendapat 'free'(secara percuma), atau mereka berharap kerajaan akan memberi 'scholarship'(biasiswa) kepada anak itu.."


"Jika tiada biasiswa,tiadalah upaya mereka membelanjainya,kerana mereka miskin dan sentiasa mengaku miskin dan mengaku tidak pandai berusaha dan tidak pandai mencari wang sendiri atau berjimat-jimatmengumpulkannya untuk membelanjai sendiri anak-anak itu ke sekolah.Sebab itu, "Tolonglah"...."


Akhirat..

"Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya-tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak!"


"Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Huwa Allah dari orang apabila mati kelak!!..."


Lebih Baik Susah Dari Berubah..


"Benda yang lebih susah dari susah adalah berubah"ujar Ustaz Hasrizal Jamil dalam wawancara beliau dalam Malaysia Hari Ini (MHI) sempena dengan tahun baru hijrah..

Untuk berubah memang susah..

Manusia boleh dipaksa,dimarahi,disuruh untuk berubah,tetapi kemahuan untuk berubah adalah hak mutlak individu..

Kita tidak akan mampu memaksa kuda,lembu meminum air walaupun sudah sehabis daya diheret ke anak sungai.Itu pilihan mereka.Antara mahu dan tidak...

Jika kemahuan sudah bertunas,kemahuan itu harus dibajai dengan keazaman seteguh waja.Perubahan adalah suatu proses,dan proses memerlukan masa..

Proses tidak akan berjaya andainya dijalankan sekerat jalan dan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.Di sinilah tekad dan azam yang kuat berperanan secara aktif..

Hangat-hangat tahi ayam,hangatnya tidak berkekalan..


Belajar..

Sebagai contoh ringkas,belajar umpamanya..

Seringkali semangat azam untuk belajar bersungguh-sungguh dilontarkan.Nilai A mahu digapai sebanyak mungkin..

Tetapi tetap juga ucapan semangat itu hanya tinggal ucapan.Belajar tetap main-main,masih di penghujung waktu,cuma berharap nasib menyebelahinya..

Dan berdoa pada Tuhan pohon kejayaan jatuh ke ribaan.

Tidak sesenang itu..


Mahu Berubah?

Jika diri-diri kita mahu berubah,dari jahat menjadi baik,dan dari baik menjadi lebih baik,tidak dapat tidak, ianya mesti datang dari dalam diri kita sendiri..

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri"

Surah Ar-Raadu : 12


Tanam kemahuan yang jitu,bekali dengan azam yang padu lagi kukuh dan berdoa dan berserahlah kepada Tuhan..

Dan sama-sama kita ingatkan diri kita dalam menapaki liku-liku perubahan,ianya tidak sesenang lafaz yang diucapkan.Pasti akan ada ujian,dan di sini kesabaran dan disiplin diri memainkan peranan yang sangat penting..

Pesan Rasulullah,

"Sesiapa yang dikehendaki olehNya kebaikan,nescaya dia akan diuji"


Selamat melayari bahtera perubahan buat diri dan teman-teman..



Nota :

1) Artikel ini untuk diri sendiri,sebagai saksi bahawa sang diri mahu untuk berubah.Semoga berjaya..

2)Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,dan boleh didapati dengan harga RM 5.50.Saya membelinya di ibu pejabat DBP Kota Bharu dengan harga RM 4.95,setelah diskaun 5%..

3) Mahu menjadi hebat, belajarlah dari orang-orang yang hebat ;-)

Jarkom Takziah CGC

Jarkom Takziah CGC :

Dilaporkan bahawa Hang Hanep dan Adi Nordin telah ditimpa kecelakaan sewaktu dalam perjalanan ke fakulti pagi tadi..

Menurut sumber yang boleh dipercayai,kedua-duanya hanya cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Padjajaran..

Hang Hanep mengalami pendarahan kecil di bahagian dagu dan terpaksa melupakan hasrat untuk mengambil ujian MDE Gasrointestinal tadi pagi.

Manakala,Adi Nordin pula terseliuh kaki tetapi masih mampu mengambil ujian..

Pihak CGC mengucapkan takziah atas kejadian yang tidak diingini ini..

Semoga kedua-keduanya kembali sihat seperti sediakala.Ameen..


Nota :

Innalillahi waiina ilaihi rojiun..

Sabtu, 9 Januari 2010

Di Bawah Lindungan Kaabah



Sekadar ingin berkongsi sebuah novel pendek karya Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih tersohor dengan nama Buya Hamka..


Sebuah perkongsian yang ringkas tentang sebuah nikmat Ilahi bernama C.I.N.T.A. Hamka melihat falsafah tentang cinta dalam perspektif yang berbeza,lain dari yang lain...


Secara keseluruhannya, plot dalam novel ini memaparkan sebuah kisah cinta tidak kesampaian.Memiliki jiwa terlepas raga..


Sedikit mutiara fikiran yang diambil dari "Di Bawah Lindungan Kaabah"..




"Bukan sedikit pemuda-pemuda yang telah menanggung sebagai yang telah ditanggung oleh kedua orang itu, tetapi sukar orang yang selamat sampai ke akhirnya.. Adalah ‘rindu-dendam’ atau ‘cinta-berahi ‘ itu laksana lautan jua, orang yang tiada hati-hati mengayuh perahu, memegang kemudi dan menjaga layar, karamlah ia digulung ombak dan gelombang, hilang di tengah-tengah samudera yang luas itu, tidak akan tercapai selama-lamanya tanah tepi"
Bahasanya 'berbunga-bunga',kadang-kadang sedikit sukar dimengerti.Cukup tersendiri dan istimewa..
Itulah sasteranya Hamka.
Mungkin itulah sumber kekuatan dirinya dalam menongkah mehnah tribulasi perjuangan..
Bak kata Khalifah Umar Al-Khattab :
"Ajarlah anak-anakmu sastera,nescaya dia akan menjadi pemberani "




Khamis, 7 Januari 2010

Seminggu Pulang Ke Gagang..










Tanah pertiwi diinjak halus,menawarkan perasaan rindu terbungkam..

Tanah Serendah Sekebun Bunga..

Kelantan..

Cukup menarik.

Ada alim ulama yang ramai lagi dikenali dan juga 'awe-awe gedebe'..

Isu berkaitan Kelantan sering muncul di dada media di Malaysia beberapa waktu ke belakang..

Dari isu Sultan Kelantan yang gering di Hospital Elizabeth di Singapura,Sultan Kelantan beristeri dua,isu Manohara dengan Tengku Fakhry sehinggalah pergolakan dalaman istana antara Tengku Faris,pemangku Sultan dengan adindanya Tengku Fakhry..




Keluar dari istana..

Kelantan dikurniakan kepimpinan seseorang yang istimewa..

Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz..



















Semenjak kecil idola sendiri dalam skil bersiasah dan memerintah..

Sebagai Mursyidul Am PAS,isu kerajaan perpaduan,isu rasuah politik berkaitan menantunya Arif Fahmi,pendapat peribadinya tentang Menteri Besar bukan Muslim,isu royalti minyak Kelantan dan selainnya..

Sempat sewaktu pulang bercuti,saya turun menadah telinga mendengar butiran mutiaranya di Medan Ilmu Kota Bharu,rutin tok guru setiap waktu duha hari Jumaat..


Usrati...

Bulan Disember dan Januari sangat unik dalam kehidupan keluarga saya di Kota Bharu..

Sering disinonimkan dengan musim hujan dan cuti sekolah.

Bukan sekadar itu..

Di bulan Disember,adik kedua Mohd Fakhri dilahirkan pada 20hb ,adik ketiga Nur Farhana(gambar yang di tengah) pada 26hb..Masing-masing sudah menginjak umur 23 dan 21..













Bulan Januari..

Muhammad Faiz dilahirkan pada tanggal 16hb pada tahun 1992 dan terakhir,adik bongsu dan paling mengada-ngada,Nur Faizah,dilahirkan pada hening 2Syawal bersamaan 31hb Januari 1998..

Selamat Hari Lahir untuk adik-adikku tersayang.Moga kalian menjadi insan yang berguna untuk agama,bangsa dan negara.Ameen...

Sekarang..

Eriey di Usim dalam bidang pergigian,Ana di Uitm Jengka,semester terakhir Diploma Sains..Paih baru selesai Sijil Pelajaran Malaysia,sedang berusaha mendapatkan lesen kereta dan motor,bercita-cita ingin ke Timur Tengah mengejar gelar seorang doktor,juga seorang hafiz Al-Quran yang 'rock'..

Ijah pula masih dalam dunia awal remajanya.Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menunggunya di akhir tahun nanti..Menemuinya menjadi suatu kelegaan.Dia terkena tempias fobia sewaktu melihat keadaan mendung dan berangin.Kira-kira sebulan terdahulu, ekor taufan yang menghentam Filipina,turut bertandang ke Kota Bharu menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan di Kota Bharu.Dikhabarkan juga ada seorang mangsa maut tertimpa pokok..

Dia yang sering tinggal keseorangan di rumah,dipaksa menahan esak tangisan sendirian,sambil nenelefon mama dan abah yang mengajar pada waktu petang..Syukur sekarang,tawa riangnya sudah mula kelihatan kembali..

Faisal atau lebih selesa dengan panggilan Ica,merupakan adik yang kelima..Antara yang paling 'berjuruh' dalam keluarga.Setiap kata mama dan abah,lekas sekali dia bangun mengerjakannya..
Dan tahniah untuk kejayaan 10A dalam Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU) baru-baru ini..Lebih baik dari pencapaian saya..

Bertandang ke rumah pakcik makcik di kampung adalah suatu kemestian sambil menghulurkan sedikit ole-ole Bandung.Maklumlah AidilFitri dan AidilAdha tidak pulang ke kampung..

Berbual mesra,bertanya khabar terkini...

Sepupu-sepupu semua sudah berura-ura
merencanakan perkahwinan masing-masing.Anak Mak Long yang keempat,Samihah walimahnya cuti tahun baru Cina nanti..

"Barakallahu fiikuma"

Terima kasih atas ingata undangan,cuma maaf tiada cuti untuk pulang menghadirinya..

"Anak teruna awak bila lagi??"gurau mengusik mak cik sambil mencuit paha abah..

Semua tersenyum..


Harapan

Pulang yang sebentar mahu mencari angin baru dalam hidup.Hidup yang sering dibungakan stres dan menggalas beban yang berat perlu diberikan suntikan motivasi dan semangat.Biar menjadi penawar mujarab..

Semoga 2010 ini menjadi tahun yang lebih baik dari sebelumnya.Umur hampir menginjak suku abad,ternyata semakin singkat sisa waktu atas dunia yang fana ini...



Nota:

1)Maaf tiada gambar sewaktu cuti.Laptop ada virus ;-(

2)Isu penggunaan kalimah Allah.Saya menjadi penonton setia..Pandangan TGNA dan Dr MAZA menjadi pegangan saya.Bukan entry ini mahu membicarakannya..Cuma terfikir adakah Muslim di Malaysia hanya mampu melihat yang zahir dan luaran semata..Alhamdulillah banyak yang bangkit.Tetapi berapa ramai yang ingin bangkit sewaktu banyak Muslim berperlakuan seperti tiada Allah dengan maksiat dan kemungkaran yang dijaja..

"Lebih Kulit Dari Isi"

3)Isu royalti atau wang ihsan,saya memilih royalti..

4)Isu doa bala TGNA pada DS Najib..Saya setuju dengan doa itu setelah mendengar doa itu dalam youtube.Hujahnya berdasarkan hadis Sahih Muslim sebagaimana dijelaskan Dr Maza dan Exco Kerajaan Kelantan,Dato Nik Amar.Boleh dilihat dalam youtube Wacana "Islam..AntaraRealiti dan Harapan" bertempat di Kota Bharu.Saya mempunyai VCD wacana ini secara lengkap.Boleh dipinjam ;-)



5)Teruskan usaha anda "Viva Palestina".Allahukabar...





6)Sewaktu di Kota Bharu,saya berjaya mendapatkan 2 lagi karya Hamka "Lembaga Hidup" dan "Di Bawah Lembah Cita-Cita"..Dan juga,paling istimewa,"Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri",karya Pendita Zaaba.Menarik untuk ditelaah..

7)Sekarang tengah ujian akhir semester.Masih ada 2 kertas lagi.Doakan saya.
Muchas gracias ;-)