Selasa, 31 Mac 2009

Selamat Tinggal Duhai Nendaku..


Getaran telefon bimbitku mematikan lamunan.Tertera nama Mama di skrin.Jarang sekali waktu siang-siang begini Mama menelefonku..

Punat ditekan....

"Assalamualaikum Long!Ni Ijah,"pertama kali adik bongsuku,Faizah , mendail nomborku..

"Nenek dah takda!!"perlahan suaranya menyampaikan khabar.

"Pagi tadi dalam pukul 10,masa tu mama,abah,mak long,chik ada kat tepi,"aku senyap terkelu lidah mencari kata.

"Innalillahi wainna ilaihi rojiun,"balasku sebak..

"Long tak leh balik Ijah,nanti kirim salam kat mama dan abah.Nanti malam Long kol,"perit air liur ditelan,menggapai sedikit tenaga penawar duka.

SELAMAT TINGGAL NENDAKU

Rupanya pulangku yang sekejap kelmarin,itulah detik terakhir berbakti kepadanya.
Masih teringat linangan air matanya setiap kali ingin aku kembali ke Bandung.

"Maafkan nek,"itulah kata-kata yang sering terungkap dari mulutnya.Manik jernih,mulus menuruni pipinya.Entah apa silapnya padaku,tidak pernah aku bayangkan.

"Sepatutnya Mi yang minta maaf,"tersenyum aku melihat telatah nenek sambil aku kucup tangannya memohon restu.Anak nakal yang suatu ketika dahulu sering dimarahi,dipulas telinga,adalah yang lebih harus mencari maaf nenda..

Kini dia telah tiada.Pergi menyahut seruan Ilahi..Menemui suami tercinta,bersatu di alam sana..

Allahummag firlaha Ya Allah,waja'alaha minal muttaqin..
Ampunkan Nendaku Ya Allah,dan jadikanlah dia dari kalangan orang-orang yang bertakwa..

Selamat Tinggal Duhai Nendaku....

Sabtu, 28 Mac 2009

Kita Mata Rantai Itu....














“ Kenapa dah tak nak join persatuan-persatuan ni?Bukan ko banyak pengalaman,sayang sangat!!”kataku kepada seorang teman,teringin hendak tahu kenapa pasifnya semacam, padahal tuan punya badan memang maklum kemampuan dirinya..

“Bukan apa,aku dah malas.Dulu dah banyak terlibat masa sekolah.Sekarang fokus belajar sudah,”balasnya  tenang seraya menjawab persoalan yang bermain di fikiranku..

Berpersatuan ini penat!!

Tidak dinafikan sama sekali.Sehari-hari  terpaksa menghayun langkah,mengorbankan masa untuk menghadiri pelbagai mesyuarat dan pertemuan.Aneka ragam program dan acara bergilir-gilir mengintai daftar masuk rencana ke depan..Wang,masa,tenaga terpaksa dikorbankan demi orang lain.Masa untuk diri sendiri semakin suntuk..

Karnival-karnival bersifat sukan dan budaya,kelas-kelas pembelajaran luar,pertandingan-pertandingan ilmiah dan tidak ilmiah dan juga acara-acara kerohanian, antara contoh yang biasa yang mewarnai aneka rencah persatuan..

Kenapa kita berPERSATUAN??

Tanya soalan ini wahai teman sekalian kepada diri anda.

Sayang sekali,andai sudah berpenat-penat dari pagi sampai malam,menghempas sahaja badan di atas katil,terus  automatik  terlelap,semuanya tidak membawa ke mana.Pening kepala merancang,sakit kepala dengan kerja bertimbun,pusing kepala memikirkan ujian MDE,berputar dunia dengan masalah yang kunjungnya tiba-tiba…Semuanya pengorbanan sia-sia.

Masuk angin keluar asap!!!

 

MANIFESTASI SEORANG HAMBA

“ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan Pemilik Seluruh Alam”(6:162)

Ada suatu benda,semakin lama semakin jauh kita daripadanya.Biarpun dihamburkan emas setinggi Bukit Uhud,tetap tidak akan mampu kita menebusnya.

MASA!!!

Ya,masa..Ada 86,400 detik dalam penuh orbit bumi sehari semalam.

Setiap detik kita hambaNya..

Tiap-tiap saat kita abdiNya..

Hidup dan mati kita..

Setiap apa yang kita lakukan,tetap kita seorang hamba.Resmi hamba,mengikut telunjuk tuannya.begitu juga kita.Biarlah setiap yang kita lakukan adalah keranaNya..

Datangnya kita ke mesyuarat,hanyalah memikirkan ini sebahagian lambang ketaatan kita padaNya..

Tidak semestinya nilai kehambaan itu hanya terpancar dari  persatuan berorientasikan Islam semata-mata.Bikin ceramah agama,buat bacaan Yasin malam Jumaat,rencanakan sambutan hari Raya Puasa dan Korban,semuanya antara platform kehambaan kita..

Macam mana pula persatuan berorientasikan sukan,budaya,pendidikan dan teknologi??Adakah mereka semuanya entity-entiti yang sepatutnya bukan bercirikan Islam??

Konsep yang menyeleweng sekali jika ini dijadikan doktrin kehidupan..

Adakah Islam anti-Budaya?Jika Rasulullah melarang kaum Ansar menyanyi sewaktu majlis perkahwinan mereka,barulah Baginda anti kepada Budaya.Akan tetapi ,sebaliknya berlaku.

“Di mana nyanyian Ansar?,”tanya Rasulullah kepada kepada Ansar,kehairanan melihat majlis perkahwinan yang sunyi sepi bak hari pengebumian mayat..

Adakah orkestra muzik yang menampilkan Vanessa Mae dan Maksim versi Islam itu suatu kesalahan?Gesekan violin yang lembut mendayu,irama mengasyikkan piano,tiada salahnya dalam membungakan ketaatan kepadaNya..Gedik Kitaro juga hebat..


                                                                     Vanessa Mae

Bermain futsal atau bola jaring dengan teman-teman.Lihatlah itu suatu bentuk acara memekarkan ukhuwwah antara satu sama lain.Yang belum kenal,menjadi kenal.Yang jauh,kembali merapat..Fizikal yang sihat dan cergas menjadi idaman.Sang Rasul pernah berkata mukmin yang kuat itu lebih disukai olehnya dari yang lemah tidak bermaya..


                                     Kumaha' Damang Neng?? ;-)

Belajar Bahasa Sunda tidak tercatat sebagai sunnah yang jelas.Tiada langsung Rasulullah menyuruh kita belajar Bahasa Sunda,hatta Bahasa Melayu..Sibawaih,seorang ulama tatabahasa Arab juga sama.Mengajar orang tentang tatabahasa bahasa Arab.Macam orang Melayu  belajar apa itu penjodoh bilangan,simpulan bahasa ataupun tanda pengikat kata..Ini ilmu teman-teman..

Bukan Sang Rasul dahulu melepaskan tawanan perang yang mengajarkan orang Islam tulis dan baca??Islam menjunjung tinggi tradisi ilmu.Manakah mungkin Iqra’ yang pertama sekali diungkapkan ,kalau tidak kerana itu suatu yang penting…

 

HAYAT DAKWAH

“Takpela,kita bagi kat adik-adik pula kali ini,”seorang teman mula mengundurkan langkah dalam perjuangan..

“Saya dah lama,sejak tahun pertama lagi.Sekarang bersara dah la,”ungkap seorang kenalan yang merasa sudah banyak berbakti pada agama,bangsa dan negara..

Bukan hasrat hati,mengenakan siapa-siapa.Cuma mari kita renung bersama-sama setiap langkah kita satu persatu semenjak zaman kita baru bertatih mengenal Islam dahulu..

Zaman diri masih erat memeluk erat koleksi komik Mutiara Naga,Misteri Naga,Dr Slump, Doraemon dan Pendekar Laut..Dari Pendekar Laut berkuasa berkuasa beberapa ribu Hp sehinggalah Pendekar Laut dan anak cucunya berkuasa lebih sejuta Hp..Dari zaman Goku anak kecil,sehinggalah beranak pinak,menjadi Super Saiya ketiga…


Zaman diri hantu cerita Sangam,Yadoo Ki Baarat sehinggalah Kabhi Kushi Kabhi Gham,Om Shanti Om..Dari zaman Amitabh,Rajesh Khanna,Jetandra,adik-beradik Kapoor,Rajnikandh sehinggalah sekarang arena SRK,Salman Khan,John Abram,Kajol dan Preity Zinta…


                                                       Rajnikandh Padayyapa

                                                         Dato' Shah Rukh Khan

Dakwah itu tiada hujungnya.Kita hanya mata rantai,penyambung hayat dakwah..Cuba mengislahkan manusia kea rah yang lebih baik..

Bukan hanya semata kita ahli biro agama,bukan selama mana kita masih pelajar under-graduate..

Dakwah itu bukan kewajipan eksklusif mereka yang bergelar ustaz ustazah,mereka yang bertudung labuh,berserban ekor berjuntai ataupun berpersatuan agama semata..

Erma Fatima ada gayanya,Mawi ada bahagiaannya..Yusri Che Lah pun kena,tanpa terkecuali mamanda kita,cucu Abdullah Fahim,Pak Lah kita dari Kepala Batas..

Biro Kebudayaan dan Keseniaan pun ada,Biro Sukan pun jangan lari jauh-jauh,Biro Pendidikan jangan buat tidak sedarkan diri juga..

Firman Allah,”Kamulah sebaik-baik ummah dari kalangan manusia,menyeru ke arah kebenaran,mencegah kemungkaran,dan beriman kepada Allah”.Ayat ini bukan ekslusif sasarannya.Sasar tujunya adalah kita,ummat Muhammad,ummat akhir zaman…..

Mereka,engkau dan aku, mata rantai itu wahai teman!!

 

 

 

Ahad, 22 Mac 2009

Sulaman Cinta Adam dan Hawa


Selesai mencoretkan sesuatu sewaktu menunggu detik penerbangan pulang ke Kota Bharu,kaki ku heret menuju kaunter ‘check-in’.Boleh tahan la, menunggu menanti jam 1500 dari pukul 0800..

Kepala masih lagi teringat-ingat persoalan-persoalan yang dilontarkan beberapa orang teman berkisar tentang CINTA,cinta,si ‘dia’ dan pelbagai lagi ragam orang bercinta..

Bercakap pasal cinta,bukan boleh dilambakkan dalil dan hujjah semata.Cinta hidup bermandikan hati dan perasaan..

Bukan tidak mahu bercakap berkenaan CINTA,tetapi mungkin kali ini,saya fokus pada cinta sesama makhluk berlainan jantina,satu dari Marikh dan satu dari Venus..Bak dendangan Misha Omar,Cinta Adam dan Hawa…

Dan bercakap pasal ini,saya bukanlah orang yang tepat dalam memberikan pandangan.I'm still solo but not available .Peace!!

Cuma mungkin dari perspektif seorang lelaki biasa,dan menilai dengan neraca pengalaman teman-teman dan secebis pengalaman sendiri,Insyaallah,kaca mata saya boleh dijadikan pedoman.Silakan diambil kalau molek,kalau kurang tegurlah seadanya.Hanya kata-kata seorang yang penuh teori,belum cukup praktikal…

 

HATI ITU MILIKNYA,BERTEMU SIFU CINTA…

Pabila hati seorang ibu teringat anaknya.Ringgg…Pantas sang anak menelefon bertanya khabar.Intuisi hati,diikat oleh Yang Maha Kuasa..Sayang menyayangi antara makhluk..

Hati ini teringat guru yang banyak mengajar erti hidup.Memberi warna kepada kehidupan…

Dari jauh kelibat 5 beranak itu kuperhatikan.Sang ayah berbadan agak gempal.Huhu..Sambil ditemani isteri di samping,dan anak-anak comel pelengkap keluarga bahagia..

“Assalamualaikum ustaz!”sapaku sambil menguntumkan senyum..

Sang ayah membalas salam.Muka yang mewah dengan senyuman.

“Owh hantar bibi rupanya,ingatkan dah ke Pangkor,”balasku lagi menambah bicara..

Melihat gaya seluruh keluarga yang agak berkejar,aku hanya sempat bertanya khabar,sedikit memberikan pandangan tentang artikel sang ayah yang terbaru,dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Abi 3 kanak-kanak comel tadi..

Pertemuan yang singkat,tetapi memberikan seribu erti kepadaku..

 

KISAH DI KAMPUNG

Pulang yang sebentar,haruslah dimanfaatkan sebaiknya..

Cuti kali ini,bersamaan pula dengan cuti sekolah.Maka ramailah yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan majlis ‘Raja Sehari’ masing-masing.Dalam sela masa hanya beberapa hari,lebih kurang 5 walimatul urus aku datangi..

Usai dijemput emak dan ayah,belum lagi memijak laman rumah,destinasi pertama adalah ‘bekwoh’(kenduri dalam dialek Kelantan) sepupu ayah yang baru melangsungkan perkahwinan.Langkah kanan…Festival makan pun bermula..

Bukan itu persoalannya…

“Apa,RM 15,000 ringgit!!!Jual anak ke pe!!,”menyinga marah wakil dari pihak pengantin lelaki.Lantas menyuruh sang pengantin lelaki mencari ganti yang lain sahaja.Sulaman cinta yang sudah erat, berkubur.Mimpi indah hari semalam,realitinya hari ini tidak kesampaian…

“Biar betul,RM 3003 je!!”terkejut sang emak mertua mendengarkan nilai hantaran untuk seorang pensyarah.Anak dan menantu merahsiakan nilai hantaran sehingga detik-detik terakhir ijabkabul..

“Family akak mitak RM 12,345,”kata seorang senior bakal doktor.Agak lumayan jumlahnya.Menarik juga urutan nombor.Mujurlah bukan urutan dari belakang.Kalau tidak……

“Kalau mamalah,mama takkan bagi murah sangat,biasa-biasa je ikut nilai semasa,”emakku memberikan komentar…

Memang benar ada hadis sahih mengatakan sebaik-baik perempuan yang dinikahi itu,adalah yang murah maharnya.Itu jelas..Tetapi benda ini subjektif,harus diselusuri dari pelbagai aspek dan sudut..

Faktor pekerjaan suami,faktor keluarga,faktor adat setempat antara yang harus diberikan pertimbangan sewajarnya.Kalaulah sang lelaki ahli perniagaan berjaya,setakat dua,tiga puluh ribu itu biasa.Bagi seorang yang masih belajar,belasan ribu sudah dianggap beban..Belum lagi biaya kenduri,kad jemputan,baju pengantin,kamera video dan yang seangkatan dengannya..

Lihat pula faktor keluarga.Ada keluarga faham agama,patuh dan cinta pada Sunnah Rasul,lantas berhujah dengan mengeluarkan hadis di atas,mahar dikurangkan.Itu yang terbaik…Lebih-lebih lagi kalaulah keluarga pengantin perempuan mampu menanggung biaya perkahwinan sedikit sebanyak.Apa salahnya…Akan tetapi ingatlah,tidak semua orang sama kondisinya dengan kita.Di mana pula letaknya keluarga yang kurang mampu,hanya mengharapkan hantaran kahwin semata-mata..Kalau melihat situasi di sini,wajarlah nilaian itu meningkat.Bukan kehendak hati ingin menjual anak,tetapi kehendak wang biaya yang menghambat…

Sebaliknya,jika Melayu sekarang berperangai Arab,harus menyediakan banglo mewah,kereta sport dan hantaran berpuluh-puluh ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang anak gadis,memang sangat-sangat relevan,perangai Melayu ini dinyahkan…

Semakin banyak wang dilaburkan di medan perkahwinan,semakin tinggi status merpati dua sejoli itu.Wang melambangkan status sosial.Kehebatan,kemegahan mendaki singgahsana kemahsyuran..Lambang kami Raja Sehari gamaknya…

 

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

Keramat benar kata-kata sang empunya Taming Sari.

Mengangkasakan Melayu,kata seorang pemimpin berjiwa angkasawan,halatuju membulan jauh.

Melayu….

Melayu itu punya adat dan budaya,juga ada panutan dalam beragama.

Agama itu bersendikan adat dan budaya.Agama dan adat saling menyatu..Andai dipisah,lemah tiada berjiwa,hampa..

Akan tetapi,jangan digolok gadai agama demi suatu adat picisan..

Hantaran yang tinggi,sekali dilihat melestarikan kedudukan pengantin.Dua kali dilihat,kehebatan seri pengantin mungkin makin menyerlah.Tiga kali dilihat,nampak berantakan.Pesona menghilang.Hutang menggunung tinggi,demi indahnya majlis nan sebentar..Bahtera rumahtangga mungkin  bergoyang hebat tatkala baru selangkah dua musafir kembara baru bermula…

Maaf kalau bahasa yang digunakan sedikit kasar.Tuntutan hantaran yang tanpa musabab rasional,hanya layak digunakan untuk pelacur elit sahaja.Menjual diri demi habuan wang sahaja..

Ingatlah kita kata-kata Umar Al-Khattab 

“Kita dulu adalah umat yang hina,yang kemudiannaya Allah muliakan dengan Islam.Jika kita kembali meninggalkan Islam,nescaya kita akan kembali dihinakan”…

Mungkin ini sedikit pengalaman di waktu cuti,memerhatikan tingkah dan telatah makhluk bernama manusia.Wajar sahaja perspektif ini dipersetujui atau ditolak…

Islam dinobat,adat dimartabat.Peace ;-)

Selasa, 17 Mac 2009

Warkah Dari LCCT....




Dalam hingar-bingar kesibukan LCCT,cuba juga menyempatkan diri ini mencoretkan sesuatu.Biarlah masa yang berlalu terisi dengan sesuatu yang bermanfaat.Manfaat untuk diri dan juga orang lain…

“Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain”

HR Tirmizi

 

Begitu besar sabda junjungan kita Muhammad ini.Sentiasa ia memberi aura segar kepada tubuh yang kurang bermaya..Semata-mata demi menjadi sebaik-baik manusia.Pengiktirafan hebat,bercopkan nama Al-Amin…

 

KOMUNIKASI ITU NADI MANUSIA

Manusia bercakap…

Manusia menulis…

Manusia punya bahasa sendiri,hatta bahasa tubuh dan gerakan.Semua itu cara manusia berhubung antara satu sama lain..

Belaian romantic sang suami,gelusan manja sang ayah pada anaknya,tengkingan soprano untuk pencetus masalah disipilin…Ini bahasa komunikasi..

Ada satu persoalan.Jika ada perkara yang tidak berkenan di hati dilakukan oleh seseorang,apakah tindakan yang anda lakukan??

Mungkin ada yang diam seribu bahasa,membiarkan hati dimamah rasa.Mungkin juga ada yang menjadikan diri bodoh tanpa mengenal erti kata dan rasa.Ada juga yang melemparkan ketidakpuasan hati melalui cakap-cakap kotor di belakang..

Diam tidak akan merubah apa-apa.Hanya sakit di hati membarah,menunggu masa menjadi bahaya.Meletus tanpa mengenal tanda…Tidak ada rasa dan kata,apalah guna menjadi makhluk bergelar manusia..Bercakap kotor di belakang,ibarat memakan daging teman sendiri,hanya suatu manifestasi menempah neraka.Hanya nafsu dapat dipuaskan,mengutuk,mengeji,mengadu domba santapan rasmi di lidah..Rumah sudah siap dibina,apalah guna paku,kayu,tukul bercakap lebat.Panggil si tukang kayu,jelaskan maksudmu,terangkan masalahnya,dan berdoalah si tukang kayu terbuka hatinya,rumah dibetulkan kembali….

Lupakah wahai manusia,lidah itu akan dipertanggungjawabkan.Disoal,ditanya apakah gerangan kata.Salah langkah menempah lidah api neraka..

Banyak manusia suka menghukum pandangan atau sesiapa sahaja yang berlainan jalur dengannya.Diri sendiri sahaja yang betul…

Dan kalaupun benar ada silap manusia yang lain,apakah cara kita bersikap?

Adakah pilihan kita salah satu dari jawapan di atas?

Sikap turun temurun,warisan Tsamud,A’ad,dan Quraisy Mekah.Langsung tidak bertamadun.Islam punya solusi yang cukup-cukup cantik..

Jika anda melihat seorang sahabat berbuat kesalahan,hati yang murni pasti tidak akan senang hati.Andai ditegur,takut si sahabat berkecil hati,memendam rasa,dan mungkin juga marah..Paling teruk,bahana terputusnya tali persahabatan..

Salah sekali tanggapan itu.Sayang seorang sahabat,tegurlah khilaf si dia.Langsung kita tidak ingin kawan kita bergelumang salah dan nista.Seorang sahabat sejati pasti menghulurkan tangan,menarik sahabatnya dari lubang durjana..

Menegur biar berhemah,menerima teguran juga biar berhemah.Renungkanlah sikap sang Rasul tatkala menegur Abdullah Bin Umar…Perlahan Muhammad menghampiri,dengan membungakan senyuman nan manis,lantas memegang bahu Ibnu Umar,dan kemudian barulah menguntumkan mutiara nasihatnya..

Kadang-kadang,manusia bukan tidak tahu bahawa teguran yang diberikan itu sebuah kebenaran.Akan tetapi,kebenaran itu tidak mahu diterima mungkin sahaja dengan cara penyampaian yang salah..

“Habisla ko masuk api neraka.Sape suruh pergi berzina sesedap hati”tuntas semburan hukum terpacul dari mulut sang teman..

“Wei orang kafir.Korang konfem masuk neraka la.Tak kemana kebaikan yang korang buat”mulut yang tidak punya insurans berkata sesedap rasa.Alangkah sedap telinga mendengar jika perkataan non-Muslim yang diungkapkan.Seakan-akan merekalah sang pemutus syariat.Siapa punya syurga dan neraka…

Dan dengan tanpa di sedari sang pembicara,jambatan hukum yang cuba disampaikan berlapikkan nama Al-Quran dan Sunnah, berubah menjadi tembok,terus membutakan manusia dari mengenali 2 sumber itu tadi…Senjata makan tuan,ibarat boomerang,dilempar menuju sang kancil,sialnya bukan sang kancil habuannya,akan tetapi kepala si pembaling sendiri…

Astagfirullah..

 

PERCAYA

Berterus-terang apa yang terbuku di lubuk hati,antara sekumpulan manusia atau individu.Di sinilah bibit percaya itu mula dilahirkan…

Kepercayaan itu penyelesai masalah.Ada yang menggusarkan jiwa,Tanya terus yang berkenaan.Yang gelap bisa menjadi cerah,yang hitam boleh menjadi putih.Semuanya jelas…

“Wahai orang-orang yang beriman,jika datang kepadamu seorang fasik,membawa berita,maka PERJELASKANLAH.Nescaya akan menimpa musibah atas dasar kejahilan mereka dan mereka pasti akan menyesal dengan apa yang mereka telah perbuatkan”

Al-Hujuraat:6

Pasti tidak akan ada yang tersadung dek jerat sangka-sangka syaitan keparat.Menyangka itu dan ini…Tiada apa dasar yang dipegang kecuali cetusan sangkaan buruk di hati.Benar kata-kata Allah,”Seseungguhnya kebanyakan sangkaan itu dosa”…

Dalam hidup berkomuniti,sangkaan atau nama popularnya gossip sudah menjadi rutin harian.Ibarat sang penagih candu,gian,harus dihisap setiap hari.Begitu juga gossip.Sehari tanpa gossip,tidak senang duduk la sehari suntuk dibuatnya..

“Minah oi,ko tahu tak si A ni kan…….,”soksek bualan Cik Bedah di petang hari.

Dari cerita yang tulen,ianya dicorakkan dengan pelbagai orientasi warna dan ukiran.Lantas tidak hairanlah,banyak suami isteri bercerai berai lantaran adu domba pihak ketiga yang dengki tidak bertempat…

 

MANUSIA ITU MAKHLUK SOSIAL

Hidupnya manusia,perlukan teman dan taulan.Menguzlahkan diri 24 jam dari manusia,jika terbukti diagnosanya ada pada anda,percayalah anda tidak normal..

Sedangkan solat digalakkan berjemaah,ajaran sang Rasul.Inikan pula muamalah harian.Tiada yang mampu hidup sendiri.Semuanya sinergis…

Petani memberikan padi untuk dimakan,nelayan memukat ikan sebagai lauk,tukang jahit mereka pakaian sebagai keperluan..Hubungan saling memerlukan.

“Jaga tepi kain sendiri,kubur kita masing-masing”bongkak benar bunyinya..

Kalau hebat bagai dicanang,tidak ada masalah..

“Mati la sendiri-sendiri,mandikan sendiri-sendiri,kafankan dan angkat mayat ke kubur masing-masing,sendiri-sendiri..”itulah nasib kamu, manusia eksklusif..

Inilah namanya hablum minan nas..Hubungan sesama manusia.Rangkumannya mencakup setiap aspek kehidupan…

Uswatun hasanah telah menyalakan obor sunnahnya..

Hanya meminta kita,membuat pilihan,ikutlah jalan yang terang lagi benderang atau gelap nan gulita..

Jawapan yang waras lagi celik bisa diagak.

Lainlah kalau,anda sang buta tidak berakal….

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sabtu, 14 Mac 2009

Mencari Sinar Semangat Di Ufuk Ujian....






Maka apabila engkau telah selesai sesuatu urusan,tetaplah bekerja keras untuk tugasan yang lain..

Al-Insyirah:7

 

Semoga dimudahkan untuk semua yang akan mengambil ujian.Tidak kiralah ujian di dalam ruang kuliyah ataupun ujianNya selama 24 jam tanpa henti kepada kita..

Jangan sekadar dansa retorik di bibir ingin mengunggulkan Al-Quran dan Sunnah,akan tetapi hakikatnya tarian sumbang yang didendangkan...

Apa-apa pun urusan kita,sehabis baik lakukannya.Jangan sekadar hanya hangatnya tahi ayam semata-mata..

Man jadda wajada,man zara'a hasoda :-)


                          

          BANGGAKU PADAMU MADIHAH,

          ANAK NELAYAN MEMAHAT TINTA EMAS SEJARAH.

          ARCA 20A SPM MEGAH BERSAKSI.

         TERATAK UZUR TEMAN MEMERHATI.

         SEJUK PERUT BUNDAMU.

         LEGA BEBANAN AYAHMU.

         TUNJUKKAN DUNIA,

         HENDAK SERIBU DAYA,

         TIADA MAHU SERIBU DALIH.

         TAHNIAH BUATMU PUTERI AGAMA.......


Ikuti wawancara Madihah di Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm


Petikan kata-katanya,RENUNGKANLAH WAHAI SAHABAT!!!!!


Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.

Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 - RM700 sebulan.

Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.

Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.


Ahad, 8 Mac 2009

Hakikat Hidup Seorang Manusia

Alhamdulillah,selamat mendarat  Vega R warna oren ke landasan Rumah No 50,Pondok Mulana pada pukul 2225,5minit awal dari detik yang dijanjikan..

Tok..tok..tok..

Assalamualaikum…

Pintu rumah diketuk perlahan.Lantas selak pintu dibuka lembut.Salam berjawab halus…

Penunggang dan pembonceng tiba di balai ketibaan dengan disambut,sapaan ramah si tuan rumah…

Acara ramah mesra mingguan…

Cuma kali ini,tidak seperti biasa,acaranya dijangka bermula di penghujung malam sehingga ke pagi hari..

Jika diizinkan Allah,kami akan bersama bangun menghadap Rabbul Izzati tatkala banyak lagi insan lain lena diulit mimpi.Semoga ruku’ sujud nanti,menjadi jambatan pengerat kami dengan Sang Pencipta..

 

MALAM YANG HIDUP…

Bilakah aku akan mati??

Esok??

Lusa??

Tahun depan??

Ataupun 30 tahun lagi??

Jawapannya aku tidak tahu…

Jawapan yang hanya akan terjawap apabila nafas terakhir dihembus keluar,tarikan nafas terakhir di tenggorokan..

Saatnya ketika sakaratul maut dirasa.Alhamdulillah jika akhirnya itu berakhir dengan kebaikan..Andai sahaja sebaliknya..

Mati itu datang tidak kenal masa dan tempat..Bak buah kelapa,bukan sahaja yang tua bertaburan di kaki pokok,akan tetapi terselit juga yang muda-muda turut menyembah bumi..

Ingin sekali kupetik analogi ini..

Seorang pesakit diberitahu oleh doktornya tentang perihal penyakitnya..

“Paling lama,pak cik ada masa sehingga hujung tahun ni je,”berat kata yang keluar dari doktor muda itu.Pasti pak cik yang disuap dengan berita itu mungkin terkejut,tergamam,mengalirkan air mata kesedihan,ketakutan,kecewa dan mungkin juga masih bertenang.Doakanlah agar pakcik itu ditetapkan hatinya.

“Ajal maut itu punya Allah.KepadaNya ku bertawakkal,”alangkah indah jika ayat inilah dilafazkan sang pakcik..

Andai doktor itu adalah aku dan pakcik itu adalah abahku tersayang,mungkin pada ketika itu juga air mataku berhamburan.Pasti aku menangis semahunya..Bukan menangisi takdir,akan tetapi itu fitrah diriku manusia…

Dalam aku bersedih,mungkin aku terlupa.Hujung tahun itu omongan manusia semata.Mungkin benar,mungkin juga tidak…Mungkin juga Malakul Maut menjemputku terlebih dahulu sebelum dia yang tersayang.Aku tidak tahu…

Kami hanya mutlak milikMu.Resmi barang pinjaman,harus dikembalikan kepada tuan empunya..

Biarlah sujud kami,ruku’ kami,melambangkan kami hak mutlakmu.Biarlah kami sedar hakikat diri..Andai Engkau meminta kembali ke pangkuanMu sekarang,aku takut Ya Allah,kami takut Ya Allah….

Kami tidak bersedia.Ampunkan kami Ya Allah…………

 

SESI PEMUDA KAHFI

Usai Subuh berjemaah di Masjid Bustanussalam,kaki diorak kembali ke teratak No 50.Rombongan kecil anak-anak muda menikmati hadiah dari sang pagi,sambil dibelai dinginnya irama sang embun.Gelak ketawa memecahkan zon senyap,ditambah geli hati melihat ada mata kuyu,hebat diserang kantuk…

Anak-anak muda itu bersila membentuk lingkaran..

Siap siaga sentiasa..

Majlis dibuka sang pembawa acara.Alunan surah At-Thur memecahkan hening pagi di Mulana..

“Rasulullah ni orang kata dia tukang tenung,ahli sihir,gila dan sebagainya.Kenapa??,”ujar Max(bukan nama sebenar).

“Rasul membawa seruan akidah,ajaran kebenaran.Tapi,banyak sangat yang menentang.Abu Jahal,Abu Talib,Abu Lahab tu sape??,”bertubi soalan dari Max.

“Semua keluarga rapat Rasulullah.Tapi tetap menentang kebenaran Rasul,”

“Begitu juga kita,jangan takut nak cakap benar.Sunnatullah kebenaran ni ,orang tak semua suka kat dia..”

“Berkatalah benar walaupun pahit,”

“Biasalah ada mulut mengeji mengata belakang,Rasulullah dulu pun sama”satu persatu ayat membakar semangat pagi…

Sedikit pengajaran bersama dari surah At-Tur..

 

BELAJAR TENTANG HAKIKAT MANUSIA

“Pagi ni kita akan berdiskusi pasal hakikat manusia,tajuk yang santai je”Max memulakan bicaranya..

Manusia itu makhluk Tuhan,dihiasi dengan sifat-sifat yang dianugerahkan kepada manusia.Manusia itu ada fitrah yang dikurniakan Allah.Lelaki sukakan perempuan,perempuan pula berkenan pada yang lelaki..

Tatkala seorang ibu baru melahirkan anaknya,tidak perlu sang suami mengarahkan isterinya supaya sentiasa memberi kasih sayang,membelai manja  anaknya..

Insan mukallaf,tidak perlu diajar di dalam ruang kuliyyah tentang wujudnya Tuhan.Semua percaya benda dijadikan dengan tukangnya..Umpama najis lembu di jalanan,pasti ada seekor dua melepas tanpa amaran..Manusia,apa jua agamanya,Hindu,Buddha,Kristian dan Islam semestinya,semua percaya wujudnya Tuhan.Cuma nama mungkin sedikit berbeza…

Abdul Mutalib,anaknya bernama Abdullah.Kedua-duanya bukan Muslim..Ketika Muhammad,anaknya Abdullah berumur 40 tahun,barulah seruan Islam sampai kepada Quraisy…

Kaabah namanya Baitullah,semenjak Lata Uzza Manat menjadi sembahan rasmi,semenjak Quraisy Jahiliah bertelanjang tawaf mengelilingi Kaabah….

“Allahumma ahlik Muhammada,”Ataupun Melayunya “Wahai Allah,hancurkanlah Muhammad”ini ungkapan Abu Jahal tika mendoakan kehancuran Muhammad Al-Amin…

Fitrah itu kurniaan Ilahi,tanda sayang Pencipta pada hambaNya,tidak kiralah manusia itu Sami Buddha atau berideologikan komunis menentang ketuhanan sekalipun…

Tetap memberi tanpa diskriminasi……

 

LEMAH FAQIR

Manusia itu sangat lemah.Oksigen yang dihirup,air yang diminum ,aspirasi Tuhan yang bersifat Al-Wahhab,Maha Pemberi,yang diberikan kepada hambaNya….

Langsung tidak bersyukur atas kurniaannya..Masih punya nyali bermaksiat kepadaNya.

Manusia pasti mendidih marah jika anjing yang makannya disuap,tidurnya dibelai,tiba-tiba menggigit ganas sang tuan..Dasar anjing celaka mungkin ungkapan kesal diri empunya anjing itu…Silap haribulan tamat nanti riwayat hidup anjing durjana di penghujung senapang sang tuan..

Apa kata Tuhan apabila munculnya ‘anjing-anjing’ sebegini di kalangan manusia ciptaanNya??

Wahai ‘anjing’ yang berakal,adakah kamu layak untuk hidup di muka bumi milikNya???

………………

 

JAHIL LAGI ZALIM…

Tanggungjawab sebagai pentadbir bumi ini berat.Hatta sang gunung gergasi,langit nan menggalah,bumi saujana memandang,menolak takut kan besarnya amanat yang bakal terbeban…

“Aku sanggup,”tuntas hebat seorang manusia…

Allah Taala merakam ceritera ini di dalam Al-Ahzab,ayat 72…

Bagaimana hebat seorang pelakon,arahan pengarah hendaklah diikuti.Dia yang lebih tahu perjalanan cerita.Ikut kehendaknya…Resmi pelakon sandiwara di layar milikNya,arahan Sang Pengarah jangan dikatakan tidak..Mahu ke mana perginya kita,andai diri dibuang negeri,dihambat keluar dari layar punyaNya!!!

Seringkali manusia menzalimi dirinya sendiri..

Sudah TAHU,hatinya pasti MAHU,akan tetapi bergerak menuju MAMPU itu tidak semuanya berjaya…

Tahu rokok itu haram,mudaratnya berlambak-lambak,hatinya usah disangkal,pasti mahu meninggalkan rokok.Sayangnya kemampuan diri menolak perasaan itu tersangatlah lemah…

Tahu keluar berdua-duaan antara seorang Adam dan Hawa yang belum mengikat ikatan ijabkabul itu suatu kemungkaran.Allah Al-Wahhab tadi pasti murka,manusia itu juga tahu.Sang Pengarah pasti bengang.Arahannya disebelahmatakan…

 

TEGUR KERANA SAYANG,MARAH KERANA CINTA..

Tegurnya seorang sahabat,demi sayangnya dia kepada sahabatnya itu.Marahnya seorang teman,semata-mata cinta kepada rakannya itu..

“Bukan tak tahu cerita masing-masing macam mane,tahu sangat-sangat.Cuma tunggu masa dan ketika je,”ujar Max sambil memandang setiap pasang anak mata di hadapannya…

“Berhemah itu bukan sekadar secara individu menegur dengan lembut semata,akan tetapi disesuaikan dengan keadaan semasa,”katanya lagi.

“Nasihat lembut untuk sang hawa yang tersasar arah itu betul,meninju KO seorang pencuri itu juga benar,membidas kaki cakap belakang itu sangat perlu!!!,”aroma pagi kian hening,masing-masing focus..

Mengangguk semuanya…Masing-masing menginsafi diri.Teringat hamburan kata-kata ‘I Love You’,ciuman Mmmuahh yang saban malam menghiasi skrin handphone…

Melihat tangan yang pernah bersentuh dengan kulit yang lebih jelek,hodoh lebih dari kulit khinzir,makhluk haram dimakan setiap Muslim..

Bersentuh dengan khinzir tidak terbayang,apatah lagi lebih dari itu…

 

INI NYAWA KITA

“Komunikasi ni nyawa manusia,”bicara Max bersambung.

Ada yang salah,cakap dan betulkan.Yang menegur berhemah dan jangan takut.Yang ditegur menerima seadanya,sedar hakikat diri yang khilaf..Terima kasih masih ada yang kisah..

“Hati berjiwa perwira berani ke hadapan,hati kecil menikus,juga berani,tapi hanya soksek-soksek saja di belakang,”tinggi nadanya bersuara..

Lumrah sepanjang zaman.Kaki gossip terus dengan arena gossip tabloidnya,kaki adu-domba masih bermaharajalela,kaki kutuk dan komen di belakang terus terpuruk hina di dalam gelanggangnya…

Tiada apa yang berubah.Hanya hati puas dengan hasad dengki,membusuk membangkai sampai mati!!!!

“Kita manusia biasa,tidak terlepas dari jebak kesalahan.Itu pasti..,”

“Jangan didiamkan.Diam bererti setuju.Yang salah akan hilang kapsul malunya jika tidak ditegur,”

Ada air mata jernih melirik di kelopak mata teman di sebelah.Ada yang menunduk terus.Sebak…

“Sekali melihat ada yang terperangkap,manusia bernama sahabat,kawan yang lain seharusnya menghulurkan tangan.Ini prinsip kita!!!,”simpul Max lagi..

Kami menggangguk sepakat…

Idola kita Rasulullah juga sama.Sayangnya Allah kepada kekasihNya itu,sampai Rasulullah ditegur dalam surah Abasa.Hanya kerana berpaling dari si buta,meminta fatwa darinya…

Apatah lagi manusia berpangkat rendah di akhir zaman ini,dosa dan khilaf itu mainan harian…Rawatan seharusnya diberikan berterusan agar symptom maksiat ini tidak terus bertakhta seenaknya…

Setiap yang hadir terus khusyuk sehinggalah bacaan kifarah Majlis diucapkan…

Hati ini terdetik.Biarlah bicara pada pagi itu membuahkan kesan,menghadirkan benih-benih perubahan menuju MAMPU..

Amiin Ya Allah…….